Mar 7, 2012

Kita Hanya Di Seberang Jalan

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, March 07, 2012
Penulis : Bahrudin Bekri
Terbitan : PTS

Seperti biasa karya Che Din sentiasa memikat hati saya dengan caranya yang tersendiri =)

Penulis bijak mempengaruhi saya untuk terus tetap membaca hasil tulisannya hingga ke noktah terakhir.

Pada zahirnya, Kita Hanya Di Seberang Jalan bukanlah mengangkat isu/cerita yang 'gah'. Sebagaimana tajuknya, kisah ini pun tentang isu yang biasa-biasa sahaja. Tapi di sebalik 'biasa-biasa' terselit pengajaran yang mampu membuka minda pembaca yang mahu berfikir.

Apa yang ada di seberang jalan? Siapa yang ada di seberang jalan? Pertanyaan demi pertanyaan itulah yang membawa saya meneroka naskhah ini demi memenuhi tuntutan hati yang inginkan jawapan!

Kita Hanya Di Seberang Jalan, berkisah tentang Rusdan, graduan lepasan universiti yang masih terkontang-kanting mencari pekerjaan. Pelbagai usaha dilakukan demi mencari lowongan kerja. Daripada jawatan guru ganti hinggalah kepada penjual insurans. Namun di sebalik jawatan yang dipohon, berlaku insiden demi insiden yang tidak dijangka.

Sementara mendapat kerja, dia menumpang di rumah sepupunya Fatah yang mengusahakan Kedai Pisang. Walaupun pada asas mereka menjual aneka jenis pisang tapi Kedai Pisang tetap juga menjual pelbagai jenis barangan pertanian yang lain. Selain Fatah, Taib dan Suhardi (juga sepupunya) tinggal bersama di rumah yang juga merupakan kedai.

Sebagai graduan lepasan U, dia di anggap sebagai orang yang paling pandai di antara mereka. Dan sering dijadikan 'ketua' oleh sepupu-sepupunya. Antara salah satu tugasnya adalah mencari pasangan untuk Fatah. Fatah yang lembut hati sering dibuli oleh Abang Yo. Ini menimbulkan rasa tidak senang Taib dan Suhardi yang bekerja membantu Fatah kerana mereka yang menjadi mangsa secara tidak langsung. Suhardi berpendapat Fatah perlukan cinta kerana dengan cinta Fatah akan menjadi lebih berani dan tegas. Maka Rusdan lah yang ditugaskan untuk menemukan Fatah dengan 'cinta'nya.

Berjayakah Rusdan mendapat kerja yang sesuai dengan kelulusannya? Berjayakah Rusdan menjadi telangkai untuk Fatah sedangkan dia sendiri tidak pernah bercinta? Ingin tahu jawapan? Anda kenalah baca...

Bagi pembaca yang pernah membaca karya-karya Bahruddin Bekri, pastinya arif bagaimana cara penulis 'bercerita'. Setiap apa yang berlaku di seputar kehidupan Rusdan pastinya ada kejadian-kejadian aneh dan lucu yang membuatkan kita akan mengulum tawa. Dalam nada berlucu, ada isu serius yang boleh kita renungkan.

Watak-watak garapan penulis juga sangat dekat di hati kita. Gambaran insan marhaen seperti kita membuatkan kisah ini lebih santai dibaca. Dan apa yang pasti jalan cerita ini berlangsung dengan penamat yang akan membuatkan kita rasa lega dan puas hati.

=)


0 rakan yang berkongsi rasa:

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare