Showing posts with label Bahruddin Bekri. Show all posts
Showing posts with label Bahruddin Bekri. Show all posts

Mar 7, 2012

Kita Hanya Di Seberang Jalan

luahan rasa : Wan Amalyn at Wednesday, March 07, 2012 0 rakan yang berkongsi rasa
Penulis : Bahrudin Bekri
Terbitan : PTS

Seperti biasa karya Che Din sentiasa memikat hati saya dengan caranya yang tersendiri =)

Penulis bijak mempengaruhi saya untuk terus tetap membaca hasil tulisannya hingga ke noktah terakhir.

Pada zahirnya, Kita Hanya Di Seberang Jalan bukanlah mengangkat isu/cerita yang 'gah'. Sebagaimana tajuknya, kisah ini pun tentang isu yang biasa-biasa sahaja. Tapi di sebalik 'biasa-biasa' terselit pengajaran yang mampu membuka minda pembaca yang mahu berfikir.

Apa yang ada di seberang jalan? Siapa yang ada di seberang jalan? Pertanyaan demi pertanyaan itulah yang membawa saya meneroka naskhah ini demi memenuhi tuntutan hati yang inginkan jawapan!

Kita Hanya Di Seberang Jalan, berkisah tentang Rusdan, graduan lepasan universiti yang masih terkontang-kanting mencari pekerjaan. Pelbagai usaha dilakukan demi mencari lowongan kerja. Daripada jawatan guru ganti hinggalah kepada penjual insurans. Namun di sebalik jawatan yang dipohon, berlaku insiden demi insiden yang tidak dijangka.

Sementara mendapat kerja, dia menumpang di rumah sepupunya Fatah yang mengusahakan Kedai Pisang. Walaupun pada asas mereka menjual aneka jenis pisang tapi Kedai Pisang tetap juga menjual pelbagai jenis barangan pertanian yang lain. Selain Fatah, Taib dan Suhardi (juga sepupunya) tinggal bersama di rumah yang juga merupakan kedai.

Sebagai graduan lepasan U, dia di anggap sebagai orang yang paling pandai di antara mereka. Dan sering dijadikan 'ketua' oleh sepupu-sepupunya. Antara salah satu tugasnya adalah mencari pasangan untuk Fatah. Fatah yang lembut hati sering dibuli oleh Abang Yo. Ini menimbulkan rasa tidak senang Taib dan Suhardi yang bekerja membantu Fatah kerana mereka yang menjadi mangsa secara tidak langsung. Suhardi berpendapat Fatah perlukan cinta kerana dengan cinta Fatah akan menjadi lebih berani dan tegas. Maka Rusdan lah yang ditugaskan untuk menemukan Fatah dengan 'cinta'nya.

Berjayakah Rusdan mendapat kerja yang sesuai dengan kelulusannya? Berjayakah Rusdan menjadi telangkai untuk Fatah sedangkan dia sendiri tidak pernah bercinta? Ingin tahu jawapan? Anda kenalah baca...

Bagi pembaca yang pernah membaca karya-karya Bahruddin Bekri, pastinya arif bagaimana cara penulis 'bercerita'. Setiap apa yang berlaku di seputar kehidupan Rusdan pastinya ada kejadian-kejadian aneh dan lucu yang membuatkan kita akan mengulum tawa. Dalam nada berlucu, ada isu serius yang boleh kita renungkan.

Watak-watak garapan penulis juga sangat dekat di hati kita. Gambaran insan marhaen seperti kita membuatkan kisah ini lebih santai dibaca. Dan apa yang pasti jalan cerita ini berlangsung dengan penamat yang akan membuatkan kita rasa lega dan puas hati.

=)


Nov 11, 2008

Doa Untuk Aku

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Bahruddin Bekri
Halaman : 436
Tahun : 2008
Terbitan : PTS O.N.E Sdn Bhd
Harga : RM22.90


Blurb:

"Menarik juga cadangan kau. Mungkin dapat membantu aku menghadapi peperiksaan akhir. Masalahnya, di mana kita mahu mencari 40 doa itu?" soal Adly.

"Aku ada. Aku doakan kau sebanyak 40 kali. Nanti dapatlah kau menghadapi peperiksaan akhir dengan cemerlang," jawab Kassim kembali. Dia tersenyum.

"Kau doakan aku sebanyak 40 kali? Hmm… begitu sahaja?"

"Aku keliru. Adakah maksud 40 doa itu adalah 40 kali doa daripada orang yang sama, ataupun 40 kali didoakan oleh orang berlainan?" Adly kembali menyoal. Fikirannya kembali kusut.

"Err.. aku pun tak pasti. Rasanya dua-dua sekali, 40 kali doa daripada 40 orang berlainan. Nanti kita tanyalah sesiapa. Tentu ada orang yang lebih arif fasal hal ini," cadang Kassim lagi.


Adly membesar bersama keyakinan hidupnya dirahmati dengan adanya doa daripada ibunya. Kematian ibunya membuatkan Adly kehilangan 'senjata'. Apa yang dapat menggantikan doa ibunya? Lalu bermula pencarian Adly mencari 40 doa.

******

Doa Untuk Aku (DUA) berkisar tentang Adly yang terlalu obsess (kalau boleh dilabelkan begitu) dengan doa. Padanya doa ibunya adalah satu-satunya senjata yang paling berkuasa dalam hidupnya, yang membuatkan dia lulus dalam peperiksaannya. Namun kematian ibunya menjadikan Adly kehilangan 'senjata' yang paling ampuh yang menjadi perisai dirinya. Keyakinannya mulai goyah. Dia mulai hilang semangat.!!

Namun perkenalan secara tidak sengaja dengan pengembara yang hobinya memotong rumput, membuka matanya akan alternatif lain untuk berjaya dalam hidup. 40 doa. Ya itulah yang dia ingin terokai. Maka bermulalah misinya mencari 40 doa.

Berbekalkan keyakinan akan kemujaraban doa, dan dengan bantuan rakan-rakan terutamanya Kassim, dan ahli kumpulan Amin bin Damit – Amin, Zulaikha dan Sarah – misi mencari 40 doa menjadi satu misi yang sungguh unik, lucu, sedih dan menarik, terjadi pada mereka.

Nak tahu apa yang terjadi sepanjang misi pencarian 40 doa Adly?? Anda kenalah baca karya ini.


Apa yang dapat aku katakan usai membaca karya ini... lawak sungguh!!!. hehehe

Tapi jangan cepat percaya pada komen pertama aku.!! Sesungguhnya DUA ini bukanlah karya 'gila-gila' tetapi membacanya membuatkan aku tak henti menyungging senyuman. Idea Che Din (boleh ya kakwan seru begini?) amat aku kagumi. Che Din berjaya menyampaikan misi mencari 40 doa Adly bukan hanya untuk Adly semata, tetapi juga sebagai modus untuk memperingatkan aku sebagai pembaca akan definisi 40 doa-doa yang dimakbulkan.

Sesungguhnya DUA ini sarat dengan ilmu yang amat berguna buat pedoman kita sebagai pembaca. Walaupun pada dasarnya, isunya hanyalah berkenaan dengan DOA… yang kita tahu merupakan senjata orang-orang mukmin, dan mungkin anda semua sudah arif tentang doa dan adab-adabnya, tetapi tidak salah kalau kita terus diperingatkan tentang doa!, dan Che Din berjaya dalam misinya (sekurang-kurangnya pada aku kalau bukan pada pembaca lain!!) yang sering kali alpa dan mudah lupa.

Sebenarnya bukan sekadar doa yang menjadi inti pati utama dalam DUA karya Che Din ini, tetapi ada banyak lagi isu-isu yang diutarakan dalam DUA ini. Isu yang di mata kita nampak remeh, yang kita rasakan tiada apa yang menariknya lagi… melainkan isu yang telah mendarah daging dalam kehidupan kita. (terutamanya isu 'konsert hattan'… hahaha!! begitu ya perasaannya??) Tapi membaca DUA membuatkan aku sedar bahawasanya hidup ini adalah satu perjuangan untuk kemenangan di hari kemudian.

Tahniah pada Che Din. Sesungguhnya Che Din telah memberikan satu anjakan baru dalam dunia penulisan kreatif, satu variasi baru dalam memperkayakan lagi genre penulisan kita.

Buat anda rakan pembaca, bacalah Doa Untuk Aku, semoga kamu mendapat manfaatnya. Selamat membaca dan berkongsi gelak denganku!!

Dunia Ini Sederhana Kecil

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008 0 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Bahruddin Bekri
Halaman : 436
Tahun : 2008
Terbitan : PTS O.N.E Sdn Bhd
Harga : RM23.90


Blurb:

Kata perempuan berlesung pipit, "Cinta itu umpama menunggu bas. Kita perlu memilih bas yang tepat pada masa yang sesuai. Sekiranya tidak, kita tidak akan selesa meneruskan perjalanan kita. Sebab itu saya masih menggunakan kereta."

Kata Riduan pula, "Aku cakap dengan kopi di dalam gelas aku. Orang bukan tidak sayang, cuma orang tidak nampak dan lupa."

Kata Ibu, "Hidup manusia ini seperti roda. Kadangkala di atas kadangkala di bawah. Tidak penting kamu berada di atas ataupun di bawah, yang penting kamu sebenarnya bergolek di mana? Sama ada jalanan itu berlumpur, berduri ataupun kamu bergolek di padang-padang rumput yang indah."

Lelaki gempal kata, "Hidup manusia juga seperti tingkap. Apabila tingkap itu ditutup, maka manusia tidak dapat hidup kerana tiada ruang dan peluang."

Kata lelaki muka berminyak pula, "Pelangi, warnanya bukan hanya hitam dan putih. Begitu juga dengan hidup"

******

Dunia Ini Sederhana Kecil (DISK) adalah karya pertama Bahruddin Bekri yang aku baca. Dan aku jatuh cinta!!.

Kisah bermula di perhentian bas. Kisah yang membawa kepada perkenalan secara tidak langsung yang berlaku antara Syamir – Haliza, Syamir – Tasha, Syamir – lelaki gempal dan Syamir – pakcik KJ. Walaupun hubungan yang berlangsung hanya setakat di perhentian bas namun membawa satu impak yang cukup besar kepada mereka. Tanpa sedar, menjadikan mereka saling berkait, saling terikat antara satu sama lain.

Kisah tentang Syamir lulusan ekonomi yang menjadi penganggur setelah diberhentikan kerja. Tertarik dengan iklan jawatan kosong yang diiklankan di ruangan iklan kerja kosong membawa Syamir menyertai Syarikat Berkobar-Kobar Sdn Bhd. Sebuah syarikat yang memasarkan produk kicap kesihatan cap 'Basikal Sulaiman', yang akhirnya menjadikan Syamir seorang penjual kicap!. Bersama seorang lagi rakan yang sama-sama menghadiri temuduga bersamanya, Musa Marjoko dan Sophea Miyagi sebagai mentornya, pelbagai insiden lucu, suspen dan mengujakan terjadi kepada mereka apabila mereka harus menjual kicap. Apa yang berlaku??

Juga terselit kisah antara Syamir dan teman sebiliknya yang baru berpindah, Jid @ Majid @ Majidah. Insiden di satu malam yang disaksikan oleh lelaki gempal menerusi tingkap bilik yang terbuka, menimbulkan salah faham yang akhirnya membawa padah pada gitar kesayangan lelaki gempal tersebut. Apa salah faham tersebut?? hehehe

Juga kisah yang berlaku pada Syamir – Tasha – Haliza. Perhubungan yang hanya berlaku di perhentian Bas. Walaupun pertembungan antara Syamir dan Haliza lebih kerap, tetapi jalinan 'kejiwaan' antara Syamir dan Tasha lebih kuat. Perhubungan yang akhirnya membawa kepada perkenalan antara Cik Pelangi dan En. Bedak Sejuk. Siapa Cik Pelangi dan siapa Encik Bedak Sejuk?? Bagaimana hubungan mereka bermula?? Apa yang mengikat mereka??

Juga babak suspen penuh misteri tentang kehilangan Formula D yang sangat 'berharga', memaksa Dato' Hisham pemilik Syarikat Merong, sebuah syarikat pembuat senjata api mengerahkan orangnya menubuhkan misi mencari. Tapi pencarian mereka tidak semudah yang disangkakan. Lantaran khidmat 'B' diperlukan. Masalahnya 'B' adalah manusia misteri yang tidak seorangpun pernah berhubungan secara terus dengannya. 'B' hanya boleh dihubungi melalui internet. 'B' yang sentiasa menukar alamat e-mal bagi mengelak diri dari dikesan. Bagaimana mereka ingin menghubungi 'B'? Dan Dato' Hisham perlu menunaikan tuntutan bayaran sebanyak 50juta dolar sebagai upah. Berjayakan orang Dato' Hisham menjejaki 'B'?? Tapi apa kaitan Formula D dengan Syamir??

Persoalan-persoalan ini hanya dapat anda rungkaikan apabila anda membaca karya Bahruddin Bekri ini.

Apa yang dapat aku katakan adalah, aku suka novel ini. Satu 'wajah' baru dalam dunia penulisan novel kreatif. Satu kelainan yang benar-benar membuatkan aku terpesona dengan karya ini. Satu tema yang bagi aku adalah biasa-biasa saja. Kisah lelaki dan perhentian bas, lelaki dan kicap. Tetapi ditangan Bahruddin 'Lelaki, Perhentian Bas & Kicap' menjadi sangat istimewa, sangat luarbiasa.

Dengan gaya bahasa yang santai dan lenggok bahasa yang mudah difahami, disampaikan dengan cara yang kadang-kala 'lawak antarabangsa' – unsur humor yang spontan, membuatkan aku terpaku menatap karya ini. 'Dunia Ini Sederhana Kecil' dunia yang berlegar hanya diseputar perhentian bas, dunia yang menjadi penghubung antara mereka, membuatkan aku tersenyum simpul tapi ada kalanya aku terkedu dengan sinisnya. Karya mantap sarat dengan falsafah ini berjaya mengikat aku hingga ke noktah terakhir.

Tahniah pada penulis. Satu kelainan yang akan menjadi daya tarikan pada pembaca yang mencari kelainan dalam genre pembacaan mereka. Satu karya yang secara peribadinya aku rasa cukup hebat dari penulis muda yang berbakat. Dan aku yakin para pembaca yang inginkan kelainan tidak harus mengenepikan buku ini. Kamu harus membacanya dan nilaikan sendiri kerana selera kita tidak sama, tapi aku yakin kamu tidak akan kecewa.

Selamat membaca!!
 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare