Pengarang : Lily Haslina Hasir
Halaman : 432
Tahun : Oktober 2009
Terbitan : PTS Litera
Harga : RM 18.00
Sinopsis:
Khalida Atikah, dia gadis polos lulusan syariah mencuba nasib memohon jawatan sebagai wartawan. Dia harus bersaing dengan mereka yang jauh lebih ‘molek’ penampilannya. Mereka bergaya korporat, dia berbaju kurung berkerudung merah jambu. Mereka menjinjing beg jenama terkenal, dia mengusung beg tangan cap itik. Jika mereka lulusan mass communication atau broadcasting, dia pula lulusan ‘agama’.
Andai sudah tersurat itu rezekinya, ia tetap menjadi miliknya. Permohonannya diterima dan dia ditempatkan di bawah unit ‘Meja Hiburan’. Menuntut ilmu dalam bidang syariah, bekerja sebagai wartawan (hiburan) merupakan satu cabaran buatnya. Sementelah bidang yang dipelajari sama sekali kontra dengan skop kerjanya.
Apatah lagi ditakdirkan dia harus berkerja di bawah seliaan Azrul Rasyid yang terkenal dengan kelantangan vokal dan tindakan, membuatkan hidup Khalida sering di landa ‘tsunami’. Namun tidak semudah itu dia akan menyerah!. Walau diherdik berkali-kali. walau digertak berkali-kali, walau hatinya disakiti berulang-kali, dia tetap berdiri di situ, tegak dan tidak berganjak. Dalam lembut, hatinya sekeras karang, dalam lemah, jiwanya sekental batu. Itulah Khalida Atikah.
Azrul Rasyid, dia ketua yang amat digeruni. Dia lelaki yang tak punya rasa hati!. Dia wartawan hiburan yang sangat berbisa tutur katanya terutama dengan Khalida. Berdepan dengan Khalida, ‘angin’nya seganas taufan. Pendek kata bila melibatkan Khalida dia berubah total menjadi insan yang tak punya sifat simpati. Pada dia selagi tak ‘berbisa’ itu bukan Azrul Rasyid namanya selari dengan jolokan harimau dinamik yang disandangnya!
Jika Azrul Rasyid ada target untuk menaikkan rating ‘Akhbar Dinamik’, Khalida Atikah juga punya matlamat tersendiri. Dia mahu jadi wartawan yang baik. Dia mahu jadi penulis yang diingati setiap tulisannya. Dengan sokongan moral kedua orang tuanya serta Azrinaz sahabat baiknya, dia menanam misi dan visi untuk mengubah persepsi Azrul Rasyid terhadap dirinya walaupun dia akur dia akan berdepan dengan jalan yang berliku.
Nureen, dia gadis seksi lulusan luar negeri. Dia gadis yang meletakkan hawa nafsu melebihi kewarasan akalnya. Cintanya pada Azrul Rasyid, cinta yang dipayungi bayang hitam yang kelam lagi suram. Padanya, selagi Azrul Rasyid tidak dalam genggaman selagi itu hatinya tidak pernah tenteram. Namun sampai bila jampi serapah bisa bertahan bila berdepan dengan DIA yang maha berkuasa?
Selagi hidup masih dikuasai tamak, selagi haloba masih beraja di hati, selagi nafsu mengaburi mata, selamanya hidup ini jauh dari cinta Nya.
* * * * *
Menunggu Cinta Tuhan (MCT) adalah karya terbaharu Lily Haslina Nasir yang aku baca. Novel terbitan PTS Litera ini menampilkan satu kelainan yang sememangnya memenuhi piawaian aku. Jangan ditanya standard mana yang aku guna, piawaian mana yang aku pakai sebagai pengukur. Standard aku adalah ‘rasa’ yang lahir di celah-celah relung jiwa tatkala membaca, dan hati aku membisikkan kata bahawa, ‘dia’ sukakan hasil karya Lily Haslina Nasir ini.
Kematangan penulis dalam berkarya tidak perlu dipertikaikan lagi. Kebolehan penulis menggarap cerita tidak perlu disangkal lagi. Dan pastinya penulis yang sememangnya berpengalaman dalam bidang kewartawanan, juga pernah dinobatkan sebagai penulis rencana terbaik peringkat nasional, menggunakan sepenuhnya ilmu dan pengalaman beliau dalam meniupkan roh seorang ‘Khalida Atikah’ sebagai wartawan.
Membaca MCT membuatkan aku jatuh kasihan pada Khalida. Tak dapat aku bayangkan bagaimana jika ditakdirkan ketua aku sekeras Azrul Rasyid yang lantang dan menyakitkan hati itu!. Kadang-kala nak aje aku katakan ‘padan muka!’ pada Azrul yang sudah terkena ‘jerat’ Nureen dan makciknya itu. Agaknya itu adalah natijah buatnya yang tidak pernah berlapik menuturkan kata bicara. Menyakitkan hati tanpa belas simpati.
MCT mengangkat isu amalan mistik yang bertentangan dengan ajaran Islam. Amalan pelaris, amalan 'memuja' yang diamalkan oleh Cik Latifah (pengusaha restoran) demi melariskan jualan kedai makannya, sememangnya membuatkan tidur malamku tidak lena! Kak Lily, membaca mentera dan jampi serapahnya, sememangnya meremangkan bulu roma wan!! huhuhu.
Serius!! apatah lagi aku membaca di waktu malam bertemankan pekat malam… aduh! Andai kamu ingin membaca MCT bacalah di siang hari! Atau hanya aku yang terlalu larut dalam pembacaan?? Itu tandanya apa yang dihadap dapat dihadam dengan baikkan??. Atau itu tandanya penulis berjaya mengatur jalan cerita dengan baik! Atau kerana hakikatnya aku ini adalah seorang yang penakut?? hahaha
Entah mengapa, usai menatap MCT, bagaikan terngiang-ngiang bisikan hati Azrul Rasyid di cuping telingaku. Rintihan hati yang ingin kembali mencari siapa dirinya, yang pastinya ingin kembali mencari rahmatNya.
Nota buat penulis: Kak Lily masih ada sambungannyakan?? hehehe… tak puashati laaa
Salam sayang,
Di Tepi Jalan (1998), A Samad Said
6 years ago
0 rakan yang berkongsi rasa:
Post a Comment