Apr 11, 2012

Seadanya Kamu

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, April 11, 2012
Penulis : Iman Xara
Halaman : 460
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Tahun : 2012


Sinopsis:

Julia – dia mangsa ketidakpuasan hati seorang teman serumah (sewa). Dia punya keluarga yang bahagia, dia punya kesenangan yang disediakan oleh ayahnya, seorang businessman yang berjaya. Dia punya paras rupa yang bisa menawan hati sang jejaka yang memandang. Namun dia punya satu 'kekurangan'. Dia lantang bersuara menegakkan prinsip hidupnya. Jika dia tidak suka, dia akan bersuara. Lantaran kelebihan dan kekurangan yang dimilikinya, dia dianiaya.

Natijahnya dia harus pergi meninggalkan sahabat-sahabat baiknya. Meninggalkan bangku kuliahnya. Dan meninggalkan si dia yang dia mulai jatuh sayang. Ya, dia harus pergi demi maruah dan harga dirinya.

Keberadaannya di Pusat Jagaan Al-Hikmah membuka matanya. Ya, dia adalah mangsa. Dia tidak bersalah! Dia tidak pinta nasib yang sebegitu namun itulah yang dia harus hadapi. Di Pusat Jagaan Al-Hikmah dia belajar membina jati diri, dia harus bangkit dari kisah silam yang kelam lagi menyakitkan.

Zulfa & Aswad – mereka pasangan suami isteri yang tidak dianugerahkan insan bernama anak walaupun sudah lebih tujuh tahun mereka mendirikan rumah tangga. Mereka rindukan tangisan anak kecil. Naluri keibu-bapaan yang tumbuh subur dalam diri mereka membuatkan mereka nekad untuk mengambil anak angkat walaupun pada awalnya hasrat itu tidak disenangi oleh ibu mertua Zulfa.

Damia Azwa – hadirnya walaupun tanpa dipinta, namun dia menjadi permata hati Zulfa dan Aswad yang rindukan si kecil. Bahkan si kecil ini juga menjadi penyambung ukhwah dua keluarga.

Firas - dia lelaki yang tidak pernah mengenal erti putus asa, walaupun dia dilayan endah tak endah oleh si dia yang telah membuatkan hatinya jatuh cinta.

Julia, dia harus bangkit walaupun dia tahu jalan hidupnya tidak lagi semulus yang dia angan-angankan. Dia menyambung kuliah yang terbengkalai di pertengahan jalan di pusat pengajian swasta. Trauma dengan kisah silam dia membina ‘tembok pemisah’ agar peristiwa hitam tidak lagi berlaku padanya.

Bertemu kembali dengan Hawa yang dia kenal di Pusat Jagaan Al-Hikmah, yang juga senasib dengan dirinya sedang meniti bahagia bersama suami tercinta membuatkan dia juga impikan bahagia. Namun masih adakah insan yang sudi terima dirinya seadanya? Dan pabila ada tangan yang sudi menarik dia keluar dari kelam semalam, ikhlaskah si dia? Namun sampai bila dia harus begitu?

Bacalah anda pasti akan berbahagia dengan keputusan Julia =)


Resensi saya:

Karya terbaharu garapan Iman Xara ini berjaya membawa saya ke satu 'daerah' yang menggugah jiwa dan raga. Isu anak yang tidak sah taraf menjadi nadi utama dalam naskhah ini. Ya, tak semua yang lahir di dunia ini atas kedurjanaan si ibu dan ayah yang tidak bertanggung jawab. Ada dalam kalangan anak-anak ini daripada rahim si ibu yang menjadi mangsa pemerkosaan tanpa rela.

Iman Xara berjaya membawa saya menyelami suka duka, jerih perih yang harus Julia lalui sepanjang jalan mencari bahagia. Bagaimana sukarnya Julia memulihkan semangat dan harga dirinya, saya turut terkesan sama. Lantaran sukarnya dia menerima salam perkenalan daripada mana-mana jejaka, saya maklum sebab-musababnya. Ya, dia rasa rendah diri. Dia rasa dia tidak layak untuk sesiapa jua. Begitu sekali Julia memenjarakan dirinya.

Membaca naskhah ini, kita dihidangkan dengan isu anak tidak sah taraf. Sesungguhnya mereka insan kecil yang dilahirkan suci bersih dari dosa, ibu bapalah (baik kandung mahupun keluarga angkat) yang mencorakkan sahsiah mereka sebagai khalifah ataupun perosak di muka bumi ini.

Iman Xara buat saya jatuh hati pada Firas yang tidak pernah kenal erti putus asa walaupun dia sedar bila-bila masa dirinya akan di'reject' oleh Julia. Dan saya sukakan idea abang ipar Firas, iaitu menghadiahkan sepasang kurung sutera biru, andai tidak sudi, kembalikanlah kepada si pengirimnya dan nescaya dia tahulah bahawa dia ditolak secara halus. Dan saya sukakan tindakan Julia dengan memulangkan kurung sutera biru itu... suspens? Hehehehe

Secara keseluruhannya saya sukakan karya Iman Xara ini. Sesungguhnya sokongan dan dorongan ibu bapa, ahli keluarga serta sahabat handai adalah ubat yang paling mujarab untuk mereka yang pernah tersasar kembali mendepani hidup yang penuh onak liku ini dengan penuh semangat juang. Sebagaimana Julia yang mampu berdiri teguh walaupun sesekali peristiwa hitam menjengah benaknya.

'Segunung debu pun andai jatuh di kelopakmu, tetap dapat kucium harummu' ~ Firas

2 rakan yang berkongsi rasa:

mawar kamila on July 1, 2014 at 4:31 PM said...

Assalamualaikum dan salam perkenalan Wan Amlyn. Jemput ke blog Tinta Mawar Kamila dan mengikuti karya pertama saya terbitan Love Novel Publication berjudul ISTERI AKU KALIS CINTA. ^_^"

http://mawarkamila.blogspot.com/2012/06/bab-1-isteri-aku-kalis-cinta.html

rere on September 17, 2021 at 11:15 AM said...

Thanks for sharing

visit our website

ittelkom jakarta

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare