Nov 11, 2008

Pulang

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008

Pengarang : A Rahim Awang
Halaman : 536
Tahun : 2007
Terbitan : Creative Enterprise
Harga : RM 25.90


Sinopsis:

Norazlin – Cita-citanya untuk menjadi Cleopatra zaman moden yang bisa menundukkan setiap lelaki don juan. Umpama tunduknya Mark Anthony dan Julius Ceaser di telapak kaki Cleopatra si Ratu Mesir. Berbekalkan rupa paras yang cantik serta bentuk badan yang mengiurkan, Azlin mengejar Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, malah sesiapa sahaja yang mempunyai potensi untuk dia mencapai impian. Dalam mencari jalan PULANG, Azlin tersungkur. Tersungkur pada nasib malang yang menimpa dirinya – kematian yang penuh dengan keaiban.!!

Farouk – Dia don juan yang memburu mangsa hanya untuk kepuasan batinnya. Dia lelaki ego yang tidak pernah puas. Menjadikan wanita sebagai satu objek taruhan. Perkenalannya dengan Azlin, membuatkan dirinya 'terikat'. Terikat pada kepuasan yang dinikmati tidak dengan isteri yang sah digauli. Namun Azlin juga menyebabkan dia tersungkur. Melontarkan dirinya di balik jeriji besi. Menjadikan nasibnya antara hidup dan mati. Dan dia akur – semua orang yang mengenali dan mendampingi Azlin akan menjadi malang – itulah sumpahannya.!!

Suhaila – Dia isteri. Dia ibu yang terlalu setia pada suami. Kerana cinta, dia rela dalam keterpaksaan akan segala tindak tanduk sang suami. Padanya senjata utama seorang wanita adalah 'rajuk'. Namun rajuknya juga telah membuatkan hidupnya terjerat, mengheret dirinya sama menanggung malu dengan noda dan dosa sang suami..!!

******

Pulang adalah karya terbaru dari Abdul Rahim Awang (ARA). Kisah tentang seorang GRO yang ditemui mati dibunuh di bilik tidurnya sendiri. Kisah yang mirip dengan satu kes pembunuhan yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu. Kisah yang pernah menjadi bualan hangat.

Membaca Pulang hasil garapan ARA membuatkan saya terpaku. ARA bijak menyusun ayat. Dengan bahasa yang ringkas tetapi tepat dan padat membuatkan saya tidak mampu untuk berhenti walau sesaat.

Pulang terbahagi kepada 4 'buku'. Buku 1 – dari sudut Azlin. Buku 2 – persoalan yang menjadi tanda tanya, siapa pembunuh misteri.?? Buku 3 – dari sudut pandangan Farouk dan Buku 4 – dari kaca mata Suhaila. Pecahan ini menyebabkan terdapat ayat dan frasa yang sama digunakan berulang kali. Namun ia sedikitpun tidak mengganggu fokus saya malah saya salute pada ARA kerana bijak bermain dengan pengulangan ayat dan frasa tersebut.

Apa yang lebih menarik, ARA sangat arif tentang dunia kepolisan. Menjadikan novel ini sangat informatif kepada saya yang 'buta' dalam hal-hal yang bersangkutan dengan dunia polis. Malah watak ASP Helmi dan ASP Norhayati - pegawai polis yang mengendalikan kes pembunuhan tersebut - mengembalikan ingatan saya pada novel Ego yang pernah saya baca.

ARA membuatkan saya menjadi benci pada 'orang-orang besar' yang menjadikan kedudukan dan pangkat sebagai senjata. Saya jadi meluat dengan Farouk yang ber'tuhan'kan nafsu. Walaupun terselit perasaan kasihan saya pada Suhaila, adakalanya saya jadi sakit hati.!! kenapa harus dibiarkan si suami tanpa teguran.? Namun segala-galanya telah menjadi takdir yang harus diterima dengan pasrah.

Usai membaca, saya insaf. Biarlah saya tidak punyai banyak wang. Asalkan saya tahu ia dari hasil titik peluh saya yang halal. Biarlah saya tidak kaya asalkan saya masih tetap dengan jalan yang diredhai Allah. Jalan yang telah dilorongkan oleh kedua orang tua saya dari Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Moga-moga jalan inilah yang akan diikuti oleh anak cucu serta saudara mara dan sahabat handai saya. AMEEN

1 rakan yang berkongsi rasa:

Unknown on September 22, 2018 at 5:11 AM said...

Sedih baca novel ni

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare