Nov 11, 2008

Bohemian

luahan rasa : ]ini aku[ at Tuesday, November 11, 2008
Pengarang : Imaen
Halaman : 472
Tahun : 2008
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00


Blurb:

Cinta membuat kita tidak memandang apa-apa yang datang daripada kita, walaupun ia sebesar mana sekalipun. Sebaliknya, kita hanya akan memandang apa-apa yang datang daripada orang yang kita cintai, walau sekecil mana pun. Cinta membuat kita membuang sifat sendiri, dan mengambil sifatnya sebagai ganti.

Aku
pemain muzik jalanan
melayari malaysiakini.com
merambu-rambu cari duit
pakai seluar bertampal di lutut
berambut panjang cecah bahu

Dia
seorang peguam
baca Business Times
gaji ribu-ribu
pakai skirt nampak lutut
berambut copper blonde celup

Siapakah dia yang berani mencuri tenang dan damaiku, lalu menggantikan ia dengan resah gelisah?

Siapakah dia berani merampas hening bening malam dengan huru-hara yang tidak keruan ini?

Siapakah dia yang berani mengusik lenaku dengan bayangnya?

Dia, yang tidak pernah ada dalam senarai bidadari anganku! Tidak pula pernah sekalipun wujud dalam daftar mimpiku!

Dia, yang dari hujung kaki hingga hujung rambut bukanlah perempuan yang aku mohon lewat doa-doaku kepada Tuhan.

**~**

Setelah Vendetta (Gurindam Jiwa) dan Labyrinth, IMAEN melakarkan risalah pemuzik jalanan – busker – berbicara tentang cinta antara Fadlan & Nadira, dengan bahasa mantap penuh falsafah, namun disajikan dalam nada manis cara Bohemian.


********

Bohemian, kisah tentang pemuzik jalanan yang ingin mempertahankan prinsip dan pegangannya di zaman yang didakwa serba-serbi moden.

Kisah tentang pemuzik jalanan yang ingin memperbetulkan persepsi dan tanggapan orang ramai tentang muzik. Kisah tentang Pemaju dan PBT – pihak berkuasa tempatan – yang korup. Juga kisah polis dan penjahatnya.

Fadlan sang Bohemian lulusan Kejuruteraan Universiti Malaya tetapi memilih hidup sebagai 'busker'. Menyanyi di dataran Syiouk Skali dan menjadikan nyanyiannya sebagai sumber rezeki. Kisah tentang Nadira si loyar yang hidup berlandaskan prinsip dan rutin yang harus dituruti jadualnya.

Namun bila dua manusia yang berbeza cara hidup dan pemikiran bak langit dan bumi, bertemu di satu garisan yang dinamakan 'cinta', akan bertemukah satu noktah yang dinamakan 'keserasian'??


Apa yang aku suka sangat akan Bohemian ini adalah pengisiannya. Ia bukan sekadar novel tetapi ia sarat dengan ilmu yang amat berguna buat aku yang jahil ini. Ia padat dengan info dan kata nasihat.

Lagi satu aku suka dengan bahasa Imaen. "Bahasa mantap penuh falsafah namun disajikan dalam nada manis" bak kata blurb belakang kulit. Namun dalam manis kata bicara, tetap terselit nada sinis buat pembaca yang mengerti.

Aku suka dengan persoalan yang diutarakan oleh Imaen. Persoalan biasa tentang dunia muzik tanah air yang dewasa ini sudah menjadi 'rojak'. Persoalan tentang 'korupsi', tentang amalan 'under table' yang sama ada kita sedar atau tidak, memang wujud dalam masyarakat kita hari ini. (Ops! dan ada tips & resepi jugak ya!! ) Dan apa yang pasti, pada aku Bohemian cukup rencahnya, kerana ia mampu membuatkan perasaan aku bercampur-aduk ~ suka, sedih, suspen, terbuai ~ bahkan aku tidak mampu menyembunyikan sengihanku sepanjang menghabiskan bacaan ini.

Bohemian pada aku lebih 'lembut' berbanding Labyrinth yang lebih mysterious. Namun tahap 'kesinisan'nya masih di tara yang sama atau mungkin lebih??

Sekalung tahniah buat penulis kerana berjaya menambahkan satu lagi sumber maklumat. Penulis berjaya menyelitkan fakta tanpa aku sebagai pembaca bosan untuk membacanya (dan nasihat juga!!). Aku yakin penulis telah membuat rujukan dan penyelidikan yang teliti.

0 rakan yang berkongsi rasa:

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare