Mar 24, 2012

Bawah Pohon Sena

luahan rasa : Wan Amalyn at Saturday, March 24, 2012 0 rakan yang berkongsi rasa
Penulis : Nisyah
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Tahun : Mac 2012
Halaman: 452


Kisah tentang Lili Alias si jurugambar bebas. Dia melihat 'hidup' ini di balik lensa kamera. Dia berjaya memukau mata sesiapa yang memandang gambar-gambar yang di'bidik'nya tetapi dia kecundang memotretkan perjalanan hidupnya seindah gambar-gambar yang diambil.

Perkahwinannya kecundang selepas 3 tahun dia cuba membina mahligai bahagia bersama sahabat baiknya Megat Harith Megat Nasir. Berkahwin dengan si dia yang menjadi pilihan keluarga telah memutuskan ikatan persahabatan yang terjalin antara mereka bertahun-tahun lamanya. Namun dia pasrah andai itu takdir yang tertulis buatnya.

Demi mengubat hati yang lara, dia mencari ketenangan di lorong belakang Pasar Seni. Menikmati alunan lagu-lagu daripada pemuzik jalanan yang mencari rezeki dengan cara mereka. Memerhati gelagat manusia yang pelbagai ragam dan gaya.

Kisah tentang Gibran Ali si pemuzik jalanan yang menjadikan lorong belakang Pasar Seni sebagai 'pentas'nya dan para pengunjung yang sudi singgah sebagai penontonnya. Dia belajar erti 'hidup' melalui celah-celah pengunjung yang datang ke lorong belakang Pasar Seni.

Di bawah pohon sena terjalin persahabatan antara mereka, si jurugambar dan si pemuzik jalanan. Realiti kehidupan yang sering terakam melalui lensa kamera Lili diterjemahkan oleh Gibran yang merasa sendiri pahit manisnya kehidupan, yang punya banyak cerita yang penuh 'irama & lagu'.

Cerita kehidupan mereka bukan sekadar di lorong belakang Pasar Seni, bahkan menjangkau hingga ke Rumah Qaseh, rumah tumpangan yang menempatkan warga tua yang menyimpan seribu cerita duka. Di sini mereka berkongsi kasih dengan insan yang sendirian melalui hari-hari tua. Pada Gibran, dia bahagia andai dapat membahagiakan mereka warga tua yang malang.

Masa adalah ubat yang paling mujarab. Masa yang bisa mengubah apa sahaja, malahan hati. Bahkan masa juga bisa menyembuh hati yang rawan. Tatkala hadirnya Gibran yang telah menyelitkan sedikit rasa bahagia di celah-celah hatinya. Tatkala hatinya mulai redha menerima Harith yang telahpun membina mahligai bahagia bersama Suraya, wanita yang dicintainya. Lili diuji lagi dengan permintaan Suraya untuk menjadi ibu kepada Puteri Diyana.

Dia rela atas nama persahabatan. Namun tanpa sedar dia telah menyisihkan sahabat yang berjaya membawa tawa dan mengusir duka yang melingkari hidupnya di saat-saat dia perlukan sokongan. Wajarkah tindakannya? Mampukah dia mengapai bahagia? Dan siapakah Gibran Ali dalam hidupnya? Dan yang paling penting, siapakah Gibran Ali yang sebenarnya?

Saya menamatkan Di Bawah Pohon Sena ini dengan perasaan yang puas!

Saya sukakan karya Nisyah ini. Melalui 'lensa' Lili Alias, melalui puitisnya lagu-lagu rakyat yang didendangkan oleh Gibran Ali di lorong belakang Pasar Seni, saya turut serta belajar tentang falsafah hidup mereka. Kita akan turut gembira andai dapat membahagiakan orang yang kita sayang walaupun adakalanya hati kita dirundung duka. Itulah yang 'Lili' belajar melalui 'Gibran'.

Saya sukakan plot cerita Nisyah ini. Bersahabat baik sedari kecil tidak semestinya akan memutikkan rasa cinta walaupun dia, kita suka sepenuh hati. Itulah yang Lili rasa terhadap Megat Harith, lelaki yang dia kenal sepanjang dia meniti usia remaja hinggalah mereka menginjak dewasa. Ketika dia mula kenal erti cinta, Harith lah lelaki yang dia jatuh cinta, namun... bukan itu yang Harith rasa. Lantarannya mereka 'hilang' sahabat baik.

Saya sukakan bahasa Nisyah yang penuh inspirasi.

‘ kegembiraan bukan datang daripada apa yang kita suka sahaja, tetapi kita akan gembira apabila boleh berkongsi sesuatu yang kita suka dengan orang yang kita sayang ’ ms 101



Mar 14, 2012

Transit Cinta

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, March 14, 2012 0 rakan yang berkongsi rasa
Penulis : Iqbal Syarie
Terbitan : JS Adiwarna
Tahun : 2012
Halaman :


Transit Cinta merupakan karya kedua penulis Iqbal Syarie bersama JS Adiwarna dan naskhah pertama yang saya baca walaupun novel pertama beliau Dia Yang Kunikahi (juga terbitan JS Adiwarna) lebih dulu saya miliki.

Saya ada satu perangai buruk yang tak boleh nak ubah, suka intai helaian-helaian akhir sesebuah novel sebelum memulakan pembacaan. Ya, saya suka main ngelat (jangan tiru tau!) Bukan apa, saya tidak suka mengusung rasa debar yang mengoncang dada hingga membuatkan saya hilang rasa aman! Saya lebih suka tahu penamatnya dan dari situ saya menghimpun rasa ingin tahu bagaimana penulis membawa kita tiba ke garisan penamatnya. Itu lebih membuatkan pembacaan saya aman aje. YA, lain pembaca lain caranya kan?

Jadi, itulah antara sebabnya kenapa Dia Yang Kunikahi belum lagi saya baca. Saya ingin mengumpul kekuatan diri untuk mengadap naskhah yang telah membuatkan hati saya jadi 'ngilu' (membaca ending)

Ok berbalik kepada Transit Cinta ini, ia berkisah tentang Akiff Firdaus. Dia hilang seluruh ahli keluarganya dalam sekelip mata. Bahkan dia hampir hilang pedoman juga. Namun berkat dorongan dan sokongan keluarga arwah ibunya, terutamanya Tok Ayah, Nenek, keluarga Pak Ngah & Paksu Man, dia bangkit. Dia bukan keseorangan. Dia masih punya keluarga yang menyayangi dan ambil berat tentangnya.

Kemalangan yang meragut nyawa seluruh ahli keluarganya dalam nahas kapal terbang tidak meleburkan impiannya untuk menjadi seorang Jurutera Penyelenggaraan Kapal Terbang. Malah menjadi pemangkin untuk dia mendalami bidang yang bersangkutan dengan kerjaya arwah ayahnya, Kapten Khairul Zaman, Juruterbang syarikat Swiftliner.

Di Kolej Penyelenggaraan Pesawat (KPP), dia menemui jati dirinya. Dia belajar mengenal erti sebuah 'perjuangan'. Berjuang untuk kebaikan di dunia di samping kecemerlangan untuk akhiratnya. Namun dia alpa, kerana kelancangan mulutnya dia hilang 'si dia'. 'Dia' yang dia sayang dan simpan rasa cinta dalam diam itu.

Kisah tentang Puteri Nur Diana yang berubah total. Daripada seorang gadis yang bertudung litup, yang menjaga bualannya, yang menjaga sahsiahnya, yang menjaga pekertinya, yang dahulunya seorang naqibah yang mendidik dan berkongsi pandang tentang islam, boleh berubah menjadi gadis yang melupakan tudung labuhnya, jadi gadis yang melupakan akhlak indahnya. Ya, dia berubah bagaikan matahari yang sedang menelan cahaya.

Dia ada sebab kenapa dia berubah. Ekoran tragedi berdarah yang berlaku pada keluarganya dia hilang arah. Dia hilang pedoman. Bahkan dia berputus asa dengan Tuhan! Namun Dia tidak pernah tinggalkan mereka yang alpa. Berjayakah Diana mencari jati diri yang hilang itu? Atau selamanya dia sesat dalam pencariannya?

Usai membaca naskhah ini apa yang boleh saya katakan... saya hilang kata-kata untuk sebuah naskhah yang sangat indah ini. Naskhah garapan Iqbal Syarie ini penuh pengisian. Sangat berilmu dan sarat dengan tazkirah-tazkirah yang diselitkan dengan cara dan situasi yang penuh berhemah. Saya membaca tanpa rasa diri di'ceramah'kan tapi inputnya menusuk terus ke hati saya. Di sebalik 'drama' yang dipaparkan ada ilmu yang diselitkan.

Saya sukakan bahasa penulis! Wah siapa sangka ya, bahasa 'Doktor' Kapal Terbang ini puitis dan memikat hati (saya lah tu!) juga. =) Dan siapa sangka penulis ini mampu bercerita dalam 'nada' yang romantik juga ya... hehehehe Kesudahan yang membuatkan saya mengulum senyum tanda suka.

Buat penulis, syabas dan tahniah! Sesungguhnya tujuan anda menulis novel untuk menyampaikan suara kepada semua sudah berjaya. Walaupun mungkin hanya pada saya seorang. YA, ianya sampai terus ke dasar hati saya yang terdalam. Tapi tak mustahil ada pembaca lain juga yang akan terkesan dengan naskhah yang indah lagi molek ini. Betul tak?

Bacalah moga bermanfaat untuk anda juga...



Mar 11, 2012

Dapur Wawa

luahan rasa : Wan Amalyn at Sunday, March 11, 2012 0 rakan yang berkongsi rasa
Penulis : Ika Madera
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Tahun : Mac 2012
Halaman: 452

Satu kelainan yang berjaya mengikat saya untuk terus membaca hingga ke noktah terakhir. Dengan teknik penceritaan yang sedikit berbeza daripada kebiasaan yang digunakan oleh para penulis, bagi saya merupakan satu keistimewaan pada naskhah kedua karya Ika Madera ini. Bagaikan 'Najwa' bercerita kepada Ika Madera, si penulis yang bercerita terus kepada kita pembacanya.

Membaca novel ini saya teringat pada buku Jaja & Din karya Noor Suraya yang menggunakan teknik yang lebih kurang sama (lebih kurang aje tapi tak sama tau!) Dalam Jaja & Din, Jaja yang bercerita tentang kisah hidupnya kepada kita, tapi dalam Dapur Wawa, Ika Madera yang bercerita tentang kisah hidup Najwa Syakirah kepada kita. Lain kan?

Seperti 'Najwa' bercerita kepada 'Ika Madera' untuk diceritakan kepada kita para pembaca. Atau dengan kata lain pencerita (watak utama) berkisah tentang hidupnya kepada penulis (Ika Madera) untuk diceritakan kepada pembaca (saya dan anda lah!)? Uiks anda dah pening?? Jangan dulu, kena baca baru tahu bagaimana... dan yang pastinya saya tidak ada masalah untuk menikmati karya ini hingga ke penamatnya.

Saya tidak tahu apa istilah yang dilabelkan dalam bahasa sastera kerana saya bukan orang sastera dan saya membuat penilaian hanya mengikut gerak hati dan komen saya juga hanya sebagai pembaca. Itu sahaja ya =)

Dapur Wawa membawa kita mengenali 'Najwa Syakirah' yang menjadi tunjang utama dalam naskhah ini. Yelah, dah judulnya pun guna nama 'Wawa' panggilan manja untuk si Najwa ini.

Kisah tentang Najwa Syakirah, Wawa yang sehingga ke usia 31 tahun masih belum menemui pasangan hidup selepas beberapa kali keciwa bercinta. Keciwa bercinta dan tiada ura-ura untuk mencari pasangan, membuatkan orang-orang sekeliling hidupnya (saudara maranya) terutama Bonda mula mencari calon. Hinggalah suatu hari Kak Pah, kakak kepada pengarang novel ini, menyerahkan fail biru dengan kod 100789 kepada Wawa. Fail tentang profil 'Encik Abu' calon bakal suami untuk Wawa.

Abu bin Abdullah, 44 tahun. Drebar. Bujang trang tang tang. Suka melancong, menyanyi dan menternak kambing itulah yang tertera dalam fail Encik Abu. Erk! Drebar yang dicalonkan kepada Wawa, pekerja kelas atasan ni? Hesy tak sesuai langsung Kak Pah ni!

Tapi jodohkan rahsia Dia. Selepas sebulan daripada temujanji pertama, dan di temujanji kedua, Encik Abu melamar Wawa sebagai isterinya. Dua minggu selepas temujanji kedua, Encik Abu menemui Bonda dan tiga bulan kemudian mereka sah sebagai suami-isteri! Mudahnya...

Dan bermulalah kisah Wawa sebagai isteri seorang 'drebar'. Dan si Wawa yang tidak gemar masuk dapur harus rajinkan diri ke dapur, kalau tidak apa yang nak di kasi anak orang itu makan? Bermulalah episod baru dalam hidup Wawa yang harus menadah telinga juga apabila dia menelefon Bonda, Ibu Chik ibu saudaranya, sepupu-sepupu serta kawan-kawannya bertanyakan resepi. Sebelum dapat apa yang dipinta, berbakul-bakul leteran harus dia tadahkan telinga.

Bagaimana kesudahan cerita Wawa selepas kahwin dengan Encik Abu ya?? Ada sesuatu yang tersembunyi juga tentang Encik Abu si 'drebar' itu. Berminat nak tahu?? Bacalah, pastinya ada sesuatu yang boleh dijadikan panduan buat kita. Dan apa yang pasti petua dan ilmu yang diperturunkan oleh Bonda dan ibu saudaranya, Wawa tidak lokek untuk berkongsi dengan kita pembacanya pula.

Ada kelainan yang menarik hati saya dalam Dapur Wawa ini. Novel ini bukan sekadar berkisah tentang perkara yang berlaku di seputar kehidupan yang Wawa jalani sehari-hari. Selain 'cerita Wawa' ada diselitkan resepi-resepi yang Wawa masak untuk Encik Abu dan keluarganya.

Saya terasa bagaikan nak masuk dapur, mencuba setiap resepi yang 'Wawa' kongsikan dalam Dapur Wawa ini hehehe Ya, resepi yang lengkap berserta rencah dan aturan masaknya di'tunjuk'kan kepada kita. Tapi harus diingatkan ianya bukanlah seperti yang tercatit dalam buku-buku resepi ya. Penulis bijak menunjukajar cara masak tanpa kita rasa bagaikan membaca buku resepi!

Pendek kata, di saat Wawa memasak untuk En. Abu, saya teringin nak rasa sama. Di saat-saat Wawa dirundung duka, saya turut serta merasa peritnya. Dan YA, saya tidak dapat membendung airmata saya daripada menitis di saat Wawa diuji-Nya. Bukan! Ini bukan cerita sedih. Seperti kata Ika Madera kalau nak baca novel yang sedih-sedih hingga berjurai-jurai airmata buku Nazurah Aisyah yang paling sesuai. Tapi naluri saya tetap terkesan, mungkin kerana nasib Wawa, saya pernah alami lamaaa dulu cumanya saya masih bernasib baik kerana DIA masih berbaik hati memberikan ganti kepada saya walaupun hanya seorang.

Pada saya, Dapur Wawa boleh dijadikan 'buku panduan' untuk bakal-bakal isteri atau bakal-bakal suami untuk dihadiahkan kepada bakal isteri yang akan memasuki fasa baru dalam kehidupan iaitu alam rumahtangga.

Bacalah moga bermanfaat untuk anda juga... =)

(ps: Melayan novel dengan laptop depan mata membuatkan saya gatal tangan google dapurpasangsiap.blogspot.com yang tercatit dalam Dapur Wawa... Wah! Memang wujudlah blog itu hehehe)

Mar 7, 2012

Kita Hanya Di Seberang Jalan

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, March 07, 2012 0 rakan yang berkongsi rasa
Penulis : Bahrudin Bekri
Terbitan : PTS

Seperti biasa karya Che Din sentiasa memikat hati saya dengan caranya yang tersendiri =)

Penulis bijak mempengaruhi saya untuk terus tetap membaca hasil tulisannya hingga ke noktah terakhir.

Pada zahirnya, Kita Hanya Di Seberang Jalan bukanlah mengangkat isu/cerita yang 'gah'. Sebagaimana tajuknya, kisah ini pun tentang isu yang biasa-biasa sahaja. Tapi di sebalik 'biasa-biasa' terselit pengajaran yang mampu membuka minda pembaca yang mahu berfikir.

Apa yang ada di seberang jalan? Siapa yang ada di seberang jalan? Pertanyaan demi pertanyaan itulah yang membawa saya meneroka naskhah ini demi memenuhi tuntutan hati yang inginkan jawapan!

Kita Hanya Di Seberang Jalan, berkisah tentang Rusdan, graduan lepasan universiti yang masih terkontang-kanting mencari pekerjaan. Pelbagai usaha dilakukan demi mencari lowongan kerja. Daripada jawatan guru ganti hinggalah kepada penjual insurans. Namun di sebalik jawatan yang dipohon, berlaku insiden demi insiden yang tidak dijangka.

Sementara mendapat kerja, dia menumpang di rumah sepupunya Fatah yang mengusahakan Kedai Pisang. Walaupun pada asas mereka menjual aneka jenis pisang tapi Kedai Pisang tetap juga menjual pelbagai jenis barangan pertanian yang lain. Selain Fatah, Taib dan Suhardi (juga sepupunya) tinggal bersama di rumah yang juga merupakan kedai.

Sebagai graduan lepasan U, dia di anggap sebagai orang yang paling pandai di antara mereka. Dan sering dijadikan 'ketua' oleh sepupu-sepupunya. Antara salah satu tugasnya adalah mencari pasangan untuk Fatah. Fatah yang lembut hati sering dibuli oleh Abang Yo. Ini menimbulkan rasa tidak senang Taib dan Suhardi yang bekerja membantu Fatah kerana mereka yang menjadi mangsa secara tidak langsung. Suhardi berpendapat Fatah perlukan cinta kerana dengan cinta Fatah akan menjadi lebih berani dan tegas. Maka Rusdan lah yang ditugaskan untuk menemukan Fatah dengan 'cinta'nya.

Berjayakah Rusdan mendapat kerja yang sesuai dengan kelulusannya? Berjayakah Rusdan menjadi telangkai untuk Fatah sedangkan dia sendiri tidak pernah bercinta? Ingin tahu jawapan? Anda kenalah baca...

Bagi pembaca yang pernah membaca karya-karya Bahruddin Bekri, pastinya arif bagaimana cara penulis 'bercerita'. Setiap apa yang berlaku di seputar kehidupan Rusdan pastinya ada kejadian-kejadian aneh dan lucu yang membuatkan kita akan mengulum tawa. Dalam nada berlucu, ada isu serius yang boleh kita renungkan.

Watak-watak garapan penulis juga sangat dekat di hati kita. Gambaran insan marhaen seperti kita membuatkan kisah ini lebih santai dibaca. Dan apa yang pasti jalan cerita ini berlangsung dengan penamat yang akan membuatkan kita rasa lega dan puas hati.

=)


Mar 4, 2012

Si Mangkuk Tingkat

luahan rasa : Wan Amalyn at Sunday, March 04, 2012 0 rakan yang berkongsi rasa
Penulis : Faziela
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Halaman : 471
Tahun : 2012
Harga : RM20.00


Apa yang membuatkan saya suka tentang buku ini adalah kerana ceritanya yang simple and yet so sweet. Dengan bahasa yang santai dan mudah dihadam membuatkan saya dapat menghabiskan buku ini dalam masa tak sampai satu hari. Ini bacaan santai yang tidak memerlukan saya mengusung rasa debar. Ya, saya membaca hanya untuk menikmati rasa aman.

Si Mangkuk Tingkat kisah tentang Nur Edryna Mohd Shah si pencinta alam sekitar yang masih belum berteman sedangkan usianya makin meningkat. Apabila si abang yang sering menjadi pelindungnya bakal menamatkan zaman bujang, bapa mereka yang menetapkan bahawa Edryna harus bertunang di hari perkahwinan abangnya membuatkan Edryna kalut. Sementelah pula si ayah sudahpun punya calon menantu. Tambah parah abahnya telahpun bersetuju dengan risikan daripada pihak lelaki.

Kisah tentang Muhammad Ashraff Mohd. Ariffin yang jatuh cinta pada si dia yang berbaju kurung dan membawa mangkuk tingkat di tengah-tengah keriuhan airport KLIA. Namun pertemuan kedua mereka tidak seindah yang diimpikan. Ketika seorang demi seorang sahabatnya menamatkan zaman bujang, si ibu juga mula kalut mencarikan pasangan untuknya. Dan calonnya adalah anak kenalan ayahnya.

Takdir menemukan mereka atas jodoh keluarga. Ashraff akur sedangkan Edryna tidak suka. Dia ada sebab kenapa dia tidak boleh terima Ashraff. Dia punya sejarah hitam dengan lelaki. Padanya semua lelaki (kecuali abang dan ayahnya) adalah manusia yang tidak boleh dipercayai!

Berjayakah Ashraff menghapuskan bayangan 'lelaki jahat' yang dilabelkan oleh Edryna? Bahagiakah mereka bila di hati masih ada rasa lain selain rasa cinta? Mampukah Ashraff menawan hati Edryna yang terkenal dengan barannya bila berhadapan dengan lelaki yang namanya seakan nama lelaki yang dia dendam itu?

Mungkin ada yang beranggapan yang Si Mangkuk Tingkat ini sebuah lagi naskhah yang mengangkat isu 'kahwin paksa’ di mana akhirnya pasangan tersebut jatuh cinta dan hidup bahagia. YA, tidak dinafikan itulah antara apa yang berlaku. TAPI yang membuatkan saya sukakan karya ini, bagaimana penulis mengolah cerita klise sebegitu menjadi menarik pada pembacaan sayalah.

Pada saya ini bukanlah kisah si hero dan heroin yang di'paksa' kahwin oleh ahli keluarga mereka. Mereka diberi peluang bertemu sebelum ikatan dimeterai. Mereka diberi sepenuh kebebasan untuk membuat keputusan. Apa yang mengikat saya untuk baca dan terus baca naskhah ini adalah insiden-insiden yang berlaku di antara mereka. Bagaimana Ashraff menangani karenah Edryna yang 'macam-macam'. Sebagaimana sweet talk dan tindak tanduk Ashraff bisa mencairkan hati Edryna yang beku, hati saya cair sama... ahaks!

Saya sukakan 'Ashraff'. Dia tahu apa yang dia inginkan dalam hidupnya. Dia bijak mengawal situasi, dia bijak menangani setiap masalah yang berlaku dalam hubungannya dengan isterinya.

Watak Edryna, di luar rumah dia dilihat sebagai wanita yang tegas dan berkeyakinan tinggi. Di rumah dia seorang anak & adik yang manja. Dan dia neutral dengan suaminya, dia tidak membenci tapi dia masih belum cinta pada suaminya di awal-awal cerita. Tapi dengan kebijaksanaan Ashraff mengambil peluang membuatkan kisah ini menjadi menarik.

Dan saya menoktahkan bacaan ini dengan senyuman yang penuh di pipi. Sayang nak padamkan rasa yang berbunga di hati ini walaupun ceritanya dah habis dibaca... :)

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare