Feb 7, 2009

Rooftop Rant

luahan rasa : Wan Amalyn at Saturday, February 07, 2009 0 rakan yang berkongsi rasa

Pengarang : Hlovate
Halaman : 538
Tahun : Februari 2009
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM 21.00


Blurb: 

lontarkan
...kalau tidak ia meracun
kongsikan
...walau hanya pada awan-awan
 

Mereka berbicara di atas bumbung
Episod hidup memang berbeza, tapi cerita mereka masih selari! 

Allah takkan bebankan hamba-Nya dengan apa yang dia tak mampu! 

Hidup tak selalunya lawa
Tak selalunya ada pelangi
Kalau nak kata a bed of roses pun, duri-durinya tetap ada
Kadang-kadang... bilamana 'malapetaka' tu datang, terasa macam kena gelek ke bumi dek ahli sumo
Rasa macam dah tak mampu bangkit
Rasa macam dah tak mampu hela nafas 

Dengarkan HLOVATE berbicara:
tentang hikayat Rooftop Rant dari puncak Wisma Topaz ini...
tentang Trisy dan Jade...
tentang bukit yang sayup di depan
tentang angin yang membawa salam di belakang
tentang lang sewah yang berlegar melayah di atas
tentang deretan kenderaan yang bersesak-sesak di bawah
dan mereka terus bercerita...
sesudah berani meruntuhkan tembok hati dan dinding rasa 

mampukah dibeli tangga-tangga untuk mencapai cita-cita? 

ini cerita sebuah bicara
bicara bumbung namanya....
 


******



Hlovate tampil dengan karya terbaru beliau berjudul Rooftop Rant. Novel ke-22 terbitan Jemari Seni ini sama sekali tidak menghampakan aku sebagaimana novel-novel beliau terdahulu.

PUAS. Itulah perasaan pertama yang aku rasa usai membaca karya Hlovate yang kelima ini (selepas 5 Tahun 5 Bulan, Schubert's Serenade - Kompilasi 3 cerita dalam Gurindam Jiwa, aA + bB dan Tunas).

Kisah tentang Trisy - Khairul Batrisya Mazni yang terbeban dengan masalah 'kebisingan' di rumahnya. Kisah tentang Jade yang 'bosan' dengan bebelan si ibu. Lalu tanpa temujanji mereka menjadikan puncak Wisma Topaz sebagai lokasi mencari damai di hati.

Tanpa tutur kata, sekadar bicara mata, mereka meterai MoU dalam bahasa diam. "Kau duduk hujung sana senyap-senyap - aku buat kerja aku hujung sini diam-diam. Kau buat hal kau - aku buat hal aku. Aku tak kacau kau - kau jangan kacau aku. Kau faham- aku faham". Hinggalah berlaku insiden yang membuka ruang bicara antara mereka. Membuka hijab yang membawa mereka ke Rooftop Wisma Topaz itu.

"There're times when strangers are like family and family are like strangers" begitulah mereka. Trisy yang sudah bosan tidak diendahkan oleh keluarga dan Jade yang merasakan dirinya terkongkong oleh leteran ibunya. Trisy yang tak pernah ada orang yang mahu mendengar dia bercakap dan Jade yang sangat sabar menjadi pendengar. Menjadikan mereka sahabat yang akrab, yang saling faham apa yang dirasakan tanpa perlu banyak kata, yang saling menjadi penguat semangat antara mereka untuk mencari arah tuju hidup.

Rooftop Rant memperkenalkan aku pada Trisy dan aku jatuh kasih padanya. Aku sukakan Trisy walaupun dia pernah jadi 'jahat' kerana aku faham kenapa dia jadi begitu!. Tapi dia berjaya berubah dan mengubah dirinya kepada Trisy yang seratus kali lebih baik!!.

Aku jatuh cinta pada Jade, walaupun aku tahu dia lelaki yang miskin perbendaharaan kata. Tapi dia ada telinga yang boleh diharapkan untuk jadi pendengar yang baik. Tapi yang paling utama dia pandai melukis kartun, melakarkan isi hatinya yang tak terluah dengan kata.

Aku sedih pada nasib Trisy yang jadi anak 'terbuang'. Aku kesian pada Jade yang sering menjadi mangsa perbandingan ibunya, hidup dalam bayang Along dan adik.

Salahkah Trisy kalau dia hanya inginkan perhatian? kerana dia sudah puas jadi anak yang tidak diendahkan. Salah Jade kah ditakdirkan dia punya abang dan adik yang lebih bijak sedangkan dia hanya biasa-biasa saja?

Aku teringin nak gantikan tempat Jazz, jadi abang pada Trisy. Gantikan Rina dan Tati jadi kakak pada Trisy. Aku teringin nak jadi adik pada Jade yang sungguh prihatin dengan caranya yang tersendiri. Aku jatuh cinta pada Pak Su Wan - pegawai penguat kuasa disiplin, tatasusila dan akhlak yang tegas tapi baik hati dan suka pakai baju Raihan??!!. hehehe

Aku teringin nak jadi kawan baik Trisy agar dia tidak perlu tanggung segala keperitan hidupnya sendirian. Agar dia ada kawan yang boleh dijadikan tempat meluahkan bicara.

Kalau boleh aku nak jadi jari yang boleh tolong sapu air mata Trisy di kala dia tak berdaya. Aku nak jadi bahu yang boleh jadi tempat Trisy bersandar. Aku nak jadi telinga yang boleh mendengar keluh kesah Trisy.  Aku rela jadi mata yang boleh mengawasi Trisy daripada segala perbuatan yang tak terjangkakan. Kerana sesungguhnya Trisy penuh dengan kejutan.

Tapi semua itu mustahilkan?? Kerana semuanya itu hanyalah sebuah CERITA!. Lakaran idea kreatif penulis yang menjadikan kisah Trisy dan Jade ini 'hidup' dalam layar minda aku.

Begitulah penangan Hlovate pada aku kali ini!. Aku jadi larut dalam perasaan tatkala membaca Hlovate bercerita tentang bicara bumbung antara Trisy dan Jade. Berhikayat melalui mata penanya.  Sungguh. Aku seakan jadi sebahagian daripada Trisy berkongsi rawan. Aku seakan jadi sebahagian daripada Jade berkongsi keserabutan. Bersama-sama mereka menangis hiba, bergelak ketawa, mengeluh kesah bahkan bermuhasabah diri. Berkongsi segala emosi bersama-sama Trisy dah Jade. Aku bersatu menjadi mereka, melawan 'jerangkung-jerangkung' yang jadi penghalang untuk mereka bangkit menjadi manusia yang baru, berubah menjadi insan yang lebih baik! Yang berkali-kali lebih baik daripada masa silam mereka.

Buat Hlovate... Tahniah!! kerana Rooftop Rant bukan sekadar novel tetapi ia sarat dengan ilmu yang sangat berguna. Rooftop Rant yang padat dengan informasi, yang sarat dengan pengajaran hidup yang membuatkan aku berfikir bukan sekali tetapi berkali-kali.

Selamat membaca... 

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare