Feb 7, 2011

Cinta Sufi ~ Ramlee Awang Murshid

luahan rasa : Wan Amalyn at Monday, February 07, 2011
Buku 2 : Cinta Sufi : Ramlee Awang Murshid : Alaf 21

Buku kedua yang telah selesai saya baca adalah buku ini, Cinta Sufi karya Ramlee Awang Murshid. Novel terbitan Alaf 21 ini adalah sequel Bagaikan Puteri selepas Hijab Sang Pencinta, Cinta Sang Ratu dan Bagaikan Puteri sendiri sebagai pelengkap pada kisah Laksamana Sunan atau Saifudin.

Sinopsis belakang kulit

PILU hati saat dikhabarkan suaminya gugur di medan perang, Catalina rebah tidak sedarkan diri. Sebaik terjaga, dia membicarakan hajatnya ke Hulu Melaka. Ingin mencari lelaki bertanduk dua.

Tanpa diduga, takdir menentukan Laksamana Sunan lelaki yang dicari Catalina. Malangnya, Laksamana Sunan bukan lagi wirawan. Kudratnya lenyap dan ditawan penjajah yang menakluk Melaka. Hampir dibunuh musuh, dia diselamatkan oleh cinta yang dipendam Luna.

Laksamana Sunan, Catalina dan Luna... bukan sekadar terperangkap dalam perjalanan yang berliku, malah terkurung dalam cinta segi tiga yang terlafaz dan tersembunyi. CINTA SUFI Sebuah kesinambungan trilogi Bagaikan Puteri, dipenuhi aksi pengembaraan dan pertembungan antara kebaikan dan kebatilan, yang nyata dan mistik. Disemarakkan lagi dengan rasa cinta dan pengorbanan.

Rasa Saya:

Cinta Sufi ini adalah kesinambungan kisah Saifudin yang dikenali dengan gelaran Laksamana Sunan. Kali ini, Saifudin yang telah kembali dari zaman akan datang terdampar lemah tidak berdaya selepas 'merentasi masa'. Dia yang lemah dijadikan tawanan/hamba sahaya oleh Yang Mulia Catalina balu Aryas Do Lopo bangsawan Portugis yang terkorban ketika berperang dengan tentera Turki.

Catalina yang kehilangan suami, belayar ke Tanah Melayu semata-mata ingin mencari Maryam yang muncul dalam mimpi-mimpinya tatkala dia tak sedarkan diri. Sebagai seorang bangsawan yang punya nama dan kedudukan, serta balu kepada wira Aryas Do Lopo yang terkorban ketika berperang, memberi kelebihan padanya mendapatkan perkenan Raja Portugal untuk menyertai armada perang ke Melaka. Tapi tak siapa yang tahu bahawa misinya yang sebenar adalah untuk mencari 'Maryam'.

Bermula kisah perjalanan pencarian mereka ke Hulu Melaka...

Pembacaan awal saya agak perlahan memandangkan saya punya masalah ‘ingat-ingat lupa’ pada kisah-kisah Laksamana Sunan dalam naskhah yang terdahulu. Antara pembacaan dan cubaan saya untuk ingat kembali, saya jadi bercelaru. Jadi saya membaca bagaikan jasad tanpa ruh! Mujurnya rentak saya bertambah lancar hanya selepas beberapa bab kemudian.

RAM sinonim dengan genre fiksyen/thriller bahkan dijoloki dengan gelaran Penulis Thriller No. 1 di Malaysia oleh para penggemar dan peminatnya. Begitu juga kisah ini, di mana tanah Melaka yang berdaulat menjadi salah satu lokasi utama. Pencarian 'Maryam' membawa Catalina ke Hulu Melaka yang bergolak. Sepanjang perjalanan, secara simboliknya 'Laksamana Sunan' menjadi jurupandu mereka walaupun ketika itu dia adalah hamba/tawanan perang.

Kali ini sejarah kependudukan Portugis di tanah melayu, Melaka khususnya difiksyenkan. Saya jadi keliru adakah ini fakta atau ‘auta’. Ops! jangan silap tafsir. Apa yang saya maksudkan ‘auta’ di sini adalah tokoh-tokoh yang termuat dalam buku sejarahnya betul tetapi insiden yang berlaku di kota Melaka di abad ke 15 itu benarkah begitu kisah yang berlaku di sebaliknya? Saya jadi keliru. Antara pemahaman saya tentang asal-usul penjajahan Portugis di Melaka dengan kisah yang berlaku di sebaliknya. (Huhuhu susunan ayat saya tulis ini pun dah jadi berbelit-belit seperti kepala saya yang pening... hahahaha)

Maafkan saya andai saya khilaf. Maklumlah pemahaman tentang sejarah Tanah Melayu saya sudah tumpul. Mata pelajaran Sejarah yang saya belajar dulu sudah menjangkau lebih 20 tahun yang lalu. Dan rasanya saya perlu cari balik buku-buku sejarah tentang tanah air saya yang tercinta ini supaya saya tidak lupa.

Ok berbalik pada cerita ini, Cinta Sufi ini juga sarat dengan tazkirah. Penulis bijak mentarbiah saya sebagai pembaca melalui tulisannya ini. Segala kelebihan surah-surah Al-Quran serta amalan-amalannya diperincikan dengan baik sekali. Amalan zikir dengan 99 nama-nama Allah (Asma’Ul Husna) dijadikan teras dalam naskhah ini. Pendek kata saya tidak membaca ‘kosong’ buku ini. Ada ilmu dan pengajaran yang boleh saya kutip melaluinya.

Selain itu juga dalam naskhah ini diceritakan juga tentang bangsa Polip. Serius, saya memang tidak tahu tentang kewujudan kaum ini. Dan sehingga saat ini saya masih tertanya-tanya siapakah sebenarnya kaum Polip ini?

Kesimpulannya, bagi penggemar RAM yang sentiasa mengikuti sekuel Bagaikan Puteri, pasti anda tidak akan lepaskan peluang membaca Cinta Sufi ini. Kisah yang berlatarbelakangkan Tanah Melayu di kurun ke-15 ini menggunakan bahasa ‘lama’. Tapi tetap mudah difahami, jangan risau!! Dan saya paling suka dengan penggunaan kata ganti diri ‘kita’ yang digunakan oleh Laksamana Sunan. Cute aje! hehehe

TAPI saya sangat kecewa dengan penamatnya. RAM suka membuatkan saya tertanya-tanya... apa yang berlaku pada Laksamana Sunan selepas dia ditembak (di dada) oleh Kapten Leandro dan kemudian dibawa oleh Laksamana Hang Tuah ke ‘dasar tasik’? Dan bab terakhir bagaikan klu bahawa akan ada lagi sambungannya selepas ini... Benarkan begitu?? Hanya RAM yang ada jawapannya...

Apa-apapun, saya suka cerita ini...

0 rakan yang berkongsi rasa:

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare