Mar 4, 2012

Si Mangkuk Tingkat

luahan rasa : Wan Amalyn at Sunday, March 04, 2012
Penulis : Faziela
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Halaman : 471
Tahun : 2012
Harga : RM20.00


Apa yang membuatkan saya suka tentang buku ini adalah kerana ceritanya yang simple and yet so sweet. Dengan bahasa yang santai dan mudah dihadam membuatkan saya dapat menghabiskan buku ini dalam masa tak sampai satu hari. Ini bacaan santai yang tidak memerlukan saya mengusung rasa debar. Ya, saya membaca hanya untuk menikmati rasa aman.

Si Mangkuk Tingkat kisah tentang Nur Edryna Mohd Shah si pencinta alam sekitar yang masih belum berteman sedangkan usianya makin meningkat. Apabila si abang yang sering menjadi pelindungnya bakal menamatkan zaman bujang, bapa mereka yang menetapkan bahawa Edryna harus bertunang di hari perkahwinan abangnya membuatkan Edryna kalut. Sementelah pula si ayah sudahpun punya calon menantu. Tambah parah abahnya telahpun bersetuju dengan risikan daripada pihak lelaki.

Kisah tentang Muhammad Ashraff Mohd. Ariffin yang jatuh cinta pada si dia yang berbaju kurung dan membawa mangkuk tingkat di tengah-tengah keriuhan airport KLIA. Namun pertemuan kedua mereka tidak seindah yang diimpikan. Ketika seorang demi seorang sahabatnya menamatkan zaman bujang, si ibu juga mula kalut mencarikan pasangan untuknya. Dan calonnya adalah anak kenalan ayahnya.

Takdir menemukan mereka atas jodoh keluarga. Ashraff akur sedangkan Edryna tidak suka. Dia ada sebab kenapa dia tidak boleh terima Ashraff. Dia punya sejarah hitam dengan lelaki. Padanya semua lelaki (kecuali abang dan ayahnya) adalah manusia yang tidak boleh dipercayai!

Berjayakah Ashraff menghapuskan bayangan 'lelaki jahat' yang dilabelkan oleh Edryna? Bahagiakah mereka bila di hati masih ada rasa lain selain rasa cinta? Mampukah Ashraff menawan hati Edryna yang terkenal dengan barannya bila berhadapan dengan lelaki yang namanya seakan nama lelaki yang dia dendam itu?

Mungkin ada yang beranggapan yang Si Mangkuk Tingkat ini sebuah lagi naskhah yang mengangkat isu 'kahwin paksa’ di mana akhirnya pasangan tersebut jatuh cinta dan hidup bahagia. YA, tidak dinafikan itulah antara apa yang berlaku. TAPI yang membuatkan saya sukakan karya ini, bagaimana penulis mengolah cerita klise sebegitu menjadi menarik pada pembacaan sayalah.

Pada saya ini bukanlah kisah si hero dan heroin yang di'paksa' kahwin oleh ahli keluarga mereka. Mereka diberi peluang bertemu sebelum ikatan dimeterai. Mereka diberi sepenuh kebebasan untuk membuat keputusan. Apa yang mengikat saya untuk baca dan terus baca naskhah ini adalah insiden-insiden yang berlaku di antara mereka. Bagaimana Ashraff menangani karenah Edryna yang 'macam-macam'. Sebagaimana sweet talk dan tindak tanduk Ashraff bisa mencairkan hati Edryna yang beku, hati saya cair sama... ahaks!

Saya sukakan 'Ashraff'. Dia tahu apa yang dia inginkan dalam hidupnya. Dia bijak mengawal situasi, dia bijak menangani setiap masalah yang berlaku dalam hubungannya dengan isterinya.

Watak Edryna, di luar rumah dia dilihat sebagai wanita yang tegas dan berkeyakinan tinggi. Di rumah dia seorang anak & adik yang manja. Dan dia neutral dengan suaminya, dia tidak membenci tapi dia masih belum cinta pada suaminya di awal-awal cerita. Tapi dengan kebijaksanaan Ashraff mengambil peluang membuatkan kisah ini menjadi menarik.

Dan saya menoktahkan bacaan ini dengan senyuman yang penuh di pipi. Sayang nak padamkan rasa yang berbunga di hati ini walaupun ceritanya dah habis dibaca... :)

0 rakan yang berkongsi rasa:

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare