Showing posts with label Hani Fazuha. Show all posts
Showing posts with label Hani Fazuha. Show all posts

Feb 16, 2011

Harga Sebuah Cinta

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, February 16, 2011 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Hani Fazuha
Halaman : 464
Tahun : Januari 2011
Terbitan : Alaf 21
Harga : RM18.00

Blurb:

KENAPA setiap kali hati berdetik meminta bahagia, kita harus membayarnya dengan titis air mata? Cinta Fea bersama Arman tidak kesampaian. Segalanya menjadi kenangan yang menyakitkan buat Fea. Sejak itu, terasa sukar sekali dirinya meraih bahagia.

Perkenalan Fea dengan Zura membuka ruang untuknya mengenali Ikmal. Lelaki itu punya segalanya. Namun, persahabatan itu jugalah yang menyebabkan hatinya kembali berdarah. Dia mendapat tahu bahawa Zura adalah kekasih baru Arman. Keadaan menjadi genting apabila Arman berhasrat ingin merawat cinta mereka yang telah lama terputus. Lantas, lamaran Ikmal dianggap penyelamat untuk Fea keluar dari kemelut itu. Malangnya, memilih Ikmal ternyata bukan jalan penyelesaian. Sekali lagi dia diuji sehingga hampir-hampir dia terhenyak duduk tidak berdaya.

Dalam kekalutan, Zhafir tiba-tiba menawarkan diri atas nama pengorbanan kerana bagi Zhafir, Zura lebih berhak memiliki cinta Arman. Fea keliru. Andai perkahwinan mereka berlandaskan pengorbanan, kenapa Zhafir sanggup jatuh miskin semata-mata untuk mendapatkan haknya sebagai suami? Ada apa pada gadis biasa sepertinya sehingga banyak hati yang harus terluka?

Kata Saya:

Harga Sebuah Cinta kisah tentang rentetan hidup Fea (Hanisofea) si gadis manis anak bekas orang gaji seringkali diduga. Cinta pertamanya dengan Arman ditentang hebat oleh Puan Syarifah Maznah ibu Arman. Padanya Fea tidak layak untuk bergandingan dengan anaknya Arman. Padanya Fea tidak setaraf dengan keluarga mereka yang 'berdarjat'. Sementelah pula ibu Fea merupakan orang gaji mereka.

Dalam kepayahan Fea berjuang untuk berjaya dalam pelajaran, kerana hanya dengan ilmu dia bisa merubah nasib mereka berdua. Bagi menampung perbelanjaan, Fea bekerja di kedai bunga bagi meringankan beban ibunya yang bekerja menoreh getah selepas diberhentikan kerja dan dihalau keluar daripada rumah sewaan milik keluarga Arman. Dalam masa yang sama Fea menyambung pelajarannya.

Persahabatannya dengan Zura menemukan dia dengan Ikhmal, sepupu Zura. Ikhmal yang periang dan happy-go-lucky. Juga Zharif, abang Zura yang pendiam, pemerhati dan ‘kerek’ di mata Fea. Lebih mengharukan lagi keadaan, mereka (Ikhmal & Zharif) bersahabat baik dengan Arman yang pernah membuatkan hati Fea luka berdarah. Tapi yang paling merumitkan keadaan, Arman adalah lelaki yang menjadi dambaan Zura, sahabat baiknya.

Di kala hidupnya penuh celaru, ibunya pergi meninggalkannya sebatang kara. Dia hilang tempat bernaung kasih. Dia hilang sumber kekuatannya. Dan yang lebih malang, dia dibuang kerja gara-gara cuti mengejut ekoran kematian ibunya. Peritnya takdir yang tertulis buatnya.

Hidupnya tambah ’kucar-kacir’ apabila Ikhmal pula mula menagih kasihnya padahal sebelum ini dia berkawan dengan Nisha. Arman yang masih sayangkannya berusaha untuk merebut kembali cintanya. Ketika hati Fea mula memilih Ikhmal, dia diduga lagi. Atas dasar persahabatannya dengan Zura, Fea menolak Arman dengan cara menerima lamaran Zhafir walaupun hatinya langsung tidak boleh melupakan Arman, cinta hatinya yang pertama.

Bagaimanakah kesudahan nasib Fea? Mampukah digapai bahagia yang didambanya? Jawapannya ada dalam naskhah ini.

* * *

Selepas Mengukir Bahagia dan Bebunga Kasih, Hani Fazuha kembali merancakkan dunia penulisan dengan karya terbaharunya Harga Sebuah Cinta (HSC).

HSC yang mengangkat tema cinta, persahabatan dan kekeluargaan ini memperlihatkan kematangan Hani Fazuha dalam berkarya. Dengan gaya bahasa yang mudah, tapi ada kalanya terselit rasa 'manis'nya ketika dibaca memudahkan saya menghadamnya. Di kala 'Fea' sedih, saya turut sama merasainya. Ditambah dengan plot cerita yang menarik membuatkan saya tidak perlu meluangkan masa yang lama untuk menghabiskannya. Naskhah ini sememangnya berjaya membuatkan saya ingin baca dan terus baca hingga ke penamatnya untuk mengetahui kesudahan kisah Hanisofea ini.


Oct 8, 2009

Bebunga Kasih

luahan rasa : Wan Amalyn at Thursday, October 08, 2009 1 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Hani Fazuha
Halaman : 512
Tahun : Oktober 2009
Terbitan : Alaf 21
Harga : RM 19.90


Blurb:

DYA dinodai oleh abangnya dalam usia yang masih mentah. Namun, dia tidak berani mendedahkan kejadian itu bila ayahnya sendiri tidak pernah mengiktirafnya sebagai anak kandung.

Hidup Dya terus diselimuti mendung bila dia terluka lagi. Encik Nasri yang dianggap prihatin, sekadar mempermainkan perasaannya. Harapan yang disandarkan kepada Syamir juga turut berkecai. Kekecewaan Dya bertimpa-timpa bila mengetahui kedua-dua lelaki itu sebenarnya adalah ‘suami orang’. Ini menambahkan lagi kebenciannya terhadap lelaki.

Kemunculan Zarif, bekas teman sekolah merobek kembali kisah lama. Dya masih ingat, Zarif sering menyakiti hatinya. Malah penghinaan yang pernah dilemparkan, tidak pernah Dya lupa. Dan kerana Zarif juga, dia menjadi anak terbuang!

Sebenarnya, Zarif mahu merawat kelukaan Dya. Tetapi Dya menjauhkan diri kerana takut rahsianya terbongkar! Akhirnya, segunung kebaikan yang Zarif limpahkan membuka mata hati Dya bahawa lelaki itu ikhlas mencintainya.

Namun, sudahkah dia bersedia menerima lamaran Zarif sedangkan bayangan silam terus menghantuinya?

* * * * * *

Bebunga Kasih (BK) kisah tentang Dya yang ‘terperangkap’ dalam kancah emosi yang tidak berkesudahan. Dirogol oleh abang sendiri, tidak diiktiraf sebagai anak kandung oleh bapa membuatkan hidup Dya sering dilanda nestapa.

Kehadiran Zarif menyusahkan lagi hidup Dya. Ekoran satu insiden ketika mereka masih di bangku sekolah (menengah) menyebabkan Dya menanam rasa dendam pada Zarif. Zarif yang membuatkan perjalanan hidupnya bertambah getir.

Kehidupan harus diteruskan walau segetir manapun dugaan datang melanda. Hidup ini adalah medan perjuangan yang tidak berkesudahan. Berkat kesabaran dan kesungguhannya dia berjaya mengharunginya walaupun harus bangkit dengan air mata, Bagai air mata jatuh ke dalam. Segala duka hanya dia yang merasa. Walaupun ada ketikanya dia hampir tersungkur dek runtunan emosi yang membelenggu diri.

Takdir seakan mencemburuinya. Dia dipaksa kahwin oleh si bapa hanya kerana tohmahan ‘sekutu’ bapanya – abang & abang ipar. Demi seorang wanita bergelar ibu, dia rela korbankan hati dan perasaannya walaupun pada hakikatnya dia tidak pernah merelakan apa yang diputuskan buat dirinya. Lamaran daripada kenalan si ayah untuk anak teruna mereka dia terima dalam terpaksa.

Dia takut untuk merancang masa depannya. Masa depan yang belum pasti menjanjikan bahagia buat dirinya. Dia insaf dan sedar akan keadaan diri. Dia gadis yang tidak sempurna. Dia gadis yang ternoda. Namun dia juga manusia biasa yang mendambakan cinta dalam hidupnya. Tegakah dia membuka aib diri hanya kerana ingin dicintai dan menyintai?


* * * * * *

Usai membaca, aku menarik nafas lega! Aduhai, malang sungguh nasib seorang Dya. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah abang membuat onar, bapa pula menambahkan beban, membuatkan hatinya tidak pernah rasa bahagia. Sedih sungguh. Ralatpun ada. Malang datang bertimpa-timpa bagaikan tiada sinar bahagia untuk seorang Dya. Tatkala bahagia mula menyapa, takdir bagaikan tidak ingin berbaik hati.

Karya kedua Hani Fazuha ini sememangnya mampu membuatkan aku terpaku. Selagi tidak aku ketahui kesudahan hidup seorang Dya, selagi itu aku tidak puas hati!. Konflik demi konflik yang melanda Dya membuatkan keinginan aku membuak-buak, ingin mengetahui kesudahan yang menimpa Dya. Baikkah atau burukkah nasib yang tersurat buatnya?

Aku sukakan mainan bahasa Hani Fazuha melalui karya terbaharunya ini. Terserlah kematangannya dalam berkarya. Penulis bijak mengungkap kata, menyusun bicara, menjadikan setiap konflik yang melanda Dya, aku turut sama merasainya. Tatkala dia diulit duka, aku terheret sama merasa laranya. Tatkala dia ditimpa musibah, aku turut sama merasa malangnya. Dan ketika dia diselimuti rasa gembira, aku turut sama merasa bahagianya.

Jika diberi peluang bertemu mata dengan ‘Dya’ hanya satu persoalan yang aku ingin utarakan… “mengapa teganya kamu membiarkan diri dinodai berkali-kali?” Aku cukup tidak puas hati. Pertama kali ketika kamu masih di usia setahun jagung, aku masih boleh terima kerana tika dan saat itu, keadaan mungkin tidak mengizinkannya. Tetapi pabila kamu sudah menginjak dewasa, dan sudah berkahwin pula! kenapa masih terbuka peluang, membiarkan diri diratah oleh manusia durjana itu?? Aduh!! geramnya aku pada ‘Dya’. Hahaha aku memang emosi!!

Pada aku, Dya terlalu ‘lembut hati’ dan terlalu berbaik sangka!, hinggakan meracun diri sendiri. Bangkit Dya, perjuangkan hak kamu. Belalah nasib diri kamu yang tertindas itu!!, Sebagaimana surah Ar-Ra'ad (ayat 11): "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya." Begitu juga kamu Dya, sesungguhnya hanya kamu yang mampu merubah nasib malang kamu sendiri.

Isk aku sudah keterlaluan. Tapi itulah hakikatnya, aku jadi emosi apabila terasa diri (wanita) sering menjadi mangsa! Sesungguhnya aku memang GERAMMM pada Dya!!! Jika dengan membuka aib diri, mampu mengubah nasib kita ke jalan yang lebih baik, jalan yang diredhai Allah, rasanya tidak salah bukan?? Tapi pastikanlah ianya melalui saluran yang betul. Bukan dengan membabi buta. Negara kita ada undang-undang, ada pertubuhan yang akan membela nasib mereka yang teraniaya. Walau bagaimanapun, kamu harus terus tabah ‘Dya’.

Buat Hani Fazuha. TAHNIAH! Sesungguhnya karya terbaharu ini mampu membuatkan kakwan terpaku tidak berganjak. Well done sis!




Salam sayang,

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare