Mar 24, 2012

Bawah Pohon Sena

luahan rasa : Wan Amalyn at Saturday, March 24, 2012
Penulis : Nisyah
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Tahun : Mac 2012
Halaman: 452


Kisah tentang Lili Alias si jurugambar bebas. Dia melihat 'hidup' ini di balik lensa kamera. Dia berjaya memukau mata sesiapa yang memandang gambar-gambar yang di'bidik'nya tetapi dia kecundang memotretkan perjalanan hidupnya seindah gambar-gambar yang diambil.

Perkahwinannya kecundang selepas 3 tahun dia cuba membina mahligai bahagia bersama sahabat baiknya Megat Harith Megat Nasir. Berkahwin dengan si dia yang menjadi pilihan keluarga telah memutuskan ikatan persahabatan yang terjalin antara mereka bertahun-tahun lamanya. Namun dia pasrah andai itu takdir yang tertulis buatnya.

Demi mengubat hati yang lara, dia mencari ketenangan di lorong belakang Pasar Seni. Menikmati alunan lagu-lagu daripada pemuzik jalanan yang mencari rezeki dengan cara mereka. Memerhati gelagat manusia yang pelbagai ragam dan gaya.

Kisah tentang Gibran Ali si pemuzik jalanan yang menjadikan lorong belakang Pasar Seni sebagai 'pentas'nya dan para pengunjung yang sudi singgah sebagai penontonnya. Dia belajar erti 'hidup' melalui celah-celah pengunjung yang datang ke lorong belakang Pasar Seni.

Di bawah pohon sena terjalin persahabatan antara mereka, si jurugambar dan si pemuzik jalanan. Realiti kehidupan yang sering terakam melalui lensa kamera Lili diterjemahkan oleh Gibran yang merasa sendiri pahit manisnya kehidupan, yang punya banyak cerita yang penuh 'irama & lagu'.

Cerita kehidupan mereka bukan sekadar di lorong belakang Pasar Seni, bahkan menjangkau hingga ke Rumah Qaseh, rumah tumpangan yang menempatkan warga tua yang menyimpan seribu cerita duka. Di sini mereka berkongsi kasih dengan insan yang sendirian melalui hari-hari tua. Pada Gibran, dia bahagia andai dapat membahagiakan mereka warga tua yang malang.

Masa adalah ubat yang paling mujarab. Masa yang bisa mengubah apa sahaja, malahan hati. Bahkan masa juga bisa menyembuh hati yang rawan. Tatkala hadirnya Gibran yang telah menyelitkan sedikit rasa bahagia di celah-celah hatinya. Tatkala hatinya mulai redha menerima Harith yang telahpun membina mahligai bahagia bersama Suraya, wanita yang dicintainya. Lili diuji lagi dengan permintaan Suraya untuk menjadi ibu kepada Puteri Diyana.

Dia rela atas nama persahabatan. Namun tanpa sedar dia telah menyisihkan sahabat yang berjaya membawa tawa dan mengusir duka yang melingkari hidupnya di saat-saat dia perlukan sokongan. Wajarkah tindakannya? Mampukah dia mengapai bahagia? Dan siapakah Gibran Ali dalam hidupnya? Dan yang paling penting, siapakah Gibran Ali yang sebenarnya?

Saya menamatkan Di Bawah Pohon Sena ini dengan perasaan yang puas!

Saya sukakan karya Nisyah ini. Melalui 'lensa' Lili Alias, melalui puitisnya lagu-lagu rakyat yang didendangkan oleh Gibran Ali di lorong belakang Pasar Seni, saya turut serta belajar tentang falsafah hidup mereka. Kita akan turut gembira andai dapat membahagiakan orang yang kita sayang walaupun adakalanya hati kita dirundung duka. Itulah yang 'Lili' belajar melalui 'Gibran'.

Saya sukakan plot cerita Nisyah ini. Bersahabat baik sedari kecil tidak semestinya akan memutikkan rasa cinta walaupun dia, kita suka sepenuh hati. Itulah yang Lili rasa terhadap Megat Harith, lelaki yang dia kenal sepanjang dia meniti usia remaja hinggalah mereka menginjak dewasa. Ketika dia mula kenal erti cinta, Harith lah lelaki yang dia jatuh cinta, namun... bukan itu yang Harith rasa. Lantarannya mereka 'hilang' sahabat baik.

Saya sukakan bahasa Nisyah yang penuh inspirasi.

‘ kegembiraan bukan datang daripada apa yang kita suka sahaja, tetapi kita akan gembira apabila boleh berkongsi sesuatu yang kita suka dengan orang yang kita sayang ’ ms 101



0 rakan yang berkongsi rasa:

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare