Nov 11, 2008

Bidadari-Bidadari Surga

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Tere Liye
Halaman : 362 (edisi Indonesia)
Tahun : Cetakan 1 : Juni 2008
Terbitan : Penerbit Republika
(edisi terjemahan oleh PTS)
Harga :


Sinopsis:

Bidadari-Bidadari Surga (BBS) adalah karya hasil garapan penulis yang berasal dari negara jiran tetangga – Indonesia – Tere Liye.

Kisah tentang rentetan perjalanan 5 orang anak bersama ibu mereka Mamak Lainuri sebagai ketua keluarga selepas pemergian Babak (ayah) mereka akibat dibaham oleh penguasa rimba – Sang Siluman – gelaran yang diberikan pada Harimau Gunung Kendeng. Bersama anak-anaknya Laisa, Dalimunte, Ikanuri, Wibisana dan Yashinta, mereka meneruskan hidup dalam serba kedaifan di Lembah Lahambay yang terpencil, yang serba kekurangan dan serba keterbatasan. Yang hidup hanya bersandarkan nasib yang mahu berbaik pada mereka. Tapi bukan dengan jalan yang mudah.

Hidup hanya berbekalkan kerja keras, kerja keras dan kerja keras. Itulah semangat yang ditiupkan oleh Laisa terhadap adik-adiknya. Walaupun adakalanya dia lelah sendirian dengan olah si adik terutamanya 2 'sigung kembar' (sebenarnya bukan kembar) Ikanuri dan Wibisana. Bahkan dia pernah diuji apabila kehadirannya dipertikaikan oleh si adik "kau bukan kakak kami, kenapa pula kami harus menurut". Tapi dia tetap tegar meneruskan usaha dan tenaga bahkan sanggup mengorbankan hatta nyawanya demi adik-adiknya. "Lais mohon… Ya Allah, jangan ambil adik Lais"

Hidup yang hanya bersandarkan usaha yang gigih tanpa kenal erti putus asa. Mereka 'dewasa' bersama keazaman dan kerja keras semata. Walaupun adakalanya nasib seakan tidak ingin bersahabat dengan mereka. Yang adakalanya menyempitkan peluang mereka untuk meneruskan persekolahan. Namun mereka tidak peduli. Mereka tetap berusaha tanpa jemu. Hinggalah 'nasib' mula berbaik pada mereka. Memberi mereka peluang, yang pastinya adalah atas usaha dan kerja keras kak Laisa.

...Dan sesungguhnya di syurga ada bidadari-bidadari bermata jeli (Al Waqiah: 22). Pelupuk mata bidadari-bidadari itu selalu berkedip-kedip bagaikan sayap burung indah. Mereka baik lagi cantik jelita (Ar Rahman: 70). Bidadari-bidadari syurga seolah-olah adalah telur yang tersimpan dengan baik (Ash-Shaffat: 49)...


******

Apa yang dapat aku katakan usai membaca Bidadari-Bidadari Surga (BBS) ini, aku terpaku. Aku terkedu. Dan aku menyapu sisa air mata yang mengalirkan di pipi pabila perasaan sebak, tersentuh dan sedih akan nasib mereka sering mengiringi aku sepanjang menghabiskan bacaan ini. Subhanallah, indahnya naskhah ini, itulah perasaan yang singgah dibenakku.

Ini kisah tentang masa kecil mereka yang penuh perjuangan. Kisah 25 tahun silam yang penuh onak dan ranjau. Sebelum mereka bangkit menjadi apa yang mereka 'jadi' hari ini. Kejayaan setiap mereka adalah lambang perjuangan kakak mereka – Laisa.

Sebuah karya tentang pengorbanan seorang kakak terhadap adik-adiknya. Kisah tentang Kak Laisa yang tidak akan pernah membiarkan adik-adiknya kecewa, kisah tentang Kak Laisa yang tidak akan pernah membiarkan adik-adiknya malu. Jika harus ada yang kecewa dan malu adalah dirinya bukan adik-adiknya. Kisah tentang kak Laisa yang tidak pernah datang terlambat untuk adik-adiknya. Kisah kak Laisa yang sanggup mengorbankan seluruh hidupnya demi adik-adik.

Seorang kakak yang sanggup mengorbankan seluruh masa remajanya demi kelangsungan hidup adik-adiknya. Seorang kakak yang sanggup mengorbankan hatta nyawanya tatkala berdepan dengan Sang Siluman. "Puyang tidak boleh memakan mereka... Lais mohon. Tidak boleh!" Walaupun dia sedar dirinya sendiri bakal menjadi mangsa sebagaimana nasib yang menimpa ayah mereka. Aduhai... aku jadi takjub dengan keberanian Laisa. Seorang kakak yang tidak pernah mengenal erti susah, erti takut demi adik-adiknya.

Jika anda mahukan kisah 'cinta', naskhah ini sememangnya sarat dengan rasa 'cinta'. Cinta seorang kakak terhadap adik-adiknya. Kisah cinta adik-adik pada kakaknya pabila mereka mulai sedar akan pengorbanan si kakak.

Aduhai... aku kedengarannya amat berlebihan! Bukan kerana aku berpeluang bertemu empat mata dengan penulis hebat ini. BUKAN. Tapi sesungguhnya akulah yang jadi teruja untuk bertemu si penulis ini tatkala usai membaca ketiga-tiga karya beliau – Hafalan Shalat Delisa, Moga Bunda Disayang Allah & Bidadari-Bidadari Surga(naskhah original berbahasa Indonesia). Bagi aku setiap inci cerita ini adalah istimewa dan sarat dengan 'semangat' perjuangan seorang kakak.

Bacalah. Aku ingin kamu merasai perasaan yang sama seperti aku. Moga 'rasa' aku tidak menipu kamu, atau jika anda rasa tertipu... maafkan aku, kerana sesungguhnya aku tidak boleh menipu diriku sendiri. 'Rasa' yang sarat dengan perasaan sebak dan sedih tapi bahagia... walaupun di akhir cerita tidak se'bahagia' sebagaimana yang kita harapkan akan berlaku, tapi aku PUAS. Kerana aku tahu... pastinya kak Laisa adalah antara 'Bidadari-Bidadari Surga' yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. Amin.

Ombak Bukan Biru

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 1 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Fatimah Busu
Halaman : 374
Tahun : 2008
Terbitan : Cetakan terbaharu Oleh – Pekan Ilmu Publication
Harga : RM18.90


Blurb:

Imrah bangkit berdiri dalam satu pertembungan antara tradisi lama dan tradisi baru. Sebelah kaki Imrah masih dalam lingkungan tradisi kampung yang bersih dari pengaruh-pengaruh luar dan penuh dengan amalan adat resam orang-orang tua, tetapi dengan menggunakan kekuatan yang luar biasa, Imrah cuba menjangkau kehidupan kekinian yang diamalkan di kota-kota yang telah diresapi oleh unsur-unsur luar dengan kakinya yang sebelah lagi. Jatuh bangun Imrah, kegagalan dan kejayaan Imrah untuk mencantumkan dua impian kehidupan yang bercanggah ini adalah ombak-ombak yang menghakis kehidupan remaja dan mematangkan dirinya. Lalu dengan rasa penuh sedar akan tanggungjawap satu kewujudan seorang perempuan, dia memulakan perjalanan baru yang bertolak dari satu soalan, 'Di manakah penyudahnya hidup seorang perempuan?'

******

Ombak Bukan Biru adalah sebuah karya hasil garapan penulis berkaliber Fatimah Busu. Secebis kisah masyarakat di era 70-an (perbetulkan aku andai aku silap). Kisah tentang seorang anak gadis yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh pada keluhuran ajaran Islam, yang menitikberatkan adat dan tradisi melayu.

Ayahnya, "… seorang kampung tutuk. Ayah fanatik dengan kitab-kitab dan soal akhirat. Ayah ulama yang tak terlantik di kampung. Dan semua orang hormatkan ayah kerana kealiman ayah. Ayah pantang dibahas tentang agama, ayah akan bertegang sampai jauh malam selagi lawannya tidak mengaku kalah. Dan ayah juga pantang ada orang mahu pinjam kitab-kitabnya. Tidak ada dalam simpanan, rela keluar wang untuk beli dan beri pinjam. Dan kerana itu ayah 'berilmu'. Ayah dihormati. Ayah disegani. Ayah dimuliai. Apatah lagi kerana ayah seorang 'Haji'…" – halaman 27

Kisah tentang seorang pendidik biasa yang mengajar di Kota Bharu. Seorang yang bergiat aktif dalam bidang seni tari dan pandai menarikan tarian asyik, tarian lilin, tarian zapin serta beberapa jenis tarian lagi, juga seorang yang pandai bermain alat-alat muzik.

Seorang anak gadis yang tumbuh sebagaimana lumrah anak-anak remaja lain, yang punyai naluri untuk menyintai dan dicintai, mengecap nikmat manisnya bercinta, merasa pahitnya dikecewakan dan indahnya bercinta lagi.

Kisah tentang pergolakan emosi seorang Imrah. Cinta Imrah pada Yamin, cinta yang dikhianati. Ketika hatinya sedang lara, Cik Celine datang bersama hasrat ingin mendalami seni tari melayu. Membawa dia mengenali Lawrence, 'tall and handsome. Good looking, nice guy' yang membuatkan dirinya seumpama 'Alice in Wonderland'. Namun cintanya pada Lawrence adalah cinta 'terlarang'. Namun dia tegar…

Nasi lemak buah bidara
Daun selasih aku lurutkan
Tinggal emak, ayah saudara
Kerana kekasih aku turutkan


Itulah Imrah yang mengalami transformasi budaya. Antara tradisi lama yang harus dijunjung dan tradisi baru yang ingin diterokai. Natijahnya dia dibuang keluarga. Dia tersisih dari perhatian ayah, dia terpinggir dari kasih sayang ibu dan dia jauh dari pandangan saudara.

Bahkan berita tentang kematian ayahnya hanya diketahui lewat telegram kiriman kakaknya Rohani. Hanya selepas hampir seminggu jenazah ayahnya disemadikan. Pergi tanpa sempat Imrah sujud di kaki ayahnya memohon keampunan. Pergi bersama dosa-dosa Imrah yang tidak terampun.

Walau bagaimanapun rasa cinta semata tidak cukup untuk membuatkan hidupnya bahagia. Badai datang tanpa diundang. Tindakan nekad tanpa akal yang waras membuatkan hidupnya berantakan. Memaksanya dia meninggalkan Lawrence ketika dirinya sedang sarat mengandungkan buah cinta mereka hanya kerana perasaan cemburu. Dia kecewa kerana dikecewakan. Dia kembali menjejaki tanah desa tercinta bersama jenazah anaknya untuk disemadikan.

Namun Imrah tetap cekal menghadapi hari depan. Walau dugaan datang bertimpa, dia redha. Ini takdir untuk dirinya yang 'berdosa'. Dia bangkit sebagai Imrah yang baru, dengan semangat baru dan dengan kerja yang baru sebagai pramugari dengan harapan di antara para penumpang itu, tersembul wajah Lawrence, tatkala boeing 747 membawanya terbang di awan biru...


Apa yang dapat aku katakan usai membaca karya ini… ia sememangnya 'Novel yang Merentas Dekad'!!

Aku suka dengan watak Imrah. Ia adalah gambaran seorang anak gadis yang telus walaupun tidak semulus heroin-heroin lakaran penulis baru dewasa ini. Aku dapat bayangkan Imrah, seorang anak gadis yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan ilmu agama. Ilmu akhirat, membesar, bercinta, putus cinta dan bercinta lagi, tetapi dia tetap tahu di mana letak nilai dirinya.

Apa yang aku kagum dengan watak Imrah ini adalah, penulis berjaya memisahkan gambaran zahir si Imrah – seorang anak gadis yang bersopan santun – dengan pergolakan emosi seorang Imrah tatkala dirinya dalam sengsara menahan hati yang merana dek cinta yang terkandas di tengah jalan. Walaupun ada antara bait-bait ayat yang menggambarkan suara hati Imrah agak 'kasar' pada pembacaan aku, tapi seorang Imrah tetap menjaga keperibadian zahir sebagai gadis timur yang telah terdidik dengan sempurna oleh kedua orang tuanya. Ia tetap menjaga tingkah, hinggalah dia tewas pada pesona mata sang arjuna yang memukau dengan kelelakiannya. Memanah terus ke jantung hatinya membuatkan dia buta untuk menilai dan tegar 'menukarkan' seorang ayah dengan seorang lelaki lain.

Apa yang membuatkan aku jatuh cinta dengan novel ini adalah, Ombak Bukan Biru telah menggembalikan 'jiwa' aku yang telah lama tertinggal di kampung. Ya, Ombak Bukan Biru telah membawa aku kembali mengimbau nostalgia semalam yang aku tinggalkan.

Suasana meriah hari sabtu di bandar KB, menyusur jalan-jalan dan lorong-lorong yang pernah aku jejaki tapi sudah lama aku tidak kunjungi. Istilah-istilah dan dialek yang digunakan, membawa aku kembali ke desa yang tercinta. Istilah orang hilir, orang hulu, karai air, meratib, gatih, berkemban gantung, celapak, berbalik pais, karak, berjujut-jujut, sekah adalah antara dialek-dialek yang aku jumpa dalam novel ini. Mengembalikan ingatan aku pada loghat yang sudah jarang aku gunapakai. Sungguh nostalgia.

Pendek kata jika anda anak jati negeri Serendah Sekebun Bunga yang telah lama merantau dan hampir lupa akan bahasanya yang unik itu, anda harus membaca novel ini. Untuk mengembalikan ingatan anda pada tanah yang pernah berada di bawah tampuk pemerintahan Cik Siti Wan Kembang ini.

Namun begitu, keseluruhan penggunaan bahasa oleh pemegang Ijazah Sarjana Sastera (1978) dan Doktor Falsafah (1994) dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Bahasa 'orang lama' yang sarat dengan bunga-bunga bahasa yang indah dan puitis, yang sememangnya tidak lekang dek hujan tak lapuk dek panas. Indah dan menawan dalam darjahnya yang tersendiri. Mengingatkan aku betapa indahnya bahasa melayu, bahasa yang pernah diangkat sebagai bahasa perantara (lingua-franca) yang ditutur berabad-abad yang lalu di seantero Nusantara.

Aku cukup puas usai membaca naskhah ini. Sebuah 'masterpiece' yang cukup telus daripada Dr. Fatimah Busu. Jika anda ingin kembali ke era 70-an, bacalah Ombak Bukan Biru ini, tapi jangan terkejut andai 'cerita'nya masih relevan dengan kehidupan kita dekad ini.

Selamat Membaca!!

Doa Untuk Aku

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Bahruddin Bekri
Halaman : 436
Tahun : 2008
Terbitan : PTS O.N.E Sdn Bhd
Harga : RM22.90


Blurb:

"Menarik juga cadangan kau. Mungkin dapat membantu aku menghadapi peperiksaan akhir. Masalahnya, di mana kita mahu mencari 40 doa itu?" soal Adly.

"Aku ada. Aku doakan kau sebanyak 40 kali. Nanti dapatlah kau menghadapi peperiksaan akhir dengan cemerlang," jawab Kassim kembali. Dia tersenyum.

"Kau doakan aku sebanyak 40 kali? Hmm… begitu sahaja?"

"Aku keliru. Adakah maksud 40 doa itu adalah 40 kali doa daripada orang yang sama, ataupun 40 kali didoakan oleh orang berlainan?" Adly kembali menyoal. Fikirannya kembali kusut.

"Err.. aku pun tak pasti. Rasanya dua-dua sekali, 40 kali doa daripada 40 orang berlainan. Nanti kita tanyalah sesiapa. Tentu ada orang yang lebih arif fasal hal ini," cadang Kassim lagi.


Adly membesar bersama keyakinan hidupnya dirahmati dengan adanya doa daripada ibunya. Kematian ibunya membuatkan Adly kehilangan 'senjata'. Apa yang dapat menggantikan doa ibunya? Lalu bermula pencarian Adly mencari 40 doa.

******

Doa Untuk Aku (DUA) berkisar tentang Adly yang terlalu obsess (kalau boleh dilabelkan begitu) dengan doa. Padanya doa ibunya adalah satu-satunya senjata yang paling berkuasa dalam hidupnya, yang membuatkan dia lulus dalam peperiksaannya. Namun kematian ibunya menjadikan Adly kehilangan 'senjata' yang paling ampuh yang menjadi perisai dirinya. Keyakinannya mulai goyah. Dia mulai hilang semangat.!!

Namun perkenalan secara tidak sengaja dengan pengembara yang hobinya memotong rumput, membuka matanya akan alternatif lain untuk berjaya dalam hidup. 40 doa. Ya itulah yang dia ingin terokai. Maka bermulalah misinya mencari 40 doa.

Berbekalkan keyakinan akan kemujaraban doa, dan dengan bantuan rakan-rakan terutamanya Kassim, dan ahli kumpulan Amin bin Damit – Amin, Zulaikha dan Sarah – misi mencari 40 doa menjadi satu misi yang sungguh unik, lucu, sedih dan menarik, terjadi pada mereka.

Nak tahu apa yang terjadi sepanjang misi pencarian 40 doa Adly?? Anda kenalah baca karya ini.


Apa yang dapat aku katakan usai membaca karya ini... lawak sungguh!!!. hehehe

Tapi jangan cepat percaya pada komen pertama aku.!! Sesungguhnya DUA ini bukanlah karya 'gila-gila' tetapi membacanya membuatkan aku tak henti menyungging senyuman. Idea Che Din (boleh ya kakwan seru begini?) amat aku kagumi. Che Din berjaya menyampaikan misi mencari 40 doa Adly bukan hanya untuk Adly semata, tetapi juga sebagai modus untuk memperingatkan aku sebagai pembaca akan definisi 40 doa-doa yang dimakbulkan.

Sesungguhnya DUA ini sarat dengan ilmu yang amat berguna buat pedoman kita sebagai pembaca. Walaupun pada dasarnya, isunya hanyalah berkenaan dengan DOA… yang kita tahu merupakan senjata orang-orang mukmin, dan mungkin anda semua sudah arif tentang doa dan adab-adabnya, tetapi tidak salah kalau kita terus diperingatkan tentang doa!, dan Che Din berjaya dalam misinya (sekurang-kurangnya pada aku kalau bukan pada pembaca lain!!) yang sering kali alpa dan mudah lupa.

Sebenarnya bukan sekadar doa yang menjadi inti pati utama dalam DUA karya Che Din ini, tetapi ada banyak lagi isu-isu yang diutarakan dalam DUA ini. Isu yang di mata kita nampak remeh, yang kita rasakan tiada apa yang menariknya lagi… melainkan isu yang telah mendarah daging dalam kehidupan kita. (terutamanya isu 'konsert hattan'… hahaha!! begitu ya perasaannya??) Tapi membaca DUA membuatkan aku sedar bahawasanya hidup ini adalah satu perjuangan untuk kemenangan di hari kemudian.

Tahniah pada Che Din. Sesungguhnya Che Din telah memberikan satu anjakan baru dalam dunia penulisan kreatif, satu variasi baru dalam memperkayakan lagi genre penulisan kita.

Buat anda rakan pembaca, bacalah Doa Untuk Aku, semoga kamu mendapat manfaatnya. Selamat membaca dan berkongsi gelak denganku!!

Dunia Ini Sederhana Kecil

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Bahruddin Bekri
Halaman : 436
Tahun : 2008
Terbitan : PTS O.N.E Sdn Bhd
Harga : RM23.90


Blurb:

Kata perempuan berlesung pipit, "Cinta itu umpama menunggu bas. Kita perlu memilih bas yang tepat pada masa yang sesuai. Sekiranya tidak, kita tidak akan selesa meneruskan perjalanan kita. Sebab itu saya masih menggunakan kereta."

Kata Riduan pula, "Aku cakap dengan kopi di dalam gelas aku. Orang bukan tidak sayang, cuma orang tidak nampak dan lupa."

Kata Ibu, "Hidup manusia ini seperti roda. Kadangkala di atas kadangkala di bawah. Tidak penting kamu berada di atas ataupun di bawah, yang penting kamu sebenarnya bergolek di mana? Sama ada jalanan itu berlumpur, berduri ataupun kamu bergolek di padang-padang rumput yang indah."

Lelaki gempal kata, "Hidup manusia juga seperti tingkap. Apabila tingkap itu ditutup, maka manusia tidak dapat hidup kerana tiada ruang dan peluang."

Kata lelaki muka berminyak pula, "Pelangi, warnanya bukan hanya hitam dan putih. Begitu juga dengan hidup"

******

Dunia Ini Sederhana Kecil (DISK) adalah karya pertama Bahruddin Bekri yang aku baca. Dan aku jatuh cinta!!.

Kisah bermula di perhentian bas. Kisah yang membawa kepada perkenalan secara tidak langsung yang berlaku antara Syamir – Haliza, Syamir – Tasha, Syamir – lelaki gempal dan Syamir – pakcik KJ. Walaupun hubungan yang berlangsung hanya setakat di perhentian bas namun membawa satu impak yang cukup besar kepada mereka. Tanpa sedar, menjadikan mereka saling berkait, saling terikat antara satu sama lain.

Kisah tentang Syamir lulusan ekonomi yang menjadi penganggur setelah diberhentikan kerja. Tertarik dengan iklan jawatan kosong yang diiklankan di ruangan iklan kerja kosong membawa Syamir menyertai Syarikat Berkobar-Kobar Sdn Bhd. Sebuah syarikat yang memasarkan produk kicap kesihatan cap 'Basikal Sulaiman', yang akhirnya menjadikan Syamir seorang penjual kicap!. Bersama seorang lagi rakan yang sama-sama menghadiri temuduga bersamanya, Musa Marjoko dan Sophea Miyagi sebagai mentornya, pelbagai insiden lucu, suspen dan mengujakan terjadi kepada mereka apabila mereka harus menjual kicap. Apa yang berlaku??

Juga terselit kisah antara Syamir dan teman sebiliknya yang baru berpindah, Jid @ Majid @ Majidah. Insiden di satu malam yang disaksikan oleh lelaki gempal menerusi tingkap bilik yang terbuka, menimbulkan salah faham yang akhirnya membawa padah pada gitar kesayangan lelaki gempal tersebut. Apa salah faham tersebut?? hehehe

Juga kisah yang berlaku pada Syamir – Tasha – Haliza. Perhubungan yang hanya berlaku di perhentian Bas. Walaupun pertembungan antara Syamir dan Haliza lebih kerap, tetapi jalinan 'kejiwaan' antara Syamir dan Tasha lebih kuat. Perhubungan yang akhirnya membawa kepada perkenalan antara Cik Pelangi dan En. Bedak Sejuk. Siapa Cik Pelangi dan siapa Encik Bedak Sejuk?? Bagaimana hubungan mereka bermula?? Apa yang mengikat mereka??

Juga babak suspen penuh misteri tentang kehilangan Formula D yang sangat 'berharga', memaksa Dato' Hisham pemilik Syarikat Merong, sebuah syarikat pembuat senjata api mengerahkan orangnya menubuhkan misi mencari. Tapi pencarian mereka tidak semudah yang disangkakan. Lantaran khidmat 'B' diperlukan. Masalahnya 'B' adalah manusia misteri yang tidak seorangpun pernah berhubungan secara terus dengannya. 'B' hanya boleh dihubungi melalui internet. 'B' yang sentiasa menukar alamat e-mal bagi mengelak diri dari dikesan. Bagaimana mereka ingin menghubungi 'B'? Dan Dato' Hisham perlu menunaikan tuntutan bayaran sebanyak 50juta dolar sebagai upah. Berjayakan orang Dato' Hisham menjejaki 'B'?? Tapi apa kaitan Formula D dengan Syamir??

Persoalan-persoalan ini hanya dapat anda rungkaikan apabila anda membaca karya Bahruddin Bekri ini.

Apa yang dapat aku katakan adalah, aku suka novel ini. Satu 'wajah' baru dalam dunia penulisan novel kreatif. Satu kelainan yang benar-benar membuatkan aku terpesona dengan karya ini. Satu tema yang bagi aku adalah biasa-biasa saja. Kisah lelaki dan perhentian bas, lelaki dan kicap. Tetapi ditangan Bahruddin 'Lelaki, Perhentian Bas & Kicap' menjadi sangat istimewa, sangat luarbiasa.

Dengan gaya bahasa yang santai dan lenggok bahasa yang mudah difahami, disampaikan dengan cara yang kadang-kala 'lawak antarabangsa' – unsur humor yang spontan, membuatkan aku terpaku menatap karya ini. 'Dunia Ini Sederhana Kecil' dunia yang berlegar hanya diseputar perhentian bas, dunia yang menjadi penghubung antara mereka, membuatkan aku tersenyum simpul tapi ada kalanya aku terkedu dengan sinisnya. Karya mantap sarat dengan falsafah ini berjaya mengikat aku hingga ke noktah terakhir.

Tahniah pada penulis. Satu kelainan yang akan menjadi daya tarikan pada pembaca yang mencari kelainan dalam genre pembacaan mereka. Satu karya yang secara peribadinya aku rasa cukup hebat dari penulis muda yang berbakat. Dan aku yakin para pembaca yang inginkan kelainan tidak harus mengenepikan buku ini. Kamu harus membacanya dan nilaikan sendiri kerana selera kita tidak sama, tapi aku yakin kamu tidak akan kecewa.

Selamat membaca!!

Bohemian

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Imaen
Halaman : 472
Tahun : 2008
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00


Blurb:

Cinta membuat kita tidak memandang apa-apa yang datang daripada kita, walaupun ia sebesar mana sekalipun. Sebaliknya, kita hanya akan memandang apa-apa yang datang daripada orang yang kita cintai, walau sekecil mana pun. Cinta membuat kita membuang sifat sendiri, dan mengambil sifatnya sebagai ganti.

Aku
pemain muzik jalanan
melayari malaysiakini.com
merambu-rambu cari duit
pakai seluar bertampal di lutut
berambut panjang cecah bahu

Dia
seorang peguam
baca Business Times
gaji ribu-ribu
pakai skirt nampak lutut
berambut copper blonde celup

Siapakah dia yang berani mencuri tenang dan damaiku, lalu menggantikan ia dengan resah gelisah?

Siapakah dia berani merampas hening bening malam dengan huru-hara yang tidak keruan ini?

Siapakah dia yang berani mengusik lenaku dengan bayangnya?

Dia, yang tidak pernah ada dalam senarai bidadari anganku! Tidak pula pernah sekalipun wujud dalam daftar mimpiku!

Dia, yang dari hujung kaki hingga hujung rambut bukanlah perempuan yang aku mohon lewat doa-doaku kepada Tuhan.

**~**

Setelah Vendetta (Gurindam Jiwa) dan Labyrinth, IMAEN melakarkan risalah pemuzik jalanan – busker – berbicara tentang cinta antara Fadlan & Nadira, dengan bahasa mantap penuh falsafah, namun disajikan dalam nada manis cara Bohemian.


********

Bohemian, kisah tentang pemuzik jalanan yang ingin mempertahankan prinsip dan pegangannya di zaman yang didakwa serba-serbi moden.

Kisah tentang pemuzik jalanan yang ingin memperbetulkan persepsi dan tanggapan orang ramai tentang muzik. Kisah tentang Pemaju dan PBT – pihak berkuasa tempatan – yang korup. Juga kisah polis dan penjahatnya.

Fadlan sang Bohemian lulusan Kejuruteraan Universiti Malaya tetapi memilih hidup sebagai 'busker'. Menyanyi di dataran Syiouk Skali dan menjadikan nyanyiannya sebagai sumber rezeki. Kisah tentang Nadira si loyar yang hidup berlandaskan prinsip dan rutin yang harus dituruti jadualnya.

Namun bila dua manusia yang berbeza cara hidup dan pemikiran bak langit dan bumi, bertemu di satu garisan yang dinamakan 'cinta', akan bertemukah satu noktah yang dinamakan 'keserasian'??


Apa yang aku suka sangat akan Bohemian ini adalah pengisiannya. Ia bukan sekadar novel tetapi ia sarat dengan ilmu yang amat berguna buat aku yang jahil ini. Ia padat dengan info dan kata nasihat.

Lagi satu aku suka dengan bahasa Imaen. "Bahasa mantap penuh falsafah namun disajikan dalam nada manis" bak kata blurb belakang kulit. Namun dalam manis kata bicara, tetap terselit nada sinis buat pembaca yang mengerti.

Aku suka dengan persoalan yang diutarakan oleh Imaen. Persoalan biasa tentang dunia muzik tanah air yang dewasa ini sudah menjadi 'rojak'. Persoalan tentang 'korupsi', tentang amalan 'under table' yang sama ada kita sedar atau tidak, memang wujud dalam masyarakat kita hari ini. (Ops! dan ada tips & resepi jugak ya!! ) Dan apa yang pasti, pada aku Bohemian cukup rencahnya, kerana ia mampu membuatkan perasaan aku bercampur-aduk ~ suka, sedih, suspen, terbuai ~ bahkan aku tidak mampu menyembunyikan sengihanku sepanjang menghabiskan bacaan ini.

Bohemian pada aku lebih 'lembut' berbanding Labyrinth yang lebih mysterious. Namun tahap 'kesinisan'nya masih di tara yang sama atau mungkin lebih??

Sekalung tahniah buat penulis kerana berjaya menambahkan satu lagi sumber maklumat. Penulis berjaya menyelitkan fakta tanpa aku sebagai pembaca bosan untuk membacanya (dan nasihat juga!!). Aku yakin penulis telah membuat rujukan dan penyelidikan yang teliti.

Dari Beirut Ke Jurusalem

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Dr Ang Swee Chai
Halaman : 403
Tahun : 2007
Terbitan : Unit Buku Harakah (Edisi Terjemahan)
Harga : RM 28.00


Dari Beirut Ke Jerusalem adalah 'catatan perjalanan' penulis – Dr Ang Swee Chai – sebagai sukarelawan (doktor) yang bertugas di Lubnan ketika berlakunya tragedi berdarah yang menyayat hati. Pembunuhan beramai-ramai mereka yang tidak berdosa – kanak-kanak, wanita & warga tua – di kem Sabra & Shatila pada tanggal 15-18September 1982. Buku yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris ini sarat dengan maklumat terperinci, daripada pengunduran PLO dari Beirut hinggalah tragedi kemanusiaan yang dilalui oleh Dr Ang sebagai sukarelawan. Semuanya dari kaca mata seorang doktor.

Dari Beirut Ke Jerusalem adalah testimoni penulis kepada dunia tentang 'wajah sebenar' penduduk Palestin di bawah cengkaman para penyangak dunia yang tiada sekelumitpun perasaan belas kasihan dan timbang rasa. Kisah tentang keperitan rakyat Palestin yang terus menerus dinafikan hak mereka di bumi yang dahulunya adalah tanah air mereka sendiri.

Dari Beirut Ke Jerusalem adalah kisah kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin. Juga tentang ketabahan rakyat Palestin membangunkan 'negara' mereka di sebalik puing-puing keruntuhan walaupun dimusnahkan berkali-kali. Malah mereka juga terpaksa menelan hakikat kehilangan ahli keluarga tersayang mahupun 'ahli anggota badan' sebagai galang gantinya.

Dari Beirut Ke Jerusalem adalah 'wajah' anak-anak Palestin yang hidup bertemankan bedilan mortar dan dentuman bom yang menjadi 'mainan' mereka setiap saat setiap detik namun masih bisa mengukirkan senyuman berserta lambang 'V' tatkala di'potret'kan oleh lensa kamera penulis.

Dari Beirut Ke Jerusalem adalah cerita sedih si ibu, si isteri dan si anak yang kehilangan para syuhada mereka demi mempertahankan 'tanah' Palestin yang telah kehilangan tapaknya. Si isteri menjadi balu dan si anak menjadi piatu. Namun mereka tetap pasrah. Mereka tetap hidup dengan kepercayaan, harapan dan kasih sayang agar satu hari nanti mereka bisa hidup dengan aman.

Dari Beirut Ke Jerusalem juga adalah kisah 'cinta'. Cinta yang tidak berbelah bagi 'rakyat Palestin' pada tanah air, demi cinta mereka sanggup mati kerananya. Cinta mereka pada bangsa dan cinta mereka pada keamanan yang amat jauh dari hidup mereka. Juga cinta para sukarelawan pada anak-anak Palestin tanpa mengira bangsa dan agama.

Walaupun akhirnya Sabra & Shatila lenyap dari muka bumi, namun luka yang ditinggalkan di jiwa mereka yang masih hidup akan tetap berparut sehingga ke akhir hayat. Semangat Sabra & Shatila akan terus menjadi api yang membara di dada anak-anak bangsa Palestin yang akan terus berjuang demi bangsa dan maruah mereka.

Dari Beirut Ke Jerusalem adalah jurnal perang yang lahir dari keinsafan penulis terhadap musibah yang menimpa rakyat terutamanya di negara teluk yang buminya tidak pernah aman. Sebagaimana petikan yang terkandung dalam prakata khas untuk edisi bahasa Malaysia buku ini Dr. Ang menulis: "Setelah berkali-kali memeriksa diri, saya membuat kesimpulan bahawa darah rakyat Palestin turut membasahi tangan saya. Sehingga ke saat itu saya masih berprasangka dan bersikap berat sebelah. Saya tidak boleh memaafkan diri sendiri dengan berlindung di sebalik kejahilan.

"Selama berminggu-minggu sebelum berlakunya pembunuhan beramai-ramai itu, saya terlalu prejudis untuk mempercayai kisah-kisah yang diceritakan kepada saya oleh penduduk kem."


Walau apapun yang berlaku di Sabra dan Shatila, walau sudah banyak yang diperkatakan dan diketahui umum, namun terjemahan catatan perang bersempena dengan ulang tahun ke-25 tragedi kemanusiaan ini amat penting bagi mengingatkan warga dunia bahawa pergolakan masih belum tamat dan banyak lagi yang perlu dipelajari dan diteladani daripada peristiwa pembunuhan beramai-ramai itu.

Dari Beirut Ke Jerusalem adalah hadiah kepada kita para pembaca supaya menginsafi diri dan tidak lupa pada sejarah hitam yang berlaku terhadap saudara seagama kita di bumi yang sering bergolak itu. Bacalah, nescaya anda juga akan menangis seperti saya mengenangkan nasib yang menimpa saudara kita di 'seberang' sana. Buku ini benar-benar menginsafkan saya.

Tentang... Dhiya

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 0 rakan yang berkongsi rasa

Pengarang : Syud
Halaman : 544
Tahun : 2008
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.00


Blurb:

Dhiya Nurlisa & Azril Mustaufi

Mereka 'terpaksa' kenal waktu menyiapkan kerja kursus berkumpulan.

Azril tak pernah faham kenapa Dhiya membencinya habis-habisan. Padahal alasan kenapa Azril dimusuhi sudah jelas, kan?

Menurut Dhiya, Azril tu:
Tipikal groupmate: tak datang untuk diskusi, ambil bena tak bena hal assignment, almaklumlah EOP sekadar kertas elektif untuk bakal arkitek itu!
Sedangkan Azril juga ada alasan sendiri, untuk semua sikapnya selama ini. Cuma Dhiya yang menyinga tak bertempat.

Lepas graduate, masing-masing bawa diri. Fuh, leganya...!

Namun takdir telah menemukan lagi mereka, kali ini dalam suasana yang tak sama. Seperti biasa Azril masih lagi 'masalah' kepada Dhiya. Lalu apa langkah seterusnya, Dhiya?

Tidak semua perkara layak diberi peluang kedua, Dhiya. Usah tegar memberi peluang jika tahu apa sudahnya. Berpalinglah... jika itu yang terbaik!

SYUD ada gaya yang tersendiri apabila bercerita Tentang… Dhiya. Watak-watak ciptaannya terasa hidup dan dekat dengan kita.

* * * * * *

Tentang... Dhiya merupakan karya terbaru dari Jemari Seni Publishing (Edisi Khas sempena Pesta Buku 2008) dan merupakan hasil karya penulis baru yang berbakat, Syud.

Tentang... Dhiya, kisah tentang Dhiya Nurlisa, si yatim piatu yang menumpang kasih pada keluarga Ayah Ngah ~abang arwah ayahnya. Hidup sebagai anak tunggal sesungguhnya menjadikan Lisa anak manja. Namun segala-galanya berubah sekelip mata pabila kedua orang tuanya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang meragut nyawa mereka dan Lisa sendiri terlantar di katil hospital hampir dua bulan lamanya.

Trauma masa lalu ~kehilangan orang tersayang~ menjadikan Lisa seorang yang sukar ditelah. Lisa yang melatih dirinya cara untuk melindungi diri... "biar dia tak kena marah... biar dia tak rasa bersalah dan dipersalahkan... biar dia tak rasa sakit... biar dia tak rasa sedih". Si Lisa yang gemar memendam perasaan, Lisa yang cuba membetulkan keadaan tanpa sesiapa pun sedar tentangnya dan itulah Lisa yang 'so unpredictable'.!

'Perkenalan'nya dengan Azril Mustaufi di kala hatinya 'sakit' dek perbuatan Ahmad Faiz - lelaki yang selama ini dia percaya akan bersama dengannya. Namun sebaliknya, pada lelaki itu, Lisa hanyalah satu masalah, satu beban padanya. Sudahnya Azril dijadikan 'punching bag' tempat untuk melepaskan beban yang bersarang dihati.

Apatah lagi perkenalan pertama antara mereka dalam situasi yang dianggap "at the wrong time, at the wrong place" menjadikan hubungan mereka umpama Israel - Palestin. Tambahan pula first Impression Lisa, Azril adalah seorang lelaki yang menyakitkan hati, seorang lelaki yang menjengkelkan, seorang lelaki yang menyusahkan bahkan semuanya yang negatif sahaja pada pandangan mata Lisa. Sedangkan Azril ada sebab-musababnya yang tersendiri.

Segalanya usai, tatkala berakhirnya semester terakhir mereka di UTM. Berakhir tanpa noktah, berakhir dengan tragedi. Lisa menyambung master di swiss dan Azril mendapat kerja di JB.

3 tahun berlalu... Lisa kembali. Kembali sebagai Dhiya Nurlisa yang baru. Tapi bagaimana mereka ~Lisa & Azril~ bertemu..?? Siapa Ezwan yang sanggup menunggu 3 tahun demi seorang Lisa??


Bagi mereka yang tidak tahu, Tentang... Dhiya adalah "Cerita Seorang Dhiya" versi enovel. Tapi bagi mereka yang sering mengikuti enovel syud - CSD, inilah "hadiahnya".

Jika ditanya apa yang aku suka tentang TD ini mudah saja jawapan aku. Aku suka pada plotnya yang simple. Aku suka dengan cara syud menggarap cerita, melakar setiap watak menjadikan 'mereka' seakan 'hidup' dan wujud di alam nyata. Bahkan terasa sayang nak 'tinggalkan' mereka diakhir cerita.

Aku suka dengan gelagat Lisa yang kadang-kala blurr (adakah ia gambaran sang penulisnya?? hehehe), namun tetap jua terselit perasaan halus seorang wanita. Aku jatuh cinta dengan Azril yang sungguh... nakal? gila-gila? but yet can be so romantic? hehehe. Tapi apa yang pasti pada aku Azril seorang yang amat bertanggungjawab & bertimbangrasa.

Pada aku cerita ini, soo touching... walaupun cerita dia adalah cerita biasa, tapi the way syud buat... 'cara lisa'... 'cara azril'... even 'cara Ezwan' akan buat kita jatuh cinta+sayang pada mereka... ops kecuali Ezwan rasa menyampah!!

Tentang... Dhiya bagi aku, punyai keistimewaannya yang tersendiri. Bacalah dan nilaikanlah sendiri. Mungkin aku salah!! kerana selera masing-masing tidak sama. Tapi bagi aku TD mampu buatkan aku senyum meleret.. terasa mereka benar-benar dekat dihati aku.

Laskar Pelangi

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Andrea Hirata
Halaman : 447
Tahun : 2007
Terbitan : PTS Litera Utama Sdn Bhd
(versi terjemahan)
Harga : RM 28.00


Blurb:

Pelbagai peristiwa menakjubkan terjadi pada zaman para anggota Laskar Pelangi masih kecil. Sebelas orang anak Melayu Belitong yang luar biasa ini tidak menyerah kalah walau keadaan tidak selalu menyebelahi mereka.

Lintang, si miskin cilik yang genius dengan senang hati berbasikal berulang alik sejauh 20 kilometer untuk menuntut ilmu meskipun kadang-kadang hanya sempat menyanyikan lagu Padamu Negeri pada akhir waktu sekolah. Mahar, selain bersekolah dia turut memarut kelapa untuk biaya keluarganya adalah seniman yang imaginatif dan kreatif meskipun dia sering dipersendakan sahabat-sahabatnya. Tetapi dia berjaya mengangkat darjat Sekolah Muhammadiyah di kampung mereka. Begitu juga kisah sembilan orang Laskar Pelangi lain yang bersemangat dalam menjalani kehidupan dan berjuang meraih cita-cita.

Selamilah kehidupan mereka, kejujuran pemikiran, dan indahnya pengembaraan mereka. Anda akan tertawa, menangis dan tersentuh menghayati gelagat mereka. Novel ini dipersembahkan untuk mereka yang meyakini the magic of childhood memories, dan untuk mereka yang masih percaya akan adanya pintu keajaiban lain untuk mengubah dunia pendidikan.

* * * * * *

Laskar Pelangi merupakan novel pertama dari siri Tetralogi Laskar Pelangi (diikuti Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah Karpov).

Membaca novel ini, sesungguhnya banyak ilmu yang aku kutip. Selain semangat yang ditunjukkan oleh setiap ahli Laskar Pelangi dalam mengharungi pelbagai dugaan pahit manis semata-mata untuk menimba ilmu.

Walaupun Sekolah Muhammadiyah iaitu sekolah tertua di Belitong amat daif dan hampir ditutup kerana kekurangan murid, jika dibandingkan dengan Sekolah PN yang 'kaya & mewah', namun tidak sedikitpun mematahkan semangat juang mereka untuk mengaku kalah. Betapa semangat yang ditunjukkan oleh mereka benar-benar membuatkan aku terpaku. Betapa hebatnya mereka dalam darjah mereka yang tersendiri.

'Pengembaraan' mereka penuh dengan keajaiban. Kecintaan mereka pada ilmu, keunggulan nilai persahabatan mereka dalam menempuh kesukaran hidup, kemurnian prinsip mereka, sesungguhnya menyuntik satu semangat baru dalam 'dunia pendidikan' mereka. Mereka belajar bukan sahaja dalam bilik darjah yang sungguh daif, tapi pada mereka dunia ini merupakan 'bilik darjah' bagi mereka. Tempat di mana mereka 'belajar' untuk hidup selain belajar untuk pandai. Mereka belajar ilmu kehidupan.

Moral of the story, kemiskinan bukanlah satu simbol kebodohan dan kekayaan bukanlah penentu kecerdikan. Tapi mereka -anggota Laskar Pelangi- menjadikan kemiskinan mereka sebagai peniup semangat untuk merubah 'dunia' mereka iaitu dengan menjadi manusia yang bijak dan berilmu walau dalam keadaan apa, walau dengan apa cara sekalipun.!

Aku nak anda baca buku ini dan alami sendiri pahit manis suka duka mereka -anggota Laskar Pelangi- berjuang untuk menimba ilmu walaupun dalam keadaan hidup yang serba kekurangan, dan ada kalanya mereka harus akur pada ketentuan yang maha Esa. Tapi aku pasti anda akan terhibur dengan gelagat mereka, walaupun di masa yang sama hati anda menangis hiba mengenangkan nasib yang menimpa mereka.

Dan aku yakin anda juga akan berkata pada diri anda sebagaimana aku kata pada diri aku sendiri "Betapa bertuahnya aku dapat belajar dengan tenang tanpa perlu memikirkan perkara lain selain belajar". Tetapi tidak pada mereka.!

Bacalah.. dan alami sendiri pengalaman mereka, kerana sesungguhnya Laskar Pelangi ini merupakan simbol kemenangan pada mereka yang mengerti akan erti kesusahan hidup yang sebenar-benarnya.!!

"Dalam laut dapat ku kira... Dalamnya dusta siapa yang sangka?" ~ms 154

Zahrah de Tigris

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 1 rakan yang berkongsi rasa

Pengarang : Khairyn Othman
Halaman : 501
Tahun : 2007
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00


Blurb:

Zahrah de Tigris... adalah Khairunnisa Si Kembang Tigris...

Anak gadis dari Malaysia yang menuntut di Tanah Ratu ini, memang degil orangnya. Dilarang makin keras, dirayu pula makin tegar. Dia berkelana bersendirian mencari sebuah cinta. Cinta yang paling hakiki: cinta Rabbul Izzati.

Nisa pasrah menerokai sebuah kota yang pernah menjadi puncak peradaban Islam suatu waktu dulu. Kota Baghdad yang pernah terkenal dari masyrik ke maghrib itu sedang berantakan: dihamburi mortar dan peluru. Cerita pilu, Kota Negeri Seribu Satu Malam itu menjadi Kota Ngeri Seribu Satu Malam.

Menjadi guru dan jurubahasa, membuatnya mudah memahami budaya orang-orang di Lembah Tigris. Begitu sudah di situ lain pula ujiannya; dia terpaksa keraskan jiwa, kuatkan semangat tetapi perlahan-lahan hati perempuannya diketuk jua. Namun cinta mereka tak mungkin bersatu kerana Doktor Patrick Devereux, seorang ateis.

Hayatilah sebuah novel adventure-spiritual daripada penulis yang pernah menjadi Wartawan Terbaik Bahasa Inggeris 2003. Sebuah cerita, yang harus dihayati oleh siapa sahaja yang cintakan kemanusiaan sejagat.

******

Pertama kali aku membaca Zahrah de Tigris... aku telah jatuh hati.!! Aku jatuh hati pada Khairunnisa yang 'keras', jatuh hati pada Khairunnisa yang tegar dan berhati waja.

Zahrah de Tigris (ZdT) adalah cerita tentang keperitan hidup saudara seagama kita di bumi Baghdad. Bumi yang saban hari, saban malam bertemankan bedilan mortar dan dentuman bom. Melalui Nisa, kita disajikan dengan kesengsaraan dan perjuangan mereka – penduduk di Lembah Tigris – untuk terus bernafas di bumi yang tidak menjanjikan hidup hingga esok hari. Bila-bila masa, tanpa amaran... nyawa mereka bisa melayang. Namun mereka tegar... demi sebuah erti kebebasan, mereka sanggup berjuang hatta dengan nyawa sebagai galang ganti. Hanya berperisaikan tubuh badan dan batu-batu kecil sebagai senjata... mereka bangkit.

Nisa – pada aku adalah srikandi zaman moden. Seorang gadis yang sanggup meninggalkan segala kesenangan dan keselesaan hidup semata-mata untuk membantu kanak-kanak yang menjadi mangsa perang di Lembah Tigris. Walaupun pada awalnya pemergiannya ke sana didorong oleh faktor wang. Seorang gadis yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi melihat saudara seagama tidak tercicir dalam menimba ilmu. Atas tiket sebagai pendidik... Nisa berjuang untuk membela nasib anak-anak malang itu. Pabila bangunan yang dijadikan sekolah menjadi mangsa ledakan bom, Nisa beralih pada tugas sebagai jurubahasa di hospital yang merawat mangsa peluru tak bermata.

Namun hakikat... sejauh mana kita melangkah... setinggi mana kita terbang... adakalanya kita jatuh tersungkur menyembah bumi. Begitu juga dengan Nisa… sekuat mana dia mengeraskan hati… serapat mana dia memejamkan mata dari memandang tragedi demi tragedi ngeri yang merobek hati… dia harus akur… dia juga manusia biasa. Kematian dan kehilangan teman baik telah membawa Nisa kembali pada realiti yang dia masih punya keluarga di bumi Malaysia. Dia harus kembali…!! Kembali ke pangkuan keluarga yang setiap saat setiap detik diselubungi kekhuatiran akan keselamatan dan kesejahteraan dirinya di bumi yang sering disimbahi dengan darah.

Kepulangannya ke Malaysia diharap dapat mengubat kesedihan hati… namun hanya jasad yang bernyawa sedangkan 'roh'nya terbang mencari arah tujuan yang hilang dibawa angin peperangan.

ZdT membuatkan aku insaf ! Aku benar-benar bersyukur dilahirkan di bumi bertuah Malaysia yang jauh dari peperangan (mudah-mudahan!!). ZdT pada aku adalah tentang semangat perjuangan. Tentang erti kebebasan yang sebenar-benarnya. ZdT juga tentang 'sejarah' yang diharapkan dapat menjadi iktibar, panduan dan pedoman. Jua tentang kerakusan manusia tanpa ada 'ruh' belas kasihan demi mengaut kekayaan yang bukan milik mereka. Pendek kata ZdT adalah tentang 'kita' yang insaf akan hakikat kejadian kita di muka bumi ini… sebagai Khalifah… sebagai pemimpin… sebagai pembimbing.!!

Tanpa ayat yang mendayu-dayu… airmataku tetap mengalir di pipi tanpa aku sedar. Tangis sedih mereka yang menjadi mangsa perang telah membuatkan aku turut hiba sama. Pada anda para pembaca… bacalah andai anda ingin turut sama merasai derita mereka – saudara seagama kita.

Tahniah pada Khairyn yang telah berjaya menambahkan lagi senarai penulis yang akan aku nanti-nantikan buah fikirannya yang terbaru...

Pulang

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 1 rakan yang berkongsi rasa

Pengarang : A Rahim Awang
Halaman : 536
Tahun : 2007
Terbitan : Creative Enterprise
Harga : RM 25.90


Sinopsis:

Norazlin – Cita-citanya untuk menjadi Cleopatra zaman moden yang bisa menundukkan setiap lelaki don juan. Umpama tunduknya Mark Anthony dan Julius Ceaser di telapak kaki Cleopatra si Ratu Mesir. Berbekalkan rupa paras yang cantik serta bentuk badan yang mengiurkan, Azlin mengejar Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, malah sesiapa sahaja yang mempunyai potensi untuk dia mencapai impian. Dalam mencari jalan PULANG, Azlin tersungkur. Tersungkur pada nasib malang yang menimpa dirinya – kematian yang penuh dengan keaiban.!!

Farouk – Dia don juan yang memburu mangsa hanya untuk kepuasan batinnya. Dia lelaki ego yang tidak pernah puas. Menjadikan wanita sebagai satu objek taruhan. Perkenalannya dengan Azlin, membuatkan dirinya 'terikat'. Terikat pada kepuasan yang dinikmati tidak dengan isteri yang sah digauli. Namun Azlin juga menyebabkan dia tersungkur. Melontarkan dirinya di balik jeriji besi. Menjadikan nasibnya antara hidup dan mati. Dan dia akur – semua orang yang mengenali dan mendampingi Azlin akan menjadi malang – itulah sumpahannya.!!

Suhaila – Dia isteri. Dia ibu yang terlalu setia pada suami. Kerana cinta, dia rela dalam keterpaksaan akan segala tindak tanduk sang suami. Padanya senjata utama seorang wanita adalah 'rajuk'. Namun rajuknya juga telah membuatkan hidupnya terjerat, mengheret dirinya sama menanggung malu dengan noda dan dosa sang suami..!!

******

Pulang adalah karya terbaru dari Abdul Rahim Awang (ARA). Kisah tentang seorang GRO yang ditemui mati dibunuh di bilik tidurnya sendiri. Kisah yang mirip dengan satu kes pembunuhan yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu. Kisah yang pernah menjadi bualan hangat.

Membaca Pulang hasil garapan ARA membuatkan saya terpaku. ARA bijak menyusun ayat. Dengan bahasa yang ringkas tetapi tepat dan padat membuatkan saya tidak mampu untuk berhenti walau sesaat.

Pulang terbahagi kepada 4 'buku'. Buku 1 – dari sudut Azlin. Buku 2 – persoalan yang menjadi tanda tanya, siapa pembunuh misteri.?? Buku 3 – dari sudut pandangan Farouk dan Buku 4 – dari kaca mata Suhaila. Pecahan ini menyebabkan terdapat ayat dan frasa yang sama digunakan berulang kali. Namun ia sedikitpun tidak mengganggu fokus saya malah saya salute pada ARA kerana bijak bermain dengan pengulangan ayat dan frasa tersebut.

Apa yang lebih menarik, ARA sangat arif tentang dunia kepolisan. Menjadikan novel ini sangat informatif kepada saya yang 'buta' dalam hal-hal yang bersangkutan dengan dunia polis. Malah watak ASP Helmi dan ASP Norhayati - pegawai polis yang mengendalikan kes pembunuhan tersebut - mengembalikan ingatan saya pada novel Ego yang pernah saya baca.

ARA membuatkan saya menjadi benci pada 'orang-orang besar' yang menjadikan kedudukan dan pangkat sebagai senjata. Saya jadi meluat dengan Farouk yang ber'tuhan'kan nafsu. Walaupun terselit perasaan kasihan saya pada Suhaila, adakalanya saya jadi sakit hati.!! kenapa harus dibiarkan si suami tanpa teguran.? Namun segala-galanya telah menjadi takdir yang harus diterima dengan pasrah.

Usai membaca, saya insaf. Biarlah saya tidak punyai banyak wang. Asalkan saya tahu ia dari hasil titik peluh saya yang halal. Biarlah saya tidak kaya asalkan saya masih tetap dengan jalan yang diredhai Allah. Jalan yang telah dilorongkan oleh kedua orang tua saya dari Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Moga-moga jalan inilah yang akan diikuti oleh anak cucu serta saudara mara dan sahabat handai saya. AMEEN

Imam

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : SN Abdullah Hussain
Halaman : 705
Cetakan Pertama: 1995
Cetakan Terbaharu: 2005
Terbitan : Utusan Publication & Distributors S/B


Blurb

"Pendekatan pengarang bukan sahaja mementingkan jalan cerita tetapi setiap episod yang dikemukakan adalah berdwi-fungsi..."

" Gayanya pula menggunakan kombinasi antara yang konvensional dengan cara baharu yang tidak biasa dilakukan pengarang-pengarang sebelum ini..."

"... walaupun melakukan perubahan itu penuh liku dan cabaran, perubahan itu sendiri tidak dapat ditahan-tahan, seperti kata Haji Mihad, ia laksana cahaya yang terkurung yang akan mencari jalan merembas keluar melalui rongga atau retak biar seseni apa sekalipun."

"... novel ini lebih daripada sekadar menghiburkan."

~ Laporan Panel Hakim

*****

Novel yang telah memenangi anugerah hadiah pertama 'Hadiah Novel Nasional' Utusan Melayu tahun 1992/94 ini adalah buah tangan Abdullah Hussain yang juga telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1996. Novel ini antara novel terbaik yang pernah saya baca.

Novel yang berlandaskan dakwah dan Islam ini pertama kali saya baca kalau tak silap saya sekitar tahun 1996 yang pada awalnya saya pinjam dari kakak kawan saya. Tamat membaca, saya bertekad untuk memilikinya sebagai koleksi peribadi saya. Sehinggalah di pesta buku tahun 2004 saya berjaya memilikinya. Novel yang telah beberapa kali saya ulang baca ini tetap mendapat tempat di hati saya yang ternyata ia berada di kelasnya yang tersendiri.

Imam mengisahkan tentang perjuangan seorang imam yang ingin membawa perubahan dan pembaharuan di kampungnya sendiri. Namun usaha beliau mendapat tentangan dari sebahagian penduduk kampung yang seagama dan sebangsa malah dari saudara-maranya sendiri. Betapa sukarnya dikikis amalan dan perbuatan yang telah berakar umbi.

Dari sini timbullah perbezaan pendapat dan fahaman di antara kaum tua dan kaum muda dalam menegakkan syiar islam. Imam Hj Mihad didakwa membawa ajaran baru yang agak asing bagi kampung itu sehingga mendapat perhatian pihak Majlis Agama. Sementelah beliau sebelum ini menetap di Indonesia yang terlalu banyak pegangan dan fahaman agama.

Ekoran ketidakpuasan hati sesetengah golongan yang merasakan kepentingan mereka tergugat, membuat aduan ke pihak Majlis Agama yang menjadi rentetan kepada penghantaran orang Majlis sebagai 'pengintip' mengikuti setiap kali solat jumaat berlangsung semata-mata untuk menyelidik tentang dakwaan Imam Haji Mihad yang menyeleweng serta tidak menggunakan khutbah yang disediakan oleh Majlis Agama sebagaimana biasa.

Novel ini sarat dengan pengisian. Pendekatan yang digunakan oleh penulis amat berkesan di hati saya terutamanya bahagian soal jawab antara Imam Hj Mihad dengan pegawai dari Pejabat agama. Saya umpama membaca sebuah buku ilmiah.

Melihatkan senarai buku dan kitab yang dirujuk di bahagian bibliografi, saya begitu kagum terhadap penulis apatah lagi bila membaca biodata SN Abdullah Hussain, yang tidak pernah mendapat latihan formal dalam bidang agama. Betapa penulis telah membuat rujukan yang banyak dan sangat teliti bila menyampaikan hujah-hujah dari sumber-sumber yang sahih.

Memang suatu perubahan selalunya membawa korban dan korban perubahan yang datang ke Anggerik Desa terlalu mahal harganya. Tetapi insya-Allah, perubahan itu tetap akan berlaku dan tidak ada kuasa, selain kuasa Allah yang dapat menahannya dan seperti kata Haji Mihad, ia laksana cahaya yang terkurung yang akan mencari jalan merembas keluar melalui rongga atau retak biar seseni apa sekalipun – ms/687

Namun kisah tragis di akhir Novel ini, menjadi lambang keangkuhan manusia yang sanggup melakukan apa saja demi keuntungan material dan kesenangan dunia. Moga-moga ianya menjadi iktibar kepada kita

Setulus Setia Seindah Nama

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Siti Hazneza Abdul Hamid
Halaman : 332
Tahun : 2007
Terbitan : Pustaka Yamien Sdn Bhd
Harga : RM19.90


Sinopsis Belakang Kulit:

Betapa Rasulullah s.a.w. setia pada Khadijah, tiada seorang pun yang mampu mencapai takhta at-Tahirah dalam hati baginda s.a.w.. Tidak juga Aisyah isteri yang dicintainya. Rasulullah s.a.w. setia kepada semua isteri baginda, mengasihi setiap seorang dengan nilai masing-masing...

***

Konsep perkahwinan bertunjangkan surah & hadis dijadikan teras dalam novel ini. Di samping itu perkahwinan junjungan besar Rasulullah s.a.w dengan isteri-isterinya wajar dijadikan contoh ikutan muslimin & muslimat.

Sebagaimana karya terbaru Siti Hazneza bersama penerbit Pustaka Yamien ini berkisar tentang perkara 'jodoh' yang menjadi titik permulaan. Jodoh yang cuba diatur oleh Hakeem untuk kakaknya Nazneen melalui agensi mencari jodoh yang diterajui oleh Bushra. Walau bagaimanapun bukan mudah untuk mengatur jodoh tanpa pengetahuan Nazneen melainkan harus dijalankan misi. Misi yang memaksa Bushra 'merisik' Nazneen dengan mendampingi gadis tersebut. Melalui Pusat Bimbingan Nazneen, Bushra mendekati Nazneen.

Namun bukan mudah untuk memahami seorang Nazneen. Seorang gadis cantik umpama bidadari yang ceria, tegas, terbuka namun terserlah kelembutan seorang gadis. Jua disebalik semua sifat-sifat itu wujud Nazneen yang berprinsip dan amat mementingkan kesempurnaan dalam hidup termasuklah dalam soal jodoh.

Namun dia juga wanita, yang punya hati dan perasaan. Namun dalam hati dia ada perasaan yang terbuku, perasaan yang belum dapat dipecahkan, perasaan yang dia simpan hanya untuk seorang... kerana baginya cinta untuk dirasa bukan untuk dijaja... siapa yang ditunggu Nazneen ?

Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan hati dan perasaan saya tatkala saya usai membaca naskah ini... seperti bicara Nawwir lewat smsnya: terpaku..! menilai diri sendiri... begitulah juga dengan diri saya.

Bagi anak-anak muda yang ingin bercinta & sedang hangat bercinta, saya sarankan anda membaca karya ini kerana ia sesuatu yang sangat berguna untuk anda sebagai panduan.

Buat Siti Hazneza... banyak yang saya pelajari daripada naskhah kecil ini tapi 'besar' ilmunya... dan JAZAKALLAH untuk anda..!!
 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare