Nov 11, 2008

Bidadari-Bidadari Surga

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Tere Liye
Halaman : 362 (edisi Indonesia)
Tahun : Cetakan 1 : Juni 2008
Terbitan : Penerbit Republika
(edisi terjemahan oleh PTS)
Harga :


Sinopsis:

Bidadari-Bidadari Surga (BBS) adalah karya hasil garapan penulis yang berasal dari negara jiran tetangga – Indonesia – Tere Liye.

Kisah tentang rentetan perjalanan 5 orang anak bersama ibu mereka Mamak Lainuri sebagai ketua keluarga selepas pemergian Babak (ayah) mereka akibat dibaham oleh penguasa rimba – Sang Siluman – gelaran yang diberikan pada Harimau Gunung Kendeng. Bersama anak-anaknya Laisa, Dalimunte, Ikanuri, Wibisana dan Yashinta, mereka meneruskan hidup dalam serba kedaifan di Lembah Lahambay yang terpencil, yang serba kekurangan dan serba keterbatasan. Yang hidup hanya bersandarkan nasib yang mahu berbaik pada mereka. Tapi bukan dengan jalan yang mudah.

Hidup hanya berbekalkan kerja keras, kerja keras dan kerja keras. Itulah semangat yang ditiupkan oleh Laisa terhadap adik-adiknya. Walaupun adakalanya dia lelah sendirian dengan olah si adik terutamanya 2 'sigung kembar' (sebenarnya bukan kembar) Ikanuri dan Wibisana. Bahkan dia pernah diuji apabila kehadirannya dipertikaikan oleh si adik "kau bukan kakak kami, kenapa pula kami harus menurut". Tapi dia tetap tegar meneruskan usaha dan tenaga bahkan sanggup mengorbankan hatta nyawanya demi adik-adiknya. "Lais mohon… Ya Allah, jangan ambil adik Lais"

Hidup yang hanya bersandarkan usaha yang gigih tanpa kenal erti putus asa. Mereka 'dewasa' bersama keazaman dan kerja keras semata. Walaupun adakalanya nasib seakan tidak ingin bersahabat dengan mereka. Yang adakalanya menyempitkan peluang mereka untuk meneruskan persekolahan. Namun mereka tidak peduli. Mereka tetap berusaha tanpa jemu. Hinggalah 'nasib' mula berbaik pada mereka. Memberi mereka peluang, yang pastinya adalah atas usaha dan kerja keras kak Laisa.

...Dan sesungguhnya di syurga ada bidadari-bidadari bermata jeli (Al Waqiah: 22). Pelupuk mata bidadari-bidadari itu selalu berkedip-kedip bagaikan sayap burung indah. Mereka baik lagi cantik jelita (Ar Rahman: 70). Bidadari-bidadari syurga seolah-olah adalah telur yang tersimpan dengan baik (Ash-Shaffat: 49)...


******

Apa yang dapat aku katakan usai membaca Bidadari-Bidadari Surga (BBS) ini, aku terpaku. Aku terkedu. Dan aku menyapu sisa air mata yang mengalirkan di pipi pabila perasaan sebak, tersentuh dan sedih akan nasib mereka sering mengiringi aku sepanjang menghabiskan bacaan ini. Subhanallah, indahnya naskhah ini, itulah perasaan yang singgah dibenakku.

Ini kisah tentang masa kecil mereka yang penuh perjuangan. Kisah 25 tahun silam yang penuh onak dan ranjau. Sebelum mereka bangkit menjadi apa yang mereka 'jadi' hari ini. Kejayaan setiap mereka adalah lambang perjuangan kakak mereka – Laisa.

Sebuah karya tentang pengorbanan seorang kakak terhadap adik-adiknya. Kisah tentang Kak Laisa yang tidak akan pernah membiarkan adik-adiknya kecewa, kisah tentang Kak Laisa yang tidak akan pernah membiarkan adik-adiknya malu. Jika harus ada yang kecewa dan malu adalah dirinya bukan adik-adiknya. Kisah tentang kak Laisa yang tidak pernah datang terlambat untuk adik-adiknya. Kisah kak Laisa yang sanggup mengorbankan seluruh hidupnya demi adik-adik.

Seorang kakak yang sanggup mengorbankan seluruh masa remajanya demi kelangsungan hidup adik-adiknya. Seorang kakak yang sanggup mengorbankan hatta nyawanya tatkala berdepan dengan Sang Siluman. "Puyang tidak boleh memakan mereka... Lais mohon. Tidak boleh!" Walaupun dia sedar dirinya sendiri bakal menjadi mangsa sebagaimana nasib yang menimpa ayah mereka. Aduhai... aku jadi takjub dengan keberanian Laisa. Seorang kakak yang tidak pernah mengenal erti susah, erti takut demi adik-adiknya.

Jika anda mahukan kisah 'cinta', naskhah ini sememangnya sarat dengan rasa 'cinta'. Cinta seorang kakak terhadap adik-adiknya. Kisah cinta adik-adik pada kakaknya pabila mereka mulai sedar akan pengorbanan si kakak.

Aduhai... aku kedengarannya amat berlebihan! Bukan kerana aku berpeluang bertemu empat mata dengan penulis hebat ini. BUKAN. Tapi sesungguhnya akulah yang jadi teruja untuk bertemu si penulis ini tatkala usai membaca ketiga-tiga karya beliau – Hafalan Shalat Delisa, Moga Bunda Disayang Allah & Bidadari-Bidadari Surga – (naskhah original berbahasa Indonesia). Bagi aku setiap inci cerita ini adalah istimewa dan sarat dengan 'semangat' perjuangan seorang kakak.

Bacalah. Aku ingin kamu merasai perasaan yang sama seperti aku. Moga 'rasa' aku tidak menipu kamu, atau jika anda rasa tertipu... maafkan aku, kerana sesungguhnya aku tidak boleh menipu diriku sendiri. 'Rasa' yang sarat dengan perasaan sebak dan sedih tapi bahagia... walaupun di akhir cerita tidak se'bahagia' sebagaimana yang kita harapkan akan berlaku, tapi aku PUAS. Kerana aku tahu... pastinya kak Laisa adalah antara 'Bidadari-Bidadari Surga' yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. Amin.

Ombak Bukan Biru

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 1 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Fatimah Busu
Halaman : 374
Tahun : 2008
Terbitan : Cetakan terbaharu Oleh – Pekan Ilmu Publication
Harga : RM18.90


Blurb:

Imrah bangkit berdiri dalam satu pertembungan antara tradisi lama dan tradisi baru. Sebelah kaki Imrah masih dalam lingkungan tradisi kampung yang bersih dari pengaruh-pengaruh luar dan penuh dengan amalan adat resam orang-orang tua, tetapi dengan menggunakan kekuatan yang luar biasa, Imrah cuba menjangkau kehidupan kekinian yang diamalkan di kota-kota yang telah diresapi oleh unsur-unsur luar dengan kakinya yang sebelah lagi. Jatuh bangun Imrah, kegagalan dan kejayaan Imrah untuk mencantumkan dua impian kehidupan yang bercanggah ini adalah ombak-ombak yang menghakis kehidupan remaja dan mematangkan dirinya. Lalu dengan rasa penuh sedar akan tanggungjawap satu kewujudan seorang perempuan, dia memulakan perjalanan baru yang bertolak dari satu soalan, 'Di manakah penyudahnya hidup seorang perempuan?'

******

Ombak Bukan Biru adalah sebuah karya hasil garapan penulis berkaliber Fatimah Busu. Secebis kisah masyarakat di era 70-an (perbetulkan aku andai aku silap). Kisah tentang seorang anak gadis yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh pada keluhuran ajaran Islam, yang menitikberatkan adat dan tradisi melayu.

Ayahnya, "… seorang kampung tutuk. Ayah fanatik dengan kitab-kitab dan soal akhirat. Ayah ulama yang tak terlantik di kampung. Dan semua orang hormatkan ayah kerana kealiman ayah. Ayah pantang dibahas tentang agama, ayah akan bertegang sampai jauh malam selagi lawannya tidak mengaku kalah. Dan ayah juga pantang ada orang mahu pinjam kitab-kitabnya. Tidak ada dalam simpanan, rela keluar wang untuk beli dan beri pinjam. Dan kerana itu ayah 'berilmu'. Ayah dihormati. Ayah disegani. Ayah dimuliai. Apatah lagi kerana ayah seorang 'Haji'…" – halaman 27

Kisah tentang seorang pendidik biasa yang mengajar di Kota Bharu. Seorang yang bergiat aktif dalam bidang seni tari dan pandai menarikan tarian asyik, tarian lilin, tarian zapin serta beberapa jenis tarian lagi, juga seorang yang pandai bermain alat-alat muzik.

Seorang anak gadis yang tumbuh sebagaimana lumrah anak-anak remaja lain, yang punyai naluri untuk menyintai dan dicintai, mengecap nikmat manisnya bercinta, merasa pahitnya dikecewakan dan indahnya bercinta lagi.

Kisah tentang pergolakan emosi seorang Imrah. Cinta Imrah pada Yamin, cinta yang dikhianati. Ketika hatinya sedang lara, Cik Celine datang bersama hasrat ingin mendalami seni tari melayu. Membawa dia mengenali Lawrence, 'tall and handsome. Good looking, nice guy' yang membuatkan dirinya seumpama 'Alice in Wonderland'. Namun cintanya pada Lawrence adalah cinta 'terlarang'. Namun dia tegar…

Nasi lemak buah bidara
Daun selasih aku lurutkan
Tinggal emak, ayah saudara
Kerana kekasih aku turutkan


Itulah Imrah yang mengalami transformasi budaya. Antara tradisi lama yang harus dijunjung dan tradisi baru yang ingin diterokai. Natijahnya dia dibuang keluarga. Dia tersisih dari perhatian ayah, dia terpinggir dari kasih sayang ibu dan dia jauh dari pandangan saudara.

Bahkan berita tentang kematian ayahnya hanya diketahui lewat telegram kiriman kakaknya Rohani. Hanya selepas hampir seminggu jenazah ayahnya disemadikan. Pergi tanpa sempat Imrah sujud di kaki ayahnya memohon keampunan. Pergi bersama dosa-dosa Imrah yang tidak terampun.

Walau bagaimanapun rasa cinta semata tidak cukup untuk membuatkan hidupnya bahagia. Badai datang tanpa diundang. Tindakan nekad tanpa akal yang waras membuatkan hidupnya berantakan. Memaksanya dia meninggalkan Lawrence ketika dirinya sedang sarat mengandungkan buah cinta mereka hanya kerana perasaan cemburu. Dia kecewa kerana dikecewakan. Dia kembali menjejaki tanah desa tercinta bersama jenazah anaknya untuk disemadikan.

Namun Imrah tetap cekal menghadapi hari depan. Walau dugaan datang bertimpa, dia redha. Ini takdir untuk dirinya yang 'berdosa'. Dia bangkit sebagai Imrah yang baru, dengan semangat baru dan dengan kerja yang baru sebagai pramugari dengan harapan di antara para penumpang itu, tersembul wajah Lawrence, tatkala boeing 747 membawanya terbang di awan biru...


Apa yang dapat aku katakan usai membaca karya ini… ia sememangnya 'Novel yang Merentas Dekad'!!

Aku suka dengan watak Imrah. Ia adalah gambaran seorang anak gadis yang telus walaupun tidak semulus heroin-heroin lakaran penulis baru dewasa ini. Aku dapat bayangkan Imrah, seorang anak gadis yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan ilmu agama. Ilmu akhirat, membesar, bercinta, putus cinta dan bercinta lagi, tetapi dia tetap tahu di mana letak nilai dirinya.

Apa yang aku kagum dengan watak Imrah ini adalah, penulis berjaya memisahkan gambaran zahir si Imrah – seorang anak gadis yang bersopan santun – dengan pergolakan emosi seorang Imrah tatkala dirinya dalam sengsara menahan hati yang merana dek cinta yang terkandas di tengah jalan. Walaupun ada antara bait-bait ayat yang menggambarkan suara hati Imrah agak 'kasar' pada pembacaan aku, tapi seorang Imrah tetap menjaga keperibadian zahir sebagai gadis timur yang telah terdidik dengan sempurna oleh kedua orang tuanya. Ia tetap menjaga tingkah, hinggalah dia tewas pada pesona mata sang arjuna yang memukau dengan kelelakiannya. Memanah terus ke jantung hatinya membuatkan dia buta untuk menilai dan tegar 'menukarkan' seorang ayah dengan seorang lelaki lain.

Apa yang membuatkan aku jatuh cinta dengan novel ini adalah, Ombak Bukan Biru telah menggembalikan 'jiwa' aku yang telah lama tertinggal di kampung. Ya, Ombak Bukan Biru telah membawa aku kembali mengimbau nostalgia semalam yang aku tinggalkan.

Suasana meriah hari sabtu di bandar KB, menyusur jalan-jalan dan lorong-lorong yang pernah aku jejaki tapi sudah lama aku tidak kunjungi. Istilah-istilah dan dialek yang digunakan, membawa aku kembali ke desa yang tercinta. Istilah orang hilir, orang hulu, karai air, meratib, gatih, berkemban gantung, celapak, berbalik pais, karak, berjujut-jujut, sekah adalah antara dialek-dialek yang aku jumpa dalam novel ini. Mengembalikan ingatan aku pada loghat yang sudah jarang aku gunapakai. Sungguh nostalgia.

Pendek kata jika anda anak jati negeri Serendah Sekebun Bunga yang telah lama merantau dan hampir lupa akan bahasanya yang unik itu, anda harus membaca novel ini. Untuk mengembalikan ingatan anda pada tanah yang pernah berada di bawah tampuk pemerintahan Cik Siti Wan Kembang ini.

Namun begitu, keseluruhan penggunaan bahasa oleh pemegang Ijazah Sarjana Sastera (1978) dan Doktor Falsafah (1994) dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Bahasa 'orang lama' yang sarat dengan bunga-bunga bahasa yang indah dan puitis, yang sememangnya tidak lekang dek hujan tak lapuk dek panas. Indah dan menawan dalam darjahnya yang tersendiri. Mengingatkan aku betapa indahnya bahasa melayu, bahasa yang pernah diangkat sebagai bahasa perantara (lingua-franca) yang ditutur berabad-abad yang lalu di seantero Nusantara.

Aku cukup puas usai membaca naskhah ini. Sebuah 'masterpiece' yang cukup telus daripada Dr. Fatimah Busu. Jika anda ingin kembali ke era 70-an, bacalah Ombak Bukan Biru ini, tapi jangan terkejut andai 'cerita'nya masih relevan dengan kehidupan kita dekad ini.

Selamat Membaca!!

Doa Untuk Aku

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Bahruddin Bekri
Halaman : 436
Tahun : 2008
Terbitan : PTS O.N.E Sdn Bhd
Harga : RM22.90


Blurb:

"Menarik juga cadangan kau. Mungkin dapat membantu aku menghadapi peperiksaan akhir. Masalahnya, di mana kita mahu mencari 40 doa itu?" soal Adly.

"Aku ada. Aku doakan kau sebanyak 40 kali. Nanti dapatlah kau menghadapi peperiksaan akhir dengan cemerlang," jawab Kassim kembali. Dia tersenyum.

"Kau doakan aku sebanyak 40 kali? Hmm… begitu sahaja?"

"Aku keliru. Adakah maksud 40 doa itu adalah 40 kali doa daripada orang yang sama, ataupun 40 kali didoakan oleh orang berlainan?" Adly kembali menyoal. Fikirannya kembali kusut.

"Err.. aku pun tak pasti. Rasanya dua-dua sekali, 40 kali doa daripada 40 orang berlainan. Nanti kita tanyalah sesiapa. Tentu ada orang yang lebih arif fasal hal ini," cadang Kassim lagi.


Adly membesar bersama keyakinan hidupnya dirahmati dengan adanya doa daripada ibunya. Kematian ibunya membuatkan Adly kehilangan 'senjata'. Apa yang dapat menggantikan doa ibunya? Lalu bermula pencarian Adly mencari 40 doa.

******

Doa Untuk Aku (DUA) berkisar tentang Adly yang terlalu obsess (kalau boleh dilabelkan begitu) dengan doa. Padanya doa ibunya adalah satu-satunya senjata yang paling berkuasa dalam hidupnya, yang membuatkan dia lulus dalam peperiksaannya. Namun kematian ibunya menjadikan Adly kehilangan 'senjata' yang paling ampuh yang menjadi perisai dirinya. Keyakinannya mulai goyah. Dia mulai hilang semangat.!!

Namun perkenalan secara tidak sengaja dengan pengembara yang hobinya memotong rumput, membuka matanya akan alternatif lain untuk berjaya dalam hidup. 40 doa. Ya itulah yang dia ingin terokai. Maka bermulalah misinya mencari 40 doa.

Berbekalkan keyakinan akan kemujaraban doa, dan dengan bantuan rakan-rakan terutamanya Kassim, dan ahli kumpulan Amin bin Damit – Amin, Zulaikha dan Sarah – misi mencari 40 doa menjadi satu misi yang sungguh unik, lucu, sedih dan menarik, terjadi pada mereka.

Nak tahu apa yang terjadi sepanjang misi pencarian 40 doa Adly?? Anda kenalah baca karya ini.


Apa yang dapat aku katakan usai membaca karya ini... lawak sungguh!!!. hehehe

Tapi jangan cepat percaya pada komen pertama aku.!! Sesungguhnya DUA ini bukanlah karya 'gila-gila' tetapi membacanya membuatkan aku tak henti menyungging senyuman. Idea Che Din (boleh ya kakwan seru begini?) amat aku kagumi. Che Din berjaya menyampaikan misi mencari 40 doa Adly bukan hanya untuk Adly semata, tetapi juga sebagai modus untuk memperingatkan aku sebagai pembaca akan definisi 40 doa-doa yang dimakbulkan.

Sesungguhnya DUA ini sarat dengan ilmu yang amat berguna buat pedoman kita sebagai pembaca. Walaupun pada dasarnya, isunya hanyalah berkenaan dengan DOA… yang kita tahu merupakan senjata orang-orang mukmin, dan mungkin anda semua sudah arif tentang doa dan adab-adabnya, tetapi tidak salah kalau kita terus diperingatkan tentang doa!, dan Che Din berjaya dalam misinya (sekurang-kurangnya pada aku kalau bukan pada pembaca lain!!) yang sering kali alpa dan mudah lupa.

Sebenarnya bukan sekadar doa yang menjadi inti pati utama dalam DUA karya Che Din ini, tetapi ada banyak lagi isu-isu yang diutarakan dalam DUA ini. Isu yang di mata kita nampak remeh, yang kita rasakan tiada apa yang menariknya lagi… melainkan isu yang telah mendarah daging dalam kehidupan kita. (terutamanya isu 'konsert hattan'… hahaha!! begitu ya perasaannya??) Tapi membaca DUA membuatkan aku sedar bahawasanya hidup ini adalah satu perjuangan untuk kemenangan di hari kemudian.

Tahniah pada Che Din. Sesungguhnya Che Din telah memberikan satu anjakan baru dalam dunia penulisan kreatif, satu variasi baru dalam memperkayakan lagi genre penulisan kita.

Buat anda rakan pembaca, bacalah Doa Untuk Aku, semoga kamu mendapat manfaatnya. Selamat membaca dan berkongsi gelak denganku!!
 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare