Showing posts with label CESB. Show all posts
Showing posts with label CESB. Show all posts

Apr 17, 2011

Leraian Novella ; Sayangku... Aini Sofea!

luahan rasa : Wan Amalyn at Sunday, April 17, 2011 1 rakan yang berkongsi rasa
Leraian Novella
Pengarang: Norhisham Mustaffa
Halaman : 276
Tahun : Cetakan Pertama – 1997
Terbitan : Creative
Harga : RM15.90

Blurb

Irama syairku hanyalah untukmu...

Nirwan Bakhtiar bagaikan permata berharga dalam hidup Atma Afiza. Tidak akan dihilangkan dari genggaman walaupun ada tangan-tangan yang cuba merampasnya. Dia rela bergadai nyawa demi menjaga kesucian kasih sayang mereka. Dan kematian Nirwan hanya menjadi penyudah kepada sebuah jalinan novella ciptaan mereka berdua. . .

Aduh Atma. . .
Tak mungkin kita lakukan itu. Bertahun-tahun kita bina nama yang baik, kita bangunkan citra yang mulus, tiba-tiba hari ini kita musnahkan semua itu hanya kerana kita harus berebut keinginan untuk hidup bersama?


Sinopsis:

Novella Atma Afiza dan Nirwan Bakhtiar dikisahkan oleh Ana – Nunung Rohana, sahabat baik Atma Afiza yang sudah dianggap bagaikan saudara, bagaikan adik beradik. Bahkan persahabatan mereka melangkau pada perhubungan erat dua keluarga. Kedua orang tua Atma seperti ibu dan bapa angkat pada Ana. Begitu juga kedua orang tua Ana bagaikan papa dan mama pada Atma.

Kisah bermula apabila Atma Afiza perkenalkan Nirwan Bakhtiar seorang pengiat sastera, seorang novelis yang berusia dua kali ganda usia Atma Afiza, kepada Ana. Nirwan Bakhtiar yang dikenali Atma Afiza lewat majlis-majlis sastera yang disertainya. Pertemuan pertama Ana dengan Nirwan Bakhtiar menimbulkan rasa kurang senang Ana pada Nirwan Bakhtiar. Pada Ana, Nirwan terlalu ‘tua’ untuk Atma yang baru menjangkau usia 20 tahun. Perhubungan ‘akrab’ antara Atma Afiza dan Nirwan Bakhtiar menimbulkan rasa jengkel di hati Ana pada mulanya. Dan dalam jangka masa yang sama Atma Afiza telah ditentukan jodoh dengan Taufik seorang pegawai bank oleh Pak Yim – ayah Atma, Tuk Pin – datuk dan Nek Yah – neneknya.

Bermula konflik di jiwa Atma yang tidak sukakan Taufik tetapi dia tidak mampu untuk mengatakan ‘tidak’ pada keputusan yang telah dibuat oleh Pak Yim, Tuk Pin dan Nek Yah. Di masa yang sama perhubungan Atma Afiza dan Nirwan Bakhtiar mula dihidu oleh keluarga Atma. Keadaan bertambah parah apabila Atma antara takut dan berani menyuarakan rasa tidak suka pada Taufik dan minta diputuskan tali pertunangan antara mereka. Dan paling tidak disangkakan, Nirwan Bakhtiar adalah anak Su Saemah sepupu Mak Non – ibu Atma Afiza. Anak saudara yang tersisih dari keluarga. Dua pupu dengan Atma yang tidak pernah dikenalnya!

Jalinan kisah yang berselirat menjerat dua jiwa dalam kancah hidup yang tidak berkesudahan. Dan konflik yang terjadi dalam keluarga mereka menjadi barah yang membunuh jiwa Atma Afiza untuk meneruskan hidupnya. Dan kematian Nirwan Bakhtiar menjadi penyudah pada ceritera novella mereka.

* * *

Sayangku... Aini Sofea!
Pengarang: Norhisham Mustaffa
Halaman : 115
Tahun : Cetakan Pertama – 1998
Terbitan : Creative Enterprise Sdn Bhd
Harga : RM5.90

Blurb

Aku bagai pelancong asing. Datang tatkala kau sudah bukan milikku...

Aku terasing di sini tanpa arah dan haluan... Yang ada hanya kenangan dan tuntutan naluri diulit janji. Namun, mengapa mereka seolah tidak pernah mengenal aku? Aku dilayan bagai peminta sedekah sedang aku adalah pemilik seluruh kekayaan ini.


Sinopsis:

Syahrul Nizam, kedatangannya dinanti tapi malangnya dia tidak dikenali. Lantaran kehadirannya dipandang sebelah mata. Namun kehilangannya dijejaki dengan harapan untuk menjernihkan kembali keadaan. Apatah lagi dia adalah pewaris kekayaan Warisan Holding yang ditinggalkan oleh arwah bapanya.

Kehadirannya bukan untuk mengganggu urusan Warisan Holding. Urusannya adalah urusan peribadi. Urusan untuk menunaikan janji. Perjalanan berpuluh ribu batu yang diimpikan untuk mengapai bahagia, namun yang terbentang di depan mata meragut seluruh rasa bahagia yang ada dihatinya.

Bumi Los Angeles menemukan mereka – Syahrul Nizam dan Aini Sofea. Janji diikat dengan satu harapan untuk bahagia bersama. Namun janji hanya tinggal janji. Tanjung Bidara meranapkan seluruh impian mereka untuk hidup bersama. Kehadirannya disambut dengan majlis perkahwinan dan pengantinnya adalah Aini Sofea. Sedihnya rasa hati bila harus menyaksikan kekasih hati bersanding dengan lelaki lain!

Aini, aku pergi.
Aku tak pasti apakah aku akan kembali lagi ke Malaysia.
Tapi percayalah, aku cintakan Malaysia, seperti aku tetap mencintaimu.
Malaysia tetap tanah airku.
Engkau pun tetap dewiku.
Dirgahayu Aini!
Dirgahayu sayangku!



Rasa Saya:

Saya marathon karya Norhisham Mustaffa (NM). Ini bukan kali pertama saya membaca buku-buku ini. Saya sudah lupa saya membaca untuk kali yang ke berapa! Dan untuk kesekian kalinya, saya tetap suka. Tiap kali saya menatap bait-bait ayat garapan NM, tiap kali itu juga hati saya terkesan, jiwa saya tersentuh.

Bagi saya NM seorang penulis yang menulis dengan hati! Setiap karya garapan beliau yang saya baca, pasti kisahnya menusuk ke jantung hati saya. Segala rasa suka, duka, sedih, sebak, gembira bahkan pelbagai rasa yang hadir di hati mereka – watak lakaran penulis – saya turut sama merasainya. Saya akan menangis bila ‘mereka’ berduka, saya tumpang gembira bila ‘mereka’ bahagia (tapi yang banyaknya saya menangis!)

Saya cuba keraskan hati pabila membaca karya-karya NM, tapi sering kalinya saya gagal membendung airmata dari menitis. Saya sering kali kalah dengan perasaan saya sendiri. Inilah kelebihan penulis pada saya. Dia bijak mencuri tumpuan dan perhatian saya sepenuhnya. Walau saya sedar, kisah ini hanyalah rekaan penulis, dan saya tahu saya sudah baca kisah ini untuk kesekian kalinya tapi berkali-kali itu jugalah saya akan menitiskan airmata! Atau paling tidakpun pasti airmata akan bergenang di kelopak mata.

Kisah garapan NM hanyalah kisah-kisah biasa. Kisah golongan marhaen yang hidup seadanya. TAPI yang luarbiasanya adalah bagaimana penulis membawa kita sebagai pembaca menghayati dan turut serta merasai apa yang dirasai oleh watak-watak ciptaannya. Dan apa yang paling berkesan di hati saya adalah, latar cerita yang dikisahkan dalam sesetengah karya beliau berjaya menggamit ingatan saya pada nostalgia yang pernah saya lewati. Melahirkan kerinduan yang tidak terluah pada kenangan lalu yang telah saya tinggalkan.

Latar cerita dalam Leraian Novella yang berkisar di sekitar bandar Kota Bharu dan kawasan sekitar yang dibayangkan dalam novel ini sangat dekat di hati saya. Ingatan pada ‘rupa’ Kota Bharu yang pernah saya lewati era 80an – 90an. Zaman telefon genggam masih belum ada atau belum berleluasa dalam kamus hidup masyarakat. Era telefon awam yang masih lagi berfungsi sebagai alat perhubungan yang penting. Bukan sekadar menjadi objek ‘vandalisme’ anak-anak muda yang tidak bertanggungjawab. Ia sangat menggamit ingatan pada tanah kelahiran saya yang sedang mengalami perubahan atas nama pemodenan. Sesungguhnya novel adalah salah satu alat perakam sejarah yang tidak pernah lapuk jika kena dengan caranya.

Kita juga akan lebih rasa terkesan apabila kisah yang dipotretkan itu dekat di hati kita. Begitulah kisah yang dipotretkan oleh NM dalam Leraian Novella ini. Kisah yang berlatarbelakangkan cara hidup anak-anak kampung sangat dekat di jiwa saya, begitu akrab dihati saya. Persahabatan antara watak Ana & Atma, pernah saya lalui. Saya pernah bersahabat baik seperti mana Ana & Atma bersahabat, bukan hanya sekadar berkawan dengan anak, bahkan saya dilayan bagaikan anak sendiri oleh ibu sahabat saya yang saya seru dengan panggilan ‘Ma’. Membaca Leraian Novella saya bagaikan membuka kembali diari lama yang sudah saya tinggalkan.

Saya juga sukakan bahasa NM. Bahasa orang lama yang penuh nilai-nilai estetika, penuh santun lagi berseni. Oh! terselit juga dialek negeri yang membuatkan saya teruja pada moleknya bahasa negeri saya. Menjentik semangat jati diri saya sebagai anak kelahiran negeri yang pernah tersohor dengan gelaran ‘Tanah Serendah Sekebun Bunga’ ini.

Penulis juga membuatkan saya tumpang bangga menjadi anak Melayu. Watak garapan NM menyuntik semangat jati diri anak melayu walau di mana mereka berada. Seperti watak Syahrul Nizam dalam Sayangku Aini Sofea, walau dilahirkan di bumi Amerika, walau ibunya wanita Amerika, tetapi dia tetap teguh mempertahankan kemelayuannya walau berada di bumi asing yang jauh daripada bangsa Melayu. 'Wajah' anak melayu yang penuh santun dan berbudi bahasa.

Saya sangat rindukan tulisan NM dan saya belum jumpa lagi seorang ‘Norhisham Mustaffa’ di dalam setiap karya yang saya baca dekad ini. Bukan. Saya bukan mencari 'klon' Norhisham Mustaffa, tetapi cukup sekadar legasi yang dibawa oleh orang-orang lama diteruskan oleh pengkarya muda hari ini. Menulis dengan sepenuh jiwa agar karya mereka akan sampai ke hati pembaca seperti saya. Sebuah karya yang telus dan mulus walaupun kisahnya bukanlah semulus yang kita inginkan. Hidup ini adalah realiti yang harus kita hadapi bukannya fantasi.

Bacalah juga Kasih Orang Terbuang, anda pasti perlukan sapu tangan untuk mengelap airmata yang bakal luruh di pipi.

Selamat membaca, moga bermanfaat


Nov 11, 2008

Pulang

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 1 rakan yang berkongsi rasa

Pengarang : A Rahim Awang
Halaman : 536
Tahun : 2007
Terbitan : Creative Enterprise
Harga : RM 25.90


Sinopsis:

Norazlin – Cita-citanya untuk menjadi Cleopatra zaman moden yang bisa menundukkan setiap lelaki don juan. Umpama tunduknya Mark Anthony dan Julius Ceaser di telapak kaki Cleopatra si Ratu Mesir. Berbekalkan rupa paras yang cantik serta bentuk badan yang mengiurkan, Azlin mengejar Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, malah sesiapa sahaja yang mempunyai potensi untuk dia mencapai impian. Dalam mencari jalan PULANG, Azlin tersungkur. Tersungkur pada nasib malang yang menimpa dirinya – kematian yang penuh dengan keaiban.!!

Farouk – Dia don juan yang memburu mangsa hanya untuk kepuasan batinnya. Dia lelaki ego yang tidak pernah puas. Menjadikan wanita sebagai satu objek taruhan. Perkenalannya dengan Azlin, membuatkan dirinya 'terikat'. Terikat pada kepuasan yang dinikmati tidak dengan isteri yang sah digauli. Namun Azlin juga menyebabkan dia tersungkur. Melontarkan dirinya di balik jeriji besi. Menjadikan nasibnya antara hidup dan mati. Dan dia akur – semua orang yang mengenali dan mendampingi Azlin akan menjadi malang – itulah sumpahannya.!!

Suhaila – Dia isteri. Dia ibu yang terlalu setia pada suami. Kerana cinta, dia rela dalam keterpaksaan akan segala tindak tanduk sang suami. Padanya senjata utama seorang wanita adalah 'rajuk'. Namun rajuknya juga telah membuatkan hidupnya terjerat, mengheret dirinya sama menanggung malu dengan noda dan dosa sang suami..!!

******

Pulang adalah karya terbaru dari Abdul Rahim Awang (ARA). Kisah tentang seorang GRO yang ditemui mati dibunuh di bilik tidurnya sendiri. Kisah yang mirip dengan satu kes pembunuhan yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu. Kisah yang pernah menjadi bualan hangat.

Membaca Pulang hasil garapan ARA membuatkan saya terpaku. ARA bijak menyusun ayat. Dengan bahasa yang ringkas tetapi tepat dan padat membuatkan saya tidak mampu untuk berhenti walau sesaat.

Pulang terbahagi kepada 4 'buku'. Buku 1 – dari sudut Azlin. Buku 2 – persoalan yang menjadi tanda tanya, siapa pembunuh misteri.?? Buku 3 – dari sudut pandangan Farouk dan Buku 4 – dari kaca mata Suhaila. Pecahan ini menyebabkan terdapat ayat dan frasa yang sama digunakan berulang kali. Namun ia sedikitpun tidak mengganggu fokus saya malah saya salute pada ARA kerana bijak bermain dengan pengulangan ayat dan frasa tersebut.

Apa yang lebih menarik, ARA sangat arif tentang dunia kepolisan. Menjadikan novel ini sangat informatif kepada saya yang 'buta' dalam hal-hal yang bersangkutan dengan dunia polis. Malah watak ASP Helmi dan ASP Norhayati - pegawai polis yang mengendalikan kes pembunuhan tersebut - mengembalikan ingatan saya pada novel Ego yang pernah saya baca.

ARA membuatkan saya menjadi benci pada 'orang-orang besar' yang menjadikan kedudukan dan pangkat sebagai senjata. Saya jadi meluat dengan Farouk yang ber'tuhan'kan nafsu. Walaupun terselit perasaan kasihan saya pada Suhaila, adakalanya saya jadi sakit hati.!! kenapa harus dibiarkan si suami tanpa teguran.? Namun segala-galanya telah menjadi takdir yang harus diterima dengan pasrah.

Usai membaca, saya insaf. Biarlah saya tidak punyai banyak wang. Asalkan saya tahu ia dari hasil titik peluh saya yang halal. Biarlah saya tidak kaya asalkan saya masih tetap dengan jalan yang diredhai Allah. Jalan yang telah dilorongkan oleh kedua orang tua saya dari Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Moga-moga jalan inilah yang akan diikuti oleh anak cucu serta saudara mara dan sahabat handai saya. AMEEN
 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare