Apr 13, 2012

Mr Right Buat Ann

luahan rasa : Wan Amalyn at Friday, April 13, 2012
Penulis : Ruby Hazri
Halaman : 452
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Tahun : 2012

Sinopsis :

Ann – Siti Nur Anisa, usianya sudah mencecah 31 tahun, tapi dia masih sendiri. Hatta Mona, adiknya juga sudah bersuami dan punya dua orang cahaya mata. Orang keliling juga sudah mula berbisik-bisik, takut berjangkit dengan status Chik Nani ibu saudara belah arwah ibunya yang sampai ke hari ini jika dihitung umurnya lagi tiga tahun akan bersara daripada pekerjaan yang dijawatnya dan dia masih belum bersuami.

Bukannya tak ada calon yang menanti untuk mengisi borang, dan bukannya Ann tertalu memilih. Jika disenaraikan, Ann ada Hanif, cinta hatinya sejak zaman belajar lagi. Tapi Hanif terlalu sibuk dengan kerjayanya di Dubai hingga membiarkan Ann terkapai-kapai sendirian. Ada Khairil kenalan sepupunya juga. Khairil yang berkarisma, duda yang kacak dan bergaya. Ada Desmond juga. Senior sepejabat yang sering membuli Ann. Pantang ada peluang, ada sahaja salah Ann yang dia cari. Juga ada Tuan Haji Kamil, duda anak tiga yang sudah berusia. Dan ada juga Arman Faiz yang dikenali secara tak sengaja, sering terserempak di mana-mana di saat-saat yang tidak terduga.

Tapi antara kesemua calon-calon ini, yang mana satukah yang bisa menambat hati Ann? Yang akan menjadi Mr Right buat Ann? Tapi persoalan yang paling penting, kenapa susah sangat jodoh Ann nak lekat? Atau ada sesuatu yang menghambat Ann, yang membuatkan hatinya beku untuk terima dia yang bernama lelaki dalam hidupnya?

Teringin nak tahu apa yang terbuku dalam hati Ann? Kenalah baca Mr Right buat Ann ini.


Resensi Saya :

Mr Right buat Ann adalah karya ke-4 Ruby Hazri bersama Jemari Seni selepas Percayalah, Kopi Susu Sepatu Biru dan Percayalah Akhirnya. Kali ini penulis membawa kita menyelami dilema hati seorang wanita yang masih sendiri sedangkan di usianya sudah seharusnya dia berdua. Pahit, manis, suka duka Ann mengharungi hidup dipotretkan secukup rasa oleh penulis.

Perjalanan hidup Ann yang penuh liku membuatkan saya jatuh kasihan pada Ann. Demi untuk menamatkan zaman bujangnya, banyak perkara yang berlaku pada Ann. Dia bukanlah tak ada pasangan, ada. Tapi kalau si dia seperti buat tak faham dengan 'signal' yang diberi apa lagi yang boleh Ann buat? Ya, itulah yang saya rasa pada Ann. Dia wanita, dia ada harga diri. Dan dia tak mahu jadi perigi yang mencari timba, walaupun ada saat dan ketikanya dia harus menebalkan muka bertanya akan status perhubungan mereka. Kasihan Ann. Ya, saya sangat-sangat kasihan pada Ann. Dan saya jadi bengang dengan Hanif bagi pihak Ann.

TAPI saya seperti tak boleh nak salahkan Hanif juga. Hanif yang punya banyak tanggung jawab terhadap keluarga kerana dia anak sulung dan lelaki pula. Adik beradiknya pula berderet untuk dia tanggung persekolahan/pelajaran mereka. Jadi dia harus lupakan dulu soal kahwin. Dia harus bekerja untuk membiayai persekolahan adik-adiknya. Duit gajinya hanya cukup-cukup makan selepas ditolak segala perbelanjaan. Tawaran kerja di Dubai bagaikan satu lubuk rezeki untuk dia baiki taraf hidupnya. Tapi dia tidak sedar tempoh dua tahun apa-apa boleh jadi pada perhubungan mereka. Dia lupa, dia pernah berjanji akan berkahwin dengan Ann sebelum umur Ann mencecah 30 tahun tapi sampai masanya dia lupa. Dan Ann yang harus mengusung rasa kecewa sendirian.

Penulis bijak memanipulasi hati saya. Mula-mula saya rasa marah sangat dengan Hanif yang seperti tidak serius dalam perhubungannya dengan Ann. Sampai masa bila Hanif sudah bersedia, Ann pula yang bagaikan sudah berpatah arang berkerat rotan dengan Hanif. Pada saya, jika selama sepuluh tahun Ann sanggup menunggu Hanif, tak kan dia tak boleh tunggu lagi setahun? TAPI saya seperti tak boleh nak marah pada Ann bila dia buat keputusan itu. Uwaaa teruknya saya!!

Oh! Jangan bimbang, dalam naskhah ini bukan sekadar ada Ann dan Hanif sahaja. Tapi ada juga lelaki-lelaki lain yang akan membuatkan anda tidak menang mulut untuk senyum dengan karenah-karenah mereka untuk menambat hati Ann. Dan dalam ramai-ramai lelaki itu pasti ada seorang hero yang akan menambat hati anda, seperti saya yang terpikat pada Arman Faiz... hehehe

Rasanya mana-mana kita pergi, kita disogokkan dengan watak 'Joyah' bila datang bab anak dara yang tak kahwin-kahwin bila sampai usia yang seharusnya berkahwin. 'Joyah' ni seperti tak senang duduk kalau tak 'ambil tahu' fasal anak dara yang belum berkahwin ni. Ya, kalian pasti geram dengan 'batu api' ini yang seakan tidak faham dengan frasa 'jodoh maut di tangan Tuhan'.

Sesungguhnya persoalan tentang jodoh ini adalah sesuatu yang diluar jangkauan kita. Ia menjadi rahsia-Nya. Seperti Ann dan Hanif, berkawan dan bercinta bertahun-tahun (lebih 10 tahun) tapi andai bukan jodoh antara mereka, siapa yang harus disalahkan?

Bacalah, dan kalian akan faham kenapa saya punya perasaan yang libang-libu pada Ann & Hanif.

(pss: Jika anda pernah baca karya-karya Ruby sebelum ini, kalian pasti tahu siapa Khairil yang berkarisma, duda yang kacak dan bergaya ini. Ops! ada juga si Mat yang kepoh itu... hehehe)


1 rakan yang berkongsi rasa:

Unknown on June 30, 2015 at 2:31 PM said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, resepi dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare