Halaman : 482
Tahun : Disember 2009
Terbitan : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
*****
Blurb:
Cinta pandang pertamakah ini…
Sekiranya tiba-tiba anda bertemu dengan lelaki yang membuat jantung anda berlari setara dengan kelajuan jet Sukhoi buatan Rusia, dan mata anda pula tak bisa berpaling daripada dia biarpun sedetik, lalu apa tindakan anda?
=A= katakan: lupakan sahaja itu hanya logamaya
=B= rahsiakan perasaan anda dalam diari merah jambu
=C= kenal pasti siapa dia, dan suruh ayah ibu meminang dia
=D= segera periksa jantung, mata dan tekanan darah, ke doktor pakar
Jaja telah memilih =C= sebagai jawapan
cinta telah membuat aku tidak lut lagi dengan segala 'peraturan hati' yang selama ini aku junjung!
Implikasinya:
Abah dan uminya rasa
[♪¿∫∞Ωπ䮉¾]
Alahai, anak abah ni, awat la sampai jadi lagu tu!
Mama nak sorok muka ni kat mana, Jaja?
Inilah cerita Jaja yang meminang ustaz Sastera Arab lulusan Universiti al-Azhar sebagai suami. Tegarkah Jaja seorang media planner memilih hidup ala-ala 'zuhud' macam Din nanti?
rupa-rupanya cinta telah membawa hatiku terbuai-buai ke sana ke sini tanpa perlu berhenti di mana-mana 'lampu isyarat'...
*****
Jaja & Din, kisah tentang Jaja anak doktor yang jatuh cinta pandang pertama pada 'dia' yang entah siapa. Hanya dengan sekeping gambar bisu, hati Jaja bagaikan dipanah si cupid love yang membidik panahan cinta tepat menembusi hatinya yang beku. Anehkan cinta? Hanya dengan sekeping gambar tidak bernyawa, Jaja jadi nanar kerananya. Hanya dengan sekeping gambar kaku, hilang ghaib segala peraturan hati yang Jaja junjung selama ini. Ya, hanya dengan sekeping gambar, Jaja jatuh cinta pada 'dia' yang berkopiah putih buat pertama kali dalam sejarah hidupnya!
Jaja, si media planner di syarikat mat salih, jatuh cinta pada Din, si ustaz Sastera Arab. Jaja yang rasa dirinya moderen jatuh cinta pada Din yang warak. Jaja, dia bukanlah si gadis polos, apatah lagi alim. Tapi dia masih punya silu yang berbungkus kemas dalam hati. Dan Si Din, bukanlah ciri-ciri lelaki yang pernah termaktub dalam senarai daftar lelaki pilihan Jaja hinggalah ke detik itu... detik di mana dia memandang si dia buat pertama kalinya.
Din – Burhanuddin al-Helmy – si ustaz lulusan al-Azhar itu impikan wanita yang mulia sebagai pendampingnya. Wanita yang mengerti erti zuhud. Wanita yang reda keinginan jihadnya. Wanita yang tidak menangis tatkala menghantarnya ke misi fi sabilillah. Sedangkan ciri-ciri itu tidak terlihat pada Jaja!
Kasihan Jaja, cintanya pada Din melimpah ruah memenuhi seluruh rongga dadanya. Sedangkan Din tidak pernah tahu bahawa ada seorang perempuan yang sedang jatuh hati kepadanya separuh mati. Demi cinta, Jaja sanggup lakukan apa sahaja hatta menebalkan muka meminang Ustaz Din. Ya, demi cinta Jaja sanggup lakukan segala-galanya, asalkan Din jadi miliknya. Brutalnya Jaja!
"Pada saat semua orang memilih lelaki yang bekerja tetap dengan gaji sekian-sekian banyak sebagai suami pilihan, Faiza ikhlas pilih saya seadanya." ~ ms 414
Rupa-rupanya cinta itu ada saktinya. Din yang serius itu berjaya membuatkan Jaja terkedu! Siapa kata Din tak romantik?
"Faiza, bahagia itu bukan sepertimana yang orang nampak, tapi sebagaimana yang kita rasa." ~ ms 445
* * * *
Usai membaca Jaja & Din aku tersenyum puas. Tiada aksara lain yang dapat aku ungkapkan untuk menggambarkan rasa aku saat itu, hanya P.U.A.S. Sesungguhnya Jaja & Din adalah buah tangan yang sangat indah dalam darjahnya yang tersendiri (pada aku la).
Aku sukakan mainan bahasa kaksu. Sememangnya lenggok bahasa milik penulis bernama Noor Suraya ini dari dahulu sering mempesonakan aku. Bahasa yang lembut dipertuturkan lidah, indah dipendengaran telinga menjadikan bacaan aku lancar tidak terganggu. Sesungguhnya pakar bahasa yang juga Munsyi Dewan Bahasa ini berjaya membuatkan hati aku terbuai-buai seperti Jaja yang sedang dilamun cinta. Sungguh indah dan mengasyikkan!! Betuuulll!
Aku sukakan teknik penceritaan yang kaksu persembahkan kali ini. Agak lain daripada kebiasaan. Bagaikan 'Jaja' ada di depan mata menghikayatkan perjalanan kisah cintanya dengan Din. 'Jaja' bercerita tentang suka duka, pahit manis demi mendapatkan Ustaz Din sesuka hati dia! 'Jaja' berkisah tanpa mengikut kronologi, tapi tetap membuatkan aku terhibur tanpa hilang punca. Ke depan, ke belakang dia tidak peduli, semahunya sahaja dia bercerita. 'Jaja'... 'Jaja'...
Setiap watak yang kaksu lakarkan terasa hidup di depan mata. Aku sayangkan Jaja yang keras hati, brutal tapi tetap ada rasa malu. Aku jatuh cinta pada Din yang serius, tapi dia tetap ada sisi romantisnya tau! Aku sukakan Nini yang sangat bijak menyembunyikan 'Pauziah'nya dan adik yang sangat baik dan memahami. Lala si Princess Oyster al-Moluska... Tapi yang paling istimewa dari dulu hingga kini, aku sangat sukakan 'Uncle Aqmar' si pakar tulang itu! Senang cerita, semua watak-wataknya aku sukalah!! Aduh wan sudah parah!
Menatap Jaja & Din macam-macam rasa yang bergulir di dada. Ada rasa kelakar, suka, sedih, sebak, bahagia semuanya tertambak dalam dada... mengirimkan sejuta warna ke jiwa.
Jaja & Din mengenengahkan plot yang sangat istimewa. Wanita meminang lelaki. Bukan tidak ada tapi ia lari dari norma biasa resam kita bangsa Melayu yang penuh dengan santun dan adat sopan. Lagipun wanita kan insan istimewa yang mempunyai sifat pemalu yang amat tinggi! Tapi tidak pada 'Jaja'. Amboi 'Jaja' ada hati nak mengikut jejak langkah Ummul Mukminin Sayiditina Khadijah yang meminang baginda Rasulullah S.A.W. ya...
Setiap perancangan Allah adalah yang sebaik-baik aturan. Setiap yang tersirat ada hikmah yang tersurat. Ya, Jaja yang sudah mula melupakan DIA, diberikan hidayah melalui 'dia'. Jaja yang tidak sempurna, berusaha menyempurnakan dirinya demi 'dia', demi agama DIA. Rasa cinta yang tumbuh meliar di hati Jaja pada Din, menjadi pemangkin untuk Jaja memperbaiki diri. Kalau tidak setara dengan Din sekurang-kurangnya Jaja tidak memalukan Din sebagai ustaz yang dihormati! Dan Din, pandainya dia mendidik Jaja, sabarnya dia melayan kerenah Jaja!
Sebagaimana karya-karya terbitan Jemari Seni yang terdahulu, Jaja & Din ini juga sarat dengan pengisian jiwa yang boleh aku manfatkan sebagai panduan dan pedoman hidup. Setiap nasihat yang Din berikan pada Jaja, aku tumpang sama mendengarnya. Segala amalan yang Din perturunkan pada Jaja, aku sematkan dalam hati buat panduan. Tatkala Din bercerita kisah-kisah teladan insan terpilih, tentang sirah Nabi untuk Jaja, aku ikut serta menghayatinya. Bertuah dan bahagianya hidup Jaja mendapat mualim sebaik Din!! Kiranya berbaloilah Jaja berusaha bermati-matian dengan segala daya usahanya demi mendapatkan Din.
Setiap titik bengik yang ada dalam Jaja & Din aku simpan dalam hati. Pendek kata setiap apa yang terlakar dalam buku kecil ini menjadikan naskhah ini sangat 'besar' dan istimewa. Kita tidak sekadar dibuai dengan kisah cinta duniawi yang hanyalah secebis kecil rencah kehidupan, tapi di sebalik rasa cinta yang menggebu di jiwa, ada panduan yang boleh dijadikan iktibar serta pedoman. Inti pati daripada rasa cinta kepada-Nya lah yang seharusnya kita jadikan contoh. Bacalah... nescaya banyak yang boleh kamu kutip di dalamnya.
Buat kaksu. Sekalung TAHNIAH wan kalungkan! Sesungguhnya dari dulu, kini & insyallah di masa mendatang sememangnya penamu sering membuatkan wan terpesona! Dalam lembut tutur kata, dalam indah ritma bicara melahirkan magis yang menggetarkan jiwa. Wan jatuh cinta untuk kesekian kalinya. Terima kasih kaksu, moga DIA terus memberikan rahmatNya untuk kaksu terus mendidik dan membimbing wan melalui setiap karya-karya kaksu. Teruskan berkarya!