May 27, 2011

Tinta

luahan rasa : Wan Amalyn at Friday, May 27, 2011 1 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Nasron Sira Rahim; Syud; Pingu Toha
Halaman : 551
Tahun : Mac 2011
Terbitan : Jemari Seni
Harga: RM21.50 (Sem. M'sia)/RM24.50 (Sabah/Sarawak)
ISBN: 978-967-5118-57-9


Blurb:

Tiga ceritera dalam sebuah TINTA

Ceritera 1 - Wajah Ketiga ~ Nasron Sira Rahim

Hatinya ditusuk rasa sedih, kecewa dan amarah yang tidak berkesudahan. Bagaikan ditusuk sembilu, kebahagiaan mereka menatijahkan luka yang pedih dan mendalam dalam sanubarinya. Keperitan yang terpaksa dia pendam sehingga membuahkan pohon kesengsaraan yang bercambah rendang.

Apakah maksud di sebalik jujukan kod-kod nombor itu?
Mungkinkah dia salah seorang mangsa Pembunuh Obituari?

***

Ceritera 2 - Dia, dalam Ramai... ~ Syud

Ramai orang kata, kadang-kadang, perkara yang paling kita tak jangka itulah yang akan terjadi pada diri kita.

“Sufiy.”
“Ya?”
“Nama saya Ameer.”
“Oh. Jumpa lagi, Ameer.”


Siapa sangka, kan? Siapa sangka orang yang dia sangka hilang atau memang dah tak akan jumpa itu... muncul lagi di hadapan matanya?

***

Ceritera 3 - Ada & Evan ~ Pingu Toha (seperti diceritakan oleh Kiki Abu Zain)

Boleh ke kita hidup pakai hukum ‘and they live happily ever after’?

Ada; yang sudah penat dengan cinta. Evan; yang begitu naif tentang cinta. Mereka cuba disatukan oleh ‘janji tadika’ abah dan ibu. Mereka bertemu di ruang maya. Di realiti, mereka mencari. Demi ‘Katakan Tidak kepada Kahwin Paksa’, mereka berjanji.

Lalu, yang mengikat mereka itu apa? Janji atau cinta?

~~***~~***~~***~~


Rasa Saya

Salah satu kriteria yang saya gunapakai ketika membuat pemilihan novel untuk dibaca di kala masa luang yang terhad adalah novel kompilasi. Selain durasi ceritanya yang pendek berbanding novel biasa, saya juga boleh habiskan bacaan hanya dengan sekali baca untuk setiap cerita. Andai kata masa memang tidak mengizinkan, saya boleh saja menyambung bacaan saya (cerita yang seterusnya) di hari dan waktu yang lain tanpa rasa teringat-ingat bagaimana kesudahan kisah tersebut. Dan salah satu kompilasi novel yang telah berjaya saya habiskan adalah Tinta.

TINTA memuatkan tiga cerita pendek dalam tiga genre berbeza daripada tiga penulis berbakat yang melahirkan tiga ‘rasa’ yang berlainan. Nasron Sira Rahim, Syud dan Pingu Toha adalah kolaborasi hebat yang menjadikan Tinta sebuah naskhah yang amat menarik pada saya.

Nasron Sira Rahim yang terkenal dengan genre suspen thriller, kali ini menerusi Wajah Ketiga membawa kita selangkah mendekati pembunuh bersiri yang dikenali sebagai Pembunuh Obituari (sila rujuk novel Nama Atas Kertas) bersama-sama dengan Inspektor Ridzuan daripada Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut.

Misteri bermula apabila Inspektor Ridzuan menerima panggilan telefon berkenaan dengan seorang mangsa ditemui mati di sebuah banglo terasing di Mentakab. Mangsa dipercayai dibunuh dengan cara ditikam ditengah leher hingga membawa maut dan si pelaku ini telah meninggalkan teka-teki yang berupa jujukan huruf yang dimasukkan ke dalam mulut mangsa sebagai klu.

Pembunuhan kejam lagi misteri ini telah disyaki dilakukan oleh Pembunuh Obituari berdasarkan modus operandi yang mirip kepada pembunuhan bersiri yang berlaku di Kedah. Dengan bantuan Inspektor Faiz daripada Unit Siasatan Kes Pembunuhan dari Ibu Pejabat Polis Kontigen Kedah, mereka cuba merungkai misteri dan sekaligus mendedahkan siapakah si pelaku yang kejam ini.

Berjayakah pihak polis menyelesaikan siri pembunuhan ini? Atau akan ada lagikah mangsa yang menjadi korban? Dan benarkah pembunuh yang membunuh mangsa di Mentakab adalah orang yang sama yang diburu oleh Inspektor Faiz? Atau ada manusia lain yang taksub dengan Pembunuh Orbituari dan menjadi pembunuh ‘copycat’ bagi mengelirukan lagi pihak polis?

Ingin bersama membongkar identiti si pembunuh sebenarnya? Jomlah bersama-sama membaca karya Nasron Sira Rahim ini, mungkin anda yang bijaksana akan berjaya membantu Inspektor Ridzuan dan Inspektor Faiz mencari jawapannya.

Fuhhh lega! Itulah yang saya rasa usai membaca naskhah ini. Walaupun masih ada misteri yang belum terungkai, tapi penulis bijak memaku saya untuk membaca naskhah ini hingga ke penamatnya. Kebolehan penulis mengatur ayat memberi deskripsi tentang keadaan mayat yang dibunuh benar-benar membuatkan saya ngeri untuk membayangkannya.

Selain daripada itu, penulis juga berjaya menyelitkan sifat ‘manusia biasa’ ke dalam diri seorang ‘Inspektor’. Masalah rumahtangga yang dihadapi oleh Inspektor Ridzuan sedikit sebanyak menjejaskan kreadibilitinya sebagai ‘insan penyelamat’ menunjukkan bahawa inspektor polis juga manusia biasa yang tidak dapat lari daripada ujian. Ya, anggota polis juga manusia biasa, bukan manusia kebal yang tidak ‘lut’ dengan masalah walaupun menyarung baju kalis peluru!

Saya bukanlah dalam kategori peminat tegar kisah pembunuhan bersiri atau yang seangkatan dengannya, tetapi naskhah ini telah berjaya memaku saya untuk membaca hingga ke noktah terakhir walaupun terpaksa mengusung rasa debar dan gerun sepanjang saya menekuni naskhah ini. Tahniah pada penulis! Anda benar-benar membuatkan saya jadi suspen!

Dia dalam Ramai karya Syud pula meneutralkan rasa gerun dan suspen tatkala membaca Wajah Ketiga. Menekuni karya Syud ini, melahirkan rasa damai aje di hati. Membuatkan saya tidak mampu menyembunyikan senyum di bibir. *masih tersenyum-senyum sambil menaip :)*

Sebagaimana Syud yang selesa menulis sesuatu yang dekat dengan dirinya, begitu juga saya yang selesa membaca karya Syud yang biasa-biasa ini pada sesetengah pembaca, tapi luar biasa pada saya. Saya selesa membaca sesuatu yang boleh saya bayangkan di minda, bagaikan membaca dan ‘melihat’ seiring dibenak saya. Sesuatu yang ‘imaginasi’ tidak mustahil berlaku di alam nyata, ya dak? Sesuatu yang mampu saya letakkan diri saya dalam setiap situasi yang berlaku. Itulah yang saya suka pabila membaca setiap karya-karya Syud. Saya menjadi sebahagian daripada 'watak' dalam cereka ini!

Syud masih lagi menjadikan Johor, atau lebih tepatnya Johor Bahru dan Kota Tinggi sebagai latar cerita menjadikan Dia dalam Ramai ini ‘hidup’. Dan mungkin kerana Syud juga berasal dari sana, saya tidak dapat membuang gambaran Syud sebagai Sufiy Suraiya dari benak saya. Dan mengenali peribadi si penulis ini, menguatkan lagi gambaran saya terhadap watak Sufiy ini. Dan ianya sangatlah ‘sweet’ okeeeyyy!! Pada sayalah! Mungkin tidak pada kalian.

Sebagaimana Sufiy Suraiya rasa suka pada seseorang di saat mata terpandang akan kelibat si dia buat pertama kalinya, sebagaimana si dia menjadi sebahagian daripada dorongan untuk Sufiy Suraiya melangkah ke pejabat setiap hari tertentu, begitulah apa yang saya rasa ketika membaca naskhah ini. Perasaan ‘suka’ (belum lagi cinta) itu saya turut sama rasainya. Saya bagaikan ter'nampak' bagaimana Sufiy Suraiya bertingkah. (hehehe kalut + gelabah + berlagak sok ayu! itulah reaksinya)

Dia dalam Ramai berkisah tentang Sufiy Suraiya yang masih terkenang akan si dia yang tidak dia kenali. Bahkan si dia yang dia hanya ingat pada segaris senyumannya. Selepas hampir empat tahun berlalu dan dia hampir ‘hilang’ kelibat si dia di hatinya, takdir menemukan mereka. Alahai si dia yang dia cari selama ini rupa-rupanya adalah anak jiran sebelah rumah di Kota Tinggi; kampung halamannya, 'geng' pula dengan adik-adiknya.

Dia dalam Ramai tentang Fadli Ameerudin; Ameer yang tertarik pada si dia yang digelar Phantom oleh si Azril rakan baiknya lantaran dia tiada klu akan siapa dan bagaimana wajah si dia yang boleh dia gambarkan pada teman-temannya. Yang dia ingat (sangat) hanyalah pada 'her super clear eyes'; pada sepasang matanya yang jernih yang terus mengikat hatinya selama beberapa tahun ini.

Tatkala takdir menemukan mereka, nasib pula seakan tidak menyebelahi Ameer. Berita yang dibawa oleh ibunya tentang rombongan 'peminangan' si gadis sampai ke telinganya membuatkan dia hampir nanar.

Benarkah tiada jodoh antara mereka sedangkan dua hati saling berbalas kata walaupun tanpa bicara? Atau takdir sekadar menduga demi menguatkan rasa yang terjalin antara mereka adalah benar bukan ilusi semata? Jawapannya akan terjawab bila anda membaca naskhah ini.

Seperti biasa Syud bijak 'mencipta' ruang dan peluang setiap watak yang digarapnya 'bergerak' mengikut arah angin. Berjalan di atas landasan yang dinamakan takdir. Setiap watak walau sekecil manapun peranannya tetap meninggalkan kesan yang besar pada pembacaan saya. (Bahagian yang paling saya suka; dedikasi lagu, memang membuatkan saya ketawa besar bersama Azril & Farhana!). Saya suka cara Syud mencipta kebetulan yang saya rasakan logik dan tidak nampak keterlaluan yang dibuat-buat. Saya juga sukakan bahasa mainan Syud yang membuatkan pembacaan saya lancar tanpa gangguan.

Usai membaca Dia dalam Ramai, perasaan suka dan saya hanya nak senyummmm sahaja terbawa-bawa ketika saya membaca Ada & Evan karya Pingu Toha.

Pingu Toha pada saya merupakan penulis generasi muda yang memperkenalkan genre ‘indie’ kepada kelompok pembaca (muda) yang dahagakan kelainan. Sebagaimana saya ‘jatuh cinta’ kali pertama (kepada karya penulis) ketika membaca L.U.V.E. diikuti 1 4 3, rasa suka yang sama bahkan mungkin makin menggebu pada penulis ini membuatkan saya jadi ‘buta’. Tetap juga jatuh cinta! Bukankah pujangga pernah menyatakan ‘Cinta itukan Buta’? Jadi jangan salahkan saya andai rasa cinta itu tetap saya bawa bersama saya! Ada & Evan garapan Pingu Toha ini menyerlahkan idea bernas, segar lagi bertenaga si penulis membuatkan rasa suka saya berganda-ganda. hehehe *jiwang!*

Ada dan Evan adalah tentang anak muda yang dipasangkan oleh orang tua mereka lantaran cinta zaman tadika mereka (si ibu dan si abah) tidak kesampaian. Demi merealisasikan impian ‘janji tadika’ ibu bapa mereka, anak-anaklah yang akan menjayakannya.

Menerusi email mereka ‘bertemu’ atau istilah anak-anak muda sekarang berdating. Dan apa yang uniknya mereka tidak pernah bersua muka di alam nyata (atau mereka mungkin pernah bertemu tetapi tidak mengenali satu sama lain). Melalui email mereka berbalas kata, berhujah bicara menyampaikan rasa tidak puas dihati atas tindakan orang tua mereka. Melancarkan misi ‘Katakan Tidak kepada Kahwin Paksa’.

Rutin berbalas email, menjadi medan mereka meluahkan isi hati tentang hal-hal yang berlaku di seputar mereka, Ada; yang masih menyimpan rasa ralat pada mantan kekasih-kekasihnya, Evan; yang masih mencari arah dan hala tuju hidup berpasangan. Juga jadi landasan untuk mereka saling memberi dorongan dan galakan atas hal-hal yang tidak beres antara pasangan dan hidup masing-masing. Melalui email juga mereka saling meluah rasa apa yang mereka suka dan apa yang tidak mereka sukai. Pendek kata menerusi email mereka bersahabat.

Tapi sampai bila? Hatta makanan dalam tin pun ada tarikh luputnya, apatah lagi hubungan yang berlandaskan kemahuan keluarga. Sampai masa, pastinya keputusan mereka akan ditagih oleh kedua orang tua mereka. Dan hanya YA atau TIDAK pada ikatan yang diaturkan menjadi jawapannya. Tapi bolehkah mereka menerima diri masing-masing bila awal-awal lagi mereka telah lancarkan misi ‘Katakan Tidak Pada Kahwin Paksa’ ini yang secara simboliknya adalah TIDAK pada sebarang ikatan yang mungkin akan terjalin antara mereka? Sekali lagi, jawapannya ada dalam naskhah ini.

Pingu Toha, seperti biasa dengan idea 'gila-gila'nya itu memang mencuri hati saya. Saya tidak terfikir bagaimana berbalas-balas email meluahkan begitu-begini tentang itu-ini benar-benar superb! Boleh dijadikan 'bahan' untuk menggarap sesebuah cerita cereka. Apa itu begitu-begini, itu-ini ini? Anda baca sendiri kalau ingin tahu! hehehe

Pendek kata suspen thriller bergabung dengan kisah yang santai diiringi dengan idea segar bernas ketiga-tiga penulis ini menjadikan TINTA sebuah naskhah yang sarat dengan pelbagai rasa dan diserikan dengan 'warna-warni' kehidupan. Daripada siri pembunuhan yang kejam lagi tidak berperikemanusiaan kepada persoalan jodoh dan pertemuan yang adakalanya berliku sebelum tiba ke garisan penamat yang dinamakan takdir menjadikan naskhah ini cukup rencahnya.

Apa-apapun saya sangat berpuashati dengan naskhah ini. Saya tidak kisah andai kalian tidak sependapat dengan saya kerana selera masing-masingkan berbeza walaupun secara fizikalnya kita mempunyai warna rambut yang sama! Oh! kecualilah kalian inaikan rambut untuk menampakkan warna perang?! hehehehe

Apa-apapun selamat membaca moga ada manfaatnya buat kalian.

May 17, 2011

Kaca Jendela Ainnur

luahan rasa : Wan Amalyn at Tuesday, May 17, 2011 1 rakan yang berkongsi rasa
Pengarang : Diya Nordin
Halaman : 414
Tahun : Januari 2011
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Harga : RM18.00 (Sem. M'sia)/RM21.00 (Sabah/Sarawak)
ISBN : 978-967-5118-51-7

Blurb:

Masa itu adalah makhluk Allah yang tak pernah henti berdetik


Seumur hidupnya, dia hanya mahu memenangi hati Syuhairah, mama yang sangat dia rindu walau wujudnya di depan mata. Dari kecil dia sering tertanya-tanya, kenapa dia bagaikan halimunan pada mata mama!

Ainnur Shahirah tidak pernah kenal siapa ayahnya. Sangkanya, apabila bertemu ayah, kurang-kurang dia punya kasih seorang bapa. Tapi dia salah. Ayah seperti mama. Tidak pernah menerimanya sebagai anak.

Dia menjadi daki dalam keluarga. Dia sedar duduk dirinya. Dia akhirnya pasrah, kasih mereka bukan untuknya. Dia harus pergi agar mama dan ayah bahagia dengan keluarga sendiri.

Kata Zhafran, “Ainnur bukan sekadar kejam pada Tok Mama dan Tok Baba. Tapi juga Uncle Luqman. Salah ke mereka hingga turut terhukum?”
Apa yang Zhafran tahu?

Semuanya dia yang tanggung. Rasa pedih, terluka. Semuanya ditelan sendiri. Dia sudah sehabis daya mencuba. Dia pergi pun atas kehendak mereka, jadi apakah dia yang kejam?

* * *

DIYA NORDIN memeta watak Ainnur Shahirah dengan baik sekali. Kaca Jendela Ainnur membawa anda memahami hati seorang perempuan yang tabah. Benarkah hati perempuan itu hening bak kaca?

~~***~~

Rasa Saya

Diya Nordin bukanlah penulis baru bagi saya. Saya ‘kenal’ beliau lewat karya-karya e-novelnya yang pernah saya ikuti suatu waktu dahulu. Saya pernah ber’tunggu-tangga’ di blog beliau menantikan entry terbaharu. Ternanti-nanti sambungan e-novel garapan beliau. Dan salah satunya adalah e-novel Masihkan Ada Kasih. Itu dulu. Masa saya masih punya waktu luang yang banyak. Masa saya ketagih untuk membaca karya-karya e-novel daripada penulis-penulis baru yang berbakat besar. Kini Masihkah Ada Kasih kembali dalam bentuk yang lebih nyaman untuk dibaca. Dalam versi cetak. Dan Kaca Jendela Ainnur inilah hasilnya.

Kaca Jendela Ainnur mengangkat persoalan kasih sayang, persoalan cinta. Ya, elemen cinta masih lagi menjadi rencah utama dalam naskhah ini. Tapi apa yang berbeza adalah ia bukan kisah cinta uda dan dara. Ini kisah cinta antara si anak dengan orang tuanya. Ini kisah cinta yang bersifat tulus dan mulus patutnya. Tapi berlainan sifatnya dalam naskhah ini. Ini kisah si anak yang tidak mendapat kasih sayang yang sewajarnya daripada kedua ibu dan ayah kandung.

Ainnur Shahirah – hadirnya ke dunia ini bagai melukut di tepi gantang pada Syuhairah, mamanya. Dia dibenci oleh ibu kandungnya sendiri. Dia disisihkan oleh ayah yang menjadi asbab dia dilahirkan. Dia bagaikan anak yang terbuang! Walau dia masih punya Uncle-Papa yang menyayanginya. Walau dia punya Umi yang mengasihinya. Tapi dia tetap dipandang sepi oleh mama dan ayah.

Bagi mama, dia lambang masa lalu yang pahit. Bagi ayah, dia racun yang merosakkan kebahagiaan yang sepatutnya ayah kecapi. Ya, dia ’trofi’ yang tidak bernilai. Simbol kehancuran masa lalu mama dan ayah.

Pelbagai usaha telah dia lakukan untuk menagih kasih mama. Dia ceburi ’profesion mama’; guaman, dengan harapan dia punya topik yang boleh didebatkan dengan mama. Tapi segala usaha, segala penat lelahnya, langsung tidak dihargai oleh mama. Jadi apa gunanya dia terus berada di depan mata mama andai kehadirannya hanya bagaikan bayang hitam yang menakutkan mama?

Usai membaca Kaca Jendela Ainnur, saya menarik nafas berkali-kali. Saya rasa bersyukur dan bertuah kerana saya anak yang disayangi oleh kedua orang tua saya. Walaupun tiada ucapan sayang yang terlafaz dibibir mereka, tapi saya tahu saya memang disayangi.

Saya jadi kasihan pada seorang ’Ainnur Shahirah’. Saya turut sama menangisi nasib hidupnya. Alangkah malangnya seorang anak apabila ibu yang melahirkannya ke dunia ini seakan tidak mengiktiraf kedudukannya di hati si ibu. Alangkah pilunya hati seorang anak apabila ayah kandung sendiri, teganya hati melayan si anak bagaikan dia bukan darah dagingnya. YA, Ainnur Shahirah dianaktirikan oleh ibu dan bapa kandungnya sendiri.

Saya sukakan naskhah ini kerana penulis berjaya membuatkan saya larut dalam pembacaan. Saya sukakan bahasa mainan penulis yang berjaya membuatkan pembacaan saya lancar tanpa gangguan. Saya sukakan jalan cerita garapan penulis kerana ia berbeza daripada kisah ’cinta’ klise yang sering saya baca lewat novel melayu dewasa ini; kisah cinta pria – dara. Ini kisah cinta ibu dan anak. Ini kisah tentang kasih sayang antara ayah dan anak. TAPI apa yang saya tidak suka, penulis telah mencuri airmata saya tanpa saya sedar.

Ada rasa sebak mengapung di dada. Sedih mengenangkan nasib Ainnur Syahirah. Saya membayangkan andai saya yang berada di tempat Ainnur Syahirah... aduh tak dapat saya bayangkan! Tapi mungkin anda berbeza daripada saya yang mudah tersentuh apabila membaca kisah sedih lagi menyayat hati. Atau hanya saya yang terlebih emosional apabila membaca kisah Ainnur Syahirah ini?

Entahlah. Apa yang pasti, saya insaf dan saya bersyukur kerana saya anak kesayangan ibu dan ayah saya. Dan tidak mustahil kisah sebegini memang wujud di alam nyata. Lihat sahaja anak yang tidak berdosa di buang bagaikan sampah oleh ibu yang melahirkannya!! Jika ada sifat kasih sayang dalam hati si ibu, mana mungkin dia tergamak membuang darah dagingnya sendiri, ya tak? Dalam naskhah ini Ainnur Syahirah masih lagi bernasib baik kerana masih ada insan yang menyayanginya, masih ada insan yang mengasihinya walau bukan ibu dan ayah kandungnya.

Bacalah. Moga sedikit sebanyak kisah ini menjadi pengajaran pada kita, baik kita ’si anak’ mahupun kita ’si ibu’.

Selamat membaca moga ia bermanfaat.

 

sembang-sembang fasal buku Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare