Jan 6, 2011

Bidadari Hujan

luahan rasa : Wan Amalyn at Thursday, January 06, 2011
Untuk pembuka tirai tahun 2011 ini saya mulai dengan novel ini, Bidadari Hujan karya Noor Azzahra terbitan Jemari Seni.

Apa kisah dan ceritanya?

Bidadari Hujan ini berkisah tentang Rain – Raimy Haidar yang jatuh hati pada si dia, bidadari hujan yang memayunginya di satu pagi yang renyai. Tatkala hujan turun menyimbah bumi, dia muncul bersama sekaki payung meneduhkannya daripada titisan hujan. Dan hari itu, titisan hujan yang menimpa bumi bagaikan gugurnya kuntuman bunga yang indah dan mewangi pada pandangan mata Rain. Hujan rahmat buatnya. Dan dia jatuh cinta! (Baru saya sedar signifikan kulit novel yang sebegitu!)

Lia (Qamalia) – dia, bidadari hujan benar-benar telah membuat hati Rain panasaran. Dia yang cantik, dia yang hidup sekadarnya sahaja (bukan dalam golongan orang kaya) berjaya menawan hati Rain yang ada segala-galanya.

Namun harapan dan permintaan si nenek meranapkan seluruh impian Rain untuk membina istana bahagia bersama bidadari hujannya runtuh bagaikan rebahnya istana pasir pabila diterjah ganasnya sang ombak. Demi nenek yang dikasihi dia turutkan juga walau hatinya membantah. Demi nenek dia rela dalam terpaksa walaupun hatinya hancur luluh tak bersisa. Istana dibina tapi permaisurinya bukanlah si bidadari hujan yang dia puja. Rain nanar. Lia pasrah.

Sufi – dia wanita yang tak punya ‘rasa’ pada tanggapan Rain. Walau terang-terangan ditunjuk rasa tidak suka Rain pada si isteri, dia tetap begitu. Endah tak endah. Apa yang Rain tidak suka itu yang dibuatnya. Dia suka-suka masuk kemas bilik Rain (mereka berlainan bilik tidur). Dia suka-suka sambut Rain balik daripada pejabat. Dia suka-suka bawa air walaupun Rain tidak minta. Dia yang suka bercakap, walaupun Rain tidak suka mendengarnya. Pendek kata, dia suka buat benda yang Rain tidak suka! Noktah.

Tapi Rain tidak tahu, di balik raut cerianya dia juga punya rahsia yang mungkin hanya Rain sahaja tidak tahu. Dia ada kisah lalu yang pedih lagi perit untuk dilaluinya. Dan insiden yang meragut nyawa kedua orang tua Sufi merobohkan tembok hati Rain. Rain ingin meminjamkan bahunya pada Sufi, tapi Sufi pula sudah berubah sikap. Sufi yang sebelumnya telah menyebabkan tahap kesabaran Rain meletus terus membisu. “Dosa hari itu... Tuhan telah membalasnya pada saya semalam...” – ms 329 Sedihnya. Walau hakikatnya bukan salah Sufi pun!

Apa yang telah Sufi buat? Wujudkah rasa kesal di hati Rain kerana mengecewakan Sufi? Dan rumahtangga mereka, mampukah dipertahankan pabila orang yang selama ini menginginkan mereka bersatu, kembali pada yang SATU? Nak tahu kisah selanjutnya... bacalah Bidadari Hujan.

Apa istimewanya novel ini?

Apa ya? Oh! uniknya pada saya ialah watak utama dalam karya ini adalah seorang LELAKI. Ya, tonggak utama adalah Rain. Noor Azzahra berjaya menghidupkan 'Rain' sebagaimana sepatutnya seorang ‘jantan’. Yang ego, yang mementingkan diri sendiri dan yang paling utama yang tidak pernah cuba menyelami hati seorang wanita bergelar isteri. Atau kerana dia sudah tanamkan rasa ‘tidak suka’ pada si isteri jadi segala-galanya yang ada kaitan dengan si isteri buatkan dia jadi benci. Mungkin pada dia ‘Sufi’ adalah perosak pada kebahagiannya, kerana dia tidak mampu untuk menyalahkan si nenek yang dia kasihi?

Saya jadi kasihan pada Sufi. Dia wanita tabah yang berjaya menyimpan kemas sejarah lalunya pada pengetahuan Rain. Atau Rain yang tidak pernah ambil tahu? Atau Rain yang tidak pernah ‘buka mata’ memandang Sufi selayaknya seorang wanita dan isteri yang harus dilindungi, dikasihi dan dicintai?

Dan buku ini pada saya sangat sweet dengan penamatnya yang sebegitu. Oh ya! saya sukakan mainan bahasa penulis. 'Manis' sahaja pada pembacaan saya. Cumanya sahaja saya jadi tertanya-tanya... bila masanya si Sufi mula jatuh cinta pada Rain? Mungkin ada dinyatakan, hanya saya yang terlepas pandang. Apa-apapun cerita yang sangat sweet (pada saya) sebagai pembuka tirai 2011.


0 rakan yang berkongsi rasa:

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare