Pengarang : Xarine
Halaman : 452
Tahun : Julai 2009
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Blurb:
Urusan ini perutusan cinta.
Seperti sabda Rasulullah, Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.
Islam itu cinta.
Cinta itu fitrah terpateri dalam hati. Hanya cinta dalam hati yang akan menyatukan kita dan semua manusia. Sepertimana alam kehidupan yang satu ini ditampung oleh bongkah-bongkah alam yang sedang bercinta; roh cinta yang mutlak terpateri pada hukum qadar-Nya. Setiap detik pasir-pasir dan burung-burung itu mengucapkan 'cinta' ke hadrat Tuhan mereka.
Maka aku berusaha mencintai semua, dan mengikat hati pada simpulan iman kepada qada dan qadar Allah.
Imran lulusan kejuruteraan, anak miskin yang tidak punya apa-apa kecuali kecintaannya pada Allah. Lalu wajarkah dia ada hati kepada si dia yang punya segala-galanya? Atau orang miskin hanya layak untuk dijodohkan dengan orang yang tidak punya apa-apa juga? Kalau begitu, apa pula maknanya sekufu?
* * * *
Dengarkan bisikan cinta XARINE sang insinyur yang berbicara fasal cinta dalam lembutnya bahasa daripada hati seorang lelaki yang mengharapkan reda Ilahi.
* * * *
Bintang-Bintang Ke Syurga membawa kita menyusuri hidup seorang Imran yang berkisah tentang perjalanan hidupnya. Imran bin Mohamad, graduan lepasan USM dalam jurusan kejuruteraan.
Hidup sebagai anak miskin menjadikan Imran tabah dalam setiap dugaan yang menghimpitnya. Bahkan beliau tegar bekerja sebagai kuli di kilang kayu (sawmill) semata-mata untuk mencari rezeki meskipun beliau pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejututeraan daripada universiti tersohor di utara tanah air yang layak berjawatan jurutera!
Seorang kekasih yang pernah patah hati lantaran lebih menumpukan perhatian terhadap pelajaran berbanding memikirkan masalah cinta yang sepele pada anggapannya. Namun sebagai insan yang lemah dia juga tewas dengan runtunan hati. Siapa kata kecewa cinta tidak sakit? Sakitnya jiwa yang ditinggalkan Aisyah – kekasih yang sebelas tahun mengikat janji untuk hidup bersama – membuatkan Imran hampir nanar.
Namun kecewa cinta tidak menenggelamkan dia dalam lara yang panjang. Kekecewaan itu mengajarnya untuk reda. Membuatkan dia mengenal dan menginsafi kekhilafan diri. Dia bangkit menjadi Imran yang lebih matang dalam mencorak masa depan. Menjadi Imran yang lebih mandiri, lebih tabah dan lebih berusaha demi perkara yang lebih penting selain cinta, iaitu meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga.
Imran, dia seorang sahabat yang sangat prihatin. Sahabat yang punya hati yang sangat lembut. Dia menghulurkan bantuan tanpa mengira siapa. Safia, si gadis malang, Suzila, si ratu kampus dan Nazira anak Pak Hab antara tiga gadis yang menerima 'ihsan' Imran.
Kehadiran Imran dalam acara makan malam yang dianjurkan oleh Syarikat Bersatu Sawmill Sdn Bhd, tempat di mana dia bersama ayahnya mencari rezeki sementara mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik menemukan semula dia dengan Suzila. Pertemuan yang membawa kepada satu perhubungan baru yang lebih bermakna, yang lebih mencabar pastinya.
Sedar akan status diri, Imran akur. Dia tidak sekufu dengan Suzila. Dan Nazira yang mendapat tempat di hati ayahnya menjadi calon penganti Aisyah. Namun cinta tak kenal siapa dan pangkat diri. Imran bin Mohamad jatuh cinta pada Suzila binti Dato' Husin. Namun ada tembok yang menghalang, ada jurang yang memisahkan mereka.
Sesungguhnya hidup ini tidak sunyi daripada dugaan dan cabaran yang maha hebat! Hanya iman dan takwa yang menjadi benteng. Menghindar diri daripada segala musibah yang cuba membelit diri.
Mampukah di gapai bintang di langit tinggi jika diri hanya sekadar pungguk yang cuma mampu merindu bulan sekadarnya?
* * * *
Apa yang dapat aku katakan usai membaca Bintang-Bintang Ke Syurga ini adalah, ia sebuah naskhah yang sarat dengan tazkirah. Sebuah karya yang penuh inti pati berguna yang boleh dikutip buat mengisi rongga dada. Dan pastinya sarat dengan ilmu yang bermanfaat yang diadun dengan bait-bait kata yang indah buat tatapan pembaca.
Xarine berkisah dan berkias dalam bahasa yang indah penuh metafora. Aku bagaikan terkesima membaca setiap susunan kata serta laras bahasa yang puitis penuh berseni ini adalah lontaran daripada sang Insinyur yang pernah menuntut di Sekolah Maahad Muhammadi (L).
Bintang-Bintang Ke Syurga bukanlah naskhah bercerita tentang kisah cinta semata. Jika pembaca inginkan kisah cinta hebat bak cinta Adam pada Hawanya, ataupun cinta Majnun pada Lailanya mahupun kisah cinta Samson pada Delilahnya. Ini bukan kisahnya. Bukan!
Tapi pada aku kisah cinta Imran lagi hebat kerana ini kisah tentang pencarian 'cinta' Imran berlandaskan hukum pencipta-Nya. Ini kisah cinta yang fitrahnya terpateri di dalam hati. Kisah yang mengharapkan reda Ilahi. Bahkan dalam mencari cinta duniawi, Imran diuji bukan sekali, tetapi berkali-kali. Namun dia pasrah. Dia yakin, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Hikmah yang tersembunyi milik Ilahi.
Bagi aku kisah cinta dalam naskhah ini cuma sekadar sisipan kecil sebagai 'hadiah' buat pembaca berbanding dengan tazkirah yang cuba disampaikan oleh penulisnya. Moga ada hati-hati pembaca yang 'cair' dalam menghayati kisah 'cinta' si Imran ini.
'...kalau pakaian yang rapi itu untuk menutup aurat di tubuh, maka akhlak yang rapi itu untuk menutup aurat di hati...' ~ halaman:179. Ini antara sisipan frasa yang boleh dijadikan pedoman buat kita menilik diri.
Xarine membawa kita memahami makna sahabat yang sebenar-benar sahabat. Sahabat yang saling ingat-mengingati. Sahabat yang saling faham-memahami. Dan sahabat yang saling bantu-membantu tanpa mengharap balas. Sesungguhnya sahabat yang paling baik adalah sahabat yang sentiasa ada di samping meski dalam tangis atau ketawa ~(ms:343). Ya! Xarine membuatkan aku ingin menjadi sahabat kalian sahabat-sahabatku yang sentiasa ada di kala kamu senang mahupun sukar.
Kisah hidup Imran yang penuh liku, yang hidup dalam serba kekurangan sebagai anak miskin benar-benar membuatkan hati aku meruntun hiba. Aku bagaikan separuh daripada hati Imran yang merasa. Dibesarkan dalam keadaan yang daif, hanya mengharapkan rezeki daripada kilang kayu (sawmill), yang ada kalanya tidak menentu, benar-benar membuatkan aku larut dalam kisah hidup Imran ini.
Naskhah ini sangat dekat di hati aku. 'Imran' bagaikan jelmaan aku (pastinya dalam versi wanita!) kerana aku juga pernah lalui apa yang Imran alami. Zaman yang perit dan getir. Zaman-zaman sukar yang rezekinya tidak menentu. Apatah lagi bila tibanya musim tengkujuh! Aduhai peritnya hidup.
Tapi sebenarnya, itulah pembakar semangat untuk kami berjuang. Berjuang untuk keluar dari kemiskinan yang membelenggu. Biarpun tidak semewah mana, tapi sekurang-kurangnya untuk hidup yang lebih nyaman dan selesa. Ya... Xarine bagaikan menterjemahkan 'perjuangan' hidup aku lebih tiga dekad yang lalu ke layar kertas. Terima kasih Xarine dengan 'kenangan' ini!
Buat Xarine... moga usaha kamu dalam mentarbiah pembaca dengan bahasa kamu yang indah, dengan cara kamu yang berseni ini, akan membuahkan reda Ilahi. Sesungguhnya ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang boleh dikongsi bersama.
Di Tepi Jalan (1998), A Samad Said
6 years ago
0 rakan yang berkongsi rasa:
Post a Comment