Buku 3 : Tok Janggut; Pejuang atau Penderhaka? : Nik Anuar Nik Mahmud : Nasco
Blurb
Buku ini adalah mengenai rentetan perjuangan Haji Mat Hassan dan pengikut-pengikutnya. Sehingga sekarang sejarah tentang Haji Mat Hassan lebih merupakan sejarah Tok Janggut yang derhaka dan penduduk Jeram yang merusuh. Sejarah tersebut adalah sejarah yang diberikan oleh Kolonial yang menerang dan memperjelaskannya. Justeru, sejarah itu adalah sejarah mereka tetapi bukan sejarah kita. Tidak hairanlah kalau semua cerita mengenai Haji Mat Hassan adalah cerita mengenai pemberontakan dan keganasan kerana sampai hari ini pun kebangkitan Islam menentang Barat ditafsirkan sebagai pelampau, pengganas dan penyeleweng. Perbincangan tentang Musuh Tok Janggut pada tahun 1915 sehingga sekarang masih dianggap kebangkitan segolongan orang kampung di Pasir Puteh yang tidak berpuas hati terhadap cukai yang dikenakan kepada mereka. Para pemimpin kebangkitan itu pula tidak lebih daripada mereka yang berkepentingan. Semuanya itu adalah tafsiran sebahagian daripada ceritanya.
Catatan Saya:
Kandungan buku ini terbahagi kepada 2 bahagian penting. Bahagian pertama mengandungi 3 makalah tentang peristiwa bersejarah kebangkitan Haji Mat Hassan iaitu Tok Janggut menentang British.
Bab 1 : Rentetan peristiwa dan detik-detik kebangkitan Tok Janggut
Bab 2 : Kebangkitan Tok Janggut dalam konteks Gerakan Anti-British di Malaysia
Bab 3 : Kebangkitan Tok Janggut dari perspektif Budaya Politik Melayu Kelantan.
Sementara bahagian kedua pula memaparkan gambar-gambar serta dokumen-dokumen yang berkaitan dengan peristiwa bersejarah itu untuk tatapan dan rujukan kita sebagai pembaca.
Bab 1 : Rentetan peristiwa dan detik-detik kebangkitan Tok Janggut
Dalam bab ini penulis memperkatakan tentang kronologi peristiwa yang membangkitkan semangat ‘pemberontakan’ dalam kalangan masyarakat melayu waktu itu. Bagaimana tindak-tanduk ‘orang putih’ yang memperkenalkan pelbagai syarat dan undang-undang yang menyulitkan rakyat. Jika selama ini rakyat bebas mengerjakan ladang dan bersawah tanpa perlu sebarang ‘surat hak milik’ dan tanda sempadan, kedatangan British telah merubah kebiasaan rakyat, menimbulkan rasa kurang senang dihati mereka. Pihak British juga memperkenalkan sistem pemungutan cukai tanah dan cukai hasil sedikit sebanyak telah mengurangkan pendapatan rakyat (yang sedia sedikit). Faktor-faktor inilah antaranya yang menaikkan lagi semangat menentang penaklukan British.
Jika selama ini bidang kuasa yang melibatkan hal ehwal rakyat (orang-orang kampung) ditangani oleh Penghulu/Penggawa atau Tok Kweng, kini sedikit demi sedikit kuasa diambil alih oleh pihak British. Begitu juga dengan kuasa Sultan sebagai pemerintah negeri mula diganggu-gugat dengan kedatangan kuasa British ini. Demi menjaga kedudukan mereka, Sultan terpaksa berkompromi dengan British walaupun tanpa kerelaan mereka.
Rentetan tindak-tanduk pihak penjajah itulah yang menjadi titik tolak berlakunya penentangan yang membawa kepada pemberontakan seperti mana yang berlaku di Pasir Putih yang diketuai oleh Haji Mat Hassan Bin Munas atau Tok Janggut ini.
Bab 2 : Kebangkitan Tok Janggut dalam konteks Gerakan Anti-British di Malaysia
Dalam bab ini, penulis mengenengahkan tentang wujudnya gerakan-gerakan anti-British selain Tok Janggut di Kelantan.
Kehadiran dan penglibatan British dalam hal ehwal tempatan telah mencetuskan tindak balas daripada penduduk peribumi Malaysia yang lain. Di Kedah misalnya, Sultan Abdullah menentang campurtangan Kompeni Hindia Timur Inggeris yang membawa kepada tercetusnya serangan dan akhirnya termeterai perjanjian pada tahun 1791 antara Kedah dan Inggeris.
Di Naning pula, diketuai oleh penghulunya Dol Said yang tidak berpuashati dengan campurtangan Inggeris yang mempertikai kedudukan Naning yang dikatakan di bawah kerajaan Melaka dan mengarahkan segala urusan pentadbiran dan undang-undang dirujuk kepada Melaka. Ini telah mengurangkan kuasa Dol Said sebagai ketua yang mengamalkan adat pepatih.
Begitu juga dengan negeri-negeri lain seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang. Pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak juga merupakan penentangan terhadap British di Perak. Kebangkitan Datu Tating & penentangan Mat Salleh (Datu Mohamed Salleh Datu Balu) di Sabah serta penentangan terhadap kerajaan Brooke (James) di Sarawak adalah kesan daripada penjajahan kuasa-kuasa British dan sekutu-sekutunya di negeri-negeri di Tanah Melayu ini.
Timbulnya semangat untuk membebaskan diri/negeri/jajahan takluk daripada cengkaman penjajah dan kuasa-kuasa barat adalah juga akibat daripada meletusnya Perang Dunia I pada Ogos 1914. Peperangan yang melibatkan Britain, Perancis dan Rusia di satu pihak dan Jerman dan Austria di pihak yang lain meletakkan British di Tanah Melayu (Kelantan khususnya) dalam keadaan terdesak.
Selain itu juga Kerajaan Turki Uthmaniah telah mengisytiharkan perang terhadap Britain dan sekaligus mengisytiharkan jihad terhadap kuasa barat yang cuba menguasai negara-negara islam yang lain. Kekacauan yang tercetus di Singapura pada 15 Februari 1915 di mana askar-askar Indian Muslim di bawah pimpinan Haji Nur Alam Shah sebagai menyahut seruan jihad oleh kerajaan Turki Uthmaniyah membangkitkan lagi semangat untuk menentang British di negeri Kelantan yang terkenal sebagai bumi Serambi Mekah itu.
Bab 3 : Kebangkitan Tok Janggut dari perspektif Budaya Politik Melayu Kelantan.
Kepada seorang peneliti budaya, ia melihat budaya itu melambangkan jiwa anggota masyarakatnya.
Dalam bab ini, Budaya Politik Melayu Kelantan ini berdasarkan catatan Carveth Wells seorang jurutera keretapi yang ditempatkan di Tanah Merah, Kelantan. Mengikut catatan beliau, kehidupan rakyat Kelantan agak berbeza dengan kehidupan orang Melayu di tempat lain.
Di Kelantan wau dan gasing, rebana ubi dan kertok ditewahkan. Di sini juga (sebelum diharamkan) lembu dan ayam dilagakan. Bertelingkah, bertewah dan berlaga adalah budaya harian mereka (rakyat negeri Kelantan). Ini (permainan tradisi) hanyalah lapisan luaran sahaja, pertelingkah, perlagaan dan pertewahan ini sebenarnya adalah berkenaan dengan soal maruah, harga diri dan martabat. Untuk mendapatkan itu semua, mereka terpaksa berjuang, bertelingkah dan bertewah.
Dan dalam pola itulah Haji Mat Hassan dibesar dan didewasakan. Dalam pola budaya itulah juga rakyat Kelantan hidup dan menentukan kehidupan mereka dari satu generasi kepada generasi yang lain. Bersama harga diri, maruah dan martabat, mereka bertindak terhadap persekitaran sosio-politik sama ada pada waktu kolonial mahupun selepasnya.
Kesimpulannya:
Pada saya Tok Janggut bukanlah seorang penderhaka seperti mana yang dilabelkan pada beliau oleh sesetengah pihak (British & sekutu-sekutunya). Pada saya beliau adalah lambang kebangkitan orang Melayu Islam menentang penjajahan British yang mengamalkan prinsip ‘Jajah & Perintah’.
[Nota kaki: :) saya seperti buat assignment untuk subject sejarah pulak! hehehehe ]
Di Tepi Jalan (1998), A Samad Said
6 years ago
0 rakan yang berkongsi rasa:
Post a Comment