Nov 11, 2008

Imam

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008
Pengarang : SN Abdullah Hussain
Halaman : 705
Cetakan Pertama: 1995
Cetakan Terbaharu: 2005
Terbitan : Utusan Publication & Distributors S/B


Blurb

"Pendekatan pengarang bukan sahaja mementingkan jalan cerita tetapi setiap episod yang dikemukakan adalah berdwi-fungsi..."

" Gayanya pula menggunakan kombinasi antara yang konvensional dengan cara baharu yang tidak biasa dilakukan pengarang-pengarang sebelum ini..."

"... walaupun melakukan perubahan itu penuh liku dan cabaran, perubahan itu sendiri tidak dapat ditahan-tahan, seperti kata Haji Mihad, ia laksana cahaya yang terkurung yang akan mencari jalan merembas keluar melalui rongga atau retak biar seseni apa sekalipun."

"... novel ini lebih daripada sekadar menghiburkan."

~ Laporan Panel Hakim

*****

Novel yang telah memenangi anugerah hadiah pertama 'Hadiah Novel Nasional' Utusan Melayu tahun 1992/94 ini adalah buah tangan Abdullah Hussain yang juga telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1996. Novel ini antara novel terbaik yang pernah saya baca.

Novel yang berlandaskan dakwah dan Islam ini pertama kali saya baca kalau tak silap saya sekitar tahun 1996 yang pada awalnya saya pinjam dari kakak kawan saya. Tamat membaca, saya bertekad untuk memilikinya sebagai koleksi peribadi saya. Sehinggalah di pesta buku tahun 2004 saya berjaya memilikinya. Novel yang telah beberapa kali saya ulang baca ini tetap mendapat tempat di hati saya yang ternyata ia berada di kelasnya yang tersendiri.

Imam mengisahkan tentang perjuangan seorang imam yang ingin membawa perubahan dan pembaharuan di kampungnya sendiri. Namun usaha beliau mendapat tentangan dari sebahagian penduduk kampung yang seagama dan sebangsa malah dari saudara-maranya sendiri. Betapa sukarnya dikikis amalan dan perbuatan yang telah berakar umbi.

Dari sini timbullah perbezaan pendapat dan fahaman di antara kaum tua dan kaum muda dalam menegakkan syiar islam. Imam Hj Mihad didakwa membawa ajaran baru yang agak asing bagi kampung itu sehingga mendapat perhatian pihak Majlis Agama. Sementelah beliau sebelum ini menetap di Indonesia yang terlalu banyak pegangan dan fahaman agama.

Ekoran ketidakpuasan hati sesetengah golongan yang merasakan kepentingan mereka tergugat, membuat aduan ke pihak Majlis Agama yang menjadi rentetan kepada penghantaran orang Majlis sebagai 'pengintip' mengikuti setiap kali solat jumaat berlangsung semata-mata untuk menyelidik tentang dakwaan Imam Haji Mihad yang menyeleweng serta tidak menggunakan khutbah yang disediakan oleh Majlis Agama sebagaimana biasa.

Novel ini sarat dengan pengisian. Pendekatan yang digunakan oleh penulis amat berkesan di hati saya terutamanya bahagian soal jawab antara Imam Hj Mihad dengan pegawai dari Pejabat agama. Saya umpama membaca sebuah buku ilmiah.

Melihatkan senarai buku dan kitab yang dirujuk di bahagian bibliografi, saya begitu kagum terhadap penulis apatah lagi bila membaca biodata SN Abdullah Hussain, yang tidak pernah mendapat latihan formal dalam bidang agama. Betapa penulis telah membuat rujukan yang banyak dan sangat teliti bila menyampaikan hujah-hujah dari sumber-sumber yang sahih.

Memang suatu perubahan selalunya membawa korban dan korban perubahan yang datang ke Anggerik Desa terlalu mahal harganya. Tetapi insya-Allah, perubahan itu tetap akan berlaku dan tidak ada kuasa, selain kuasa Allah yang dapat menahannya dan seperti kata Haji Mihad, ia laksana cahaya yang terkurung yang akan mencari jalan merembas keluar melalui rongga atau retak biar seseni apa sekalipun – ms/687

Namun kisah tragis di akhir Novel ini, menjadi lambang keangkuhan manusia yang sanggup melakukan apa saja demi keuntungan material dan kesenangan dunia. Moga-moga ianya menjadi iktibar kepada kita

0 rakan yang berkongsi rasa:

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare