Jun 13, 2011

Menunggu Hujan

luahan rasa : Wan Amalyn at Monday, June 13, 2011
Pengarang : Adileah
Halaman : 447
Tahun : Mac 2011
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Harga: RM19.00
ISBN: 978-967-5118-56-2

Rasa Saya:

Selepas Pada Angin Aku Berpesan, Adileah muncul bersama karya terbaharunya Menunggu Hujan. Wah! suka ya dia bermain dengan ‘cuaca’?? Jangan selepas ini taufan pula sudah ya Lia! hehehe

Menunggu Hujan berkisah tentang Malisa; si gadis lulusan Ijazah dalam Bussiness Management, bekerja sebagai jururawat peribadi di rumah agam Cik Puan Juita janda kaya kematian suami. Cik Puan Juita yang lumpuh sebelah badan akibat serangan angin ahmar perlukan jagaan khusus. Ada enam tugas utama yang disenaraikan oleh Makcik Limah merangkap ketua pembantu rumah di rumah agam itu yang Malisa harus laksanakan.
Apakah enam tugas itu? Kamu harus baca untuk mengetahui jawapannya.

Menunggu Hujan bercerita tentang Hafiz; cucu bongsu Cik Puan yang ke-50 pulang bercuti bersama rakan-rakannya ke Kampung Padang Tenggala. Kepulangan yang pada asalnya bukanlah atas alasan untuk melawat neneknya yang sedang sakit, tetapi memandangkan dia tiada tempat ke mana harus dibawa teman-temannya bercuti, jadi ke rumah neneknya lah yang dia tuju. Sementelah pula rakan-rakannya tiada kampung halaman, jadi inilah peluang untuk mereka rasai suasana di kampung.

Di bilik Cik Puan mereka bertemu buat kali pertama. Tanpa basa-basi mereka berkenalan. Perkenalan yang pada mulanya menjengkelkan hati Hafiz dan merimaskan Malisa. Perkenalan yang akhirnya menyatukan dua hati yang sering bertelagah menemui titik persefahaman yang dinamakan keserasian.

Di saat hati Malisa mulai lembut untuk menerima huluran kasih Hafiz, perkhabaran tentang status Hafiz merobohkan impian yang baru terbina. Dayang Suhaila; anak kenalan En. Mustapha; bapa Hafiz yang ada syarikat perkapalan bukan tandingannya. Dayang Suhaila adalah gadis pilihan Puan Rokiah; ibu Hafiz untuk digandingkan dengan Hafiz anaknya

Sedar akan taraf diri, Malisa rela undur diri. Sememangnya cinta tak semestinya bersatukan? Dan orang pernah berkata "Andai kamu menyintai seseorang, lepaskanlah dia. Andai dia kembali padamu maka dialah milikmu selamanya”. Ya, demi kasih dan sayangnya pada Hafiz, Hafiz dia tinggalkan! Walau hatinya parah menanggung rasa kecewa, mana mungkin dia zahirkan pada Hafiz. Dengan ‘bantuan’ Dayang Suhaila dan Puan Rokiah; perempuan ala mak datin mengikut kata Makcik Limah, dia berjaya membuat Hafiz bencikan dirinya.
Apa yang Malisa buat hinggakan Hafiz bencikannya? Baca! kalau ingin tahu.

Tapi bagaimana harus dia lalui hidup ini bila rasa cintanya pada Hafiz sukar untuk dibuang daripada tangkai hatinya? Atau selamanya dia harus mengusung rasa cinta yang tiada titik noktah itu? Dan bagaimana pula kesudahan nasib cinta mereka? Bacalah, Menunggu Hujan ini ada jawapannya.


Menunggu Hujan menyerlahkan kematangan Adileah dalam berkarya. Satu yang saya suka pada karya-karya Adileah adalah pengakhiran ceritanya. Mengenali si penulis ini, saya masih tidak dapat mengagak bagaimana sesebuah cerita garapannya akan menemui titik noktahnya. Unpredictable! Itulah perkataan yang sesuai untuk karya garapan penulis ini.

Seperti kesudahan kisah Yasmeen dan Ariel dalam Pada Angin Aku Berpesan yang mungkin tidak disukai oleh sesetengah pembaca, tapi saya suka! Mungkin sesetengah pembaca hanya inginkan hero mesti end-up dengan heroin, tapi kita harus ingat, kita hidup di dunia ini bukan berdua sahaja. Kadang kala Allah temukan kita dengan orang yang salah untuk lorongkan kita pada jodoh kita yang sebenarnya. Mana kita tahu kan? Dan kita juga harus ingat, dalam hidup ini tidak selalu apa yang kita angan-angankan akan jadi nyata. Adakalanya apa yang kita tidak inginkan itulah yang terjadi! Dan kita sebagai hamba-Nya, harus reda pada setiap ketetapan yang telah Dia tentukan pada kita.

~Watak & Perwatakkan~

Berbalik pada karya terbaharu Adileah ini. Menunggu Hujan memperkenalkan kita pada Malisa yang dipotretkan sebagai gadis yang lasak pada pandangan mata kasar. Tetapi disebalik kelasakkan tingkah lakunya, tersembunyi sifat lemah lembut yang penuh dengan rasa kasih sayang. Malisa pada saya adalah gadis yang tegas dan teguh pendirian. Dia tidak mudah goyah dengan dugaan yang mendatang. Dia juga digambarkan sebagai seorang gadis yang panas baran “Acik, jangan ikutkan panas baran Acik tu.”~ ms 4. Tapi disebalik tegas dan panas barannya dia tetap juga seorang wanita yang punya hati dan perasaan yang lembut.

Saya sukakan watak Malisa yang mengajar kita agar tidak mudah terpedaya dengan ‘impian yang mempesonakan’. Malisa adalah lambang wanita yang tidak mudah mengalah dan tidak sesenang hati mengatakan YA pada pesona seorang lelaki seperti Hafiz. Walaupun dalam hatinya mula tumbuh rasa cinta dan kasih pada Hafiz, dia harus mengutamakan ‘kenyataan’ melebihi keinginan hatinya. Tapi sebenarnya tindakan jual mahal Malisa lah yang telah menundukkan ego seorang ‘kasanova’ seperti Hafiz! Saya suka! Inilah dia penangan aura seorang wanita. Girl Power! hehehe!

Saya juga sukakan watak Malisa yang ‘licik’. Bila melibatkan kepentingan dirinya, dia mampu berfikir secara kritis dan kreatif untuk mengelakkan dirinya daripada terus di’belasah’ oleh ‘musuh-musuhnya’. Saya suka cara Malisa membina 'perisai' demi menutup rahsia hatinya daripada dihidu oleh Hafiz.

Watak Hafiz digambarkan sebagai seorang lelaki yang tidak acuh pada persoalan hati dan perasaan. Hafiz yang pada pandangan mata ‘Malisa’ adalah lelaki yang dengan mudah menyerahkan cintanya pada sesiapa yang dia jumpa. Hafiz yang kasanova! 'Hari itu putus cinta dengan Cherry, semalam bukan main ber’dear’ dengan dia. Hari ini tunang pula yang datang.' ~ms;113

Itu sebelum dia kenal Malisa. Itu sebelum hatinya di sapa hembusan cinta Malisa. Malisa yang membukakan mata hatinya akan makna sebenar erti cinta dan kasih sayang. Hakikatnya Hafiz tidak diberi kesempatan untuk membuat pilihan dan keputusannya sendiri. Puan Rokiah terlalu dominan terhadap Hafiz. Segala hal berkaitan hidup Hafiz, Puan Rokiah yang tentukan termasuklah berkaitan dengan soal jodohnya. Hafiz bagi saya seorang anak yang baik. Dia tahu dia tidak akan 'menang' bila berhadapan dengan ibunya, jadi jalan selamat agar tidak dituduh sebagai anak derhaka adalah, ikut sahaja apa kata ibunya!

Watak antagonis ‘lakonan’ Puan Rokiah dan Dayang Suhaila memang menimbulkan rasa benci dan sakit hati saya. Bagaimana mereka –Puan Rokiah & Dayang Suhaila– berlakun di depan mata Hafiz semata-mata untuk menjatuhkan Malisa, benar-benar membuatkan saya meluat sama. Eeee geramnya!!

Agaknya semua watak lelaki dalam novel ini tidak cukup sifat 'jantan'nya. Hehehe Selain Hafiz, watak En. Mustapha juga digambarkan secara rambang sebagai lelaki yang 'lemah'. Sepatutnya sebagai anak lelaki, dia harus tahu tanggungjawabnya terhadap ibu, juga peranan dia sebagai ketua keluarga. Tapi dia lebih senang 'ikut arus' isterinya. Apa sahaja yang isterinya lakukan dia diamkan sahaja. Dia tidak cukup tegas sebagai suami dan dia tidak cukup protective sebagai bapa.

~Plot Cerita~

Naskhah ini mengangkat persoalan cinta tidak semestinya bersatu. Bahkan cinta sahaja tidak menjamin kebahagiaan. Persefahaman dan restu ibu bapa juga merupakan tonggak utama untuk kecapi rasa bahagia dalam melayari hidup berumah tangga. Jika saya jadi Malisa, saya juga akan fikir berpuluh-puluh kali untuk menerima ‘Hafiz’ dengan layanan ‘Puan Rokiah’ yang sebegitu. Ya, saya akui saya bukan dalam kategori perempuan yang tegas dan tegar. Saya mudah lemah dengan dugaan. Itu adalah kenyataannya.

Naskhah ini juga bagaikan meng’YA’kan bahawa ‘Seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu’ (dalam naskhah ini 9 orang anak). Sadis dan tragis. Itulah nasib yang menimpa ‘Cik Puan Juita’. Naskhah ini bercerita akan erti tanggungjawab anak terhadap orang tua mereka. Tanggungjawab seorang anak terhadap ibu yang telah kematian suami apatah lagi yang dalam keadaan uzur tidak berdaya itu. Saya insaf. Moga saya dijauhkan daripada alpa akan tanggungjawab saya terhadap kedua orang tua saya. YA, ada duit semua boleh beli, tapi rasa kasih dan sayang sememangnya tiada nilainya. Dan bukannya boleh dijual beli dengan sesenang hati! Dan adakalanya kasih sayang anak-anak (orang tersayang) adalah penyembuh yang paling mujarab.

Bacalah, moga ada manfaat pada kita semua.

0 rakan yang berkongsi rasa:

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare