Mar 14, 2012

Transit Cinta

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, March 14, 2012
Penulis : Iqbal Syarie
Terbitan : JS Adiwarna
Tahun : 2012
Halaman :


Transit Cinta merupakan karya kedua penulis Iqbal Syarie bersama JS Adiwarna dan naskhah pertama yang saya baca walaupun novel pertama beliau Dia Yang Kunikahi (juga terbitan JS Adiwarna) lebih dulu saya miliki.

Saya ada satu perangai buruk yang tak boleh nak ubah, suka intai helaian-helaian akhir sesebuah novel sebelum memulakan pembacaan. Ya, saya suka main ngelat (jangan tiru tau!) Bukan apa, saya tidak suka mengusung rasa debar yang mengoncang dada hingga membuatkan saya hilang rasa aman! Saya lebih suka tahu penamatnya dan dari situ saya menghimpun rasa ingin tahu bagaimana penulis membawa kita tiba ke garisan penamatnya. Itu lebih membuatkan pembacaan saya aman aje. YA, lain pembaca lain caranya kan?

Jadi, itulah antara sebabnya kenapa Dia Yang Kunikahi belum lagi saya baca. Saya ingin mengumpul kekuatan diri untuk mengadap naskhah yang telah membuatkan hati saya jadi 'ngilu' (membaca ending)

Ok berbalik kepada Transit Cinta ini, ia berkisah tentang Akiff Firdaus. Dia hilang seluruh ahli keluarganya dalam sekelip mata. Bahkan dia hampir hilang pedoman juga. Namun berkat dorongan dan sokongan keluarga arwah ibunya, terutamanya Tok Ayah, Nenek, keluarga Pak Ngah & Paksu Man, dia bangkit. Dia bukan keseorangan. Dia masih punya keluarga yang menyayangi dan ambil berat tentangnya.

Kemalangan yang meragut nyawa seluruh ahli keluarganya dalam nahas kapal terbang tidak meleburkan impiannya untuk menjadi seorang Jurutera Penyelenggaraan Kapal Terbang. Malah menjadi pemangkin untuk dia mendalami bidang yang bersangkutan dengan kerjaya arwah ayahnya, Kapten Khairul Zaman, Juruterbang syarikat Swiftliner.

Di Kolej Penyelenggaraan Pesawat (KPP), dia menemui jati dirinya. Dia belajar mengenal erti sebuah 'perjuangan'. Berjuang untuk kebaikan di dunia di samping kecemerlangan untuk akhiratnya. Namun dia alpa, kerana kelancangan mulutnya dia hilang 'si dia'. 'Dia' yang dia sayang dan simpan rasa cinta dalam diam itu.

Kisah tentang Puteri Nur Diana yang berubah total. Daripada seorang gadis yang bertudung litup, yang menjaga bualannya, yang menjaga sahsiahnya, yang menjaga pekertinya, yang dahulunya seorang naqibah yang mendidik dan berkongsi pandang tentang islam, boleh berubah menjadi gadis yang melupakan tudung labuhnya, jadi gadis yang melupakan akhlak indahnya. Ya, dia berubah bagaikan matahari yang sedang menelan cahaya.

Dia ada sebab kenapa dia berubah. Ekoran tragedi berdarah yang berlaku pada keluarganya dia hilang arah. Dia hilang pedoman. Bahkan dia berputus asa dengan Tuhan! Namun Dia tidak pernah tinggalkan mereka yang alpa. Berjayakah Diana mencari jati diri yang hilang itu? Atau selamanya dia sesat dalam pencariannya?

Usai membaca naskhah ini apa yang boleh saya katakan... saya hilang kata-kata untuk sebuah naskhah yang sangat indah ini. Naskhah garapan Iqbal Syarie ini penuh pengisian. Sangat berilmu dan sarat dengan tazkirah-tazkirah yang diselitkan dengan cara dan situasi yang penuh berhemah. Saya membaca tanpa rasa diri di'ceramah'kan tapi inputnya menusuk terus ke hati saya. Di sebalik 'drama' yang dipaparkan ada ilmu yang diselitkan.

Saya sukakan bahasa penulis! Wah siapa sangka ya, bahasa 'Doktor' Kapal Terbang ini puitis dan memikat hati (saya lah tu!) juga. =) Dan siapa sangka penulis ini mampu bercerita dalam 'nada' yang romantik juga ya... hehehehe Kesudahan yang membuatkan saya mengulum senyum tanda suka.

Buat penulis, syabas dan tahniah! Sesungguhnya tujuan anda menulis novel untuk menyampaikan suara kepada semua sudah berjaya. Walaupun mungkin hanya pada saya seorang. YA, ianya sampai terus ke dasar hati saya yang terdalam. Tapi tak mustahil ada pembaca lain juga yang akan terkesan dengan naskhah yang indah lagi molek ini. Betul tak?

Bacalah moga bermanfaat untuk anda juga...



0 rakan yang berkongsi rasa:

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare