Showing posts with label Iman Xara. Show all posts
Showing posts with label Iman Xara. Show all posts

Apr 11, 2012

Seadanya Kamu

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, April 11, 2012 1 rakan yang berkongsi rasa
Penulis : Iman Xara
Halaman : 460
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Tahun : 2012


Sinopsis:

Julia – dia mangsa ketidakpuasan hati seorang teman serumah (sewa). Dia punya keluarga yang bahagia, dia punya kesenangan yang disediakan oleh ayahnya, seorang businessman yang berjaya. Dia punya paras rupa yang bisa menawan hati sang jejaka yang memandang. Namun dia punya satu 'kekurangan'. Dia lantang bersuara menegakkan prinsip hidupnya. Jika dia tidak suka, dia akan bersuara. Lantaran kelebihan dan kekurangan yang dimilikinya, dia dianiaya.

Natijahnya dia harus pergi meninggalkan sahabat-sahabat baiknya. Meninggalkan bangku kuliahnya. Dan meninggalkan si dia yang dia mulai jatuh sayang. Ya, dia harus pergi demi maruah dan harga dirinya.

Keberadaannya di Pusat Jagaan Al-Hikmah membuka matanya. Ya, dia adalah mangsa. Dia tidak bersalah! Dia tidak pinta nasib yang sebegitu namun itulah yang dia harus hadapi. Di Pusat Jagaan Al-Hikmah dia belajar membina jati diri, dia harus bangkit dari kisah silam yang kelam lagi menyakitkan.

Zulfa & Aswad – mereka pasangan suami isteri yang tidak dianugerahkan insan bernama anak walaupun sudah lebih tujuh tahun mereka mendirikan rumah tangga. Mereka rindukan tangisan anak kecil. Naluri keibu-bapaan yang tumbuh subur dalam diri mereka membuatkan mereka nekad untuk mengambil anak angkat walaupun pada awalnya hasrat itu tidak disenangi oleh ibu mertua Zulfa.

Damia Azwa – hadirnya walaupun tanpa dipinta, namun dia menjadi permata hati Zulfa dan Aswad yang rindukan si kecil. Bahkan si kecil ini juga menjadi penyambung ukhwah dua keluarga.

Firas - dia lelaki yang tidak pernah mengenal erti putus asa, walaupun dia dilayan endah tak endah oleh si dia yang telah membuatkan hatinya jatuh cinta.

Julia, dia harus bangkit walaupun dia tahu jalan hidupnya tidak lagi semulus yang dia angan-angankan. Dia menyambung kuliah yang terbengkalai di pertengahan jalan di pusat pengajian swasta. Trauma dengan kisah silam dia membina ‘tembok pemisah’ agar peristiwa hitam tidak lagi berlaku padanya.

Bertemu kembali dengan Hawa yang dia kenal di Pusat Jagaan Al-Hikmah, yang juga senasib dengan dirinya sedang meniti bahagia bersama suami tercinta membuatkan dia juga impikan bahagia. Namun masih adakah insan yang sudi terima dirinya seadanya? Dan pabila ada tangan yang sudi menarik dia keluar dari kelam semalam, ikhlaskah si dia? Namun sampai bila dia harus begitu?

Bacalah anda pasti akan berbahagia dengan keputusan Julia =)


Resensi saya:

Karya terbaharu garapan Iman Xara ini berjaya membawa saya ke satu 'daerah' yang menggugah jiwa dan raga. Isu anak yang tidak sah taraf menjadi nadi utama dalam naskhah ini. Ya, tak semua yang lahir di dunia ini atas kedurjanaan si ibu dan ayah yang tidak bertanggung jawab. Ada dalam kalangan anak-anak ini daripada rahim si ibu yang menjadi mangsa pemerkosaan tanpa rela.

Iman Xara berjaya membawa saya menyelami suka duka, jerih perih yang harus Julia lalui sepanjang jalan mencari bahagia. Bagaimana sukarnya Julia memulihkan semangat dan harga dirinya, saya turut terkesan sama. Lantaran sukarnya dia menerima salam perkenalan daripada mana-mana jejaka, saya maklum sebab-musababnya. Ya, dia rasa rendah diri. Dia rasa dia tidak layak untuk sesiapa jua. Begitu sekali Julia memenjarakan dirinya.

Membaca naskhah ini, kita dihidangkan dengan isu anak tidak sah taraf. Sesungguhnya mereka insan kecil yang dilahirkan suci bersih dari dosa, ibu bapalah (baik kandung mahupun keluarga angkat) yang mencorakkan sahsiah mereka sebagai khalifah ataupun perosak di muka bumi ini.

Iman Xara buat saya jatuh hati pada Firas yang tidak pernah kenal erti putus asa walaupun dia sedar bila-bila masa dirinya akan di'reject' oleh Julia. Dan saya sukakan idea abang ipar Firas, iaitu menghadiahkan sepasang kurung sutera biru, andai tidak sudi, kembalikanlah kepada si pengirimnya dan nescaya dia tahulah bahawa dia ditolak secara halus. Dan saya sukakan tindakan Julia dengan memulangkan kurung sutera biru itu... suspens? Hehehehe

Secara keseluruhannya saya sukakan karya Iman Xara ini. Sesungguhnya sokongan dan dorongan ibu bapa, ahli keluarga serta sahabat handai adalah ubat yang paling mujarab untuk mereka yang pernah tersasar kembali mendepani hidup yang penuh onak liku ini dengan penuh semangat juang. Sebagaimana Julia yang mampu berdiri teguh walaupun sesekali peristiwa hitam menjengah benaknya.

'Segunung debu pun andai jatuh di kelopakmu, tetap dapat kucium harummu' ~ Firas

Oct 3, 2009

Tanya Pada Hati

luahan rasa : Wan Amalyn at Saturday, October 03, 2009 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang: Iman Xara
Halaman :
Tahun : Januari 2009
Terbitan: Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00

Blurb:

kata orang jodoh pun kena dicari
kata orang jodoh tertulis sukar sudah untuk dialih
kata orang gadis yang menawan mudah saja menemui jodohnya


Banyak betul kata orang. Inilah dilema seorang akauntan, Farisya Ibrahim. Kerjanya yang berdepan dengan angka-angka membuat dia terlupa pada ‘angkanya’ sendiri. Sedar-sedar umur sudah melangkah ke ambang 30-an!Lalu, kenapa pula dia harus berlengah waktu, bilamana pilihan sudah menunggu?

Farisya Ibrahim!
Tidak pernah sekali pun dia pernah bercinta, apatah lagi untuk pernah putus cinta. Namun, kenapa pula hatinya sukar ditembusi? Sakit apakah ini? Apa yang menyukarkan dia memilih?

dia bukannya tidak cantik
dia bukannya tidak menarik
dia gadis periang yang sangat disenangi!


Jadi, kenapa hatinya harus dibiarkan terkatup tertutup?
Tanyalah pada hati... lalu apa jawabnya hati?

* * * * *

Tanya pada Hati, bukannya tulisan pertama IMAN XARA. Kematangan IMAN XARA terserlah pada keupayaannya membina watak utama yang mantap dalam novelnya ini.

* * * * *

Sinopsis:

Fitri Hidayat dan Farisya, dua sahabat yang saling bahu-membahu dalam hampir setiap urusan mereka. Perkenalan ketika mereka masih menuntut di IPT berlarutan hingga ke alam pekerjaan membuatkan hubungan mereka sangat akrab. Apatah lagi Fitri yang pernah melalui masa silam yang suram di masa kecilnya, hanya percayakan Farisya untuk berkongsi cerita sedih ditinggalkan ibu. Pendek kata rahsia mu, rahsia ku jua. Begitulah akrabnya persabahatan mereka.

Farisya, anak gadis yang terlalu tekun dalam pekerjaannya sebagai seorang akauntan. Dalam meniti hidup dengan rutin harian yang padat dari hari ke sehari dia seakan lupa bahawa umur juga semakin hari semakin meningkat. Jodoh yang tidak kunjung tiba sedangkan diri sudah di angka 30 membuatkan kedua orang tua Farisya mulai bimbang.

Perkenalannya dengan Iskandar – sukarelawan dari rumah Nur Ehsan - yang pada awalnya atas alasan kerja (Iskandar memohon derma b/p Rumah Kebajikan & Anak-Anak Yatim Nurul Ehsan (Rumah Nurul Ehsan) daripada syarikat tempat di mana Farisya bekerja & Farisya sebagai pegawai yang bertanggung jawab menguruskannya) secara tidak langsung membuka episode baru dalam hidup Farisya. Adakah kehadiran Iskandar ini sebagai petanda akan tibanya jodoh buat Farisya?

Fitri Hidayat, dek trauma dengan masa silam, dia memandang semua wanita adalah ‘jelmaan’ ibunya. Menyebabkan dia seakan menutup rapat pintu hatinya daripada didekati oleh sebarang wanita kecuali Farisya. Walau bagaimanapun kehadiran Idayu memberi perspektif baru dalam hidupnya. Namun takdir hidup kita bukan di tangan kita. Perhubungan yang pada awalnya baik dan mesra akhirnya pudar.

Pertembungan antara permasalahan yang dihadapi oleh Fitri dan kehadiran Iskandar dalam lingkungan hidup Farisya telah membuka hijab yang selama ini terselindung dibalik ikatan persahabatan mereka. Baik Fitri mahupun Farisya amat sayangkan ikatan ‘sahabat baik’ daripada tunduk pada kata hati mereka dan sekaligus cuba menafikan rasa ‘lain’ yang datang mengetuk. Rasa terkilan, rasa sedih dan rasa cemburu membuatkan hubungan mereka retak. Namun musibah yang berlaku pada Farisya ada hikmahnya. Apa hikmahnya sedangkan maruahnya hampir tergadai?


Komen:

• Watak & Perwatakan :

Farisya, Fitri Hidayat, Idayu & Iskandar adalah teraju utama yang menggerakkan jalan cerita Tanya Pada Hati ini

Namun tidak dinafikan watak tambahan seperti Fatin, Shima, Azira, Aminah, Puan Juriah (sekadar menyenaraikan beberapa nama) juga merupakan watak yang tidak kurang penting dalam menguatkan lagi cerita ini.

Farisya
• digambarkan sebagai gadis timur yang kuat berpegang teguh pada norma masyarakat melayu. Ini dapat dilihat daripada daripada karektor Farisya yang digambarkan sudah lama tidak melihat lampu... (ms 45)

• Farisya juga digambarkan sebagai seorang yang amat ‘workaholic’ & boleh la kita labelkan sebagai ‘superwomen’ kerana beban tugasnya tidak hanya terhad pada bidang tugas wajibnya iaitu seorang akauntan.
- dia juga diserahkan kerja-kerja lain.
- tak menghiraukan waktu makan hingga mengabaikan kesihatan diri

• Farisya juga digambarkan sebagai seorang yang amat tegas memegang prinsip hidupnya. & dia bukan seorang yang suka bersosial.

• Namun Farisya merupakan seorang sahabat yang boleh diharapkan dan sangat prihatin terhadap kebajikan rakan-rakannya yang lain terutamanya Fitri Hidayat, Fatin, Shima, juga anak2 yatim


Fitri Hidayat
• digambarkan sebagai lelaki yang agak konservatif. Baik dari segi pemikiran mahupun tindak tanduknya.

• Mungkin kesan daripada trauma ditinggalkan oleh si ibu di masa kecil mempengaruhi sikap dan pemikirannya terhadap golongan hawa.
- contoh: masa Zurina cuba memikatnya dengan cara yang tidak senonoh.


Idayu
• digambarkan sebagai wanita yang mempunyai pelbagai ‘rupa’ & karektor. Dia boleh menjelma daripada seorang gadis yang bersopan-santun dengan cara pemakaian dan tutur kata yang baik dan lembut… hinggalah pada sisi gelapnya yang tiada siapa mengetahuinya. Bahkan Fitri juga hampir terpedaya dengan sandiwaranya.

• Idayu bolehlah kita kategorikannya sebagai watak antagonis yang mempunyai ‘split personality’
- Idayu mampu jadi sebaik-baik wanita hinggalah sejahat-jahat wanita...


Iskandar
• sukar meletakkan dia dalam kategori mana. Di awal-awal cerita dia diperlihatkan sebagai lelaki yang teguh pendirian di mana dia benar-benar berusaha keras untuk memikat Farisya. Dan bukan mudah nak memikat Farisya!

• Tetapi apabila berlaku satu musibah yang hampir meragut kesucian Farisya, dia berubah secara total. Dia bukan lagi seorang lelaki yang gentleman atau prihatin kerana dia lebih memikirkan ego dirinya.

• Dia pada aku adalah jenis lelaki yang bersikap ego (tidak dapat menerima kekurangan orang lain). Dia jenis lelaki yang bila dia merasa ‘selamat’ dia akan terima tapi bila dia rasa ‘tergugat’ dia akan menolak terus. Amat kontra dengan karektor dia yang diperlihatkan di awal-awal cerita.

• Jika ingin labelkan dia sebagai lelaki jahat... tidak wajar juga. Tapi dia lelaki yang meletakkan kepentingan dirinya terlebih dahulu dan sangat memikirkan pandangan orang daripada memberi ihsan pada orang yang dia lafazkan sayang.


• Plot / Jalan Cerita
TPH – kisah yang berkisar di seputar kehidupan Farisya dan Fitri Hidayat yang menjadi tonggak utama cerita ini. Apabila 2 insan berlainan jantina yang mengaku diri sebagai sahabat baik, adakalanya amat sukar untuk menukarkan status kepada pasangan kekasih kerana bimbang akan hilang kawan. Walaupun ketika itu rasa sayang sudah bertukar rasa.

 Penceritaan tidak berkembang mengikut kronologi – kerana ada ketikanya diselitkan teknik ‘flashback’ bagi menerangkan situasi yang berlaku.

 Kredit harus diberikan pada penulis kerana bijak menyusun-atur cerita bersulamkan teknik ‘flashback’ menjadikan penerangan itu amat perlu demi melengkapkan lagi cerita.


• Kelebihan
 Apa yang wan paling suka dengan karya Iman Xara ini adalah gaya bahasanya yang indah dan santai. Tiada ayat yang meleret-leret. Bahkan ada ketikanya susunan kata yang dikarang menjadi bait-bait yang amat indah ditelinga.

 Bahasa merupakan ‘jiwa’ bagi sesebuah karya. Karya yang bagus juga dinilai dari sudut kematangan penulis menyusun ayat. Ada ketikanya ayat yang ringkas tetapi padat dan ‘straight to the point’ lagi menarik daripada ayat yang berjela-jela tetapi mengelirukan pembaca.

 Orang kata... ‘don’t judge a book by it’s cover’ tapi pada wan cover juga memainkan peranan yang tak kurang pentingnya. Ia merupakan 1st Impression – memberi gambaran awal yang akan menarik pembaca untuk membacanya.

 Begitu juga dengan novel ini ia sedikit sebanyak memberi gambaran awal akan isi ceritanya yang agak ‘lembut’ – usai membaca wan rasa relief. Sepanjang pembacaan juga wan tak perlu menenangkan hati... dari awal hingga akhir perasaan itu sentiasa ‘lembut’.


• Kelemahan / komen
 Apa yang wan perasan ada sedikit campur tangan penulis dalam membina plot cerita ini. Pada pendapat wan, penulis seharusnya cuba elakkan daripada membuat ‘kebetulan – co-insiden’ contohnya hubungan Idayu dengan Arif yang merupakan teman lelaki Shima iaitu teman serumah Farisya. Di sini nampak sangat kebetulannya…

 tidak salah Idayu mempunyai hubungan dengan lelaki lain… tapi rasanya kalau lelaki itu bukan Ariff wan rasa lebih realistic.

 Lagi satu, rasanya tidak perlu membina terlalu banyak konflik. Cukup sekadar konflik yang berlaku disekitar watak utama – Farisya & Fitri.

 Pada pendapat wan lebih baik menumpukan pada konflik utama daripada membina terlalu banyak konflik tetapi tidak jelas dan agak samar-samar. Bahkan ada certain konflik itu tidak perlu pun. Tidak mencacatkan jalan cerita.

Wallahualam


Salam sayang,

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare