Halaman : 443
Tahun : September 2010
Terbitan : Jemari Seni
Harga : RM19.00
Blurb:
Jodoh itu rahsia Allah
Allah pinjamkan dia buat aku mengenal cinta. Allah temukan dia untuk aku mengenal kaca dan permata. Andai bersua lagi, akan aku kotakan janji padanya. Tetapi benarkah, dialah pilihan hati?
Qisya Amni, gadis manis yang tinggal bersama ayah saudaranya sejak kecil. Walaupun tidak disenangi Mak Long Ainun, namun Pak Long Mukri sangat menyayanginya. Pada mata Qisya Amni itu tertulis cerita. Setiap kali memandang matanya, seakan turut mendengar kisahnya.
Membesarkan anak perempuan bagaikan memiliki harta yang dipinjamkan orang. Sampai waktu dan ketika, harta itu akan dikembalikan. Lalu dia mahu yang terbaik untuk anak saudaranya yang piatu itu. Tetapi bagaimana, jika hati Qisya menulis yang lain.
Kadang-kadang cinta boleh buat seseorang itu sesat. Kadang-kadang pula, cinta boleh buat seseorang mengembara. Dan.. sang pengembara pula, pasti akan bertemu dari mana asal hatinya.
MANJLARA menulis tulus dan indah sekali. Membaca perasaan Qisya Amni bagaikan membuka jendela rasa seorang anak yang terpinggir. Menilik jiwa Qisya Amni umpama meneroka diari seorang perawan suci. Suka Saya, Ya? Suka Saya, Tidak? membawa anda belayar mencari cinta kasih sejati.
Suka Saya, Ya? Suka Saya, Tidak? (SSY? SST?), adalah buah tangan terbaharu daripada Manjlara selepas Persis Sebutir Pasir yang diterbitkan pada Februari 2008.
SSY? SST? karya yang tidak menghampakan saya. Biarpun saya harus menunggu lebih dua tahun untuk menatap bait-bait ayat yang tersusun indah hasil garapan penulis bernama Manjlara ini. Dengan susunan ayat dan penggunaan bahasa yang sungguh indah dan puitis, dengan jalan cerita yang membuatkan saya menyimpan sabar dalam debar, saya menghabiskan bacaan dengan hati yang puas!
Bahasa Lara menggamit ingatan saya pada novel-novel terbitan creative di awal-awal pembabitan saya dengan ‘dunia novel’ lebih 10 tahun yang lalu. Bahasa Melayu yang melambangkan jiwa bangsa orang-orang Melayu. Bahasa yang indah penuh adab sopannya. Entahlah mungkin saya ‘generasi lama’ yang amat cintakan bahasa melayu. Yang merasakan walau semoden manapun zaman ini, bahasa melayu tetap indah di hati saya.
Kali ini Lara mengajak kita menyelami jiwa seorang Qisya Amni, si gadis yatim piatu yang menumpang kasih pada keluarga Pak Long Mukri. Hidup bagaikan melukut di tepi gantang di hati Mak Long Ainun. Sedihnya. Sudahlah tidak beribu, ada ibu saudara pun tidak boleh menumpang kasih. Namun dia pasrah jika itu nasibnya.
Qisya Amni yang ketandusan sayang, mengharapkan kasih Hilmy, si jejaka yang bertakhta di hati. Dahan yang diharapkan untuk menumpang kasih, hidup bagaikan menanti mati terbaring kaku akibat kemalangan. Peritnya dugaan. Sudahlah tepatan jiwa terbaring kaku, si ibu pula seakan tidak memberi restu.
Azam Jufry, hatinya pernah dikecewakan. Dia hilang ‘rasa cinta’ pada mana-mana wanita yang dia jumpa. Hinggalah saat dia menatap mata bundar si gadis. Lirik mata yang bagaikan berkalang derita menariknya untuk terus mencungkil rahsia. Anehkan hati? Semudah itu berubah rasa?
Tapi bagaimana dengan Qisya Amni? Cintanya hanya untuk Hilmy, Hilmy dan Hilmy. Tiada ruang lagi untuk lelaki selain Hilmy. Jika itu suratan takdirnya, siapa dia untuk mengubahnya? Akhirnya Hilmy pergi jua. Walau hati menangis hiba, hidup harus diteruskan juga.
Wafi Ilya, dia hadir di saat hati Qisya Amni libang libu dengan kehilangan Hilmy. Tatkala seluruh cintanya tertanam tidak bersisa bersama jasad Hilmy. Dia tersepit antara kasih pada si adik yang telah tiada dan kasihan pada si abang yang pertama kali jatuh cinta. Aah sukarnya untuk membuat pilihan walaupun sebenarnya dia tidak perlu membuat pilihan pun! Dan benarkah pilihannya itu bila hati bagaikan tidak pernah mengiakannya?
Dia terkapar-kapar mencari dahan untuk bergantung harap. Antara Hilmy yang sudah tiada, Wafi Ilya yang mengharapkan cinta dan ‘abang’ Azam Jufry yang dalam diam memupuk suka... siapakah yang akan memayungkan teduh buatnya?
Benarkah pilihan hati anda sama dengan pilihan Qisya Amni? Jawapannya, anda kena bacalah.
Psst… penantian saya juga berbaloi, selepas dua tahun, rupanya saya masih rindukan ‘Kasih’ Widya. (sila rujuk novel Persis Sebutir Pasir untuk mengetahui siapa ‘Kasih’ Widya dengan Azam Jufry)
Nota: Sudah lama tidak ‘mengarang’, bagaikan sudah hilang segala perbendaharaan kata. Benarlah ‘kata orang’, baca, baca, baca dan baca untuk menulis!
0 rakan yang berkongsi rasa:
Post a Comment