Feb 19, 2012

Bersatu Dalam Cinta

luahan rasa : Wan Amalyn at Sunday, February 19, 2012 2 rakan yang berkongsi rasa
Penulis : Azra Aryriesa
Terbitan : Buku Prima
Tahun Terbitan : 2012
Harga : RM25.90


Bersatu Dalam Cinta, kisah tentang suka duka, tawa tangis 3 sahabat baik dalam menghadapi kisah cinta yang penuh pancaroba.

Damia Karmila & Dania Kamilia adalah saudara susuan yang juga saudara sepupu yang mempunyai wajah yang seiras. Ikatan mereka bagaikan isi dengan kuku. Mempunyai wajah seiras tidak bermakna mereka mempunyai perangai yang sama. Tingkah mereka berbeza bagai langit dengan bumi.

Kamilia yang meninggal akibat kemalangan telah merubah perjalanan hidup Isma Zulkarnain suaminya dan menginggalkan misteri pada Damia untuk dirungkaikan. Selepas 8 tahun pemergian arwah Kamilia, Damia yang telah berjaya menjadi peguam, dan kembali ke tanah air telah membuka semula dan menyiasat kes tentang kematian arwah Kamilia yang baginya sangat misteri. Atas bantuan Abang Zairi dan Yusri teman Zairi yang juga Inspektor polis memudahkan kerja-kerja penyiasatan. Selaku bekas suami, Isma sering berhubungan dengan Damia atas alasan ingin mengetahui perkembangan kes kematian arwah isterinya. Perhubungan yang membuahkan bibit-bibit rasa di hati masing-masing. Benarkah Isma jatuh cinta pada Damia hanya kerana wajah Damia yang mirip wajah isteri yang amat dicintainya?

Lailatul Wafi – kehilangan orang-orang tersayang dalam jangka waktu yang singkat telah merubah seorang Wafi menjadi seorang yang pendiam. Kehilangan suami tercinta di hari pernikahannya, kematian ayahnya akibat terkejut dengan berita kehilangan Azam dan pemergian ibunya mengikut jejak arwah Azam, dan ayahnya beberapa hari kemudian telah mengheret Wafi ke dunia yang kelam lagi suram. Atas ihsan ibubapa mertuanya dia dibawa ke luar negeri.

Selepas 10 tahun di perantauan mereka kembali ke Malaysia. Namun igauan pahit semalam tidak dapat dihilangkan dari kotak ingatannya. Kehadiran Faris jiran sebelah rumah yang jatuh cinta pandang pertama padanya tidak berjaya membuka pintu hatinya yang terkunci rapat. Namun usaha tanpa kenal putus asa, serta bantuan ahli keluarga kedua-dua pihak demi melihat Wafi kembali senyum sedikit sebanyak telah berjaya menyentuh hati Wafi. Berjayakah Faris menakluki hati Wafi yang terkenal keras lagi beku itu??

Alia dan Ainul pasangan muda yang berkahwin atas dasar cinta. Siapa kata berkahwin atas dasar cinta akan bertahan selama-lamanya? Sikap ego dan cemburu buta telah meleraikan ikatan pernikahan mereka setelah hampir setahun hidup bersama. Pantang bersua, pasti disulami dengan pertengkaran demi pertengkaran. Pelbagai cara dilakukan oleh kedua-dua keluarga demi menyatukan kembali cinta Alia dan Ainul. Namun sering kalinya gagal.

Kini setelah lebih 8 tahun mereka hidup menjanda dan menduda, hadir Ruzana dalam hidup Ainul dan Razman dalam hidup Alia. Perhubungan dengan kenalan baru ini sedikit sebanyak telah menimbulkan rasa tidak senang di hati Alia dan Ainul. Hinggalah ke peringkat mereka merancang untuk menamatkan zaman janda dan duda, namun ada rasa lain yang mengganggu mereka. Baik Alia mahupun Ainul seakan tidak rela melepaskan rasa cinta yang masih bersisa di hati mereka tetapi kerana ego, mereka sukar melafazkannya. Bagaimana kesudahannya kisah cinta mereka?

Naskhah setebal 677 mukasurat ini sangat melelahkan saya untuk menamatkannya. Bukanlah tidak menarik, menarik! Penulis ada idea yang ingin diketengahkan. Namun saya rasa terlalu banyak ’campurtangan penulis’ dalam cerita ini. Isma-Ainul- Faris 3 sahabat baik yang jatuh cinta pada Damia-Alia-Wafi yang bersahabat. Jalinan yang berlaku dalam hidup mereka bagaikan diatur ’takdir’nya. Damia, Kamilia & Wafi sahabat baik sedari kecil. Mereka terpisah apabila Damia melanjutkan pelajaran ke luar negara. Damia & Alia pula bersahabat baik ketika di universiti. Selanjutnya anda baca sendirilah... hehehe

Selain daripada itu, tempoh 8 tahun perceraian antara Alia dan Ainul, agak ’lama’ bagi saya untuk disimpan rasa ego dan sakit hati itu. Rasanya segala rasa yang terbuku dihati bisa hilang dalam jangkamasa selama itu. Jika tidak hilang sekalipun, sedikit sebanyak rasa itu bisa berkurang dan mereka seharusnya dapat terima hakikatnya. Tapi dalam naskhah ini, tempoh 8 tahun masih belum mampu menghilangkan rasa sakit hati kedua-dua mereka. Mereka bertingkah dan berperang mulut bagaikan ianya berlaku dalam tempoh sebulan dan paling lamapun saya bagi tempoh setahun. Tapi tak tahulah pendapat orang lain... mungkin saya salah sebab saya bukan berada dalam 'kasut' mereka. =)

Selain daripada itu, pengulangan ayat yang sama walaupun di’lafaz’kan oleh orang yang berlainan, membuatkan pembacaan saya sedikit terganggu dan membosankan. Pada saya cukup sekali dikisahkan tentang sesuatu perkara/benda saya pasti pembaca akan maklum. Jangan meletakkan 'andaian' bahawa pembaca tidak faham jadi harus diulang berkali-kali. Dengan kata lain, jangan perbodohkan pembaca.

Walau bagaimanapun masih ada nilai komersial dan unsur suspen yang mengikat saya untuk terus membaca dan mengetahui kisah yang berlaku pada mereka hingga ke penamatnya.

Selamat membaca, moga bermanfaat untuk anda.

Feb 15, 2012

Srikandi Vs Arjuna

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, February 15, 2012 1 rakan yang berkongsi rasa
Penulis : Izza Aripin
Terbitan : Alaf 21


Apa yang saya suka pada karya-karya Izza adalah pada watak heroinnya yang 'gagah' hehehe. Jangan silap tafsir pula, gagah di sini bukanlah yang bermaksud gagah yang tidak senonoh, tapi gagah pada pendirian dan tindak tanduknya.

Saya suka pada watak wanita yang tidak terlalu bergantung pada lelaki! Ya, pastinya kita harus taat pada suami (yang dah bersuami laa), tapi setakat mana ketaatan kita bergantung kepada sejauh mana mereka (lelaki) menjalankan tanggungjawab mereka terhadap kita kaum isteri. Selagi mereka tidak mendatangkan memudaratan pada kita kaum wanita yang 'lemah' ini, ya saya akan taat setia hingga ke hujung nyawa. Saya sudah muak membaca kisah-kisah para isteri yang didera mental dan fizikal tetapi masih 'pasrah' dengan takdir. Pleasee laaa... hehehe dah melalut pula saya.

Berbalik pada novel ini, saya sukakan karya Izza Aripin bersama Alaf 21 ini. Sentuhan majis penulis masih lagi dapat saya rasakan walaupun berlainan penerbitan. Transformasi Ridd – Zarida – Ridd dapat saya terima. Perubahan Ridd yang brutal kepada Zarida yang menurut perintah saya akur sebab musababnya.

Watak heroin yang di awal cerita dipotretkan sebagai seorang gadis yang lincah, teguh berpendirian dan kental sifat juangnya mula berubah apabila dia berkahwin. Watak Zarida yang berubah menjadi 'saya yang menurut perintah' tanpa sebarang bantahan, saya akur situasinya. Ya, dia hanya ingin jadi anak yang menurut kata pada ibu bapanya walaupun dia harus korbankan rasa hati dan pendiriannya.

Namun apabila kedudukan anaknya terancam, dia mampu berubah menjadi wanita yang berjiwa kental walaupun nyawa menjadi galang gantinya. Hidupnya hanyalah untuk anaknya. Saya dapat rasa jiwa dan semangat yang ditiupkan oleh penulis dalam diri Zarida. Saya bagaikan berjuang bersama Zarida untuk menegakkan keadilan demi mencari bahagia dia sendiri.

Watak Zaihan sebagai lelaki pembengis, ego, sombong dan berhati beku, ada alasannya. Kenangan pahit bersama ibunya yang berlaku curang membuatkan dia trauma. Dia meletakkan kesalahan ibunya pada setiap insan yang bergelar wanita. Sementelah sepanjang tempoh pembesarannya dia dikelilingi oleh sosok lelaki - datuk & pakciknya hatta 'pengasuh-pengasuh'nya juga adalah lelaki. Jadi saya tidak salahkan Zaihan bila dia bersikap sedemikian. Namun perkenalan dan sekaligus jatuh cinta pada Zarida telah merubah persepsinya terhadap wanita. Walaupun dia dikeciwakan oleh Zarida, namun dia tidak dapat membenci wanita itu.

Kemunculan Shahrein, lelaki yang ‘nampak’ budiman menjadikan cerita ini lebih variasi. Di awal-awal kemunculannya lagi perasaan tidak suka sudah ada dalam hati saya. Jadi saya agak bias dengan watak Shahrein. Tapi saya ada alasan ya! Saya benci Shahrein kerana dia adalah lelaki berhati binatang yang bertopengkan manusia. Cuma andai dirungkaikan sedikit rahsia kenapa Shahrein seakan membenci anaknya sendiri pastinya lebih menarik.

Bacalah! Moga ada manfaatnya untuk anda juga... :)

Aug 24, 2011

Baju Melayu Hijau Serindit

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, August 24, 2011 0 rakan yang berkongsi rasa
Penulis : Syud
Halaman : 430
Tahun : Mei 2011
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Harga : RM19.00 (Sem. M'sia)/RM22.00 (Sabah/Sarawak)

Buku terbaharu karya Syud ini sebenarnya sudah lama saya khatam. Semasa Pesta Buku (2011) hari tu lagi saya dah habis baca. 1-kerana tuntutan tugas waktu itu, saya kena tahu apa kisahnya buku ini kalau-kalau ada yang bertanya. 2-sebagai penggemar karya-karya Syud, sememangnya karya terbaharu beliau sangat-sangatlah saya nantikan. Dan pastinya ia menjadi prioriti saya untuk dibaca.

Plot/Jalan Cerita:

Baju Melayu Hijau Serindit berkisah tentang Wardah yang polos. Kisah tentang Pacai yang 'tidak berapa budiman' (pada Wardah lah). Dan ini kisah yang berlaku di seputar hidup mereka. Takdir mereka terlakar dek naskhah Nyanyian Tanjung Sepi yang sudah payah untuk dicari. Pertemuan kali pertama yang menjengkelkan hati Wardah pada si dia yang memborong dua naskhah terakhir NTS. Pertemuan pertama yang tidak meninggalkan sebarang tanda pada Pacai. Yang dia ingat hanyalah sekadar si dia yang berkasut merah berjalan ketuk-ketak-ketuk-ketak.

Pacai, dia lelaki yang pernah kecundang dalam percintaan. 'Hati'nya pernah hilang dari dirinya suatu masa dahulu. Tapi, tak siapa di antara sahabatnya yang tahu sisi lain Pacai. Mengenali Wardah, dia jadi lelaki yang punya hobi baru, suka menyakat Wardah. Melihat Wardah jengkel, geram dan marah benar-benar membuatkan hatinya gembira. Dia rasa dia tak cintakan Wardah tapi dia akan rasa lain bila Wardah tak ada.

Apabila berita Ilham, jejaka idaman Wardah putus tunang sampai ke pengetahuan ibunya, hidup Wardah mula tidak tenteram. Ibu Wardah yang sememangnya berkenan pada Ilham mula membuat rancangan untuk menjodohkan mereka - Wardah-Ilham. Demi menggagalkan rancangan ibunya, Wardah harus mencari jalan. Misi mencari teman lelaki bermula. Tapi siapakah yang rela hati untuk menjadi 'teman lelaki olok-olok' pada Wardah?

Dan apa salahnya jika Wardah terima Ilham, bukankah Wardah itu sukakan Ilham? Jadi apa masalahnya? Ho! Ho! Ho! Ada sebab kenapa Wardah tidak boleh pilih Ilham walaupun bila berhadapan dengan Ilham, jantung Wardah akan berdetak dengan lebih pantas dan Wardah juga akan bertukar menjadi wanita yang terlebih ayu.

Jadi berjayakah Wardah mencari dia yang boleh dijadikan teman lelaki? Bagaimana pula 'watak' Pacai muncul dalam babak hidup seorang Wardah? Bagaimana kesudahan kisah mereka? Bacalah kalau ingin tahu.

Watak & Perwatakan:

Wardah dipotretkan sebagai anak gadis yang biasa-biasa. Dia anak gadis yang polos. Pada Firas dia bukan jenis orang yang menyimpan kata-kata dalam hati, dia gadis yang lurus dan jujur. Wardah dia gadis yang berpegang pada fakta dan logik. Tapi ada kalanya dia boleh jadi gadis yang 'blurr' dan naif.

Pacai atau Mohammad Firas Adam adalah lelaki yang tidak berapa budiman pada pandangan (pertama) Wardah. Pada sahabat-sahabatnya, dia lelaki yang suka buat hal sendiri, lelaki yang tidak pernah ada masalah besar dalam hidupnya. Bahkan Umar pernah kata dia kasanova dan semua sahabatnya bagaikan percaya! Pada Najlaa pula, dia lelaki yang tidak pernah serius dalam hidupnya. Hakikatnya dia masih seorang lelaki yang punya hati dan perasaan. Cuma kelebihannya dia bijak menyembunyikan rahsia hatinya. Bak kata Adil, dia lelaki yang tersangat positif. Pada saya, dia lelaki yang bertanggungjawab. Lelaki yang tahu apa yang dia inginkan dalam hidupnya.

Adil dia sahabat Pacai. Mereka bersahabat sedari zaman 'U' hinggalah ke alam pekerjaan. Dia sahabat yang Pacai tidak boleh sembunyikan apa-apa daripadanya. Dia sahabat yang dengan mudah dapat 'membaca' segala riak dan tingkah Pacai. Tanpa perlu disoal, Pacai akan bercerita tanpa paksaan.

Nik dia sahabat baik Wardah. Sahabat yang sentiasa bersama Wardah di kala Wardah ditimpa masalah. Sahabat yang dicari oleh Wardah untuk sessi luahan hati juga sebagai pakar motivasi dan penyumbang idea tatkala Wardah kebuntuan. Dia orang kepercayaan Wardah.

Ilham dia digambarkan sebagai lelaki baik, lembut tutur kata, sedap mata memandang, pandai dan bermacam lagi sifat baik yang dimilikinya. Bahkan dia menjadi orang kanan dan orang kepercayaan En. Bakhtiar ayah Wardah untuk menjemput/menghantar Wardah balik kalau ayahnya ada hal.


Sekacip Pinang:

Jika ditanya pada saya apa istimewanya Baju Melayu Hijau Serindit ini, secara jujurnya saya tidak dapat memberi jawapan yang tepat. Bukankah setiap pembaca punya skala penilaian mereka yang tersendiri? Bukankah nilai 'best' itu berbeza pada setiap orang? Juga subjektif untuk diberikan penilaian, bergantung pada kesukaan dan genre pilihan pembaca itu sendiri kan? Kalau yang gemarkan hanya karya-karya Sci-fiksyen dan disuruh baca novel cintan-cintun pastinya tidak akan 'masuk' dengan selera mereka betul tak? Jadi 'best' atau tidak andalah yang tentunya.

Tapi bagi saya, saya gemarkan karya-karya Syud kerana ceritanya yang simple. Ya, adakalanya saya perlukan bahan bacaan yang tidak memerlukan saya memerah otak berfikir yang akhirnya membuatkan saya migrain, atau berhari-hari saya dok mengusung rasa bengang hingga mempengaruhi pembacaan saya. Saya hanya ingin nikmati saat-saat indah membaca dalam suasana yang nyaman di hati. Yang akan membuatkan saya hanya ingin senyuuummmm sahaja! hehehe Jadi untuk bacaan santai tulisan Syud lah yang saya pilih!

Saya sukakan karya-karya Syud kerana setiap watak dan perwatakannya bagaikan 'mereka' hidup di dunia nyata, bagaikan mereka wujud di luar sana. Yang tinggal di suatu tempat di muka bumi ini (mungkin di Kota Tinggi? Atau di JB? Atau berada di sekitar kehidupan kita di Lembah Klang ini?? Siapa tahu kan? hehehe).

Bahkan cerita 'mereka' juga digarap dengan indah hinggakan saya yang membaca terasa 'manis'nya. Syud menulis tentang 'mereka' yang dekat di hati. Yang membuatkan hati saya sebagai pembaca terasa tempiasnya. Ya, kisah 'mereka' hanyalah kisah-kisah biasa yang diluarbiasakan oleh penulis.

Satu lagi trademark Syud, setiap watak saling 'bersahabat'. Pacai, Adil (Untuk Awak Teja Aulia), Azril (Tentang... Dhiya), Umar Hamka, Topek, adalah sekumpulan anak muda yang bersahabat baik dan menyimpan pelbagai cerita mereka yang tersendiri. Mereka sahabat yang saling bantu membantu, yang menjadi sahabat di kala senang mahupun susah.

Satu kelebihan bila setiap watak saling berkait, pembaca akan terasa lebih jelas tentang siapa mereka, apa cerita mereka dan jika pembaca yang belum tahu 'whose who', pastinya akan terdetik di hati mereka untuk ambil tahu siapa sebenarnya mereka dan salah satu cara untuk tahu adalah dengan membaca karya-karya Syud yang terdahulu.

Hanya jauhari yang mengenal manikam. Ya, hanya para penggemar tulisan Syud sahaja yang tahu apa yang cuba saya sampaikan. Selamat membaca, moga menghiburkan dan bermanfaat untuk anda!

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare