Feb 16, 2011

Harga Sebuah Cinta

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, February 16, 2011 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Hani Fazuha
Halaman : 464
Tahun : Januari 2011
Terbitan : Alaf 21
Harga : RM18.00

Blurb:

KENAPA setiap kali hati berdetik meminta bahagia, kita harus membayarnya dengan titis air mata? Cinta Fea bersama Arman tidak kesampaian. Segalanya menjadi kenangan yang menyakitkan buat Fea. Sejak itu, terasa sukar sekali dirinya meraih bahagia.

Perkenalan Fea dengan Zura membuka ruang untuknya mengenali Ikmal. Lelaki itu punya segalanya. Namun, persahabatan itu jugalah yang menyebabkan hatinya kembali berdarah. Dia mendapat tahu bahawa Zura adalah kekasih baru Arman. Keadaan menjadi genting apabila Arman berhasrat ingin merawat cinta mereka yang telah lama terputus. Lantas, lamaran Ikmal dianggap penyelamat untuk Fea keluar dari kemelut itu. Malangnya, memilih Ikmal ternyata bukan jalan penyelesaian. Sekali lagi dia diuji sehingga hampir-hampir dia terhenyak duduk tidak berdaya.

Dalam kekalutan, Zhafir tiba-tiba menawarkan diri atas nama pengorbanan kerana bagi Zhafir, Zura lebih berhak memiliki cinta Arman. Fea keliru. Andai perkahwinan mereka berlandaskan pengorbanan, kenapa Zhafir sanggup jatuh miskin semata-mata untuk mendapatkan haknya sebagai suami? Ada apa pada gadis biasa sepertinya sehingga banyak hati yang harus terluka?

Kata Saya:

Harga Sebuah Cinta kisah tentang rentetan hidup Fea (Hanisofea) si gadis manis anak bekas orang gaji seringkali diduga. Cinta pertamanya dengan Arman ditentang hebat oleh Puan Syarifah Maznah ibu Arman. Padanya Fea tidak layak untuk bergandingan dengan anaknya Arman. Padanya Fea tidak setaraf dengan keluarga mereka yang 'berdarjat'. Sementelah pula ibu Fea merupakan orang gaji mereka.

Dalam kepayahan Fea berjuang untuk berjaya dalam pelajaran, kerana hanya dengan ilmu dia bisa merubah nasib mereka berdua. Bagi menampung perbelanjaan, Fea bekerja di kedai bunga bagi meringankan beban ibunya yang bekerja menoreh getah selepas diberhentikan kerja dan dihalau keluar daripada rumah sewaan milik keluarga Arman. Dalam masa yang sama Fea menyambung pelajarannya.

Persahabatannya dengan Zura menemukan dia dengan Ikhmal, sepupu Zura. Ikhmal yang periang dan happy-go-lucky. Juga Zharif, abang Zura yang pendiam, pemerhati dan ‘kerek’ di mata Fea. Lebih mengharukan lagi keadaan, mereka (Ikhmal & Zharif) bersahabat baik dengan Arman yang pernah membuatkan hati Fea luka berdarah. Tapi yang paling merumitkan keadaan, Arman adalah lelaki yang menjadi dambaan Zura, sahabat baiknya.

Di kala hidupnya penuh celaru, ibunya pergi meninggalkannya sebatang kara. Dia hilang tempat bernaung kasih. Dia hilang sumber kekuatannya. Dan yang lebih malang, dia dibuang kerja gara-gara cuti mengejut ekoran kematian ibunya. Peritnya takdir yang tertulis buatnya.

Hidupnya tambah ’kucar-kacir’ apabila Ikhmal pula mula menagih kasihnya padahal sebelum ini dia berkawan dengan Nisha. Arman yang masih sayangkannya berusaha untuk merebut kembali cintanya. Ketika hati Fea mula memilih Ikhmal, dia diduga lagi. Atas dasar persahabatannya dengan Zura, Fea menolak Arman dengan cara menerima lamaran Zhafir walaupun hatinya langsung tidak boleh melupakan Arman, cinta hatinya yang pertama.

Bagaimanakah kesudahan nasib Fea? Mampukah digapai bahagia yang didambanya? Jawapannya ada dalam naskhah ini.

* * *

Selepas Mengukir Bahagia dan Bebunga Kasih, Hani Fazuha kembali merancakkan dunia penulisan dengan karya terbaharunya Harga Sebuah Cinta (HSC).

HSC yang mengangkat tema cinta, persahabatan dan kekeluargaan ini memperlihatkan kematangan Hani Fazuha dalam berkarya. Dengan gaya bahasa yang mudah, tapi ada kalanya terselit rasa 'manis'nya ketika dibaca memudahkan saya menghadamnya. Di kala 'Fea' sedih, saya turut sama merasainya. Ditambah dengan plot cerita yang menarik membuatkan saya tidak perlu meluangkan masa yang lama untuk menghabiskannya. Naskhah ini sememangnya berjaya membuatkan saya ingin baca dan terus baca hingga ke penamatnya untuk mengetahui kesudahan kisah Hanisofea ini.


Feb 9, 2011

Dari Kerana Mata

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, February 09, 2011 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang: Norhayati Berahim
Halaman : 870
Tahun : Januari 2011
Terbitan : NB Kara
Harga : RM28.00

Blurb:

Cinta itu tidak pernah berubah walau musim berganti

Bolehkah dipercayai cinta seorang kanak-kanak yang tidak punya apa-apa? Bolehkah dipegang segala janji dan kata-kata? Bagi ramai orang, cinta seorang kanak-kanak hanya cinta monyet, cinta yang cepat pudar dan hilang dalam sekelip mata. Cinta yang akan melompat dari satu dahan ke satu dahan, dari pokok pokok dan pergi tanpa apa-apa rasa?

Tetapi bagi seorang anak kecil seperti Atan, cintanya terlalu tulus buat Jaliha. Cinta yang datang dari mata turun ke hati. Cinta yang memicu dia terus berdiri dan berlari.

Cinta bagi seorang kanak-kanak, ianya terlalu jujur untuk dikhianati dan walau musim berganti. Cinta itu tidak pernah berubah walau seinci.

* * * * *

Membaca tajuk novel terbaharu karya penulis tersohor, Norhayati Berahim ini minda saya terngiang-ngiang lagu dendangan R. Azmi dan secara automatik bibir mula menyanyikan bait-bait lagu ~Dari Kerana Mata yang mempunyai kuasa... Oh aku tergoda... aku tergoda terkecewa.. jeng jeng... hahahaha

Dari Kerana Mata (DKM), kisah tentang Jaliha anak pensyarah maktab yang sering berpindah randah mengikut ibunya. Dari Seremban ke Melaka mereka berpindah membuatkan Jaliha tidak sukakan keadaan itu kerana dia sering kehilangan sahabat tatkala berpindah rumah dan sekolah. Jaliha, si anak yang dibenci ibu sendiri, sering di bela oleh si nenek. Dan hanya Johari, si abang yang menjadi sahabat baiknya, yang sering mempertahankan dirinya tatkala dipukul oleh si ibu.

Atan anak yatim yang kehilangan bapa dan ditinggalkan oleh ibunya kepada si nenek untuk di bela. Nenek Boyah yang miskin, yang hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Namun Atan anak yang baik pekerti, yang insaf akan keadaan diri, berusaha membantu meringankan beban si nenek. Sanggup bersusah payah dengan si nenek.

Perkenalan mereka, membuatkan zaman kanak-kanak Jaliha kembali ceria. Persahabatan mereka membuatkan Atan punya sahabat yang sanggup susah senang bersama. Memberi peluang pada Atan berkongsi ‘abang’ (Johari) dengan Jaliha untuk dia menumpang kasih. Pada Jaliha dan Johari, kaya-miskin bukan syarat untuk bersahabat dengan mereka. Dan sebuah basikal yang menjadi pengikat hati mereka.

Namun takdir memisahkan mereka apabila nenek kesayangan Atan kembali kerahmatullah. Atan yang sebatang kara hilang tempat bergantung. Pada hari Atan di bawa pergi dari hidup Jaliha & Johari tanpa rela, mereka kehilangan sahabat yang dikasihi. Hanya kenangan yang tinggal sebagai azimat dan doa moga dengan ihsan-Nya mereka bisa ketemu di suatu masa nanti.

Hidup dijalani sebagaimana yang diaturkan takdir. Jaliha yang telah tamat pengajian dengan gelar Doktor Jaliha, membuka butik pengantin dan menjadi perancang perkahwinan. Johari yang cemerlang dengan gelar Doktor membuka klinik sendiri. Namun ‘Atan’ mereka masih belum mendapat khabar berita apatah lagi untuk ketemu.

Bagaimanakah nasib si Atan apabila dia dibawa pergi oleh mereka yang bergelar ibu & ayah angkat? Masihkah takdir menyebelahi mereka, memberi peluang untuk mereka bertemu? Jawapannya ada di dalam naskhah setebal 870 mukasurat ini.

Rasa Saya:

Dari Kerana Mata (DKM) ini bukan sekadar berkisah tentang Jaliha – Atan – Johari semata. Ada Zaitun yang menjadi sahabat Jaliha sedari kecil. Ada Nik Azri yang membuka madrasah di Pattani, yang bercita-cita ingin menjadi peniaga berjaya. Ada Akim, anak Zaitun yang menjadi penghibur Jaliha, Johari dan Haji Arshad (bapa tiri Jaliha). Ada Dr. Ramona si ibu yang bencikan anak kandung sendiri. Ada Deraman si lelaki yang tidak bertanggung-jawab. Pendek kata ada ’ramai’ lagi watak yang menghidupkan jalan cerita ini.

DKM bergerak mengikut kronologi. Berkisah seawal mereka di usia kanak-kanak (8 tahun) hinggalah ke usia mereka yang meningkat dewasa (lebih 30 tahun). Berkisar tentang erti persabahatan. Tentang pengorbanan seorang sahabat terhadap sahabatnya tanpa mengharapkan balasan. Tentang pentingnya ikatan kekeluargaan walau seburuk mana sekalipun layanan mereka. Pendek kata DKM yang mengangkat tema kekeluargaan dan persahabatan ini sarat dengan kisah yang memberi pengajaran, teladan dan iktibar buat kita.

Saya rasa naskhah ini boleh dipendekkan andainya teknik imbas kembali (flashback) digunapakai. Namun saya sedar mungkin ini adalah trademark penulis yang lebih gemar bercerita sedari awal cerita (A) hingga ke noktah akhir (Z) mengikut turutannya. Sebagai pembaca, anda tidak perlu risau akan hilang punca. Tapi apa yang tidak syoknya, naskhah yang setebal 870 halaman ini membuatkan tangan saya lenguh bila harus memegangnya dalam jangkamasa yang agak lama. Lagi satu, tabiat saya yang gemar membaca ala-ala Cleopatra (sambil baring) agak menyakitkan apabila buku ini terjatuh ke atas dada... tak percaya? Cuba lah baca sambil baring! Hehehehe

Selamat membaca!

Feb 8, 2011

Tok Janggut : Pejuang atau Penderhaka?

luahan rasa : Wan Amalyn at Tuesday, February 08, 2011 0 rakan yang berkongsi rasa
Buku 3 : Tok Janggut; Pejuang atau Penderhaka? : Nik Anuar Nik Mahmud : Nasco


Blurb

Buku ini adalah mengenai rentetan perjuangan Haji Mat Hassan dan pengikut-pengikutnya. Sehingga sekarang sejarah tentang Haji Mat Hassan lebih merupakan sejarah Tok Janggut yang derhaka dan penduduk Jeram yang merusuh. Sejarah tersebut adalah sejarah yang diberikan oleh Kolonial yang menerang dan memperjelaskannya. Justeru, sejarah itu adalah sejarah mereka tetapi bukan sejarah kita. Tidak hairanlah kalau semua cerita mengenai Haji Mat Hassan adalah cerita mengenai pemberontakan dan keganasan kerana sampai hari ini pun kebangkitan Islam menentang Barat ditafsirkan sebagai pelampau, pengganas dan penyeleweng. Perbincangan tentang Musuh Tok Janggut pada tahun 1915 sehingga sekarang masih dianggap kebangkitan segolongan orang kampung di Pasir Puteh yang tidak berpuas hati terhadap cukai yang dikenakan kepada mereka. Para pemimpin kebangkitan itu pula tidak lebih daripada mereka yang berkepentingan. Semuanya itu adalah tafsiran sebahagian daripada ceritanya.

Catatan Saya:

Kandungan buku ini terbahagi kepada 2 bahagian penting. Bahagian pertama mengandungi 3 makalah tentang peristiwa bersejarah kebangkitan Haji Mat Hassan iaitu Tok Janggut menentang British.
Bab 1 : Rentetan peristiwa dan detik-detik kebangkitan Tok Janggut
Bab 2 : Kebangkitan Tok Janggut dalam konteks Gerakan Anti-British di Malaysia
Bab 3 : Kebangkitan Tok Janggut dari perspektif Budaya Politik Melayu Kelantan.

Sementara bahagian kedua pula memaparkan gambar-gambar serta dokumen-dokumen yang berkaitan dengan peristiwa bersejarah itu untuk tatapan dan rujukan kita sebagai pembaca.

Bab 1 : Rentetan peristiwa dan detik-detik kebangkitan Tok Janggut

Dalam bab ini penulis memperkatakan tentang kronologi peristiwa yang membangkitkan semangat ‘pemberontakan’ dalam kalangan masyarakat melayu waktu itu. Bagaimana tindak-tanduk ‘orang putih’ yang memperkenalkan pelbagai syarat dan undang-undang yang menyulitkan rakyat. Jika selama ini rakyat bebas mengerjakan ladang dan bersawah tanpa perlu sebarang ‘surat hak milik’ dan tanda sempadan, kedatangan British telah merubah kebiasaan rakyat, menimbulkan rasa kurang senang dihati mereka. Pihak British juga memperkenalkan sistem pemungutan cukai tanah dan cukai hasil sedikit sebanyak telah mengurangkan pendapatan rakyat (yang sedia sedikit). Faktor-faktor inilah antaranya yang menaikkan lagi semangat menentang penaklukan British.

Jika selama ini bidang kuasa yang melibatkan hal ehwal rakyat (orang-orang kampung) ditangani oleh Penghulu/Penggawa atau Tok Kweng, kini sedikit demi sedikit kuasa diambil alih oleh pihak British. Begitu juga dengan kuasa Sultan sebagai pemerintah negeri mula diganggu-gugat dengan kedatangan kuasa British ini. Demi menjaga kedudukan mereka, Sultan terpaksa berkompromi dengan British walaupun tanpa kerelaan mereka.

Rentetan tindak-tanduk pihak penjajah itulah yang menjadi titik tolak berlakunya penentangan yang membawa kepada pemberontakan seperti mana yang berlaku di Pasir Putih yang diketuai oleh Haji Mat Hassan Bin Munas atau Tok Janggut ini.


Bab 2 : Kebangkitan Tok Janggut dalam konteks Gerakan Anti-British di Malaysia

Dalam bab ini, penulis mengenengahkan tentang wujudnya gerakan-gerakan anti-British selain Tok Janggut di Kelantan.

Kehadiran dan penglibatan British dalam hal ehwal tempatan telah mencetuskan tindak balas daripada penduduk peribumi Malaysia yang lain. Di Kedah misalnya, Sultan Abdullah menentang campurtangan Kompeni Hindia Timur Inggeris yang membawa kepada tercetusnya serangan dan akhirnya termeterai perjanjian pada tahun 1791 antara Kedah dan Inggeris.

Di Naning pula, diketuai oleh penghulunya Dol Said yang tidak berpuashati dengan campurtangan Inggeris yang mempertikai kedudukan Naning yang dikatakan di bawah kerajaan Melaka dan mengarahkan segala urusan pentadbiran dan undang-undang dirujuk kepada Melaka. Ini telah mengurangkan kuasa Dol Said sebagai ketua yang mengamalkan adat pepatih.

Begitu juga dengan negeri-negeri lain seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang. Pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak juga merupakan penentangan terhadap British di Perak. Kebangkitan Datu Tating & penentangan Mat Salleh (Datu Mohamed Salleh Datu Balu) di Sabah serta penentangan terhadap kerajaan Brooke (James) di Sarawak adalah kesan daripada penjajahan kuasa-kuasa British dan sekutu-sekutunya di negeri-negeri di Tanah Melayu ini.

Timbulnya semangat untuk membebaskan diri/negeri/jajahan takluk daripada cengkaman penjajah dan kuasa-kuasa barat adalah juga akibat daripada meletusnya Perang Dunia I pada Ogos 1914. Peperangan yang melibatkan Britain, Perancis dan Rusia di satu pihak dan Jerman dan Austria di pihak yang lain meletakkan British di Tanah Melayu (Kelantan khususnya) dalam keadaan terdesak.

Selain itu juga Kerajaan Turki Uthmaniah telah mengisytiharkan perang terhadap Britain dan sekaligus mengisytiharkan jihad terhadap kuasa barat yang cuba menguasai negara-negara islam yang lain. Kekacauan yang tercetus di Singapura pada 15 Februari 1915 di mana askar-askar Indian Muslim di bawah pimpinan Haji Nur Alam Shah sebagai menyahut seruan jihad oleh kerajaan Turki Uthmaniyah membangkitkan lagi semangat untuk menentang British di negeri Kelantan yang terkenal sebagai bumi Serambi Mekah itu.


Bab 3 : Kebangkitan Tok Janggut dari perspektif Budaya Politik Melayu Kelantan.

Kepada seorang peneliti budaya, ia melihat budaya itu melambangkan jiwa anggota masyarakatnya.

Dalam bab ini, Budaya Politik Melayu Kelantan ini berdasarkan catatan Carveth Wells seorang jurutera keretapi yang ditempatkan di Tanah Merah, Kelantan. Mengikut catatan beliau, kehidupan rakyat Kelantan agak berbeza dengan kehidupan orang Melayu di tempat lain.

Di Kelantan wau dan gasing, rebana ubi dan kertok ditewahkan. Di sini juga (sebelum diharamkan) lembu dan ayam dilagakan. Bertelingkah, bertewah dan berlaga adalah budaya harian mereka (rakyat negeri Kelantan). Ini (permainan tradisi) hanyalah lapisan luaran sahaja, pertelingkah, perlagaan dan pertewahan ini sebenarnya adalah berkenaan dengan soal maruah, harga diri dan martabat. Untuk mendapatkan itu semua, mereka terpaksa berjuang, bertelingkah dan bertewah.

Dan dalam pola itulah Haji Mat Hassan dibesar dan didewasakan. Dalam pola budaya itulah juga rakyat Kelantan hidup dan menentukan kehidupan mereka dari satu generasi kepada generasi yang lain. Bersama harga diri, maruah dan martabat, mereka bertindak terhadap persekitaran sosio-politik sama ada pada waktu kolonial mahupun selepasnya.


Kesimpulannya:

Pada saya Tok Janggut bukanlah seorang penderhaka seperti mana yang dilabelkan pada beliau oleh sesetengah pihak (British & sekutu-sekutunya). Pada saya beliau adalah lambang kebangkitan orang Melayu Islam menentang penjajahan British yang mengamalkan prinsip ‘Jajah & Perintah’.


[Nota kaki: :) saya seperti buat assignment untuk subject sejarah pulak! hehehehe ]

Feb 7, 2011

Cinta Sufi ~ Ramlee Awang Murshid

luahan rasa : Wan Amalyn at Monday, February 07, 2011 0 rakan yang berkongsi rasa
Buku 2 : Cinta Sufi : Ramlee Awang Murshid : Alaf 21

Buku kedua yang telah selesai saya baca adalah buku ini, Cinta Sufi karya Ramlee Awang Murshid. Novel terbitan Alaf 21 ini adalah sequel Bagaikan Puteri selepas Hijab Sang Pencinta, Cinta Sang Ratu dan Bagaikan Puteri sendiri sebagai pelengkap pada kisah Laksamana Sunan atau Saifudin.

Sinopsis belakang kulit

PILU hati saat dikhabarkan suaminya gugur di medan perang, Catalina rebah tidak sedarkan diri. Sebaik terjaga, dia membicarakan hajatnya ke Hulu Melaka. Ingin mencari lelaki bertanduk dua.

Tanpa diduga, takdir menentukan Laksamana Sunan lelaki yang dicari Catalina. Malangnya, Laksamana Sunan bukan lagi wirawan. Kudratnya lenyap dan ditawan penjajah yang menakluk Melaka. Hampir dibunuh musuh, dia diselamatkan oleh cinta yang dipendam Luna.

Laksamana Sunan, Catalina dan Luna... bukan sekadar terperangkap dalam perjalanan yang berliku, malah terkurung dalam cinta segi tiga yang terlafaz dan tersembunyi. CINTA SUFI Sebuah kesinambungan trilogi Bagaikan Puteri, dipenuhi aksi pengembaraan dan pertembungan antara kebaikan dan kebatilan, yang nyata dan mistik. Disemarakkan lagi dengan rasa cinta dan pengorbanan.

Rasa Saya:

Cinta Sufi ini adalah kesinambungan kisah Saifudin yang dikenali dengan gelaran Laksamana Sunan. Kali ini, Saifudin yang telah kembali dari zaman akan datang terdampar lemah tidak berdaya selepas 'merentasi masa'. Dia yang lemah dijadikan tawanan/hamba sahaya oleh Yang Mulia Catalina balu Aryas Do Lopo bangsawan Portugis yang terkorban ketika berperang dengan tentera Turki.

Catalina yang kehilangan suami, belayar ke Tanah Melayu semata-mata ingin mencari Maryam yang muncul dalam mimpi-mimpinya tatkala dia tak sedarkan diri. Sebagai seorang bangsawan yang punya nama dan kedudukan, serta balu kepada wira Aryas Do Lopo yang terkorban ketika berperang, memberi kelebihan padanya mendapatkan perkenan Raja Portugal untuk menyertai armada perang ke Melaka. Tapi tak siapa yang tahu bahawa misinya yang sebenar adalah untuk mencari 'Maryam'.

Bermula kisah perjalanan pencarian mereka ke Hulu Melaka...

Pembacaan awal saya agak perlahan memandangkan saya punya masalah ‘ingat-ingat lupa’ pada kisah-kisah Laksamana Sunan dalam naskhah yang terdahulu. Antara pembacaan dan cubaan saya untuk ingat kembali, saya jadi bercelaru. Jadi saya membaca bagaikan jasad tanpa ruh! Mujurnya rentak saya bertambah lancar hanya selepas beberapa bab kemudian.

RAM sinonim dengan genre fiksyen/thriller bahkan dijoloki dengan gelaran Penulis Thriller No. 1 di Malaysia oleh para penggemar dan peminatnya. Begitu juga kisah ini, di mana tanah Melaka yang berdaulat menjadi salah satu lokasi utama. Pencarian 'Maryam' membawa Catalina ke Hulu Melaka yang bergolak. Sepanjang perjalanan, secara simboliknya 'Laksamana Sunan' menjadi jurupandu mereka walaupun ketika itu dia adalah hamba/tawanan perang.

Kali ini sejarah kependudukan Portugis di tanah melayu, Melaka khususnya difiksyenkan. Saya jadi keliru adakah ini fakta atau ‘auta’. Ops! jangan silap tafsir. Apa yang saya maksudkan ‘auta’ di sini adalah tokoh-tokoh yang termuat dalam buku sejarahnya betul tetapi insiden yang berlaku di kota Melaka di abad ke 15 itu benarkah begitu kisah yang berlaku di sebaliknya? Saya jadi keliru. Antara pemahaman saya tentang asal-usul penjajahan Portugis di Melaka dengan kisah yang berlaku di sebaliknya. (Huhuhu susunan ayat saya tulis ini pun dah jadi berbelit-belit seperti kepala saya yang pening... hahahaha)

Maafkan saya andai saya khilaf. Maklumlah pemahaman tentang sejarah Tanah Melayu saya sudah tumpul. Mata pelajaran Sejarah yang saya belajar dulu sudah menjangkau lebih 20 tahun yang lalu. Dan rasanya saya perlu cari balik buku-buku sejarah tentang tanah air saya yang tercinta ini supaya saya tidak lupa.

Ok berbalik pada cerita ini, Cinta Sufi ini juga sarat dengan tazkirah. Penulis bijak mentarbiah saya sebagai pembaca melalui tulisannya ini. Segala kelebihan surah-surah Al-Quran serta amalan-amalannya diperincikan dengan baik sekali. Amalan zikir dengan 99 nama-nama Allah (Asma’Ul Husna) dijadikan teras dalam naskhah ini. Pendek kata saya tidak membaca ‘kosong’ buku ini. Ada ilmu dan pengajaran yang boleh saya kutip melaluinya.

Selain itu juga dalam naskhah ini diceritakan juga tentang bangsa Polip. Serius, saya memang tidak tahu tentang kewujudan kaum ini. Dan sehingga saat ini saya masih tertanya-tanya siapakah sebenarnya kaum Polip ini?

Kesimpulannya, bagi penggemar RAM yang sentiasa mengikuti sekuel Bagaikan Puteri, pasti anda tidak akan lepaskan peluang membaca Cinta Sufi ini. Kisah yang berlatarbelakangkan Tanah Melayu di kurun ke-15 ini menggunakan bahasa ‘lama’. Tapi tetap mudah difahami, jangan risau!! Dan saya paling suka dengan penggunaan kata ganti diri ‘kita’ yang digunakan oleh Laksamana Sunan. Cute aje! hehehe

TAPI saya sangat kecewa dengan penamatnya. RAM suka membuatkan saya tertanya-tanya... apa yang berlaku pada Laksamana Sunan selepas dia ditembak (di dada) oleh Kapten Leandro dan kemudian dibawa oleh Laksamana Hang Tuah ke ‘dasar tasik’? Dan bab terakhir bagaikan klu bahawa akan ada lagi sambungannya selepas ini... Benarkan begitu?? Hanya RAM yang ada jawapannya...

Apa-apapun, saya suka cerita ini...

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare