Jun 8, 2009

Dame Zoete Sarah

luahan rasa : Wan Amalyn at Monday, June 08, 2009
Pengarang          : Khairyn Othman
Halaman              : 425
Tahun                   : Jun 2009
Terbitan               : Jemari Seni Publishing
Harga                    : RM18.00

Blurb:

dame zoete Sarah ialah si manis Sarah

Sarah Adam, anak yatim lagi sebatang kara; wartawan yang dedikasi; sahabat yang budiman... walaupun Sarah Adam ada seribu peran, yang pasti dia cumalah seorang gadis yang ada hati dan perasaan.  

Terperangkap di tengah-tengah kemelut sindiket dadah antarabangsa, Sarah Adam dituduh terlibat sebagai pengedar, juga didakwa menjadi pembunuh sehingga membuat gadis yang manis pabila tersenyum ini, menjadi pelarian serta terpaksa menyamar untuk melintas laut ke negeri kincir angin. 

Keadaannya bertambah sulit apabila dia bukan sahaja diburu oleh pasukan keselamatan negara, kumpulan penjahat malah dia diburu oleh jiwanya sendiri! Keadaan menjadi semakin rumit, apabila setiap orang yang dia kenal dan dia jumpa, mati dibunuh. Kenapa?       

Jomlah bantu Sarah Adam untuk membersihkan namanya, jomlah bantu Sarah Adam meloloskan diri daripada 'Encik Selamat', Interpol yang kerek! 

"Sarah, ke mana pun kau pergi, aku akan cari kau. Ke mana pun kau lari, aku akan kejar. Jangan lupa tu." ~ Salim 

* * * * 

Genre yang berbeza daripada KHAIRYN OTHMAN kali ini, pasti membuat anda terhibur sekali gus berdebar bagaikan menaiki roda Ferris, melantun di awang-awangan - pucat tanpa boleh berkata-kata.

*****



Dame Zoete Sarah (DZS) adalah novel kedua Khairyn Othman bersama Jemari Seni Publishing. Kali ini penulis membawa kita mengenali gadis bernama Sarah Adam dan jejaka bernama Salim. Mereka dari dua dunia yang berbeza. Seorang wartawan dan seorang lagi anggota polis. Tetapi 'tugas' mereka berkait.

Sarah Adam, wartawan yang terperangkap dalam sindiket pengeluaran dan pengedaran dadah. Tanpa dia sedar dia telah menjadi buruan pihak yang percaya dia mempunyai formula tentang dadah terbaru yang lebih 'power'. Dan dia juga jadi buruan pihak berkuasa yang percaya dia adalah salah seorang konco pengedaran dadah berbahaya itu.

Demi membersihkan namanya, dia terpaksa menjadi pelarian. Lari dari buruan polis dan lari dari buruan penjahat. Dia tiada siapa yang dapat disandarkan harapan, kerana seorang demi seorang 'orang hubungan'nya mati terbunuh atau dengan kata lain mati dibunuh. Dia hanya ada dirinya dan dia harus bergantung hanya pada dirinya sendiri.

Dia menyamar diri demi menjayakan misi menyelamatkan diri dan meminta bantuan pada salah satu 'sumber' yang pernah dia tolong. Dia terpaksa mempertaruhkan nyawanya, meletakkan nyawanya bagaikan di hujung tanduk. Tapi dia pasrah jika dengan cara itu dia bisa menyelamatkan dirinya. Dan penyamaran ini telah membawa Sarah Adam merentasi benua, membawanya ke negara kincir angin, demi meleraikan segala kekusutan yang merantai diri. Demi membongkar sindiket dadah.

Selain harus bersembunyi daripada 'geng dadah' yang memburunya, Sarah Adam juga harus meloloskan diri daripada dikesan dan ditangkap oleh Salim, pegawai berpangkat timbalan pesuruhjaya di bahagian narkotik yang ditukarkan ke Interpol dan Kamal, rakan baik Salim yang masih lagi kekal di bahagian narkotik. Mereka adalah antara pegawai polis yang bertanggungjawab menyiasat kes tersebut.

Bagaimana nasib Sarah? Berjayakah dia membongkar segala misteri demi menyelamat dan membersihkan namanya? Dapatkah dia lari daripada En. Salim yang kerek itu? Tapi yang paling utama, siapakah dalang yang menjebakkan dirinya dalam kemelut yang mengancam nyawa itu? Dan bagaimana dia boleh terlibat sama? Wah banyaknya persoalan - nak tahu? Jomlah kita bongkar segala misteri bagi pihak  Sarah Adam!

* * * *
Rasaku:

Komen pertama aku. PUAS! ya aku puas membaca DZS. Inilah kenikmatan yang aku cari apabila aku membaca sesebuah novel. Aku mau rasa puas, sepuas-puasnya! Ada rasa lega, ada rasa relief dan pastinya ada rasa gembira bersulam bahagia!

Penulis menampilkan sebuah kisah yang membuatkan aku tidak senang duduk. Tidak tenang hati selagi tidak menghabiskan bacaan aku. Dan aku amat berterima kasih kerana dengan jumlah 425 halaman membolehkan aku menghabiskan DZS hanya dengan sekali hadap!.

Sesungguhnya selain jalan cerita yang menarik, siapa penulisnya, aku juga mengambil kira akan ketebalan sesebuah novel untuk dijadikan pertimbangan untuk aku membacanya. Aku tidak menolak membaca novel yang mempunyai ketebalan yang 'agak tebal' tetapi ia bergantung pada masa luang yang aku ada. Jadi selalunya aku akan memilih novel yang agak nipis dahulu untuk membacanya kerana ia cepat habis.

Ok. berbalik pada cerita tentang DZS. Apa yang membuatkan aku suka (sangat) dengan karya Khairyn kali ini adalah kelainan yang dibawa. Genre yang berbeza daripada yang sebelumnya. Ops bukanlah karya sebelum ini tidak bagus, tidak! tapi kali ini penulis tampil lebih santai. Tapi jangan tertipu, kisah Sarah Adam tidak santai ya!. Kisah si Sarah Adam ini penuh dengan adegan-adegan yang mampu membuatkan anda sesak nafas!

Penulis bagaikan membawa kita 'menaiki roda Ferris' bak kata blurb belakang kulit. Ya, begitu juga perasaan yang aku alami sepanjang aku menghabiskan bacaan ini, penuh debar, penuh saspens, tapi tak kurang ada lawaknya. Pendek kata pelbagai rasa mengasak di dada. Tapi dalam debar menahan gelora di hati, dalam situasi yang saspens aku masih mampu menyungging senyuman lebar.

Kali ini penulis juga ber'kongsi' pengalamannya sebagai bekas wartawan melalui Sarah Adam. Bagaimana Sarah berkongsi tip dengan pembaca tentang cara untuk mendapatkan 'skop berita' dan bagaimana dia menggunakan 'sumber'nya untuk mendapatkan maklumat, bagaimana dia berjuang untuk terus hidup dan membersihkan namanya.

Aku sukakan Sarah Adam yang sangat berdikari, degil, keras kepala dan sangat cekal. Sarah Adam tumbuh sebagai anak gadis yang tahu menjaga diri. Mungkin keadaan yang membuatkan dia sebegitu. Kehilangan seluruh ahli keluarga dalam sekelip mata telah menjadikan Sarah Adam bangkit sebagai wanita yang tidak gentar pada dugaan. Kerana dia telah berjaya mengharungi dugaan yang maha hebat dalam hidupnya. Kehilangan orang tersayang! Tambahan pula dia kan wartawan yang sering berdepan dengan cabaran! Tapi sebenarnya segala sifat dan sikapnya itulah yang membolehkan dia terus hidup bernyawa demi menegakkan keadilan untuk dirinya. Dia juga tidak mudah panik  pada tekanan sekeliling.

Salim - pertama kali aku rasakan bahawasanya betapa tidak 'menarik'nya hero kali ini. Apatah lagi bila penulis mengaitkannya dengan beberapa nama 'Salim'. Saleem iklim, Tan Sri S M Salim dan Harun Salim Bachik membuatkan aku - erk!... oh tidak!! hahaha. Tapi pada mata Yati (kawan baik Sarah), Salim berwajah Arab, kiranya dalam kategori hensem la. Tetapi ia tetap tidak dapat mendatangkan gambaran yang 'indah-indah' akan raut wajah Salim di layar minda aku. huhuhu sorry!!

Walau bagaimanapun aku tetap sukakan En. Salim! Sebenarnya karektor 'Salim' garapan penulis bertepatan dengan kriterianya sebagai seorang pegawai polis. Seorang yang sangat serius dan tegas dalam menjalankan tugasnya. Tapi di balik raut muka yang serius dan berwajah 'keras' ada kelembutannya. Di sebalik tegas ada romantiknya. Dan aku jatuh hati pada Salim ketika mereka di Belanda. Gerek sehh!! hahaha

Pendek kata ia kombinasi cerita saspens, romantic-thriller yang diisi dengan 'lawak antarabangsa' yang sangat berjaya di tangan penulis. Sesungguhnya ia sebuah naskhah yang ringkas tapi padat. Dengan gaya bahasa yang tidak meleret-leret, dengan adegan-adegan yang 'seadanya', membuatkan aku tergari kaki dan tangan, tidak dapat berganjak selagi tidak menghabiskan bacaan aku.

Dan satu lagi kelebihan setiap novel di bawah label Jemari Seni Publishing adalah info yang dititipkan. Sisipan ilmu yang dihidangkan pada pembaca ada nilainya, terpulang pada pembaca untuk mengambilnya sebagai iktibar dan panduan. Sesungguhnya dalam kita syok melayan 'cerita' kita tidak terpinggir dari ilmu yang boleh kita jadikan teladan.

Oh ya, terima kasih juga buat Khairyn kerana mengirimkan khabar tentang Nisa dan Dr. Taufik. Sekurang-kurangnya terubat kerinduan buat si bunga tigris dan keluarganya itu! Rindunya kat Nisa!!

Buat Khairyn... Tahniah! sesungguhnya DZS tidak menghampakan kak wan sama sekali. Dan anda telah membuatkan kak wan jadi tidak sabar menunggu hasil karya anda yang akan datang. Terukkan?? hehehe. Apa-apapun moga Khairyn terus dilimpahkan oleh-Nya idea untuk terus aktif berkarya, berkongsi cerita dan ilmu sudah pastinya!


Selamat membaca... 

0 rakan yang berkongsi rasa:

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare