Showing posts with label Pingu Toha. Show all posts
Showing posts with label Pingu Toha. Show all posts

May 27, 2011

Tinta

luahan rasa : Wan Amalyn at Friday, May 27, 2011 1 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Nasron Sira Rahim; Syud; Pingu Toha
Halaman : 551
Tahun : Mac 2011
Terbitan : Jemari Seni
Harga: RM21.50 (Sem. M'sia)/RM24.50 (Sabah/Sarawak)
ISBN: 978-967-5118-57-9


Blurb:

Tiga ceritera dalam sebuah TINTA

Ceritera 1 - Wajah Ketiga ~ Nasron Sira Rahim

Hatinya ditusuk rasa sedih, kecewa dan amarah yang tidak berkesudahan. Bagaikan ditusuk sembilu, kebahagiaan mereka menatijahkan luka yang pedih dan mendalam dalam sanubarinya. Keperitan yang terpaksa dia pendam sehingga membuahkan pohon kesengsaraan yang bercambah rendang.

Apakah maksud di sebalik jujukan kod-kod nombor itu?
Mungkinkah dia salah seorang mangsa Pembunuh Obituari?

***

Ceritera 2 - Dia, dalam Ramai... ~ Syud

Ramai orang kata, kadang-kadang, perkara yang paling kita tak jangka itulah yang akan terjadi pada diri kita.

“Sufiy.”
“Ya?”
“Nama saya Ameer.”
“Oh. Jumpa lagi, Ameer.”


Siapa sangka, kan? Siapa sangka orang yang dia sangka hilang atau memang dah tak akan jumpa itu... muncul lagi di hadapan matanya?

***

Ceritera 3 - Ada & Evan ~ Pingu Toha (seperti diceritakan oleh Kiki Abu Zain)

Boleh ke kita hidup pakai hukum ‘and they live happily ever after’?

Ada; yang sudah penat dengan cinta. Evan; yang begitu naif tentang cinta. Mereka cuba disatukan oleh ‘janji tadika’ abah dan ibu. Mereka bertemu di ruang maya. Di realiti, mereka mencari. Demi ‘Katakan Tidak kepada Kahwin Paksa’, mereka berjanji.

Lalu, yang mengikat mereka itu apa? Janji atau cinta?

~~***~~***~~***~~


Rasa Saya

Salah satu kriteria yang saya gunapakai ketika membuat pemilihan novel untuk dibaca di kala masa luang yang terhad adalah novel kompilasi. Selain durasi ceritanya yang pendek berbanding novel biasa, saya juga boleh habiskan bacaan hanya dengan sekali baca untuk setiap cerita. Andai kata masa memang tidak mengizinkan, saya boleh saja menyambung bacaan saya (cerita yang seterusnya) di hari dan waktu yang lain tanpa rasa teringat-ingat bagaimana kesudahan kisah tersebut. Dan salah satu kompilasi novel yang telah berjaya saya habiskan adalah Tinta.

TINTA memuatkan tiga cerita pendek dalam tiga genre berbeza daripada tiga penulis berbakat yang melahirkan tiga ‘rasa’ yang berlainan. Nasron Sira Rahim, Syud dan Pingu Toha adalah kolaborasi hebat yang menjadikan Tinta sebuah naskhah yang amat menarik pada saya.

Nasron Sira Rahim yang terkenal dengan genre suspen thriller, kali ini menerusi Wajah Ketiga membawa kita selangkah mendekati pembunuh bersiri yang dikenali sebagai Pembunuh Obituari (sila rujuk novel Nama Atas Kertas) bersama-sama dengan Inspektor Ridzuan daripada Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut.

Misteri bermula apabila Inspektor Ridzuan menerima panggilan telefon berkenaan dengan seorang mangsa ditemui mati di sebuah banglo terasing di Mentakab. Mangsa dipercayai dibunuh dengan cara ditikam ditengah leher hingga membawa maut dan si pelaku ini telah meninggalkan teka-teki yang berupa jujukan huruf yang dimasukkan ke dalam mulut mangsa sebagai klu.

Pembunuhan kejam lagi misteri ini telah disyaki dilakukan oleh Pembunuh Obituari berdasarkan modus operandi yang mirip kepada pembunuhan bersiri yang berlaku di Kedah. Dengan bantuan Inspektor Faiz daripada Unit Siasatan Kes Pembunuhan dari Ibu Pejabat Polis Kontigen Kedah, mereka cuba merungkai misteri dan sekaligus mendedahkan siapakah si pelaku yang kejam ini.

Berjayakah pihak polis menyelesaikan siri pembunuhan ini? Atau akan ada lagikah mangsa yang menjadi korban? Dan benarkah pembunuh yang membunuh mangsa di Mentakab adalah orang yang sama yang diburu oleh Inspektor Faiz? Atau ada manusia lain yang taksub dengan Pembunuh Orbituari dan menjadi pembunuh ‘copycat’ bagi mengelirukan lagi pihak polis?

Ingin bersama membongkar identiti si pembunuh sebenarnya? Jomlah bersama-sama membaca karya Nasron Sira Rahim ini, mungkin anda yang bijaksana akan berjaya membantu Inspektor Ridzuan dan Inspektor Faiz mencari jawapannya.

Fuhhh lega! Itulah yang saya rasa usai membaca naskhah ini. Walaupun masih ada misteri yang belum terungkai, tapi penulis bijak memaku saya untuk membaca naskhah ini hingga ke penamatnya. Kebolehan penulis mengatur ayat memberi deskripsi tentang keadaan mayat yang dibunuh benar-benar membuatkan saya ngeri untuk membayangkannya.

Selain daripada itu, penulis juga berjaya menyelitkan sifat ‘manusia biasa’ ke dalam diri seorang ‘Inspektor’. Masalah rumahtangga yang dihadapi oleh Inspektor Ridzuan sedikit sebanyak menjejaskan kreadibilitinya sebagai ‘insan penyelamat’ menunjukkan bahawa inspektor polis juga manusia biasa yang tidak dapat lari daripada ujian. Ya, anggota polis juga manusia biasa, bukan manusia kebal yang tidak ‘lut’ dengan masalah walaupun menyarung baju kalis peluru!

Saya bukanlah dalam kategori peminat tegar kisah pembunuhan bersiri atau yang seangkatan dengannya, tetapi naskhah ini telah berjaya memaku saya untuk membaca hingga ke noktah terakhir walaupun terpaksa mengusung rasa debar dan gerun sepanjang saya menekuni naskhah ini. Tahniah pada penulis! Anda benar-benar membuatkan saya jadi suspen!

Dia dalam Ramai karya Syud pula meneutralkan rasa gerun dan suspen tatkala membaca Wajah Ketiga. Menekuni karya Syud ini, melahirkan rasa damai aje di hati. Membuatkan saya tidak mampu menyembunyikan senyum di bibir. *masih tersenyum-senyum sambil menaip :)*

Sebagaimana Syud yang selesa menulis sesuatu yang dekat dengan dirinya, begitu juga saya yang selesa membaca karya Syud yang biasa-biasa ini pada sesetengah pembaca, tapi luar biasa pada saya. Saya selesa membaca sesuatu yang boleh saya bayangkan di minda, bagaikan membaca dan ‘melihat’ seiring dibenak saya. Sesuatu yang ‘imaginasi’ tidak mustahil berlaku di alam nyata, ya dak? Sesuatu yang mampu saya letakkan diri saya dalam setiap situasi yang berlaku. Itulah yang saya suka pabila membaca setiap karya-karya Syud. Saya menjadi sebahagian daripada 'watak' dalam cereka ini!

Syud masih lagi menjadikan Johor, atau lebih tepatnya Johor Bahru dan Kota Tinggi sebagai latar cerita menjadikan Dia dalam Ramai ini ‘hidup’. Dan mungkin kerana Syud juga berasal dari sana, saya tidak dapat membuang gambaran Syud sebagai Sufiy Suraiya dari benak saya. Dan mengenali peribadi si penulis ini, menguatkan lagi gambaran saya terhadap watak Sufiy ini. Dan ianya sangatlah ‘sweet’ okeeeyyy!! Pada sayalah! Mungkin tidak pada kalian.

Sebagaimana Sufiy Suraiya rasa suka pada seseorang di saat mata terpandang akan kelibat si dia buat pertama kalinya, sebagaimana si dia menjadi sebahagian daripada dorongan untuk Sufiy Suraiya melangkah ke pejabat setiap hari tertentu, begitulah apa yang saya rasa ketika membaca naskhah ini. Perasaan ‘suka’ (belum lagi cinta) itu saya turut sama rasainya. Saya bagaikan ter'nampak' bagaimana Sufiy Suraiya bertingkah. (hehehe kalut + gelabah + berlagak sok ayu! itulah reaksinya)

Dia dalam Ramai berkisah tentang Sufiy Suraiya yang masih terkenang akan si dia yang tidak dia kenali. Bahkan si dia yang dia hanya ingat pada segaris senyumannya. Selepas hampir empat tahun berlalu dan dia hampir ‘hilang’ kelibat si dia di hatinya, takdir menemukan mereka. Alahai si dia yang dia cari selama ini rupa-rupanya adalah anak jiran sebelah rumah di Kota Tinggi; kampung halamannya, 'geng' pula dengan adik-adiknya.

Dia dalam Ramai tentang Fadli Ameerudin; Ameer yang tertarik pada si dia yang digelar Phantom oleh si Azril rakan baiknya lantaran dia tiada klu akan siapa dan bagaimana wajah si dia yang boleh dia gambarkan pada teman-temannya. Yang dia ingat (sangat) hanyalah pada 'her super clear eyes'; pada sepasang matanya yang jernih yang terus mengikat hatinya selama beberapa tahun ini.

Tatkala takdir menemukan mereka, nasib pula seakan tidak menyebelahi Ameer. Berita yang dibawa oleh ibunya tentang rombongan 'peminangan' si gadis sampai ke telinganya membuatkan dia hampir nanar.

Benarkah tiada jodoh antara mereka sedangkan dua hati saling berbalas kata walaupun tanpa bicara? Atau takdir sekadar menduga demi menguatkan rasa yang terjalin antara mereka adalah benar bukan ilusi semata? Jawapannya akan terjawab bila anda membaca naskhah ini.

Seperti biasa Syud bijak 'mencipta' ruang dan peluang setiap watak yang digarapnya 'bergerak' mengikut arah angin. Berjalan di atas landasan yang dinamakan takdir. Setiap watak walau sekecil manapun peranannya tetap meninggalkan kesan yang besar pada pembacaan saya. (Bahagian yang paling saya suka; dedikasi lagu, memang membuatkan saya ketawa besar bersama Azril & Farhana!). Saya suka cara Syud mencipta kebetulan yang saya rasakan logik dan tidak nampak keterlaluan yang dibuat-buat. Saya juga sukakan bahasa mainan Syud yang membuatkan pembacaan saya lancar tanpa gangguan.

Usai membaca Dia dalam Ramai, perasaan suka dan saya hanya nak senyummmm sahaja terbawa-bawa ketika saya membaca Ada & Evan karya Pingu Toha.

Pingu Toha pada saya merupakan penulis generasi muda yang memperkenalkan genre ‘indie’ kepada kelompok pembaca (muda) yang dahagakan kelainan. Sebagaimana saya ‘jatuh cinta’ kali pertama (kepada karya penulis) ketika membaca L.U.V.E. diikuti 1 4 3, rasa suka yang sama bahkan mungkin makin menggebu pada penulis ini membuatkan saya jadi ‘buta’. Tetap juga jatuh cinta! Bukankah pujangga pernah menyatakan ‘Cinta itukan Buta’? Jadi jangan salahkan saya andai rasa cinta itu tetap saya bawa bersama saya! Ada & Evan garapan Pingu Toha ini menyerlahkan idea bernas, segar lagi bertenaga si penulis membuatkan rasa suka saya berganda-ganda. hehehe *jiwang!*

Ada dan Evan adalah tentang anak muda yang dipasangkan oleh orang tua mereka lantaran cinta zaman tadika mereka (si ibu dan si abah) tidak kesampaian. Demi merealisasikan impian ‘janji tadika’ ibu bapa mereka, anak-anaklah yang akan menjayakannya.

Menerusi email mereka ‘bertemu’ atau istilah anak-anak muda sekarang berdating. Dan apa yang uniknya mereka tidak pernah bersua muka di alam nyata (atau mereka mungkin pernah bertemu tetapi tidak mengenali satu sama lain). Melalui email mereka berbalas kata, berhujah bicara menyampaikan rasa tidak puas dihati atas tindakan orang tua mereka. Melancarkan misi ‘Katakan Tidak kepada Kahwin Paksa’.

Rutin berbalas email, menjadi medan mereka meluahkan isi hati tentang hal-hal yang berlaku di seputar mereka, Ada; yang masih menyimpan rasa ralat pada mantan kekasih-kekasihnya, Evan; yang masih mencari arah dan hala tuju hidup berpasangan. Juga jadi landasan untuk mereka saling memberi dorongan dan galakan atas hal-hal yang tidak beres antara pasangan dan hidup masing-masing. Melalui email juga mereka saling meluah rasa apa yang mereka suka dan apa yang tidak mereka sukai. Pendek kata menerusi email mereka bersahabat.

Tapi sampai bila? Hatta makanan dalam tin pun ada tarikh luputnya, apatah lagi hubungan yang berlandaskan kemahuan keluarga. Sampai masa, pastinya keputusan mereka akan ditagih oleh kedua orang tua mereka. Dan hanya YA atau TIDAK pada ikatan yang diaturkan menjadi jawapannya. Tapi bolehkah mereka menerima diri masing-masing bila awal-awal lagi mereka telah lancarkan misi ‘Katakan Tidak Pada Kahwin Paksa’ ini yang secara simboliknya adalah TIDAK pada sebarang ikatan yang mungkin akan terjalin antara mereka? Sekali lagi, jawapannya ada dalam naskhah ini.

Pingu Toha, seperti biasa dengan idea 'gila-gila'nya itu memang mencuri hati saya. Saya tidak terfikir bagaimana berbalas-balas email meluahkan begitu-begini tentang itu-ini benar-benar superb! Boleh dijadikan 'bahan' untuk menggarap sesebuah cerita cereka. Apa itu begitu-begini, itu-ini ini? Anda baca sendiri kalau ingin tahu! hehehe

Pendek kata suspen thriller bergabung dengan kisah yang santai diiringi dengan idea segar bernas ketiga-tiga penulis ini menjadikan TINTA sebuah naskhah yang sarat dengan pelbagai rasa dan diserikan dengan 'warna-warni' kehidupan. Daripada siri pembunuhan yang kejam lagi tidak berperikemanusiaan kepada persoalan jodoh dan pertemuan yang adakalanya berliku sebelum tiba ke garisan penamat yang dinamakan takdir menjadikan naskhah ini cukup rencahnya.

Apa-apapun saya sangat berpuashati dengan naskhah ini. Saya tidak kisah andai kalian tidak sependapat dengan saya kerana selera masing-masingkan berbeza walaupun secara fizikalnya kita mempunyai warna rambut yang sama! Oh! kecualilah kalian inaikan rambut untuk menampakkan warna perang?! hehehehe

Apa-apapun selamat membaca moga ada manfaatnya buat kalian.

Mar 3, 2010

1 4 3

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, March 03, 2010 0 rakan yang berkongsi rasa

Pengarang : Pingu Toha
Halaman : 521
Tahun : Februari 2010
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00

* * * * * * * * * *


Blurb:

Berapa lama untuk kita jatuh cinta?
Boleh jadi dalam tiga hari, mungkin?

Berapa lama untuk kita kenal cinta?
Perlukah empat bulan?

Berapa lama untuk kita jatuh cinta kembali...
dan kembali kepada cinta?
Cukupkah setahun?

Dan ini cerita tentang...

The Duyong. The Sleeping Beauty. The Rapunzel.
The Lovelorn. The Penunggu. The Hitam Manis.

Ini bukan cerita dongeng. Ini bukan cerita pelik. Ini bukan lagi mimpi. Ini sebuah cerita cinta.

1
Sekarang.... Satu tahun selepas L.U.V.E.

Cerita Cinta Biasa
Tentang Uth dan Lana.... Lisa dan Haikal.


4
Empat bulan darinya. Dulu.

EXs
Tentang Elina dan Kéri.


3
Ke masa depan, dalam tiga hari…

Merah Biru Violet
Tentang Vee dan Bucks. Dan Rose.

Inilah cerita biasa yang mengocakkan emosi merah dan biru menjadi warna pelangi cinta ungu. Tiga belahan jiwa yang dipisahkan waktu, jarak dan diri sendiri, dan akhirnya yang menemukan mereka ialah ‘cinta’.


* * *

Selepas L.U.V.E... lihatlah bagaimana PINGU TOHA menamatkan cinta mereka dengan sebuah happy ending... berserta ucap ‘I love you’, akhirnya.

* * *

Resensi aku:

143, seperti kata blurb, adalah kisah cinta indah titipan daripada-Nya. Benar! Rasa cinta itu hadir dalam pelbagai cara, di mana jua. Bila rasa cinta mula menyapa di dada, segalanya pasti akan menjadi indah belaka. Sebaliknya cinta juga bisa merubah yang bahagia jadi derita!

143 adalah rentetan tiga cerita yang indah, diadun cantik menjadikan sebuah kisah yang menarik untuk dihadam.

Cerita pertama: Cerita Cinta Biasa
Kisah tentang kesinambungan konflik hubungan Uthman Huzir (Uth) & Lana Angrainny (Lana) daripada novel L.U.V.E. Kisah bagaimana sukarnya seorang Uth untuk meluahkan rasa cintanya pada Lana. Menanti Uth meluahkan rahsia hatinya, aku bagaikan menanti jongkong emas keluar daripada mulut Uth. Payahnya Uth untuk berkata-kata, terasa bagaikan aku ingin hempuk-hempuk aje kepala si Uth! Kenapalah sukarnya nak melafazkan kata I Love You Lana! Kan mudah tu?

Hingga akhirnya muncul orang ketiga -Haikal- yang sangat berterus terang tentang hati dan perasaannya pada Lana. Oh! tidak.... bagaimana dengan Uth?? Berputih matakah Uth untuk mendapatkan cinta Lana? Hah! yang ini kamu kena baca sendiri cari jawapannya okey!

Cerita kedua: Exs
Kisah tentang Keri & Elina. Pada sesiapa yang telah membaca L.U.V.E. pasti tahu apa makna 'Exs' ni. Pada yang belum tahu, aku rekomenkan kamu baca dulu L.U.V.E. (tapi kalau tak bacapun tak apa, tidak akan menjejaskan jalan cerita 143 ini dan tidak akan membuatkan kamu sesat jalanpun!)

Dalam 143 ini, Keri dan Elina 'dipertemukan' ketika mereka dalam penerbangan ke Kota London. Penerbangan yang membawa separuh hati mereka –Keri & Elina– yang telah retak (baca: broken heart). Keri dengan cinta yang tak kesampaian dan Elina dengan hati yang kecewa kerana cinta. Namun 8 jam penerbangan mereka, telah membibitkan rasa ‘suka’ (bukan cinta?) Keri pada Elina. Dengan lagak machonya, "Can I fall in love with you?" Keri luahkan pada Elina. Sedangkan Elina yang telah patah hatinya sukar untuk memberikan jawapan... Bagaimana kesudahannya?? baca sendiri okey! hehehe

Cerita ketiga: Merah, Biru Violet
Kisah Bucks yang jatuh cinta pada Vee (Violet) yang 5 tahun lebih tua daripadanya. Bucks yang membuka gerai burger yang diberi nama 'Burgerbucks' ala-ala Starbucks la konon-kononnya (hanya pada nama bukan penampilannya okey! hehehe)

Kisah bermula di suatu malam, ketika hujan turun membasahi bumi, Vee yang kelaparan tetapi malas nak masak (sedangkan dia chef di Cafe Marooned) dan tiada teman untuk membawanya keluar makan, jadi dia ke "Burgerbucks", memesan burger daging tambah cheese, lebihkan mayonis tapi tak mahu sayur. Si Bucks yang sudah terkena panahan si cupid jatuh suka pada Vee, membuatkan dia lupa pada pesanan Vee. Malahan dia lebihkan sayur, yang sememangnya tidak digemari oleh Vee, maka bermulalah 'perang dalam diam' antara Vee dan Bucks. Yang membuatkan Vee jadi jengkel pada Bucks. Ada sahaja yang tak kena di matanya bila melibatkan Bucks. Dan ditakdirkan mereka berjiran tetapi berlainan blok.

Di sini Rose Mawar anak cilik yang sangat 'cute', berusia 6 tahun memainkan peranan menjadi 'orang tengah'. Sebenarnya bukanlah orang tengah seperti telangkai tu, dia sekadar menjadi peneman sama ada pada Bucks mahupun Vee. Apakah kesudahan kisah Vee dan Bucks? Baca sendiri!


* * * *

Aku sebenarnya agak skeptikal dengan cerita yang bersambung ni. Entah lah, agaknya pengalaman lalu banyak mempengaruhi aku bila ingin membaca naskhah yang sudah aku tahu ada chop ‘kesinambungan daripada novel yang terdahulu’.

Pada aku, apabila sesebuah cerita/novel sudah tiba ke penghujungnya, sudah diakhiri dengan ‘noktah’ bermakna itulah penamatnya. Titik. Tidak perlu ada sambungan hanya untuk memanjangkan lagi ‘cerita hero-heroin’. Atau mencipta konflik baru semata-mata untuk jadikan ia satu naskhah ‘bersambung’. Penat tau! Lagipun kalau dah happy ending kenapa harus disambung lagi? Ini yang aku sangat-sangat tak faham. Hey! aku keluarkan duit sendiri tau untuk beli novel. Tak ada orang sponsor pun! sebab itulah aku mahukan sesuatu yang berbaloi untuk setiap sen yang aku keluarkan okey?!

Atau jika penulis ada niat untuk membuat sambungan tentang ‘hero-heroin’, cukup sekadar dengan membuat cameo. Itu lagi menarik pada aku. Ini sekadar pendapat aku sebagai pembaca, sama ada penulis ingin ambil peduli atau sekadar buat tidak tahu, aku tak ada halnya! Tapi sebagai pembaca aku ada hak untuk komen okey?!

TAPI untuk 143 aku harus mengangkat bendera putih, menarik balik kata-kata aku. Aku harus beri ‘tabik spring’ pada Pingu Toha. Well Done Halim... anda telah berjaya mengatakan TIDAK BENAR pada pendapat kak wan!

Usai membaca 143 aku tersenyum puas. Walaupun 143 adalah kesinambungan daripada kisah dalam L.U.V.E. kisah Uth & Lana, tetapi Pingu Toha telah berjaya mengikat aku untuk membaca dan menikmati kesudahan kisah cinta Uth dan Lana hingga ke noktah terakhir.

Sebagaimana L.U.V.E. yang telah menawan seluruh rasa suka aku dengan sentuhan majis penulis bernama Pingu Toha ini, aku sekali lagi jatuh cinta dan teruja dengan idea ‘fresh’nya dalam 143 ini. 143 telah berjaya membuatkan jiwa aku kembali bagaikan jiwa anak muda-belia ahaks! Well... aku sangat suka okey!!

Aku sukakan bahasa Pingu Toha. Bahasa yang biasa-biasa tapi ada warna-warninya. Bahasa yang amat mudah untuk dihadam. Bahkan Pingu juga berjaya mewarnakan setiap watak dengan adunan warna-warna merah biru menjadi warna pelangi cinta ungu bak kata blurb. Menjadi warna indah penuh warna warni untuk setiap watak rekaannya.

Bukan sekadar Uth, Lana, Keri, Elina, Vee & Bucks yang ‘memegang’ watak utama yang menjadi tunjang kekuatan 143 tetapi aku juga harus memberi kredit untuk ‘pelakon pembantu’ seperti Lisa Seriyanti, Haikal, Abang Diktator (Director), Raden, Suraya, Dayang, Teja juga si kecil Rose Mawar yang sangat comel dan keletah dalam bayanganku.

Pendek kata setiap watak yang dicipta memainkan peranan sama rata, menjadikan 143 sangat hidup, cantik dan sempurna (pada skala aku lah!). Menjadi pelengkap yang melengkapkan watak-watak utama. Menjadi perencah yang mencukupkan rasa pada setiap 'hidangan' yang melibatkan watak-watak utamanya.

Aku juga sukakan idea penulis menggarap 3 cerita sisipan yang saling berkait menghasilkan satu mainframe cerita yang lengkap, cantik dan sempurna. Menatap naskhah garapan Pingu Toha kali ini, aku bagaikan dibawa 'menonton' pementasan drama (terutamanya untuk Cerita 1: Cerita Cinta Biasa). Setiap watak bagaikan hidup dilayar minda. Bergerak bagaikan sang pelakun sedang melakunkan watak-wataknya di dada kertas. Berkisah tentang perjalanan 'cinta' mereka dalam pelbagai warna.

Aku juga sukakan kulit novel 143. Comel! Secomel ceritanya kalaulah boleh aku katakan begitu! Dan tajuknya... 1 4 3. Unik. Pada mulanya aku tertanya-tanya juga, apa signifikannya 1 4 3 itu? Selama aku bergelumang dengan dunia novel, mana ada tajuk novel '143'? Cuba kalian beritahu, pernah tak kalian jumpa novel yang menggunakan angka sebagai judulnya? Manalah tahu kalau aku terlepas pandang? Rasanya hanya JS sahaja yang berani mengambil risiko menggunakan judul yang pelik-pelik tapi cute! Ops! bukan pelik tapi unik! Itu yang sebetulnya. Jadi apa maknanya 143? Jawapannya ada pada kulit novel. (homework untuk kamu)

Menatap karya Pingu kali ini, aku teringin nak rekomen pada sesiapa yang berani mencuba sesuatu benda atau membuat perkara yang baharu, yang adventure, cubalah baca karya Pingu ini. Tak salahkan cuba? Cuma apa yang boleh aku andaikan, jika dewasa ini genre muzik indie menjadi kegilaan anak-anak muda sekarang, mungkin boleh aku labelkan karya Pingu Toha kali ini sebagai karya indie versi novel... boleh???

P/S: Dalam 143 ni ada watak tempelan Wan Amyleen... & tiba-tiba aku ‘ter’perasan jap! hahahahahahaha...




Salam sayang,

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare