Feb 27, 2012

Kenangan Terindah

luahan rasa : Wan Amalyn at Monday, February 27, 2012
Penulis : Hezzy Azra
Terbitan : Alaf 21
Tahun : 2008
Halaman : 484
Harga : RM19.90


Selepas tertarik dengan bahasa dan cerita garapan Hezzy Azra dalam Aku Pilih Dia, Kenangan Terindah adalah naskhah ketiga yang saya baca selepas Cinta Tak Beralih.

Kisah tentang Marisa dan Ridzwan pasangan bercinta ketika mereka di Kolej (KDU). Pemergian Ridzwan ke luar negara bagi menyambung pelajaran menjarakkan hubungan kasih mereka. Lamaran Ridzwan sebelum berangkat ke luar negara ditolak oleh Marisa atas alasan belum bersedia bergelar isteri di usia 20 tahun walaupun dia sangat menyintai Ridzwan. Ridzwan kecewa. Kehadiran Regina, si gadis Sabah yang saban hari mendampingi Ridzwan menjarakkan lagi kasih antara mereka. Dan pernikahan Ridzwan – Gina menoktahkan hubungan cinta mereka.

Marisa merana. Namun di sebalik kecewa bercinta, dia berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya. Kematian ayah Marisa meletakkan Marisa dalam keadaan yang parah. Sudahlah kehilangan ayah tempat bergantung, Ridzwan lelaki yang diharapkan untuk berdampingan dengannya juga pergi meninggalkannya. Sebagai sahabat baik, Akmal sedaya upaya meniupkan semangat juang Marisa yang harus tabah demi ibu dan adiknya serta meneruskan legasi syarikat pembinaan yang diusahakan oleh arwah ayahnya. Sebagai peneraju muda syarikat dia harus berdepan dengan cabaran dan dugaan. Kreadibilitinya sebagai Pengarah Muda dipertikai dan diperlecehkan oleh sebahagian pekerjanya.

Akmal dijadikan sandaran dan sumber kekuatan Marisa di saat-saat dia perlukan semangat. Daripada sayang seorang sahabat, perasaan kasih mula bercambah di hati mereka. Ikatan yang terjalin di antara mereka penuh dugaan. Godaan Datuk Johari, saman Megat Iskandar, serta kembalinya Ridzwan menagih kasih Marisa bukanlah alasan untuk Akmal berundur walaupun adakalanya hatinya mula goyah.

Bahagiakah mereka? Bagaimana kesudahannya kisah kasih Ridzwan dan Regina?

Sebagaimana naskhah Hezzy yang terdahulu, Kenangan Terindah masih lagi berjaya membuatkan saya membaca naskhah ini hingga ke noktah yang terakhir. Saya membaca naskhah ini dengan pelbagai rasa yang teradun di jiwa. Bagi saya penulis berjaya memotretkan setiap watak dengan berkesan.

Marisa, dalam lemah lembutnya ada sikap tegasnya. Ridzwan, dalam ‘gentleman’nya ada panas baran dan tidak sabarnya. Akmal, dalam sikap memahaminya ada sifat cemburunya. Pendek kata setiap watak memberikan impak dan variasi yang berbeza dalam pembacaan saya.

Kenangan Terindah, adalah kenangan pahit manis, suka duka yang terpahat di jiwa mereka – Marisa, Ridzwan dan Akmal – sepanjang jalan menuju bahagia. Adakalanya apa yang berlaku tidak terjadi sebagaimana yang dirancang. Sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik!

Saya jadi tidak sabar untuk menantikan naskhah terbaharu daripada penulis ini...


0 rakan yang berkongsi rasa:

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare