Showing posts with label Xarine. Show all posts
Showing posts with label Xarine. Show all posts

Apr 7, 2010

Yuda di Padang Maya

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, April 07, 2010 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Xarine
Halaman : 496
Tahun : Mac 2010
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00

* * * * *

Blurb:

... tiada manusia yang berseorangan ...

Cinta ini menolak hukum alam. Seperti cuba mencampurkan air dengan minyak, mempersahabatkan malaikat dengan syaitan, menyatukan kehidupan dan kematian. Cinta ini cinta yang mustahil.

“Puteri Silfia... kita hamba Tuhan yang sama tetapi dunia kita berbeza...” Azmi merenung mata puteri kayangan di depannya. Di mata Azmi, Silfia amat cantik. Meski bersayap dan bertanduk kecil.

Sampai ke tahap manakah seseorang sanggup berkorban untuk cinta? Sesetengah orang mungkin sanggup kehilangan segala-galanya untuk cinta. Dan mungkin ada yang sanggup merenangi lautan api untuk cinta. Tapi berapa ramai yang sanggup berkelana ke dunia dimensi lain demi cinta?

Untuk cinta Azmi sanggup ke dunia jin! Kerana persahabatan pula tiga siswa USM sanggup ke sana untuk menyelamatkan Azmi dan terperangkap di medan yuda! Tapi bagaimanakah kesudahan perang antara dua bangsa jin itu?

* * *

Sebuah roman percintaan luar biasa, dipersembahkan dengan cara yang tersendiri oleh XARINE!

* * *

Yuda di Padang Maya ini adalah naskhah kedua yang aku baca daripada penulis yang memegang title insinyur bernickname Xarine, selepas Bintang-Bintang Ke Syurga.

Novel ini terbahagi kepada ‘2 buku’ iaitu Buku 1: Alam Manusia dan Buku 2: Alam Jin.

Buku 1: Alam Manusia

Kisah tentang Azmi, seorang anak istimewa, yang hidup dalam dunianya sendiri disebabkan oleh satu keadaan yang tak siapapun tahu. Tak seorangpun sedar (kecuali orang-orang tertentu) bahawa dia ada 'kawan pendamping' yang sering menemaninya setiap masa. Makhluk yang tak dapat dilihat oleh siapapun (kecuali ‘dia’ menampakkan diri). Bapanya pula seorang dukun yang terkenal dengan kebolehan mencari 'benda' yang hilang. Dan semestinyalah segala info diberikan oleh 'sahabat' Azmi.

Hinggalah dia menginjak dewasa dan berjaya melanjutkan pelajarannya ke Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang. Dengan tekad yang baru, Azmi ingin lari daripada 'bayangan' bapanya. Memohon sebagai 'cikgu' dengan harapan dia dapat hidup sebagai manusia yang normal. Tapi, apabila berlakunya satu insiden di depan mata dan dia tidak sampai hati untuk ‘menutup mata’, membuatkan harapannya hanya tinggal harapan.

Ekoran daripada kejadian itu, dia 'berkenalan' dengan 'Balqis' yang memohon bantuannya untuk membantu memulihkan ibunya yang sedang sakit. Sakit akibat perbuatan sihir berbelas tahun yang lalu. Dalam masa yang sama dia berkenalan dengan Riduan, Amsyar & Zamsari senior yang terpaksa menyewa di luar (kampus) dek ketiadaan bilik (kampus) yang kosong. Bilik-bilik yang pastinya prioriti harus diberikan pada pelajar junior (pelajar baru).

Satu demi satu insiden pelik berlaku, bermula dengan perkenalannya dengan 'Balqis' dan keluarganya, berlaku insiden di mana Riduan di'tegur' di rumah sewanya, perkenalan dengan Pak Karim dan pertemuan dengan Arissa yang buta. Semuanya membawa kepada tersingkapnya rahsia yang selama 17 tahun tersembunyi di sebalik 'sakit' Mastura.

Buku 2: Alam Jin

Rentetan daripada niat untuk membantu memulihkan makcik Mastura, ibu 'Balqis', Arissa mencadangkan agar Azmi ke dunia jin. Tapi belum sempat Arissa 'menghantar' Azmi ke sana, Azmi telahpun diculik oleh 'Jin' (jahat). Niat untuk membantu akhirnya Azmi yang harus dibantu. Demi menyelamatkan Azmi daripada terus dikuasai oleh 'roh' jahat, Zamsari, Riduan dan Amsyar dihantar ke sana untuk membawa Azmi dan makcik Mastura pulang ke dunia manusia.

Rupanya misi membawa Azmi & makcik Mastura balik tidak semudah yang disangkakan. Mereka -Riduan, Amsyar & Zamsari- terperangkap dalam kancah peperangan puak jin baik dengan jin jahat yang cuba untuk menghapuskan penganut agama wahyu.

Berjayakan misi mereka, sekaligus kembali ke dunia realiti (manusia) sebagai manusia yang waras? Atau selamanya mereka terperangkap dalam tubuh dan dunia jin? Dan siapa sebenarnya 'Balqis' yang meminta pertolongan daripada Azmi? Dan siapa sebenarnya makhluk yang selama ini menjadi pendamping Azmi? Wah! banyaknya rahsia yang perlu dibongkar!!


Resensiku :

Sememangnya karya terbaharu daripada Xarine ini lain daripada yang lain! Pada mulanya apabila mengetahui bahawa Jemari Seni bakal menerbitkan sebuah novel bergenre ‘Fiksyen’ aku tertanya-tanya juga, bagaimana ya ‘bentuk’nya?

Sebabnya sebagaimana yang umum ketahui, salah satu daripada keutamaan JS adalah...
“karya-karya yang terpilih haruslah mempunyai nilai-nilai moral yang cemerlang... dan karya yang menjadikan Islam sebagai suatu cara hidup menjadi keutamaan di Jemari Seni Publishing”
(petikan dipinjam daripada laman sesawang JS)


Aku membaca Yuda dengan perasaan yang tertanya-tanya. Daripada helaian pertama ke helaian seterusnya. Daripada Buku 1 hingga ke helaian terakhir Buku 2... hey! oklah buku ni...

Yuda merupakan sebuah naskhah yang sarat dengan info/gambaran tentang dunia ‘mistik’ dunia Jin yang kita tidak nampak dengan mata kasar tapi wajib percaya akan kewujudannya. Sebagaimana satu firman Allah "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. (Az-Zariyat : 56)" sebagai bukti sahih wujudnya dunia 'mistik'.

Dalam naskhah kali ini penulis membawa kita pembacanya menjelajah dunia Jin, ‘mengenali’ makhluk yang menghuni ‘dunia di sebelah sana’. Dunia yang agak ‘menyeramkan’ bagi aku. Entahlah mungkin pembaca lain tidak rasa apa-apapun tapi pada aku ia memang membuatkan bulu roma aku meremang bila membaca naskhah ini.

Mungkin faktor membaca di waktu malam yang sudah melewati waktu tidur, bertemankan pekat malam, dengan cerita yang 'sebegitu' yang membuatkan bulu roma aku meremang! Apatah lagi dengan insiden Zamsari 'melihat' makhluk hitam yang menekap di dinding tandas dengan kaki ke atas, kepala di bawah, menjelir-jelir lidah ke dalam mangkuk tandas..... uuuwwaaaaa tak sanggup!!!!

Mungkin disebabkan oleh kelemahan aku yang paling ketara, mudah larut dengan pembacaan. Mudah membayangkan benda-benda yang tak seharusnya aku fikirpun. Inikan sekadar cerita? Rekaan dan fiksyen penulis semata-mata... tapi itulah, susah aku nak pisahkan daripada dunia realiti bila sudah mula membaca... Apatah lagi, bait kata yang tertulis dalam novel itu... 'setiap manusia tidak pernah berseorangan walau sesaat' memang menarik ingatan aku terhadap 'mereka' yang berada di sekeliling aku. Membuatkan aku terbayangkan benda yang bukan-bukan... huhuhu serammm!!!

Cumanya bila memasuki Buku 2 rentak pembacaan aku agak perlahan berbanding dengan Buku 1. Adakah kerana ia genre fiksyen? Aku tak rasa begitu kerana sebelum-sebelum ini aku layan juga fiksyen terutamanya karya Ramlee Awang Murshid yang berunsurkan fiksyen terutamanya trilogi Bagaikan Puteri yang membariskan novel Cinta Sang Ratu & Hijab Sang Pencinta selain Bagaikan Puteri itu sendiri (dan yang terbaharu Cinta Sufi). Juga novel Amir Husaini yang berjudul Transgenesis : Bisikan Rimba. Jadi aku tak rasa sebab genre yang menyebabkan aku hilang punca (sekejap).

Aku cuba analisa diri apa yang membuatkan konsentrasi aku berubah. Dan aku harus akui, nama (watak-watak penjahat di dunia jin) yang agak pelik-pelik, menyebabkan aku susah nak lekatkan di benak. Mungkin kerana sebutannya yang agak membelit lidah lalu sukar untuk disebut, jadi aku hadapi kesukaran melancarkan pembacaan! huhuhuhu ada ke orang beri alasan sebegitu?? Susah nak sebut jadi mood membacapun berantakan? Orang lain aku tak pasti, tapi itulah yang aku rasa. Hatta bila membaca novel bukan fiksyenpun aku lebih sukakan watak hero/heroin diberi nama yang simple untuk mudah diingati.

Tapi, bila aku fikirkan kembali... namanya pun penjahat! takkan diberi nama yang bagus-baguskan? Tak sesuailah dengan ’watak’ jahatnya itu. Bukankah nama juga mencerminkan keperibadian seseorang? Jadi memang sesuai dah nama-nama yang penulis berikan pada watak antagonis itu. Nama-nama seperti sughoir, oggur, alfus, solbus, botrus, garmodus dan macam-macam 'us' lagi seharusnya secocok dah... tapi itulah...

Lagi satu, pada pendapat aku jika diletak terjemahan/glosari untuk perkataan-perkataan 'pelik' yang menjadi perbualan 'makhluk jin' tersebut pastinya lebih bagus. Yelah, sebagai pembaca teringin juga nak tahu apa yang dibualkan oleh mereka? Kalau benar bahasa yang dipertuturkan itu bahasa arab? nak juga tahu apa maksudnya dalam bahasa melayu. Atau jika benar tak ada maknapun, ianya cuma sekadar frasa perbualan mereka (makhluk jin) sekurang-kurangnya penulis rekalah apa-apa maknapun janji ada. Jadi tidaklah pembaca terutamanya aku, perlu membuat telahan sendiri.

Walau bagaimanapun, kredit harus diberikan pada ‘pelukis’ atas imaginasinya menggambarkan ilustrasi gambar peta lakaran kerajaan Arod, serta ilustrasi wajah makhluk keturunan Alfrit, Alfus, Sughoir & Oggur, walau itu cuma sekadar imaginasi pelukis semata, sekurang-kurangnya ia sangat membantu aku 'mengenal' rupa makhluk pelik itu. Lagi satu, aku harus memberi pujian pada penulis kerana berjaya menyelitkan lawak spontan. Apa taknya dalam kita dalam mood serius tiba-tiba ada ‘insiden’ yang menggeletek hati, yang membuatkan aku tergelak sorang-sorang.

Kamu bacalah... dan 'rasai' sendiri pengalaman Azmi, Riduan, Amsyar & Zamsari meneroka alam jin. Cuma satu saja pesan aku, kalau rasa diri tu penakut (seperti aku), jangan baca di waktu malam... hehehe nanti kamu langsung tak boleh nak lelapkan mata!

Buat penulis... Tahniah! Kerana naskhah ini tidak sekadar fiksyen semata tapi ada ‘isi’ berguna yang boleh dijadikan iktibar. Dan ya, kak wan tidak membuang masa secara percuma menatap Yuda Di Padang Maya ini, tetapi ada ilmu yang dikongsi yang boleh kak wan jadikan pedoman.



Oct 2, 2009

Bintang-Bintang Ke Syurga

luahan rasa : Wan Amalyn at Friday, October 02, 2009 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Xarine
Halaman : 452
Tahun : Julai 2009
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00


Blurb:

Urusan ini perutusan cinta.

Seperti sabda Rasulullah, Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Islam itu cinta.

Cinta itu fitrah terpateri dalam hati. Hanya cinta dalam hati yang akan menyatukan kita dan semua manusia. Sepertimana alam kehidupan yang satu ini ditampung oleh bongkah-bongkah alam yang sedang bercinta; roh cinta yang mutlak terpateri pada hukum qadar-Nya. Setiap detik pasir-pasir dan burung-burung itu mengucapkan 'cinta' ke hadrat Tuhan mereka.

Maka aku berusaha mencintai semua, dan mengikat hati pada simpulan iman kepada qada dan qadar Allah.

Imran lulusan kejuruteraan, anak miskin yang tidak punya apa-apa kecuali kecintaannya pada Allah. Lalu wajarkah dia ada hati kepada si dia yang punya segala-galanya? Atau orang miskin hanya layak untuk dijodohkan dengan orang yang tidak punya apa-apa juga? Kalau begitu, apa pula maknanya sekufu?

* * * *

Dengarkan bisikan cinta XARINE sang insinyur yang berbicara fasal cinta dalam lembutnya bahasa daripada hati seorang lelaki yang mengharapkan reda Ilahi.

* * * *

Bintang-Bintang Ke Syurga membawa kita menyusuri hidup seorang Imran yang berkisah tentang perjalanan hidupnya. Imran bin Mohamad, graduan lepasan USM dalam jurusan kejuruteraan.

Hidup sebagai anak miskin menjadikan Imran tabah dalam setiap dugaan yang menghimpitnya. Bahkan beliau tegar bekerja sebagai kuli di kilang kayu (sawmill) semata-mata untuk mencari rezeki meskipun beliau pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejututeraan daripada universiti tersohor di utara tanah air yang layak berjawatan jurutera!

Seorang kekasih yang pernah patah hati lantaran lebih menumpukan perhatian terhadap pelajaran berbanding memikirkan masalah cinta yang sepele pada anggapannya. Namun sebagai insan yang lemah dia juga tewas dengan runtunan hati. Siapa kata kecewa cinta tidak sakit? Sakitnya jiwa yang ditinggalkan Aisyah – kekasih yang sebelas tahun mengikat janji untuk hidup bersama – membuatkan Imran hampir nanar.

Namun kecewa cinta tidak menenggelamkan dia dalam lara yang panjang. Kekecewaan itu mengajarnya untuk reda. Membuatkan dia mengenal dan menginsafi kekhilafan diri. Dia bangkit menjadi Imran yang lebih matang dalam mencorak masa depan. Menjadi Imran yang lebih mandiri, lebih tabah dan lebih berusaha demi perkara yang lebih penting selain cinta, iaitu meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga.

Imran, dia seorang sahabat yang sangat prihatin. Sahabat yang punya hati yang sangat lembut. Dia menghulurkan bantuan tanpa mengira siapa. Safia, si gadis malang, Suzila, si ratu kampus dan Nazira anak Pak Hab antara tiga gadis yang menerima 'ihsan' Imran.

Kehadiran Imran dalam acara makan malam yang dianjurkan oleh Syarikat Bersatu Sawmill Sdn Bhd, tempat di mana dia bersama ayahnya mencari rezeki sementara mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik menemukan semula dia dengan Suzila. Pertemuan yang membawa kepada satu perhubungan baru yang lebih bermakna, yang lebih mencabar pastinya.

Sedar akan status diri, Imran akur. Dia tidak sekufu dengan Suzila. Dan Nazira yang mendapat tempat di hati ayahnya menjadi calon penganti Aisyah. Namun cinta tak kenal siapa dan pangkat diri. Imran bin Mohamad jatuh cinta pada Suzila binti Dato' Husin. Namun ada tembok yang menghalang, ada jurang yang memisahkan mereka.

Sesungguhnya hidup ini tidak sunyi daripada dugaan dan cabaran yang maha hebat! Hanya iman dan takwa yang menjadi benteng. Menghindar diri daripada segala musibah yang cuba membelit diri.

Mampukah di gapai bintang di langit tinggi jika diri hanya sekadar pungguk yang cuma mampu merindu bulan sekadarnya?

* * * *

Apa yang dapat aku katakan usai membaca Bintang-Bintang Ke Syurga ini adalah, ia sebuah naskhah yang sarat dengan tazkirah. Sebuah karya yang penuh inti pati berguna yang boleh dikutip buat mengisi rongga dada. Dan pastinya sarat dengan ilmu yang bermanfaat yang diadun dengan bait-bait kata yang indah buat tatapan pembaca.

Xarine berkisah dan berkias dalam bahasa yang indah penuh metafora. Aku bagaikan terkesima membaca setiap susunan kata serta laras bahasa yang puitis penuh berseni ini adalah lontaran daripada sang Insinyur yang pernah menuntut di Sekolah Maahad Muhammadi (L).

Bintang-Bintang Ke Syurga bukanlah naskhah bercerita tentang kisah cinta semata. Jika pembaca inginkan kisah cinta hebat bak cinta Adam pada Hawanya, ataupun cinta Majnun pada Lailanya mahupun kisah cinta Samson pada Delilahnya. Ini bukan kisahnya. Bukan!

Tapi pada aku kisah cinta Imran lagi hebat kerana ini kisah tentang pencarian 'cinta' Imran berlandaskan hukum pencipta-Nya. Ini kisah cinta yang fitrahnya terpateri di dalam hati. Kisah yang mengharapkan reda Ilahi. Bahkan dalam mencari cinta duniawi, Imran diuji bukan sekali, tetapi berkali-kali. Namun dia pasrah. Dia yakin, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Hikmah yang tersembunyi milik Ilahi.

Bagi aku kisah cinta dalam naskhah ini cuma sekadar sisipan kecil sebagai 'hadiah' buat pembaca berbanding dengan tazkirah yang cuba disampaikan oleh penulisnya. Moga ada hati-hati pembaca yang 'cair' dalam menghayati kisah 'cinta' si Imran ini.

'...kalau pakaian yang rapi itu untuk menutup aurat di tubuh, maka akhlak yang rapi itu untuk menutup aurat di hati...' ~ halaman:179. Ini antara sisipan frasa yang boleh dijadikan pedoman buat kita menilik diri.

Xarine membawa kita memahami makna sahabat yang sebenar-benar sahabat. Sahabat yang saling ingat-mengingati. Sahabat yang saling faham-memahami. Dan sahabat yang saling bantu-membantu tanpa mengharap balas. Sesungguhnya sahabat yang paling baik adalah sahabat yang sentiasa ada di samping meski dalam tangis atau ketawa ~(ms:343). Ya! Xarine membuatkan aku ingin menjadi sahabat kalian sahabat-sahabatku yang sentiasa ada di kala kamu senang mahupun sukar.

Kisah hidup Imran yang penuh liku, yang hidup dalam serba kekurangan sebagai anak miskin benar-benar membuatkan hati aku meruntun hiba. Aku bagaikan separuh daripada hati Imran yang merasa. Dibesarkan dalam keadaan yang daif, hanya mengharapkan rezeki daripada kilang kayu (sawmill), yang ada kalanya tidak menentu, benar-benar membuatkan aku larut dalam kisah hidup Imran ini.

Naskhah ini sangat dekat di hati aku. 'Imran' bagaikan jelmaan aku (pastinya dalam versi wanita!) kerana aku juga pernah lalui apa yang Imran alami. Zaman yang perit dan getir. Zaman-zaman sukar yang rezekinya tidak menentu. Apatah lagi bila tibanya musim tengkujuh! Aduhai peritnya hidup.

Tapi sebenarnya, itulah pembakar semangat untuk kami berjuang. Berjuang untuk keluar dari kemiskinan yang membelenggu. Biarpun tidak semewah mana, tapi sekurang-kurangnya untuk hidup yang lebih nyaman dan selesa. Ya... Xarine bagaikan menterjemahkan 'perjuangan' hidup aku lebih tiga dekad yang lalu ke layar kertas. Terima kasih Xarine dengan 'kenangan' ini!

Buat Xarine... moga usaha kamu dalam mentarbiah pembaca dengan bahasa kamu yang indah, dengan cara kamu yang berseni ini, akan membuahkan reda Ilahi. Sesungguhnya ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang boleh dikongsi bersama.
 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare