Feb 29, 2012

Beruno

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, February 29, 2012 0 rakan yang berkongsi rasa
Penulis : Dihsar Ludba Haqifa
Terbitan : JS Adiwarna (BOM)
Tahun : 2100
Halaman : 147
Harga : RM14.00


Sebab utama saya baca buku ini adalah kerana ia nipis. *senyum* Selain daripada itu, sebagai 'saringan' sebelum buku ini saya serahkan kepada anakanda saya, Aysha. Oh! ya, Beruno adalah buku 'BOM' terbitan JS Adiwarna ya.

Apa yang boleh saya katakan, membaca buku ini saya bagaikan membaca buku bahasa inggeris yang dialihbahasakan ke dalam versi bahasa malaysia.

Saya tidak mengharapkan sesuatu yang 'WOW' ketika mula-mula naskhah ini saya baca memandangkan buku ini adalah buku untuk kanak-kanak. Tapi daripada ayat ke ayat, helaian ke helaian, bab ke bab, hey, buku ini menariklah! Sebuah kisah misteri yang ada unsur-unsur seram.

Kisah tentang keluarga Ismi yang terdiri daripada Velodia isterinya dan Kiko anak mereka yang berusia 7 tahun. Mereka berpindah dari bandar ke Beruno atas sebab-sebab tertentu yang hanya Ismi sahaja yang tahu. Beruno adalah sebuah perkampungan yang dahulunya ceria dan riuh rendah, tapi kini segalanya berubah. Bukan sekadar sunyi sepi, malah penduduknya juga semakin berkurangan dari hari ke sehari.

Apa yang sudah berlaku pada Beruno?
Ke mana pergi semua penduduk Beruno?
Siapa pula yang menjemput Ismi ke Beruno?
DAN... benarkah, di Beruno orang makan orang?


Ya, persoalan-persoalan inilah yang tertulis di blurb yang mengikat saya untuk membaca naskhah ini demi mencari jawapannya.

DAN saya memang terhibur! :)


Feb 27, 2012

Kenangan Terindah

luahan rasa : Wan Amalyn at Monday, February 27, 2012 0 rakan yang berkongsi rasa
Penulis : Hezzy Azra
Terbitan : Alaf 21
Tahun : 2008
Halaman : 484
Harga : RM19.90


Selepas tertarik dengan bahasa dan cerita garapan Hezzy Azra dalam Aku Pilih Dia, Kenangan Terindah adalah naskhah ketiga yang saya baca selepas Cinta Tak Beralih.

Kisah tentang Marisa dan Ridzwan pasangan bercinta ketika mereka di Kolej (KDU). Pemergian Ridzwan ke luar negara bagi menyambung pelajaran menjarakkan hubungan kasih mereka. Lamaran Ridzwan sebelum berangkat ke luar negara ditolak oleh Marisa atas alasan belum bersedia bergelar isteri di usia 20 tahun walaupun dia sangat menyintai Ridzwan. Ridzwan kecewa. Kehadiran Regina, si gadis Sabah yang saban hari mendampingi Ridzwan menjarakkan lagi kasih antara mereka. Dan pernikahan Ridzwan – Gina menoktahkan hubungan cinta mereka.

Marisa merana. Namun di sebalik kecewa bercinta, dia berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya. Kematian ayah Marisa meletakkan Marisa dalam keadaan yang parah. Sudahlah kehilangan ayah tempat bergantung, Ridzwan lelaki yang diharapkan untuk berdampingan dengannya juga pergi meninggalkannya. Sebagai sahabat baik, Akmal sedaya upaya meniupkan semangat juang Marisa yang harus tabah demi ibu dan adiknya serta meneruskan legasi syarikat pembinaan yang diusahakan oleh arwah ayahnya. Sebagai peneraju muda syarikat dia harus berdepan dengan cabaran dan dugaan. Kreadibilitinya sebagai Pengarah Muda dipertikai dan diperlecehkan oleh sebahagian pekerjanya.

Akmal dijadikan sandaran dan sumber kekuatan Marisa di saat-saat dia perlukan semangat. Daripada sayang seorang sahabat, perasaan kasih mula bercambah di hati mereka. Ikatan yang terjalin di antara mereka penuh dugaan. Godaan Datuk Johari, saman Megat Iskandar, serta kembalinya Ridzwan menagih kasih Marisa bukanlah alasan untuk Akmal berundur walaupun adakalanya hatinya mula goyah.

Bahagiakah mereka? Bagaimana kesudahannya kisah kasih Ridzwan dan Regina?

Sebagaimana naskhah Hezzy yang terdahulu, Kenangan Terindah masih lagi berjaya membuatkan saya membaca naskhah ini hingga ke noktah yang terakhir. Saya membaca naskhah ini dengan pelbagai rasa yang teradun di jiwa. Bagi saya penulis berjaya memotretkan setiap watak dengan berkesan.

Marisa, dalam lemah lembutnya ada sikap tegasnya. Ridzwan, dalam ‘gentleman’nya ada panas baran dan tidak sabarnya. Akmal, dalam sikap memahaminya ada sifat cemburunya. Pendek kata setiap watak memberikan impak dan variasi yang berbeza dalam pembacaan saya.

Kenangan Terindah, adalah kenangan pahit manis, suka duka yang terpahat di jiwa mereka – Marisa, Ridzwan dan Akmal – sepanjang jalan menuju bahagia. Adakalanya apa yang berlaku tidak terjadi sebagaimana yang dirancang. Sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik!

Saya jadi tidak sabar untuk menantikan naskhah terbaharu daripada penulis ini...


Feb 19, 2012

Bersatu Dalam Cinta

luahan rasa : Wan Amalyn at Sunday, February 19, 2012 2 rakan yang berkongsi rasa
Penulis : Azra Aryriesa
Terbitan : Buku Prima
Tahun Terbitan : 2012
Harga : RM25.90


Bersatu Dalam Cinta, kisah tentang suka duka, tawa tangis 3 sahabat baik dalam menghadapi kisah cinta yang penuh pancaroba.

Damia Karmila & Dania Kamilia adalah saudara susuan yang juga saudara sepupu yang mempunyai wajah yang seiras. Ikatan mereka bagaikan isi dengan kuku. Mempunyai wajah seiras tidak bermakna mereka mempunyai perangai yang sama. Tingkah mereka berbeza bagai langit dengan bumi.

Kamilia yang meninggal akibat kemalangan telah merubah perjalanan hidup Isma Zulkarnain suaminya dan menginggalkan misteri pada Damia untuk dirungkaikan. Selepas 8 tahun pemergian arwah Kamilia, Damia yang telah berjaya menjadi peguam, dan kembali ke tanah air telah membuka semula dan menyiasat kes tentang kematian arwah Kamilia yang baginya sangat misteri. Atas bantuan Abang Zairi dan Yusri teman Zairi yang juga Inspektor polis memudahkan kerja-kerja penyiasatan. Selaku bekas suami, Isma sering berhubungan dengan Damia atas alasan ingin mengetahui perkembangan kes kematian arwah isterinya. Perhubungan yang membuahkan bibit-bibit rasa di hati masing-masing. Benarkah Isma jatuh cinta pada Damia hanya kerana wajah Damia yang mirip wajah isteri yang amat dicintainya?

Lailatul Wafi – kehilangan orang-orang tersayang dalam jangka waktu yang singkat telah merubah seorang Wafi menjadi seorang yang pendiam. Kehilangan suami tercinta di hari pernikahannya, kematian ayahnya akibat terkejut dengan berita kehilangan Azam dan pemergian ibunya mengikut jejak arwah Azam, dan ayahnya beberapa hari kemudian telah mengheret Wafi ke dunia yang kelam lagi suram. Atas ihsan ibubapa mertuanya dia dibawa ke luar negeri.

Selepas 10 tahun di perantauan mereka kembali ke Malaysia. Namun igauan pahit semalam tidak dapat dihilangkan dari kotak ingatannya. Kehadiran Faris jiran sebelah rumah yang jatuh cinta pandang pertama padanya tidak berjaya membuka pintu hatinya yang terkunci rapat. Namun usaha tanpa kenal putus asa, serta bantuan ahli keluarga kedua-dua pihak demi melihat Wafi kembali senyum sedikit sebanyak telah berjaya menyentuh hati Wafi. Berjayakah Faris menakluki hati Wafi yang terkenal keras lagi beku itu??

Alia dan Ainul pasangan muda yang berkahwin atas dasar cinta. Siapa kata berkahwin atas dasar cinta akan bertahan selama-lamanya? Sikap ego dan cemburu buta telah meleraikan ikatan pernikahan mereka setelah hampir setahun hidup bersama. Pantang bersua, pasti disulami dengan pertengkaran demi pertengkaran. Pelbagai cara dilakukan oleh kedua-dua keluarga demi menyatukan kembali cinta Alia dan Ainul. Namun sering kalinya gagal.

Kini setelah lebih 8 tahun mereka hidup menjanda dan menduda, hadir Ruzana dalam hidup Ainul dan Razman dalam hidup Alia. Perhubungan dengan kenalan baru ini sedikit sebanyak telah menimbulkan rasa tidak senang di hati Alia dan Ainul. Hinggalah ke peringkat mereka merancang untuk menamatkan zaman janda dan duda, namun ada rasa lain yang mengganggu mereka. Baik Alia mahupun Ainul seakan tidak rela melepaskan rasa cinta yang masih bersisa di hati mereka tetapi kerana ego, mereka sukar melafazkannya. Bagaimana kesudahannya kisah cinta mereka?

Naskhah setebal 677 mukasurat ini sangat melelahkan saya untuk menamatkannya. Bukanlah tidak menarik, menarik! Penulis ada idea yang ingin diketengahkan. Namun saya rasa terlalu banyak ’campurtangan penulis’ dalam cerita ini. Isma-Ainul- Faris 3 sahabat baik yang jatuh cinta pada Damia-Alia-Wafi yang bersahabat. Jalinan yang berlaku dalam hidup mereka bagaikan diatur ’takdir’nya. Damia, Kamilia & Wafi sahabat baik sedari kecil. Mereka terpisah apabila Damia melanjutkan pelajaran ke luar negara. Damia & Alia pula bersahabat baik ketika di universiti. Selanjutnya anda baca sendirilah... hehehe

Selain daripada itu, tempoh 8 tahun perceraian antara Alia dan Ainul, agak ’lama’ bagi saya untuk disimpan rasa ego dan sakit hati itu. Rasanya segala rasa yang terbuku dihati bisa hilang dalam jangkamasa selama itu. Jika tidak hilang sekalipun, sedikit sebanyak rasa itu bisa berkurang dan mereka seharusnya dapat terima hakikatnya. Tapi dalam naskhah ini, tempoh 8 tahun masih belum mampu menghilangkan rasa sakit hati kedua-dua mereka. Mereka bertingkah dan berperang mulut bagaikan ianya berlaku dalam tempoh sebulan dan paling lamapun saya bagi tempoh setahun. Tapi tak tahulah pendapat orang lain... mungkin saya salah sebab saya bukan berada dalam 'kasut' mereka. =)

Selain daripada itu, pengulangan ayat yang sama walaupun di’lafaz’kan oleh orang yang berlainan, membuatkan pembacaan saya sedikit terganggu dan membosankan. Pada saya cukup sekali dikisahkan tentang sesuatu perkara/benda saya pasti pembaca akan maklum. Jangan meletakkan 'andaian' bahawa pembaca tidak faham jadi harus diulang berkali-kali. Dengan kata lain, jangan perbodohkan pembaca.

Walau bagaimanapun masih ada nilai komersial dan unsur suspen yang mengikat saya untuk terus membaca dan mengetahui kisah yang berlaku pada mereka hingga ke penamatnya.

Selamat membaca, moga bermanfaat untuk anda.

Feb 15, 2012

Srikandi Vs Arjuna

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, February 15, 2012 1 rakan yang berkongsi rasa
Penulis : Izza Aripin
Terbitan : Alaf 21


Apa yang saya suka pada karya-karya Izza adalah pada watak heroinnya yang 'gagah' hehehe. Jangan silap tafsir pula, gagah di sini bukanlah yang bermaksud gagah yang tidak senonoh, tapi gagah pada pendirian dan tindak tanduknya.

Saya suka pada watak wanita yang tidak terlalu bergantung pada lelaki! Ya, pastinya kita harus taat pada suami (yang dah bersuami laa), tapi setakat mana ketaatan kita bergantung kepada sejauh mana mereka (lelaki) menjalankan tanggungjawab mereka terhadap kita kaum isteri. Selagi mereka tidak mendatangkan memudaratan pada kita kaum wanita yang 'lemah' ini, ya saya akan taat setia hingga ke hujung nyawa. Saya sudah muak membaca kisah-kisah para isteri yang didera mental dan fizikal tetapi masih 'pasrah' dengan takdir. Pleasee laaa... hehehe dah melalut pula saya.

Berbalik pada novel ini, saya sukakan karya Izza Aripin bersama Alaf 21 ini. Sentuhan majis penulis masih lagi dapat saya rasakan walaupun berlainan penerbitan. Transformasi Ridd – Zarida – Ridd dapat saya terima. Perubahan Ridd yang brutal kepada Zarida yang menurut perintah saya akur sebab musababnya.

Watak heroin yang di awal cerita dipotretkan sebagai seorang gadis yang lincah, teguh berpendirian dan kental sifat juangnya mula berubah apabila dia berkahwin. Watak Zarida yang berubah menjadi 'saya yang menurut perintah' tanpa sebarang bantahan, saya akur situasinya. Ya, dia hanya ingin jadi anak yang menurut kata pada ibu bapanya walaupun dia harus korbankan rasa hati dan pendiriannya.

Namun apabila kedudukan anaknya terancam, dia mampu berubah menjadi wanita yang berjiwa kental walaupun nyawa menjadi galang gantinya. Hidupnya hanyalah untuk anaknya. Saya dapat rasa jiwa dan semangat yang ditiupkan oleh penulis dalam diri Zarida. Saya bagaikan berjuang bersama Zarida untuk menegakkan keadilan demi mencari bahagia dia sendiri.

Watak Zaihan sebagai lelaki pembengis, ego, sombong dan berhati beku, ada alasannya. Kenangan pahit bersama ibunya yang berlaku curang membuatkan dia trauma. Dia meletakkan kesalahan ibunya pada setiap insan yang bergelar wanita. Sementelah sepanjang tempoh pembesarannya dia dikelilingi oleh sosok lelaki - datuk & pakciknya hatta 'pengasuh-pengasuh'nya juga adalah lelaki. Jadi saya tidak salahkan Zaihan bila dia bersikap sedemikian. Namun perkenalan dan sekaligus jatuh cinta pada Zarida telah merubah persepsinya terhadap wanita. Walaupun dia dikeciwakan oleh Zarida, namun dia tidak dapat membenci wanita itu.

Kemunculan Shahrein, lelaki yang ‘nampak’ budiman menjadikan cerita ini lebih variasi. Di awal-awal kemunculannya lagi perasaan tidak suka sudah ada dalam hati saya. Jadi saya agak bias dengan watak Shahrein. Tapi saya ada alasan ya! Saya benci Shahrein kerana dia adalah lelaki berhati binatang yang bertopengkan manusia. Cuma andai dirungkaikan sedikit rahsia kenapa Shahrein seakan membenci anaknya sendiri pastinya lebih menarik.

Bacalah! Moga ada manfaatnya untuk anda juga... :)

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare