Nov 11, 2008

Dunia Ini Sederhana Kecil

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008
Pengarang : Bahruddin Bekri
Halaman : 436
Tahun : 2008
Terbitan : PTS O.N.E Sdn Bhd
Harga : RM23.90


Blurb:

Kata perempuan berlesung pipit, "Cinta itu umpama menunggu bas. Kita perlu memilih bas yang tepat pada masa yang sesuai. Sekiranya tidak, kita tidak akan selesa meneruskan perjalanan kita. Sebab itu saya masih menggunakan kereta."

Kata Riduan pula, "Aku cakap dengan kopi di dalam gelas aku. Orang bukan tidak sayang, cuma orang tidak nampak dan lupa."

Kata Ibu, "Hidup manusia ini seperti roda. Kadangkala di atas kadangkala di bawah. Tidak penting kamu berada di atas ataupun di bawah, yang penting kamu sebenarnya bergolek di mana? Sama ada jalanan itu berlumpur, berduri ataupun kamu bergolek di padang-padang rumput yang indah."

Lelaki gempal kata, "Hidup manusia juga seperti tingkap. Apabila tingkap itu ditutup, maka manusia tidak dapat hidup kerana tiada ruang dan peluang."

Kata lelaki muka berminyak pula, "Pelangi, warnanya bukan hanya hitam dan putih. Begitu juga dengan hidup"

******

Dunia Ini Sederhana Kecil (DISK) adalah karya pertama Bahruddin Bekri yang aku baca. Dan aku jatuh cinta!!.

Kisah bermula di perhentian bas. Kisah yang membawa kepada perkenalan secara tidak langsung yang berlaku antara Syamir – Haliza, Syamir – Tasha, Syamir – lelaki gempal dan Syamir – pakcik KJ. Walaupun hubungan yang berlangsung hanya setakat di perhentian bas namun membawa satu impak yang cukup besar kepada mereka. Tanpa sedar, menjadikan mereka saling berkait, saling terikat antara satu sama lain.

Kisah tentang Syamir lulusan ekonomi yang menjadi penganggur setelah diberhentikan kerja. Tertarik dengan iklan jawatan kosong yang diiklankan di ruangan iklan kerja kosong membawa Syamir menyertai Syarikat Berkobar-Kobar Sdn Bhd. Sebuah syarikat yang memasarkan produk kicap kesihatan cap 'Basikal Sulaiman', yang akhirnya menjadikan Syamir seorang penjual kicap!. Bersama seorang lagi rakan yang sama-sama menghadiri temuduga bersamanya, Musa Marjoko dan Sophea Miyagi sebagai mentornya, pelbagai insiden lucu, suspen dan mengujakan terjadi kepada mereka apabila mereka harus menjual kicap. Apa yang berlaku??

Juga terselit kisah antara Syamir dan teman sebiliknya yang baru berpindah, Jid @ Majid @ Majidah. Insiden di satu malam yang disaksikan oleh lelaki gempal menerusi tingkap bilik yang terbuka, menimbulkan salah faham yang akhirnya membawa padah pada gitar kesayangan lelaki gempal tersebut. Apa salah faham tersebut?? hehehe

Juga kisah yang berlaku pada Syamir – Tasha – Haliza. Perhubungan yang hanya berlaku di perhentian Bas. Walaupun pertembungan antara Syamir dan Haliza lebih kerap, tetapi jalinan 'kejiwaan' antara Syamir dan Tasha lebih kuat. Perhubungan yang akhirnya membawa kepada perkenalan antara Cik Pelangi dan En. Bedak Sejuk. Siapa Cik Pelangi dan siapa Encik Bedak Sejuk?? Bagaimana hubungan mereka bermula?? Apa yang mengikat mereka??

Juga babak suspen penuh misteri tentang kehilangan Formula D yang sangat 'berharga', memaksa Dato' Hisham pemilik Syarikat Merong, sebuah syarikat pembuat senjata api mengerahkan orangnya menubuhkan misi mencari. Tapi pencarian mereka tidak semudah yang disangkakan. Lantaran khidmat 'B' diperlukan. Masalahnya 'B' adalah manusia misteri yang tidak seorangpun pernah berhubungan secara terus dengannya. 'B' hanya boleh dihubungi melalui internet. 'B' yang sentiasa menukar alamat e-mal bagi mengelak diri dari dikesan. Bagaimana mereka ingin menghubungi 'B'? Dan Dato' Hisham perlu menunaikan tuntutan bayaran sebanyak 50juta dolar sebagai upah. Berjayakan orang Dato' Hisham menjejaki 'B'?? Tapi apa kaitan Formula D dengan Syamir??

Persoalan-persoalan ini hanya dapat anda rungkaikan apabila anda membaca karya Bahruddin Bekri ini.

Apa yang dapat aku katakan adalah, aku suka novel ini. Satu 'wajah' baru dalam dunia penulisan novel kreatif. Satu kelainan yang benar-benar membuatkan aku terpesona dengan karya ini. Satu tema yang bagi aku adalah biasa-biasa saja. Kisah lelaki dan perhentian bas, lelaki dan kicap. Tetapi ditangan Bahruddin 'Lelaki, Perhentian Bas & Kicap' menjadi sangat istimewa, sangat luarbiasa.

Dengan gaya bahasa yang santai dan lenggok bahasa yang mudah difahami, disampaikan dengan cara yang kadang-kala 'lawak antarabangsa' – unsur humor yang spontan, membuatkan aku terpaku menatap karya ini. 'Dunia Ini Sederhana Kecil' dunia yang berlegar hanya diseputar perhentian bas, dunia yang menjadi penghubung antara mereka, membuatkan aku tersenyum simpul tapi ada kalanya aku terkedu dengan sinisnya. Karya mantap sarat dengan falsafah ini berjaya mengikat aku hingga ke noktah terakhir.

Tahniah pada penulis. Satu kelainan yang akan menjadi daya tarikan pada pembaca yang mencari kelainan dalam genre pembacaan mereka. Satu karya yang secara peribadinya aku rasa cukup hebat dari penulis muda yang berbakat. Dan aku yakin para pembaca yang inginkan kelainan tidak harus mengenepikan buku ini. Kamu harus membacanya dan nilaikan sendiri kerana selera kita tidak sama, tapi aku yakin kamu tidak akan kecewa.

Selamat membaca!!

0 rakan yang berkongsi rasa:

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare